Rabu, 31 Oktober 2012

Warga emas didakwa rogol anak jiran 10 tahun

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang layak digelar datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak jiranya berusia 10 tahun.

Tertuduh, Mohamad Soha Abdullah, 65, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah anaknya di sini dalam tiga kejadian berasingan sekitar awal bulan ini.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit kerap ke rumah tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan bagi mendapatkan duit untuk membeli makanan ringan dan abang mangsa yang berusia 12 tahun dilaporkan pernah melihat tertuduh yang berkahwin dua kali dan bercerai memasukan tangannya ke dalam kemaluan mangsa bagaimanapun tidak mendedahkan perkara terbabit.

Perbuatan terkutuk itu, hanya disedari mak cik mangsa yang meragui lalu menyoal murid tahun empat itu sehingga pendedahan mengenai kegiatan terkutuk lelaki terbabit.

Atas kesalahan itu, Mohamad Soha didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000.

Mohamad Soha yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan seluar panjang mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhdi.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Mohd Asram Zakaria memohon dikenakan jaminan yang rendah memandangkan faktor usia tertuduh.

Nu’aman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes 20 November ini./sinarharian

Sabtu, 27 Oktober 2012

Perkosa tiga anak selama 8 tahun

JAKARTA: Angkara ingin menguasai ilmu hitam, seorang bapa memperkosa tiga anak perempuannya secara bergilir-gilir selama lapan tahun.

Isteri lelaki itu tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mengetahui perbuatan suaminya.

Zaeni, 43, dari Cakung Jakarta Timur dibawa ke balai polis di sini Khamis lalu selepas perbuatannya itu terbongkar. Isteri suspek yang hanya dikenali sebagai Ka memberitahu dia sering melihat suaminya membakar kemenyan setiap malam Jumaat.

“Saya sudah menasihatinya bahawa perbuatannya itu berdosa tetapi dia masih melakukannya,” katanya kepada wartawan.

Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga anak perempuan suspek berusia 20, 19 dan 15 tahun.

Perbuatan suspek terbongkar selepas anak bongsunya yang berusia 15 tahun memberontak ketika ingin diperkosa bapanya. Dia melarikan diri dan melaporkan kepada polis mengenai perbuatan bapanya selama ini.

Ekoran maklumat itu, sekumpulan polis bergegas ke kediaman suspek dan memberkasnya. Isteri suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut./kompas.com

Suami cekup isteri khalwat

Suami cekup isteri khalwat
Isteri Salman (kiri) dan lelaki dipercayai kekasihnya serta seorang lagi wanita ditahan kerana berkhalwat.
AYER KEROH: Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu.

Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berke-naan, awal pagi kelmarin.

Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal.

“Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.

“Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya,” katanya.

Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut.

"Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun.

Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut.

“Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu.

"Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya.

Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman./sinarharian

Buang bayi ke tali air, polis tahan ibubapa gadis

Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 9.47 malam kelmarin.

Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita semalam.

Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.

Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke hospital itu pada jam 9.20 malam Rabu, disebabkan komplikasi bersalin.

Hasil siasatan, gadis itu mengakui melahirkan bayi perempuan yang kemudian dibuang ke dalam tali air tersebut.

Susulan penemuan mayat bayi itu, polis menahan empat individu termasuk teman lelaki dan abang gadis berkenaan./Bernama

Rabu, 24 Oktober 2012

Pelajar maut ditumbuk dua pelajar

ALOR GAJAH: Seorang pelajar sekolah maut dipercayai ditumbuk dua lagi pelajar dalam satu pergaduhan disaksikan kira-kira 30 pelajar lain di perhentian bas Pulau Sebang di sini, hari ini.

Mangsa, K. Saravanan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang sebelum itu dipercayai berperang mulut dan cabar mencabar dengan dua pelajar sekolah berhampiran ketika berada di dalam bas sebelum persekolahan sesi pagi bermula.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pergaduhan berkenaan berlarutan selepas sesi persekolahan berakhir kira-kira 2.30 petang ketika kesemua pelajar sedang menunggu bas di tingkat satu perhentian bas tersebut.

"Mangsa kemudian ditumbuk oleh seorang pelajar terbabit sebelum seorang lagi turut melakukan tindakan sama menyebabkan mangsa jatuh dan pengsan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah berusia 14 tahun terbabit yang melihat mangsa tidak sedarkan diri kemudian menghubungi ambulans.

Bagaimanapun Raja Shahrom berkata orang awam yang berada di kawasan tersebut bertindak membawa mangsa ke Hospital Tampin dekat sini sebelum ambulans tiba.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, kedua-dua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu ditahan polis ketika sedang bermain bola di Taman Sebang Gemilang di sini pada 6 petang bagi membantu siasatan.

Lima lagi pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

Sehubungan itu, Raja Shahrom mengingatkan orang ramai khususnya keluarga pelajar terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan menyerahkan siasatan kepada polis./Bernama

Isnin, 22 Oktober 2012

Seorang doktor memberi telefon bimbit sebelum mencabul kanak - kanak lelaki di kliniknya

Johor Bahru: Polis hari ini menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di sini kerana dipercayai mencabul seorang budak lelaki berumur 12 tahun di kliniknya itu, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata doktor lelaki berusia 40 tahun dan masih bujang itu ditahan di kliniknya pada kira-kira 1 tengah hari ini selepas bapa budak lelaki itu membuat laporan polis semalam.

Katanya bapa budak lelaki itu mengesyaki sesuatu berlaku ke atas anaknya selepas melihat anaknya memiliki sebuah telefon bimbit yang didakwa diberikan oleh doktor itu.

"Siasatan awal mempercayai doktor itu mengumpan kanak-kanak tersebut ke dalam kliniknya dengan memberikan telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Ace sebelum mencabul," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di Johor Bahru, hari ini.

Katanya budak lelaki itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk pemeriksaan./Bernama

Dicekup berkhalwat bersama teman lelaki

Dicekup berkhalwat bersama teman lelaki
Gadis ini yang sedang menjalani latihan amali di Pejabat Kesihatan Dungun ditangkap khalwat bersama teman lelakinya di sebuah rumah fl at dekat Bijangga.
DUNGUN: Tindakan seorang penuntut kolej membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa setiap hujung minggu sehingga mendatangkan syak wasangka dalam kalangan jiran tetangga sehingga perbuatan tidak bermoral itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Susulan itu, satu serbuan dilakukan penguat kuasa syariah kira-kira jam 10.45 malam Ahad lalu, berjaya menahan sepasang kekasih yang berada berdua-duaan di sebuah rumah flat, dekat sini.

Ketika ditahan, gadis berusia 21 tahun yang sedang menuntut di salah sebuah kolej swasta itu difahamkan hanya berseluar pendek dan memakai baju singlet tanpa pakaian dalam.

Ketika serbuan, pasangan itu mengaku mempunyai hubungan sebagai sepupu, namun setelah disoal siasat kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim.

Gadis berasal dari Bukit Tunggal dikatakan sedang menjalani latihan amali di Pejabat Kesihatan Dungun, manakala teman lelakinya yang berasal dari Padang Nenas, Kuala Terengganu, kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Pasangan yang mengaku bakal mengikat tali pertunangan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun, 29 Oktober nanti atas dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Buat maksiat di hotel bajet

Buat maksiat di hotel bajet
Pegawai Penguat Kuasa Syariah Dungun merampas sehelai seluar dalam milik pasangan terbabit untuk dijadikan bahan bukti kes selepas menahan pasangan berkenaan pagi kelmarin.
DUNGUN: Keghairahan seorang pelajar kolej untuk pulang bercuti ke kampung bersama teman lelaki bertukar detik hitam apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada di sebuah bilik di hotel bajet, dekat sini, pagi kelmarin.

Pelajar terbabit, 20, yang sedang menuntut di sebuah kolej swasta di Kota Bharu, Kelantan dikatakan baru menamatkan peperiksaan akhir dan datang ke bandar ini untuk menemui teman lelakinya sebelum bercadang pulang bersama ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang.

Bagaimanapun, pelajar jurusan diploma sains itu tidak terus pulang ke kampung, sebaliknya mengambil kesempatan melepaskan rindu di sebuah bilik hotel yang disewa teman lelakinya, seorang pemandu ekskubator.

Perbuatan tidak bermoral pelajar berasal dari Kampung Ulu Jenut, Kuala Krau, Temerloh itu bagaimanapun menjerat dirinya sendiri setelah bilik penginapannya diserbu pihak Pegawai Penguat kuasa Syariah kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Selepas pintu dibuka oleh teman lelakinya, pelajar berkenaan difahamkan hanya bertuala dengan memakai baju sendat ketat tanpa pakaian dalam manakala teman lelakinya, 21 tahun, dalam keadaan separuh bogel.

Siasatan awal mendapati pasangan itu tidak mempunyai hubungan muhrim.

Kesemua seluar, baju dan pakaian dalam milik pasangan terbabit turut dirampas sebagai bahan bukti.

Pasangan itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah 19 November nanti mengikut Seksyen 29(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Sabtu, 20 Oktober 2012

Nelayan warga emas cedera dikelar penyamun

Awi Che Min menunjukkan kecederaan dialami.
Awi Che Min menunjukkan kecederaan dialami. 
 Bahagian kecederaan dialami.
Bahagian kecederaan dialami.
TELUK BIDARA: Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa samun dua penjenayah bersenjata yang menceroboh kediamannya di sini, awal pagi tadi.

Bukan setakat kehilangan wang hasil titik peluhnya menangkap ikan, malah nelayan berusia 75 tahun itu turut dibelasah penjenayah yang tidak berhati perut itu.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu dipercayai berlaku ketika Awi Che Min, sedang tidur di rumahnya dekat sini, sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali, salah seorang daripadanya memakai topeng.

Menurut mangsa, ketika sedang tidur, dia tiba-tiba dikejutkan oleh suspek yang meminta wang daripadanya selain turut mengacu senjata tajam ke arahnya.

Awi berkata, sebaik bingkas dari tidur, suspek sekali lagi mendesaknya menyerahkan wang sebelum mengikat tangannya dengan kain.

Warga emas itu menceritakan, tidak cukup mengikat tangan, suspek bertindak lebih ganas dengan menumbuk muka mangsa selain mengelar kepalanya dengan senjata tajam.

“Pak cik tak terdaya hendak melawan, jadi pak cik kata kalau nak duit ambillah.

“Selepas menyelongkar bawah tilam, dia berjaya menemui dompet lalu mengambil wang RM250,” kata Awi yang masih trauma dengan kejadian itu.

Menurut Awi, selepas berjaya mendapat habuan dihajati, dua penyamun berkenaan melarikan diri.

Dalam keadaan lemah, Awi kemudiannya berusaha untuk melepaskan ikatan kain pada tangannya sebelum keluar rumah untuk meminta pertolongan daripada seorang jiran.

Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 8.20 pagi semalam.

Mangsa yang tinggal seorang diri itu turut mengalami luka sepanjang kira-kira lima sentimeter pada bahagian kepala dipercayai kesan kelar senjata milik penjenayah terbabit, selain cedera pada bahagian mulut serta telinga kanan.

Dia mendapatkan rawatan di unit pesakit luar Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan laporan berkenaan dan pihaknya kini sedang giat memburu suspek./sinarharian

Selasa, 16 Oktober 2012

Isteri maut dicekik suami

SHAH ALAM: Seorang eksekutif teknologi maklumat maut dipercayai dicekik suami dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Jelutong, Sabtu lalu.

Sebelum itu, mangsa berumur 39 tahun dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh suaminya selepas tidak sedarkan diri, kira-kira jam 1 petang.

Pihak hospital kemudiannya mengesahkan wanita itu meninggal dunia dan satu laporan polis berhubung kematian tersebut dibuat oleh suami mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam laporan tersebut, lelaki itu mendakwa isterinya pengsan dan jatuh di dalam bilik air.

“Bagaimanapun, laporan bedah siasat yang diterima mengatakan terdapat kesan kekerasan pada leher mangsa yang menjadi punca kematiannya.

“Berdasarkan bukti itu, kita menahan suami mangsa semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam./sinarharian

Jumaat, 12 Oktober 2012

2 ditahan rogol kanak-kanak 6, 10 tahun

LEDANG: Tidak sedar diri, tepat buat seorang warga emas berusia 66 tahun apabila tergamak menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai pemuas nafsu serakahnya, sejak kira-kira enam bulan lalu.

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas adik mangsa melihat mangsa ditindih suspek dengan kedua-duanya berbogel, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu, di belakang kedai makan dan minuman di Jalan Panggung Lama, Tangkak.

Menurutnya, suspek adalah pelanggan tetap kedai milik bapa mangsa dan kenalan bapanya sejak sekian lama.

“Suspek ditangkap jam enam petang, hari sama dan direman sehingga Ahad ini.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Dalam kes berlainan pada hari sama, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirogol sepupunya berumur 24 tahun dalam kebun getah belakang rumah mangsa di Kampung Anjung Batu, Tangkak.

Harun berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, kanak-kanak berkenaan sedang tidur atas sofa di beranda rumah, dan suspek yang kebetulan lalu di situ terangsang apabila melihat pakaian mangsa tersingkap.

“Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan suspek mendukungnya ke kebun getah lalu merogolnya,” katanya.

Jelasnya, ekoran itu pihaknya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kampung yang sama kira-kira jam 4.50 petang dan ditahan direman sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan./sinarharian

Pembunuh kekasih isteri rakyat Malaysia dakwa 'dirasuk syaitan' ketika kejadian

MELBOURNE: Seorang lelaki Indonesia yang membunuh kekasih isterinya dengan kejam, mendakwa 'dirasuk syaitan' ketika kejadian.

Hazairin Iskandar, yang didapati bersalah membunuh rakyat Malaysia Mohd Shah Saemin, memberitahu Mahkamah Agung New South Wales hari ini bahawa dia sedar telah melakukan 'satu dosa yang tidak terampun dalam Islam', lapor Australian Associated Press (AAP).

Hazairin turut memohon kemaafan daripada keluarga mangsa yang berasal dari Melaka, pada pendengaran hukuman di depan Hakim David Davies hari ini.

Mohd Shah, 43, seorang pemandu di Konsulat Malaysia, meninggal dunia selepas diserang Hazairin dan anak lelaki tertuduh, Andrew di luar pangsapuri mangsa di Leichhardt, Sydney pada malam 21 Feb 2010.

Andrew telah dihukum penjara 18 tahun kerana pembabitannya dalam pembunuhan itu.

Hazairin juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia memaksa anaknya membunuh Mohd Shah.

Peguam James Trevallion kemudian menyoal sama ada Hazairin berbohong untuk menyelamatkan anaknya, yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Hazairin berkata Andrew, yang gemar bersendirian serta tidak mempunyai rakan, marah kerana melibatkan anaknya itu dalam jenayah tersebut.

"Saya mencium kakinya dan memohon ampun kepadanya," katanya.

Pada perbicaraan kes itu, mahkamah mendengar keterangan bahawa Hazairin menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali pada bahagian atas badan dengan sebilah pisau manakala anaknya membelasah mangsa berulang kali dengan tukul.

Dua beranak itu menyerang Mohd Shah selepas mengetahui isteri Hazairin iaitu Nita Iskander mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Pendengaran hukuman bersambung esok./Bernama

Khamis, 11 Oktober 2012

Mayat bayi lelaki ditemui di masjid

Seorang ahli kariah Masjid Ar-Rahman, Alor Merah di Alor Setar tidak menyangka beg plastik yang ditemui di hadapan tandas wanita masjid itu malam tadi mengandungi mayat bayi lelaki.

Ishak Chin, 54, berkata dia menyangkakan beg plastik itu berisi sampah namun sangkaannya meleset.

"Selepas menunaikan solat Isyak kira-kira pukul 8.45 malam tadi, saya pergi menutup pintu pagar di tepi masjid dan saya ternampak plastik tersebut.

“Pada awalnya saya sangkakan beg berwarna coklat gelap itu berisi sampah dan ingin membuangnya sebelum pulang. Namun setelah mengangkatnya terasa isi kandungannya berat.

"Apabila dibelek terdapat satu bungkusan kain putih dan kemudian saya menyelak kain dan terperanjat apabila ternampak muka bayi,” katanya.

Ishak berkata dia telah memaklumkan kepada imam masjid serta ahli kariah lain dan kemudian laporan dibuat di Pondok Polis Alor Merah.

Katanya bayi itu cukup sifat dan masih bertali pusat, berkulit sawo matang, mungkin berbangsa Melayu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata mayat bayi berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

“Buat masa sekarang tiada suspek ditahan berhubung kes berkenaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya./Bernama

Bunuh kekasih, hukum gantung graduan kekal

Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang graduan ekonomi kerana membunuh bekas kekasihnya, Norzi Ayu Mohd Noor, lapan tahun lepas.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan terakhir Irawadi Mohammad supaya hukuman mati dan sabitannya dibatalkan.

Panel tersebut turut disertai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.

Mahkamah menolak permohonan Irawadi atas alasan bahawa tiada wujud salah laksana keadilan terhadap keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Pada 11 November 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Irawadi, 30, graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas didapati bersalah membunuh Norzi Ayu.

Irawadi dari Pasir Mas, Kelantan didapati melakukan pembunuhan tersebut di No. 2-1-6, Blok ST2, Apartmen Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat sini, antara 3.30 petang dan 5 petang, 26 Julai 2004.

Irawadi diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache./Bernama

Sabtu, 6 Oktober 2012

Ada pelajar bergelar ibu ayam

KULIM: Permasalahan remaja, terutama dalam kalangan pelajar perempuan berusia 14 hingga 17 tahun semakin membimbangkan kerana ada dalam kalangan mereka sudah bergelar ibu ayam.

Sinar Harian sempat menemu bual seorang pelajar berusia 17 tahun yang masih bersekolah dan dia hanya mahu dikenali sebagai Jaja.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah dirogol ahli keluarganya, bagaimanapun perkara itu dirahsiakan kerana tidak mahu dimarahi ibunya.

Perlakuan sumbang mahram itu berterusan sehingga dia sendiri berasa seronok dan sering bertukar pasangan melakukan hubungan seks dengan sesiapa sahaja.

Ketika berusia 16 tahun, hubungannya dengan mat rempit semakin luas kerana sering menunggang motosikal bersama mereka.

Ini membuatkan dia semakin ghairah untuk mendapatkan wang, malah setiap pelajar yang berhadapan dengan masalah kewangan akan berjumpa dengannya dan meminta supaya dicarikan pelanggan untuk dilayan.

"Selalunya saya akan mengenakan bayaran RM150 hingga RM200 kepada mana-mana mat rempit yang ingin melakukan hubungan seks dengan mereka.

"Dari jumlah itu saya hanya mengambil RM50 sahaja. Kebanyakan mereka terlibat dalam kegiatan ini terdiri daripada remaja miskin, berpelesiran dan lari dari rumah," katanya.

Jaja berkata, remaja bawah umur bukan sahaja ditiduri mat rempit, malah ada dalam kalangan mereka yang lebih dewasa juga ingin meniduri mereka.

Katanya, setiap remaja perempuan yang ingin melakukan kerja itu mesti pernah melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya dengan teman lelaki mereka.

"Ini kerana kebanyakan lelaki tidak mahu melakukan hubungan seks dengan remaja yang masih dara kerana bimbang akan timbul sebarang masalah," katanya.

Bagi mat rempit, pelajar yang pernah melakukan hubungan seks mudah dipujuk kerana apa yang dilakukan dibayar berbanding melakukan hubungan seks dengan kekasih dilakukan secara percuma.

Menurutnya, terdapat beberapa cara memastikan remaja perempuan tidak mengandung antaranya memakan ubat, memakai kondom dan sebagainya.

Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan mereka yang hamil, dia mendapatkan nasihat seorang teman untuk membeli ubat RM400 untuk menggugurkan kandungan.

Bagi remaja perempuan yang tidak ada modal untuk menggugurkan kandungan, mereka terpaksa tinggal bersama teman lain sehingga bersalin dan bayi itu akan dijual dengan harga RM5,000 hingga RM10,000, termasuk wang rawatan sebelum dan selepas bersalin.

"Sekarang ada beberapa pelajar hamil dan masih bersekolah. Ada antaranya berusia 14 tahun. Perut mereka lambat membesar kerana badan mereka kecil.

Jaja berkata, ketika kandungan berusia lima bulan, pasangan yang ingin membeli bayi itu harus membawa pelajar terbabit untuk membuat pemeriksaan bagi mengesahkan jantina bayi dalam kandungan.

"Sekiranya bersetuju, pasangan itu akan membawa remaja itu tinggal bersama mereka sehingga bersalin. Kerana itu ada dalam kalangan mereka yang lari dari rumah dan balik ke pangkuan keluarga setelah hampir setahun melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, perlakuan memperdagangkan manusia satu kesalahan jenayah serius yang boleh dihukum penjara.

Menurutnya, sehingga kini perlakuan seks yang dilakukan terhadap mana-mana remaja perempuan bawah umur akan diklasifikasikan sebagai rogol.

Mereka yang melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan.

"Permasalahan remaja hari ini sememangnya membimbangkan. Kebanyakan dari mereka terlalu terpengaruh dengan janji kekasih.

"Apabila ini berlaku, remaja perempuan khususnya sanggup meninggalkan keluarga walaupun baru berusia 14 tahun," katanya./sinarharian

Bayi hampir reput dalam kolam

Bayi hampir reput dalam kolam
Anggota polis forensik melakukan pemeriksaan ke atas mayat bayi ditemui di kolam tadahan Puncak Jalil, semalam.
SERI KEMBANGAN: Penduduk Taman Puncak Jalil di sini gempar dengan penemuan mayat bayi hampir reput terapung di sebuah kolam tadahan berdekatan perumahan itu, petang semalam.

Difahamkan, bayi lelaki itu masih bertali pusat ditemui orang awam yang kebetulan berjoging berdekatan kawasan kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, bayi itu ditemui dalam balutan sehelai baju T berwarna merah kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, orang awam yang menemui bayi itu terus menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Menurutnya, bayi berkenaan dipercayai sudah berada dalam takungan air itu antara empat hingga ke lima hari berdasarkan keadaannya yang hampir reput dan sudah berulat.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan untuk memastikan sama ada bayi berkenaan dicampak ke kolam tadahan itu ketika masih hidup atau sebaliknya.

“Bayi cukup sifat dipercayai dibuang selepas dilahirkan itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Abd Razak memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi IPD Serdang di talian 03-80620485 untuk membantu siasatan./sinarharian

Jumaat, 5 Oktober 2012

Suami isteri didakwa sebab amah cedera parah

Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bharu hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan memperdagang pembantu rumah mereka, antara Julai dan September lepas.

Mohd Shukur Suradi, 28, dan isterinya Daeng Norulasyikin Bachok, 27, didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 21, yang memiliki pasport bernombor A 1889641 dengan menggunakan pisau, kayu golf, penyangkut baju, tali pinggang, air panas, minyak panas, senduk panas serta sudu panas.

Mohd Shukur yang merupakan penjual kereta manakala Daeng Norulasyikin, guru di sebuah sekolah rendah didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D Utama, Perling, di Johor Bahru antara Julai dan 23
September lepas.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kesalahan memperdagang Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara memaksa bekerja sebagai pembantu rumah itu pula didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 12 tengah hari, di alamat yang sama, 23 September lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamri Bakar membenarkan pasangan suami isteri yang memiliki seorang anak berumur sembilan bulan itu diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan itu, namun, penjamin masing-masing hendaklah orang yang berlainan.

Mahkamah turut memutuskan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Shyue Chien, Jasmee Hameeza Jaafar dan Norashikin Ibrahim manakala peguam Noordin Hussin mewakili Mohd Shukur dan peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Daeng Norulasyikin./Bernama

Kasanova terlibat kes rogol, kikis duit wanita ditangkap

Di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur inilah seorang kasanova dari Kelantan ditangkap kelmarin.KUALA LUMPUR: Seorang kasanova memperalatkan rupa paras dan kata-kata manis dimilikinya bagi memperdaya wanita untuk membolehkannya menampung kehidupan sebagai penganggur selama berbulan-bulan.


Lebih malang mangsa-mangsa yang tergoda dengan penampilan fizikal lelaki berusia 32 tahun itu sanggup melakukan hubungan seks dengan suspek.


Aksi ranjang antara mangsa dan suspek itu pula dirakam menggunakan telefon bimbit lelaki itu.


Suspek kemudian turut menjadikan rakaman itu sebagai alat memeras ugut setiap mangsa bagi mendapat duit dengan cara mudah.


Bagaimanapun, tembelang kasanova dari Ketereh, Kelantan itu terbongkar apabila seorang model berusia 31 tahun membuat laporan polis pada 29 September lalu mendakwa dia dirogol dan ditipu suspek./kosmo

Rabu, 3 Oktober 2012

Bunuh: Kes 4 pelajar ke Mahkamah Tinggi

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini memindahkan perbicaraan kes empat pelajar kolej swasta yang didakwa membunuh seorang pensyarah wanita dan bapanya, ke Mahkamah Tinggi.


Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah.


Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, Mohamad Sharafe Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, didakwa membunuh Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara 1.30 pagi dan 2.30 pagi pada 9 Mac lepas.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.


Mohamad Zul Shahril diwakili peguam Raihana Halmi manakala peguam Aminuddin Mohd Ramli dan Shah Rizal Abdul Manan mewakili Mohamad Sharafe dan Muhamad Safwan. Azizi Aizat pula tidak diwakili peguam./Bernama

Bunuh ahli perniagaan: Empat lagi ditahan

SHAH ALAM: Pihak polis menahan empat lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang ahli perniagaan yang ditemui mati dalam keadaan terbaring di sisi sebuah kereta mewah di tepi jalan di Batu 5 1/2, Bangi pada 9 September lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 22 tahun dan berasal dari Johor ditahan di beberapa lokasi berasingan Khamis lepas.


Keempat-empat suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor di sini hari ini.


Pada 9 September lepas, Wong Sing Keong, 42, dari Batu 9, Cheras ditemui mati dengan kesan lebam di muka dan mata sebelah kanan, serta terdapat kesan hentakan pada kepala oleh orang awam.


Sebelum ini, sepasang suami isteri ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan itu dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun isterinya telah dibebaskan dengan ikat jamin polis, kata Mohd. Adnan./Bernama

Selasa, 2 Oktober 2012

Gadis culik diri sendiri untuk perdaya ibunya

SHAH ALAM: Seorang wanita yang cuba memperdaya ibunya bahawa dia diculik, dan meminta tebusan RM10,000, ditahan bersama teman lelakinya di sebuah bilik hotel di Taman Tema Genting Highlands, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, polis menahan wanita berumur 20 tahun itu, yang bekerja sebagai jurujual sambilan dan teman lelakinya, seorang penganggur berumur 18 tahun, pukul 11.30 malam.

Kedua-duanya ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Polis bertindak setelah menerima laporan daripada sepupu wanita itu pada pukul 4.32 petang hari yang sama, yang melaporkan ibu saudaranya, iaitu ibu mangsa, mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa menculik anak perempuannya dan meminta wang tebusan RM10,000 yang perlu dimasukkan ke dalam akaun anak perempuannya itu.

"Kedua-dua suspek dipercayai merancang untuk mendapatkan wang dari keluarga mangsa dan menjadikan mangsa sebagai tebusan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, wang tebusan belum lagi diserahkan kepada penculik tersebut./Bernama

Remaja trauma dicabul dalam kereta api

TAMPIN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun berhadapan detik memalukan apabila dirinya menjadi mangsa cabul seorang lelaki berusia 40-an di dalam gerabak kereta api yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kluang, Johor dan ketika itu sedang nyenyak tidur.


Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika kejadian, remaja perempuan berkenaan terasa tubuhnya diraba seseorang dan sebaik membuka matanya, dia ternampak seorang lelaki sedang berdiri di sebelah tempat duduknya.


“Mangsa yang ketakutan bergegas menyelamatkan diri dan memaklumkan insiden berkenaan kepada kakitangan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menangkap lelaki yang bertindak biadap terhadapnya.


“Akhirnya setibanya di Stesen Kereta Api Gemas, kakitangan KTMB menyerahkan suspek yang beralamat di Kuala Lumpur ke Balai Polis Gemas untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.


Sementara itu, Kooi Cheang berkata, suspek telah ditahan reman dan akan dibacakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Rembau besok (hari ini) susulan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.


“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya./sinarharian

DJ nyaris jadi mangsa culik, bunuh, bakar

 DJ nyaris jadi mangsa culik, bunuh, bakar
Julie Diana menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
JOHOR BAHRU: Seorang penyampai (DJ) di stesen radio Best 104 di sini nyaris menjadi mangsa culik, bunuh dan bakar selepas dilarikan lebih sepuluh lelaki tidak dikenali dalam kejadian jam 1 pagi, Sabtu lalu.

Menceritakan detik-detik cemas dilaluinya, Julie Diana Omar Shariff, 34, berkata, selepas tamat bekerja pada hari itu, dia terus memandu kereta menuju ke rumah ibunya di Kampung Sungai Danga, di sini.

“Saya memandu seperti biasa di Lebuhraya Persisir Pantai dan terkejut apabila tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna merah terus menuju ke depan menghalang Proton Neo yang saya naiki.

“Seorang lelaki keluar daripada kereta tersebut, sebelum kereta saya dihimpit pula di sebelah tepi oleh sebuah Kereta Wira yang juga datang secara tiba-tiba,” katanya membuka cerita.

Menurut Julie Diana, segala-galanya berlaku begitu pantas sehingga dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Salah seorang daripada lelaki tersebut membuka pintu kereta lalu mengacukan pisau Rambo ke leher saya. Dia menarik saya keluar dan memaksa menaiki keretanya.

“Sebaik sahaja saya masuk, muka saya segera diserkup dengan kain dan tangan pula diikat,” katanya kepada wartawan sewaktu ditemui di rumah keluarganya, di sini.

Diculik kerana cinta tak berbalas

Julie Diana berkata, apabila bertanya mengapa dia diperlakukan sebegitu rupa, salah seorang daripada penjenayah itu memberitahu mereka datang dari jauh selepas diarahkan seseorang untuk menculik kemudian membunuh dan membakarnya kerana cinta tidak berbalas.

“Kepala saya ligat memikirkan siapa yang dimaksudkan kerana saya memang tak ada langsung masalah percintaan, sekadar ramai peminat. Itupun kerana tugas saya sebagai penyampai radio,” katanya yang menganggarkan ada dua atau tiga lelaki turut sama berada dalam kenderaan berkenaan.

Tambah Julie Diana, menerusi walkie-talkie yang digunakan penjenayah tersebut, dia terdengar rancangan mereka untuk membawanya ke sebuah gudang di Batu Pahat untuk dibunuh.

“Berderau darah saya mendengarnya. Apatah lagi untuk membuktikan tindakan mereka serius, ibu jari dan leher saya dihiris dengan pisau Rambo sehingga luka sebagai tanda amaran,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa ketika, mereka berhenti di satu tempat.

“Kebetulan kain yang menutupi muka saya tersingkap sedikit, dan dari situ saya dapat lihat kami berada di kawasan tanah perkuburan Cina. Ada ramai lelaki di situ dengan bunyi kenderaan yang banyak. Saya rasa mungkin lebih daripada sepuluh lelaki. Salah seorang daripada mereka kemudiannya meminta saya menyerahkan wang, barang kemas dan kad ATM bersama nombor pin,” katanya yang terus menyerahkan apa yang diminta tanpa banyak soal.

Penjenayah bagi duit RM51 untuk isi minyak

Julie Diana berkata, menyedari kawasan itu dilalui banyak kenderaan, mereka kemudian berbincang dan mengubah rancangan.

“Saya kemudian disuruh menaiki kereta saya sendiri bersama empat lelaki lain dan dibawa ke sebuah kawasan ladang berhampiran Bukit Batu, Kulaijaya. Dalam hati ketika itu, hanya ALLAH yang tahu betapa takutnya saya kerana merasakan waktu kematian hampir tiba,” ceritanya dengan tenang.

Bagaimanapun Julie Diana bernasib baik apabila sampai di lokasi dimaksudkan, keempat-empat penjenayah itu memberitahu yang mereka tidak sampai hati pula untuk membunuhnya.

“Mereka buka ikatan tangan saya, tetapi masih membiarkan muka tertutup. Mereka beritahu saya, ‘Kak, bila kami tinggalkan akak kat sini, akak tolong larikan diri, ya’,

“Mereka beri saya duit sebanyak RM51 untuk isi petrol minyak, lesen memandu dan sebotol air mineral dan terus larikan diri dengan menaiki sebuah kereta lain yang mengekori dari belakang,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja penjenayah itu berlalu, tanpa berfikir panjang dia membuka kain yang menutup wajahnya dan terus memandu laju sehingga bertemu seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bukit Batu, Kulaijaya untuk meminta pertolongan.

Julie Diana berkata, dia menceritakan apa yang telah terjadi kepada pengawal keselamatan itu dan memintanya menghubungi nombor telefon pejabat.

“Saya dah tak ingat apa-apa, yang muncul di fikiran hanya nombor pejabat. Saya minta pengawal keselamatan itu hubungi rakan sekerja supaya mereka dapat maklumkan kepada keluarga,” katanya.

Pengalaman mencemaskan selama empat jam itu benar-benar memberi banyak pengajaran kepada Julie Diana.

“Saya sangat bersyukur kepada ALLAH SWT kerana tidak diapa-apakan,” katanya.

Menurutnya, dia menganggarkan kerugian yang dialami mencecah RM20,000.

Julie Diana kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Bemban, Kulaijaya dan Balai Polis Taman Impian Emas pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai suspek jam 4 petang semalam.

“Kami kini sedang memburu tiga hingga lima lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian

Isnin, 1 Oktober 2012

Guru besar cabul murid

TELUK INTAN: Polis sedang menunggu 'lampu hijau' daripada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk pendakwaan terhadap seorang guru besar yang didakwa mencabul dua murid sekolahnya pada 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisoner Goh Kok Liang berkata, pihaknya sudah selesai menyediakan kertas siasatan berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek sebelum ini dan kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

“Kami masih belum mendapat tarikh pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Sebelum ini, seorang guru besar di salah sebuah sekolah rendah di bandar ini, didakwa melakukan perbuatan mencabul dua murid sekolahnya.

Namun begitu, perbuatan tidak moral yang dilakukan terhadap dua murid perempuan berusia 11 tahun itu menjerat dirinya sendiri apabila satu laporan polis telah dibuat pada 24 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang, suspek berusia 52 tahun itu menumpangkan kedua-dua mangsa untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, suspek tidak menghantar terus kedua-dua muridnya pulang sebaliknya membawa mereka ke rumahnya di Pekan Baru, dekat sini.

Semasa di rumah suspek, kedua-dua mangsa telah dipeluk dan dicium oleh suspek sebelum mangsa menjerit dan mendesak supaya dihantar pulang ke rumah," katanya.

Menurut Kok Liang, satu laporan polis dibuat oleh penjaga murid tersebut pada 24 September lalu dan berdasarkan maklumat itu, pihaknya telah menahan guru besar terbabit untuk membantu siasatan.

Setelah selesai soal siasat dilakukan, suspek dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama 10 tahun atau denda dan sebat./sinarharian