Khamis, 2 Disember 2010

Tengok mayat tergantung di pokok

KAMPAR: Mayat seorang lelaki dijumpai Sabtu lalu dalam keadaan tergantung di sebatang pokok sebuah hutan kecil di Batu 5, Jalan Batu Gajah, Gopeng. 

Pegawai Penyiasat yang juga Timbalan Ketua Polis Balai Gopeng, Sarjan Mejar V Murugayah berkata, hasil maklumat orang ramai, mayat itu dijumpai tergantung pada 3 petang. 

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam kawasan hutan kecil di Batu 5 berhampiran Kilang OKA, bagaimanapun, polis masih tidak dapat mengenal pasti identitinya. 

“Lelaki berkenaan dipercayai berusia antara 30 hingga 35 tahun, dengan ketinggian 169 sentimeter, berkulit cerah dan berambut pendek,” katanya kepada :Sinar Harian:, di sini, semalam. 

Murugayah berkata, lelaki itu memakai seluar pendek merah dan baju T-shirt berkolar bulat berwarna putih kelabu. 

“Mayat dihantar ke Hospital Kampar dan hasil bedah siasat mengesahkan, lelaki itu membunuh diri,” katanya. 

Katanya, mayat itu berkemungkinan telah tergantung selama tiga atau empat hari semasa ditemui berdasarkan bau dan keadaan bentuk fizikalnya. 

“Pemeriksaan di lokasi kejadian hanya menemui sepasang selipar getah di pangkal pokok dipercayai milik lelaki tersebut dan kesan panjat pokok berdasarkan serpihan kulit pokok yang terkopak namun tiada sebarang identiti pengenalan diri ditemui,” katanya. 

Murugayah berkata, kepada mereka yang kehilangan anggota keluarga boleh menghubungi beliau di talian 012-5063744 atau Balai Polis Gopeng di talian 05-3592222./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan