Khamis, 3 Februari 2011

Remaja lari rumah ditangkap

PADANG SERAI: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang pada 19 November 2009 ditemui semula di sebuah rumah teres oleh lima penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK).

Sinar Harian difahamkan, kes kehilangannya pernah dilaporkan di Balai Polis Butterworth.

Menurut jurucakap PADK, mereka menerima maklumat daripada orang ramai di mana terdapat pasangan bukan mahram tinggal di rumah itu.

Setelah membuat pemeriksaan, PADK mendapati, rumah itu disewa oleh sepasang suami isteri.

“PADK menerima aduan daripada orang ramai kira-kira jam 10 malam dan sampai di tempat kejadian kira-kira jam 10.30 malam. Ketika pemeriksaan dibuat, PADK mendapati rumah itu disewa oleh sepasang suami isteri. PADK curiga apabila ternampak dua lagi remaja perempuan berada dalam rumah itu dan seorang daripadanya sedang menangis.

“PADK mendapati salah seorang dari remaja itu pernah dilaporkan hilang pada 19 November 2009. PADK meminta remaja terlibat memberi kerjasama dengan memberikan nombor telefon waris untuk dihubungi,” katanya,

Menurutnya, PADK kemudiannya dimaklumkan oleh ibu saudara remaja terlibat bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap remaja itu di mana dia telah dilarikan oleh teman lelakinya.

“Pasangan itu kemudiannya diserahkan kepada unit MPV Balai Polis Lunas untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Ketika ditemui, lelaki berusia 20-an itu berkata, dia hanya membantu pasangan remaja perempuan itu melarikan diri dari rumah kerana remaja 16 tahun itu tidak mahu ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani.

Menurutnya, remaja perempuan itu datang dari keluarga bermasalah apabila bapa kandungnya kini sedang menjalani hukuman penjara kerana mencabul.

Katanya, sebelum ini perempuan itu pernah melarikan diri dengan seorang lelaki ke Pahang.

“Saya cuma membantu dan tak tahu boleh jadi sampai macam ini. Dia (remaja perempuan 16 tahun) memaklumkan kepada saya dia tidak mahu tinggal di JKM. Saya tidak mempunyai tempat lain untuk tempatkan dia dan meminta bantuan dari rakan.

“Dia juga ada memaklumkan kepada saya, bapa kandungnya sekarang ini sedang menjalani hukuman penjara. Selain itu dia mengaku pernah terlanjur dengan bekas kekasihnya. Dia pernah melarikan diri ke Pahang dengan seorang lelaki. Saya tidak tahu keluarga dia membuat laporan polis mengenai kehilangan dia,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan