IPOH: Seorang Juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan saja parah ditetak dengan pisau pemotong sayur oleh isterinya yang dipercayai akibat cemburu buta tetapi dikurung di dalam rumah supaya mangsa tidak boleh mendapatkan rawatan dan meminta bantuan polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam di rumah mereka di Taman Pinji Ria, Pengkalan, di sini, Jumaat lalu, mangsa dikatakan cuba ditetak di lehernya tetapi berjaya dihalang menggunakan tangan kiri mengakibatkan otot tangannya itu putus hingga tiga jarinya tidak dapat digerakkan selain menerima 15 jahitan.
Tidak cukup dengan itu, suami berusia 30 tahun itu didakwa turut menerima ugutan bunuh daripada isterinya yang berusia 24 tahun ketika sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), keesokan harinya.
Mangsa yang baru keluar dari wad kelmarin dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh petang semalam, mendakwa kejadian berlaku selepas isterinya menyatakan tidak mempercayai beliau selepas mendengar cerita dari sepupunya bahawa mangsa seorang kaki perempuan dan pernah membawa balik wanita ke rumah sebelum mereka berkahwin kira-kira setahun lalu.
Dalam laporannya, mangsa mendakwa menelefon sepupunya yang kemudian menafikan ada memberitahu isterinya mengenai cerita berkenaan menyebabkan isterinya tidak berpuas hati dan terus ke dapur mengambil pisau.
"Saya hanya terdiam dan ketawa kerana memikirkan isteri saya hanya bergurau tetapi tekaan saya salah dan ayat terakhir daripadanya sebelum menetak saya ialah `abang sudah melampau'," katanya dalam laporan itu.
Mangsa berkata, dirinya diselamatkan oleh polis yang membawanya ke HRPB selepas berjaya membuat panggilan ke nombor 999 tetapi tidak faham kenapa polis tidak menahan isterinya ketika itu.
Sementara itu, mangsa yang ditemui mendakwa, isterinya seorang panas baran dan cemburu buta sepanjang perkahwinan mereka menyebabkan banyak berlaku perselisihan faham antara mereka.
"Walaupun sering bergaduh, saya masih sayangkan dia dan sentiasa berdoa sikapnya berubah. Memang sebelum ini saya dimaki hamun dan disepak terajang tetapi ia tidak pernah mengurangkan rasa kasih saya terhadapnya.
"Saya juga terkilan kerana sepanjang terlantar di HRPB, isteri saya tidak pernah menjenguk saya walaupun dia bertugas di hospital berkenaan," katanya.
Ketika ditanya adakah dia akan menceraikan isterinya berikutan kejadian itu, mangsa berkata dia masih sayang dan mahu memberi peluang kepada isterinya untuk berubah walaupun isterinya itu sebelum ini mahu berpisah.
"Saya tidak fikir penceraian sebagai jalan penyelesaian. Biarlah insiden yang menimpa saya ini menjadi pengajaran kepada yang lain sekali gus menginsafkan isteri saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, yang mengesahkan laporan itu berkata, isteri mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Putih di sini, selepas kejadian itu.
Berikutan itu, katanya, polis masih menyiasat kes berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan./bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan