Selasa, 31 Julai 2012

Pegawai polis hadapi 6 tuduhan di tiga mahkamah

Seorang anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berbeza, di Seremban atas enam tuduhan memukul, mengugut dan memecah cermin kereta dalam kejadian berasingan pada 17 Julai lalu.

Tertuduh, Insp Mohd Azuan Yasin, 32, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, Haslina Basarudin dan S.Megaswary.

Di hadapan Mohamad Izwan dan Haslina, Mohd Azuan dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan masing-masing terhadap Mohamaed Nadzeem Zainal Larifin, 25, dan Koh Wen Gio, 32, dengan menggunakan objek keras berwarna hitam menyerupai senjata pistol kira-kira pukul 2.50 pagi di lobi Hotel S2 di Seremban pada 17 Julai lepas.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda dan sebatan, mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Mohd Azuan turut dituduh di hadapan kedua-dua majistret itu melakukan kesalahan dengan menakutkan secara jenayah ke atas kedua-dua mangsa dengan cara menggunakan senjata menyerupai pistol berwarna hitam di lokasi, masa dan tarikh yang sama yang mana sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Satu lagi tuduhan di hadapan Mohamad Izwan, tertuduh didakwa memecah cemin pintu hadapan kereta nombor pendaftaran MBB 1531 milik Tan Chee Luan, 25, yang menyebabkan kerugian RM150 dalam satu kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi di sebuah kedai kopitiam di Temiang di Seremban pada tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di hadapan Majistret S.Megaswary, tertuduh dituduh memecah pintu kereta belakang sebelah kiri, nombor pendaftaran NBV 8822 milik Tan Chee Hold, 32, yang menyebabkan kerugian RM180 dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi di kedai kopitiam dekat Temiang di Seremban pada tarikh sama dan didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,500 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan kesemua kesnya akan disebut semula pada 13 September depan.

Bagi semua kes, tertuduh diwakli peguam bela Hanif Hassan manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Dalam pada itu, Mohamad Izwan dan Haslina turut mengarahkan agar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar luas di dalam laman sesawang www.youtube.com bertajuk "Polis Memukul Pekerja Hotel di Seremban" berdurasi selama 3 minit 41 saat dikeluar serta merta dari laman berkenaan dan melarang sebarang penyebaran rakaman itu dalam apa jua bentuk saluran bagi mengelak prejudis kepada tertuduh yang minta dibicara./Bernama

Ketua polis Selangor sahkan Syaleza mati dijerut

Ketua Polis Selangor mengesahkan punca kematian eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9, yang mayatnya ditemui di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai pada Sabtu, adalah akibat lehernya dijerut.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata laporan bedah siasat ke atas mayat Syaleza Jaffar, 31, di Hospital Sungai Buloh menunjukkan mangsa mati akibat tidak boleh bernafas dan terdapat kesan jerutan di sekeliling leher mangsa.

"Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan anggota keluarga terdekat mangsa di Segamat, Johor pada kira-kira 10.15 malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek akan direman petang ini.

Tun Hisan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Mayat Syaleza ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya, Norazman Bashah pada kira-kira 7 malam.

suaminya mendakwa terdengar dentuman dalam bilik tidur rumah itu dan ternampak mangsa tergantung tidak bernyawa di kipas bilik itu sebelum membawa turun mayat isterinya.

Polis kemudian ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh suami mangsa dan Syaleza disahkan meninggal dunia ketika ditemui polis.

Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun./Bernama

Ahad, 29 Julai 2012

Bongkar rahsia gadis lahir bayi sendirian

KUALA TERENGGANU: Tanpa pengetahuan keluarga, seorang gadis berusia 22 tahun melahirkan bayi lelaki hasil hubungan luar nikahnya seorang diri di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Pandan, Wakaf Tapai, Marang kelmarin.

Bagaimanapun, rahsia keterlanjuran gadis itu terbongkar apabila adik lelaki bongsunya ternampak banyak darah mengalir dari lantai bilik kakaknya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibunya kira-kira jam 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketika kejadian, gadis berkenaan dilaporkan berada seorang diri dalam bilik manakala ibu dan ahli keluarga lain duduk di ruang tamu.

“Setelah dimaklumkan anak bongsu, ibunya ke bilik gadis tersebut dan mendapati dia sudah melahirkan seorang bayi lelaki.

“Ibunya yang berusia 49 tahun kemudian menghubungi pihak polis sebelum gadis itu dan bayinya dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya, di sini semalam.

Bagaimanapun kata Manoharan, bayi malang yang cukup sifat itu dilaporkan meninggal dunia.

“Berdasarkan siasatan awal, ibunya memaklumkan tidak mengetahui anak gadisnya yang tidak bekerja itu hamil dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya./sinarharian

Warga Nepal maut ditusuk hos mesin angin

SEREMBAN: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut akibat kecederaan parah di bahagian usus selepas duburya ditusuk dengan hos mesin angin dalam satu pergaduhan di sebuah kilang di Jalan Seremban-Jelebu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi hari ini berkata, dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi itu, mangsa Sanjaya Yadav, 25, dipercayai bergaduh dengan seorang rakan senegaranya yang bekerja di kilang sama.

Katanya, dalam pergelutan itu suspek berusia 33 tahun bertindak mengambil hos mesin angin dan terus menusuk ke dalam dubur mangsa.

"Akibatnya mangsa menjerit kesakitan sebelum kemudiannya pengsan dan suspek yang panik dengan keadaan itu telah memaklumkan kepada penyelia kilang berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, penyelia kilang tersebut kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian usus akibat tekanan angin dari mesin tersebut," katanya.

Saiful Azly berkata polis telah menahan rakan mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan./Bernama

Jumaat, 27 Julai 2012

Dua beradik tiri didakwa bunuh ibu tiri

KLANG: Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu tiri mereka dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.

Pelajar terbabit dan kakak tirinya yang berumur 29 tahun didakwa membunuh wanita berumur 72 tahun itu, yang juga seorang guru agama, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar di sini kira-kira 5.30 petang 14 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dua beradik yang memakai pakaian reman berwarna ungu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, pelajar perempuan itu dilihat mengalirkan air mata sementara kakak tirinya yang bekerja di sebuah kelab malam kelihatan tenang.

Majistret Ho Kwong Chin menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin sementara kedua-dua beradik itu diwakili peguam Gerard Lazarus.

Difahamkan sebelum ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, tiga hari selepas mangsa dikebumikan, beberapa anggota keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan barang kemas mangsa.

Ekoran laporan itu, membawa kepada penggalian semula kubur mangsa dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas./Bernama

Khamis, 26 Julai 2012

Pekerja kilang dirogol bapa kandung sendiri

REMBAU: Haruan makan anak. Itu yang mampu disimpulkan apabila seorang bapa kandung tergamak merogol anaknya sendiri yang ketika itu sedang menanggung sakit kaki bengkak susulan kemalangan.

Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, 22 Julai lalu, mangsa yang berusia 25 tahun berhadapan dengan detik hitam dalam hidupnya apabila bapanya berusia 57 tahun tergamak merogolnya.

Menurut sumber, suspek sebenarnya jarang pulang ke rumahnya di daerah ini, berikutan sudah berkahwin lain dan menetap di Teluk Intan, Perak.

Bagaimanapun, kira-kira seminggu sebelum kejadian iaitu sejak Isnin, suspek menetap bersama-sama mangsa.

“Ketika kejadian ibu dan adik lelaki mangsa turut berada di dalam rumah. Bagaimanapun, berikutan hari sudah lewat malam, kesemuanya dipercayai sudah tidur dan tidak menyedari apa yang berlaku kepada mangsa.

“Dipercayai, mangsa ketika itu berada di dalam biliknya dan sedang mengurut kaki yang bengkak susulan terbabit dalam kemalangan. Secara tiba-tiba, ayahnya datang dari arah belakang dan merogolnya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang juga pekerja kilang tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu dan membuat laporan terlebih dahulu bersama ibu saudaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau kira-kira 7 petang.

Menurutnya, selepas laporan dibuat, ibu mangsa baru dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, sementara ayah mangsa pula bertindak pulang ke Perak sekitar jam 7 pagi hari sama laporan polis dibuat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes itu masih dalam siasatan.

Menurutnya, suspek berjaya ditangkap sekitar jam 1 pagi tadi (semalam) di kediamannya di Teluk Intan, Perak dan direman selama enam hari.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun serta dikenakan sebatan./sinarharian

Rabu, 25 Julai 2012

Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja

SABAK BERNAM: Perubahan sikap seorang guru wanita yang menjadi pasif dan pendiam membongkar rahsia dia dirogol rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 14 April lalu, mangsa yang baru bangun dari tidur diterkam suspek berusia 37 tahun di ruang tamu rumahnya sebaik sahaja dia membuka pintu.

"Suspek seorang guru sekolah rendah bertindak menerkam dan merogol mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.

"Bagaimanapun tiada ugutan yang dibuat dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Noor Mushar, disebabkan kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun itu trauma dan berubah sikap menjadi pasif serta pendiam yang kemudiaannya perubahan itu disedari oleh suami mangsa.

"Mangsa yang pada mulanya takut menceritakan tragedi itu akhir terpaksa mengakui menjadi mangsa rogol selepas didesak berkali-kali oleh suaminya.

"Mangsa ditemani suami kemudiaannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu," katanya,

Berdasarkan laporan yang diterima, polis bertindak menahan suspek yang sudah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata itu di kediamannya di sekitar Sungai Besar kira-kira jam 10 malam, pada hari sama laporan dibuat.

"Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Sementara itu, katanya, orang ramai diminta segera membuat laporan dan tidak mendiamkan diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.

"Laporan itu penting bagi memudahkan siasatan dijalankan dan membolehkan tindakan segera diambil ke atas penjenayah," katanya./sinarharian

Selasa, 24 Julai 2012

Dua pekerja Hotel dituduh mencabul seorang wanita

Sakari (kiri) dan Mohd. Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan mencabul.
KOTA BHARU: Dua pekerja Hotel Grand Riverview di sini semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bersama-sama mencabul seorang wanita berusia 46 tahun di tangga hotel berkenaan pada Isnin minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Sakari Mohamad, 54, berasal dari Kuala Terengganu dan Mohd. Ridzuan Mahmood Maidin, 36, dari Pasir Puteh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel bertaraf empat bintang itu didakwa bersama-sama menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 46 tahun yang merupakan pengunjung hotel untuk mencabul mangsa di atas tangga di tingkat 11 hotel pada pukul 11.40 pagi, 16 Julai lalu.

Difahamkan, wanita dari Pasir Mas itu yang merupakan seorang ahli perniagaan mengunjungi hotel tersebut untuk menemui seorang rakan bagi berbincang mengenai perniagaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nora Abu Bakar.

Noor Dayana menawarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 namun Nora merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh mempunyai pendapatan yang rendah.

"Sakari mempunyai lima orang anak dan berpendapatan sebanyak RM500 sebulan manakala Mohd. Ridzuan hanya mempunyai pendapatan RM400 sebulan. Masing-masing sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang masih kecil.

"Sakari sudah bekerja selama 16 tahun di hotel berkenaan manakala Mohd. Ridzuan telah bekerja selama 12 tahun di situ," katanya.

Mohd. Fazaly Ali bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh.

Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes. Kedua-dua suspek gagal membayar wang ikat jamin./kosmo

Rogol: Warga Bangladesh dipenjara 13 tahun

PETALING JAYA: Seorang pencuci kereta warga Bangladesh dipenjara 13 tahun dan dihukum lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana merogol seorang pelajar perempuan lembam.

Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mamun, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes ini.

Yasmin memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia di tangkap iaitu pada 16 Februari 2011.

Tertuduh didakwa merogol pelajar tingkatan satu yang berusia 12 tahun sembilan bulan itu di dalam sebuah kedai kosong, Jalan PUJ, 3/12, Taman Puncak Jalil, Selangor, 14 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan./Bernama

Isnin, 23 Julai 2012

Mayat lelaki ditembak di kepala ditemui

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di kepala di Jalan Anggerik, Sungai Buloh Country Resort, Saujana Utama di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di tepi jalan itu pada pukul 7.30 pagi.

Beliau berkata, polis mengenal pasti lelaki itu sebagai Wong Teck Sern, 42, dengan kad pengenalannya beralamat Jalan Teng Kung Sui, Upper Lanang, Sibu Sarawak.

Mayat lelaki itu telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran./Bernama

Ahad, 22 Julai 2012

Bapa pukul anak sebelum bakar rumah sendiri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, memukul anak lelakinya berusia 15 tahun sebelum membakar rumahnya dua jam kemudian di Taman Serdang Utama, di sini, hari ini.

Bapa berusia 53 tahun itu, bagaimanapun, tidak melarikan diri malah berada di kawasan rumahnya yang hangus sebelum ditangkap polis yang tiba di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, DSP Lam Chien Fei berkata lelaki itu menyerang dan memukul anaknya pada kira-kira pukul 4 pagi sebelum isterinya membawa mangsa bersama tiga anak yang lain ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Semasa ketiadaan keluarganya, lelaki itu telah bertindak membakar rumahnya pada kira-kira pukul 6 pagi, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Lam berkata semasa ditangkap dan disoal siasat, lelaki itu mengaku telah membakar rumahnya dan pihak polis percaya dia mempunyai masalah mental.

Katanya lelaki itu kini ditahan reman sehingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api serta Seksyen 324 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan./Bernama

Jumaat, 20 Julai 2012

Dipenjara 12 tahun jerut leher pelacur guna selendang

SHAH ALAM: Seorang pelacur dan pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lagi pelacur yang dijerut di leher dengan selendangnya, empat tahun lepas.

Hakim Nurchaya Arshad memerintahkan V Mareiyama, 30, dan J Sanmugam, 31, menjalani hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh mereka ditangkap, iaitu Mareiyama pada 19 Julai 2008 dan Sanmugam pada 20 Julai 2008.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kematian L Kamala, 49, di rumah No: 41-3 Blok C, Jalan PJS 3/46, Taman Sri Manja, Petaling Jaya, kira-kira pukul 4 petang pada 16 Julai 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga didenda.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan kedua-dua tertuduh menukar pengakuan mereka kepada bersalah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian kedua-dua tertuduh telah pergi ke rumah Kamala bertujuan untuk menyamun mangsa di mana Mareiyama telah mengenali mangsa selama dua tahun semasa kedua-duanya bekerja sebagai pelacur di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Terdahulu, peguam Jagdish Kaur yang mewakili Mareiyama memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya terdorong melakukan perbuatan itu disebabkan tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

Beliau berkata tertuduh juga tidak berniat untuk menyebabkan kematian mangsa dan hanya mengetahui mangsa telah meninggal dunia selepas dimaklumkan oleh pihak polis.

"Anak guam saya memohon supaya diberi peluang untuk kembali kepada tiga anaknya yang kini ditempatkan di rumah anak yatim dan dia juga berasa amat sedih serta menyesal atas kematian rakannya itu," katanya.

Peguam V.Rajehgopal yang mewakili Sanmugam juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang turut mempunyai tiga orang anak telah menerima hukumannya apabila masyarakat menggelarkan anak-anaknya 'keluarga banduan' manakala bapa tertuduh digelar 'bapa banduan'.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu dan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama./Bernama

Jurujual didenda RM800 intai wanita buang air kecil

Gara-gara mengintai seorang wanita membuang air kecil dalam tandas, seorang jurujual didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Bobby Ng Hock Ann, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengintai wanita berusia 33 tahun itu dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita tersebut.

Dia yang tinggal di Taman Bukit Maluri, Kepong, didakwa melakukan kesalahan itu di tandas wanita, Aras LG, Kompleks Desa, Jalan Kepong, Kepong di ibunegara pada jam 11 pagi semalam.

Dia didakwa mengikut seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memanjat dinding di tandas bersebelahan tandas wanita itu dan kemudian mengintai dari atas semasa wanita itu membuang air kecil.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri memberitahu mahkamah bahawa kesalahan yang dilakukan Ng adalah serius.

"Saya mohon maaf atas kejadian itu. Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama kerana saya budak baik dan tidak ada rekod jenayah," katanya sambil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepadanya./Bernama