Jumaat, 26 November 2010

Ibu ayam dipenjara 10 tahun

AYER KEROH: Dua wanita dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam kerana melacurkan dua pelajar tingkatan tiga. 

Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Siti Normaslinda Mohamad Masrol, 22, dan Roslina Md Snor, 21, selepas kedua-duanya membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-duanya telah memperdagangkan seorang perempuan berumur 15 tahun bagi maksud eksploitasi di Hotel Everyday 312-A B C, Jalan Tun Ali, Melaka Tengah, pada Mei 2010. 

Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya juga telah memperdagangkan seorang perempuan berumur 15 tahun di hotel yang sama antara 30 Jun 2010 dan 1 Julai lalu. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. 

Siti Normaslinda yang juga anak sulung daripada dua beradik dalam rayuannya memohon supaya mahkamah meringankan hukuman dengan alasan dia menanggung keluarga. 

Sementara itu, Roslina yang mempunyai seorang anak lelaki berumur 3 tahun memohon mahkamah menjalankan hukuman ke atasnya secara serentak. 

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff yang mengendalikan kes berkenaan memohon mahkamah memberikan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan remaja bawah umur. 

“Kedua-dua mangsa yang jauh lebih muda berumur 15 tahun dan kedua-dua tertuduh telah menggunakan mangsa untuk eksploitasi seks. 

“Kepentingan awam juga harus diberi pertimbangan kerana berlaku banyak kes kanak-kanak dieksploitasi," katanya. 

Zaharah yang mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak kemudian menjatuhkan hukuman lima tahun bagi setiap pertuduhan secara berturutan. 

“Apa perasaan kamu apabila orang lain buat pada adik-beradik dan saudara kamu sendiri? Saya nasihatkan jangan ulang kesalahan sama selepas ini,” katanya. 

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah berkenalan dengan mangsa pertama dan membawa tinggal bersama mereka serta menyatakan kepada mangsa mengenai perkhidmatan seks yang akan diuruskan tertuduh. 

Sebanyak RM10 daripada RM80 diberikan kepada mangsa pertama selepas memberi hasil perkhidmatan seks pada Mei 2010 di bilik bernombor 206, Hotel Everyday berhampiran pasar raya Ocean. 

Pada 29 Jun 2010 pula, kedua-dua tertuduh telah berjumpa mangsa kedua yang juga rakan lama Siti Normaslinda. 

Mangsa kedua yang kemudian tinggal bersama tertuduh juga dipelawa untuk memberikan perkhidmatan seks.

Mangsa kedua kemudian dibawa ke bilik 105, hotel yang sama untuk memberikan perkhidmatan seks pada 30 Jun dan 1 Julai sebelum membayar antara RM70 hingga RM200 kepada mangsa./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan