KUALA KANGSAR: Seorang warga emas ditemui mati dengan kedua-dua tangannya diikat selepas disamun empat lelaki yang memecah masuk rumahnya di Taman Seri Melati di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa Mohamad Ali Samsuddin, 61, ditemui mati di rumahnya dalam kejadian samun pada pukul 3.30 pagi tadi.
Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita hari ini.
Abdul Ghaffar berkata kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu baru sampai di rumah selepas selesai menguruskan perniagaan pasar mini mereka yang terletak 3 km dari rumah mereka.
Tiba-tiba, empat lelaki menyerbu masuk lalu mengikat mangsa, tetapi isterinya Rajiah Kamaruddin, 62, sempat menyelamatkan diri dengan meminta bantuan penduduk berhampiran menghubungi polis, katanya.
Katanya polis yang mendapat laporan berhubung kejadian itu dapat menangkap seorang lelaki berumur 47 tahun di rumah tersebut.
Mangsa ditemui rebah di lantai dan didapati sudah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya terikat dengan kesan cedera di bawah dagunya.
Polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu.
Beliau berkata lima jam kemudian polis memberkas dua lagi lelaki berumur 30-an di pekan Kuala Kangsar, manakala seorang lagi lelaki menghilangkan diri.
Pasangan suami isteri itu turut kehilangan barang kemas bernilai RM20,000 yang dilarikan oleh seorang lelaki yang masih menghilangkan diri./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan