GEORGE TOWN: Seorang lelaki gagal dalam cubaannya untuk merompak sebuah kedai emas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini apabila dia ditangkap oleh orang ramai kebetulan berada di kompleks tersebut hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari, orang ramai di Kontar menyedari tindakan seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah parang dan menyerbu sebuah kedai emas.
"Lelaki itu pada mulanya mengacukan parang terhadap salah seorang pekerja kedai emas berkenaan tetapi setelah menyedari dikepung oleh orang awam, dia cuba melarikan diri,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, orang awam kemudiannya bergelut dengan lelaki berusia 32 tahun sebelum menyerahkannya kepada polis.
Perompak itu ditahan di ibu pejabat polis Daerah Timur Laut untuk membantu siasatan dan polis merampas beg galas, tali pinggang, topi keledar dan sebuah motosikal yang dipercayai milik lelaki terbabit./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan