Khamis, 2 Disember 2010

Gara-gara kerusi antik, buruh dipenjara 6 bulan

KOTA BHARU: Gara-gara tindakan mencuri sebuah kerusi antik pada 23 November lalu, Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengarahkan seorang buruh dipenjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkapnya. 

Buruh berkenaan, Saman Sahibun, 33 dari Kampung Pengkalan Batu Pasir, di sini didapati bersalah dengan niat mencuri kerusi antik berwarna emas milik Azirin Mohd Yusuff bernilai RM500. 

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Cabang 4 Bayam, Jalan Dato Lundang, di sini pada jam 11 malam, tarikh berkenaan. 

Saman berjaya diberkas sehari kemudian dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat sekiranya diulangi. 

Berdasarkan fakta kes, semasa pemilik berada di rumahnya, beliau terdengar bunyi di luar rumah sekitar jam 11 malam hari kejadian dan hanya menyedari kerusi tersebut hilang pada jam 8 pagi keesokan harinya. 

Tertuduh ditahan dan siasatan anggota polis mendapati tertuduh mengaku mencuri kerusi tersebut. 

Majistret Norhaslinda Che Seman mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh, 24 November. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan