AMPANG: Seorang lelaki yang menyangka jirannya bertengkar dengan ahli keluarga terkejut apabila mendapati sebilah pisau terpacak di dada jirannya itu akibat ditikam penyamun dalam kejadian di Pangsapuri Sri Intan, Taman Bukit Permai, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki berkenaan pada mulanya menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya di tingkat tiga sebelum terdengar kekecohan di rumah jirannya di tingkat dua pangsapuri terbabit.
Menurut sumber polis, dia pada mulanya beranggapan jirannya mungkin bertengkar dengan ahli keluarganya dan enggan mencampuri urusan mereka.
“Namun, tiba-tiba dia ternampak seorang lelaki keluar daripada rumah jirannya dalam keadaan cemas dan kelam-kabut membuatkannya menuju ke rumah terbabit.
“Sebaik berada di depan pintu, lelaki berkenaan terkejut melihat sebilah pisau melekat di dada jirannya itu sebelum meminta pertolongan,” katanya.
Menurutnya, beberapa jiran datang ke rumah mangsa manakala lelaki itu mengejar penyamun yang melarikan diri, namun gagal menahannya berikutan suspek sudah memecut motosikalnya.
“Lelaki itu naik semula ke rumah jirannya untuk memberikan pertolongan, namun mangsa sudah dibawa beberapa penduduk ke Hospital Ampang untuk rawatan.
“Mangsa bernasib baik kerana tikaman itu tidak mengenai organ dalamannya dan kini stabil selepas mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki yang menikam mangsa seorang penyamun yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.
“Ketika kejadian, mangsa tidak mengunci pintu rumah dan penyamun terbabit menyusup masuk sebelum dia mengambil telefon bimbit mangsa di ruang tamu.
“Namun, kejadian itu disedari mangsa yang ketika itu baru keluar dari bilik sebelum terserempak penyamun terbabit,” katanya.
Menurutnya, mangsa cuba menahan penyamun terbabit dan ketika itu berlaku pergelutan sebelum dia ditikam dengan pisau.
“Bagaimanapun, mangsa gagal mengecam wajah penyamun terbabit kerana ketika kejadian dia memakai topi keledar selain keadaan kelam-kabut,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan