Sakari (kiri) dan Mohd. Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan mencabul.
KOTA BHARU: Dua pekerja Hotel Grand Riverview di sini semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bersama-sama mencabul seorang wanita berusia 46 tahun di tangga hotel berkenaan pada Isnin minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Sakari Mohamad, 54, berasal dari Kuala Terengganu dan Mohd. Ridzuan Mahmood Maidin, 36, dari Pasir Puteh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.
Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel bertaraf empat bintang itu didakwa bersama-sama menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 46 tahun yang merupakan pengunjung hotel untuk mencabul mangsa di atas tangga di tingkat 11 hotel pada pukul 11.40 pagi, 16 Julai lalu.
Difahamkan, wanita dari Pasir Mas itu yang merupakan seorang ahli perniagaan mengunjungi hotel tersebut untuk menemui seorang rakan bagi berbincang mengenai perniagaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nora Abu Bakar.
Noor Dayana menawarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 namun Nora merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh mempunyai pendapatan yang rendah.
"Sakari mempunyai lima orang anak dan berpendapatan sebanyak RM500 sebulan manakala Mohd. Ridzuan hanya mempunyai pendapatan RM400 sebulan. Masing-masing sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang masih kecil.
"Sakari sudah bekerja selama 16 tahun di hotel berkenaan manakala Mohd. Ridzuan telah bekerja selama 12 tahun di situ," katanya.
Mohd. Fazaly Ali bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes. Kedua-dua suspek gagal membayar wang ikat jamin./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan