Isnin, 29 November 2010

Mayat Dalam Almari: Tertuduh Berzina Dengan Kekasih Depan Almari

Teman wanita tertuduh, Nazratul Anis Zainal Abidin, 23, memberitahu, selepas masuk dan meletakkan beg pakaian di ruang tamu kemudian naik ke bilik utama untuk menggunakan tandas, Mohafri mengajaknya melakukan hubungan seks.
“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi tertuduh kata sekejap sahaja,” katanya yang mengenali tertuduh sebagai berstatus duda semasa mereka bekerja di Tropicana Medical Centre pada 2009.
Saksi pendakwaan kelima itu memberitahu ketika ditanya mengenai kedudukan almari pakaian, almari pakaian berada di sebelah kiri katil, tetapi pandangannya tidak jelas kerana tidak memakai cermin mata yang diletakkan di kabinet.
Tambah Nazratul Anis, tertuduh juga berkelakuan seolah-olah mahu menghalang pandangannya di bahagian kiri kerana sering berdiri di sebelah kiri dan juga menunggunya keluar daripada tandas.
Saksi menambah, dia tidak melihat perkara luar biasa ataupun mendengar bunyi orang mengerang semasa berada di rumah itu.
Terdahulu pelatih pengurusan berkenaan memberitahu, dia bertolak pada pukul 1 petang dan tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur (dekat sini) pada pukul 5 petang.
Katanya, tertuduh datang menjemputnya dan membawa dia ke sebuah rumah teres dua tingkat di Ampang.
Katanya lagi, selepas mengadakan hubungan seks dia mendengar bunyi loceng dan tertuduh telah mengarahkan saksi untuk mendiamkan diri manakala tertuduh ke menuju ke arah tingkap.
“Saya ada menyuruh tertuduh untuk membuka pintu kerana mungkin ada sesiapa di luar, mungkin ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tertuduh beritahu ada seorang perempuan memakai seragam polis di luar,” katanya.
Tertuduh semasa itu tidak mahu membuka pintu dan memberi alasan polis itu mencari pembantu rumahnya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.
Mengenai hubungan sulit mereka Nazratul Anis berkata, mereka telah merancang untuk ke sempadan Thailand bagi urusan pernikahan, pada hari kejadian pembunuhan berlaku.
Katanya, rancangan untuk bernikah di sempadan Thailand dibuat ekoran hubungan itu tidak direstui oleh bapanya dan tertuduh telah menguruskan segala urusan berkaitan pernikahan.
Sehubungan itu, azratul Anis telah menaiki bas daripada Parit Buntar, Perak untuk berjumpa dengan tertuduh sebelum mereka menaiki kereta api ke Perlis.
Selepas keluar dari rumah berkenaan, saksi yang bertubuh kecil molek itu seterusnya memberitahu, mereka dijemput oleh adik Mohafri yang dkenali sebagai Hanafi dengan kereta Proton Wira untuk ke perhentian Transit Aliran Ringan (LRT).
“Saya dan tertuduh menaiki teksi untuk ke KL Sentral kerana kereta api kami bertolak pada pukul 8.15 malam. Sepanjang perjalanan, saya nampak tertuduh sibuk bercakap di telefon bimbit.
“Pukul 9 malam, kereta api sampai di stesen Rawang, dekat sini. Saya dan tertuduh turun. Saya tanya tertuduh kenapa dan dia cakap dia terpaksa buat laporan polis tentang kehilangan Fazlina.
“Saya cakap, apa kaitan dia dengan Fazlina kerana mereka dah bercerai. Dia jawab, dia orang yang desak dia untuk buat laporan. Tapi saya tidak tahu siapa ‘dia orang’,” katanya yang ditinggalkan tertuduh dan diarahkan pulang semula ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Nazratul Anis menghubungi rakannya, Nur Ikhwan Abadi Andi Samsinar yang dipanggil Wan untuk menjemputnya di stesen kereta api Sungai Buloh, dekat sini.
“Wan bawa saya ke tempat kerjanya kerana dia masih belum habis waktu bekerja semantara saya menunggu di dalam kereta sehingga pukul 10.30 malam. Selepas itu, kami pergi ke rumah tertuduh.
“Masa sampai, kawasan itu telah dikepung oleh polis. Wan buat satu pusingan dan letak kereta di belakang. Wan suruh saya duduk tinggal di dalam kereta sambil dia pergi tanya orang.
“Wan beritahu saya ada kes suami bunuh isteri,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar.
Saksi menambah, dia membuat laporan polis selepas diminta oleh Wan memandangkan dia adalah individu terakhir bersama tertuduh. Di balai polis, dia dibawa ke sebuah bilik untuk diambil keterangan dan telefon bimbitnya dirampas.
Sementara itu, kakak mangsa, Faezah selaku saksi pendakwaan keenam menangis apabila dirujuk gambar adiknya dan memberitahu mula rapat dengan adik bongsunya sejak ahir tahun lalu.
“Fazlina ada memberitahu bahawa dia menghadapi masalah rumah tangga disebabkan orang ketiga dan mereka hendak bercerai,” katanya.
Saksi yang bekerja sebagai penolong jururawat di Pulau Pinang juga memberitahu, kali terkahir dia menghubungi mangsa ialah pada pukul 5.30 pagi, hari kejadian bagi meminta mangsa mengambil cuti kecemasan untuk membawa bapa mereka yang berada di Kulim,Kedah yang sakit.
Mohafri, 37, yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus syarikat katering dibicarakan atas tuduhan membunuh Fazlina, 38, antara pukul 5 da 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang.
Dia yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Fazlina, ibu kepada dua orang anak itu ditemui dibaluti kain selimut tebal dan diletakkan di bahagian bawah almari pakaian manakala hidung dan mulutnya ditekup dengan menggunakan pita pelekat.
Mangsa juga merupakan seorang penghidap asma kronik.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 13 Januari depan./mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan