Ahad, 30 September 2012

Polis tahan lima lelaki culik anak doktor


DUA daripada empat lelaki yang disyaki menculik seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret di Alor Setar semalam.
ALOR SETAR: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang di sini, pada Selasa lepas.


Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dua suspek diberkas di sini pada malam Khamis dan tiga lagi ditahan di sebuah kuil di Sungai Petani, dua malam lepas.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur 20-an hingga 50-an itu menculik remaja tersebut di Jalan Kampung Pisang ketika mangsa pulang dari pusat tuisyen kira-kira pukul 10 malam.


"Selepas menculik, suspek menghubungi keluarga remaja itu kira-kira pukul 11 malam hari yang sama menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.


"Penculik bagaimanapun bersetuju menerima RM350,000 setelah berunding dengan keluarga remaja tersebut dan membebaskannya pada Khamis lepas setelah menerima wang tebusan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.


Katanya, hasil laporan yang dibuat keluarga remaja berkenaan, polis berjaya menahan kesemua suspek dan menemui wang tebusan sebanyak RM349,700.


Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman mulai semalam sehingga Khamis ini.


Katanya, polis masih menyiasat sama ada kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan menganggap kes itu selesai dengan penahanan kesemua lelaki terbabit./BERNAMA

Rabu, 26 September 2012

Wanita cedera parah 'disembelih' perompak

Seorang wanita cedera parah akibat dikelar di leher oleh lelaki yang disyaki cuba merompak mangsa di rumahnya di kampung Teroi, di Yan semalam.

Selain kecederaan sepanjang lapan sentimeter di leher, Jamaliah Ali, 55, yang ketika itu berseorangan di rumah, turut mengalami kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu berkata Jamaliah adalah ibu tunggal dan tinggal di rumah itu bersama adiknya.

"Ketika kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, adiknya keluar menghantar anak-anak saudaranya ke sekolah. Terdapat kesan geledah dalam rumah itu dan mangsa dipercayai dicederakan ketika berada di ruang tamu tingkat bawah.

"Mangsa yang berlumuran darah pergi ke rumah jiran untuk meminta bantuan dan dihantar ke Hospital Yan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (Sungai Petani) kerana kecederaan yang parah," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada barang berharga yang hilang dan polis percaya suspek melarikan diri selepas mencederakan mangsa dengan senjata tajam.

"Mengikut jiran, mangsa ada menyebut satu nama namun kurang jelas akibat kecederaan di lehernya agak parah seperti disembelih sepanjang lapan sentimeter. Jadi kami percaya mangsa mengenali penyerangnya," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./Bernama

Selasa, 25 September 2012

Mandi buih sambil bogel

Mandi buih sambil bogel
Warga Vietnam yang dicekup dalam serbuan di sebuah rumah urut di Bandar Puteri.
PUCHONG: Sebuah premis rumah urut yang menawarkan khidmat mandi buih kepada pelanggannya di Bandar Puteri di sini lumpuh apabila kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam serbuan dilaksanakan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)itu, 10 wanita warga Vietnam, enam pelanggan dan seorang pekerja dicekup.

Ketika serbuan, tukang urut warga asing terbabit dikatakan asyik memandikan pelanggan mereka dalam keadaan berbaring di dalam bilik mandi yang berada di setiap ruang dipisahkan dengan dinding.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, empat premis diperiksa, tiga daripadanya didapati mematuhi syarat dan notis dikeluarkan pihak majlis seminggu sebelum ini.

Katanya, pemantauan dilakukan setelah tempoh notis tamat bertujuan supaya pengusaha premis mematuhi syarat lesen.

Beliau berkata, serbuan ke atas sebuah premis pusat penjagaan kesihatan yang kononnya menjalankan perkhidmatan urutan mendapati pengusaha gagal mempamerkan lesen perniagaan sah.

“Kebiasaannya pengusaha hanya menawarkan kadar khidmat urutan sebanyak RM40 hingga RM50 tetapi premis ini menawarkan harga dari RM150.

“Pengusaha didapati menawarkan aktiviti mandi buih kepada pengunjung dalam keadaan berbogel,” katanya.

Pihaknya percaya wujud aktiviti pelacuran di premis itu dan kesemua ditahan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya./sinarharian

Khamis, 20 September 2012

Pekerja kedai kopi mati ditikam

SEREMBAN - Mayat seorang lelaki ditemui di kawasan lorong belakang antara Jalan Utam Singh dan Jalan Kong Sang di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata siasatan awal mendapati lelaki berumur antara 55 dan 60 tahun itu dipercayai warga tempatan.

"Polis menerima panggilan orang awam pada pukul 5.30 pagi dan ketika dijumpai, terdapat kesan tikaman di dada mangsa.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dan identitinya tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Polis turut menjumpai wang tunai RM36 dalam dalam kocek seluar mangsa. Difahamkan mangsa adalah seorang pekerja kedai kopi di kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya pada kira-kira pukul 5.10 pagi, pemilik sebuah kedai makan berhampiran mendengar jeritan dan apabila anaknya keluar untuk melihat, dia mendapati tiga lelaki sedang mengerumuni mangsa.

"Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri dari arah berasingan. Bagaimanapun, tindakan pantas pemilik kedai makan dan anaknya serta beberapa orang pelanggan berjaya menangkap seorang daripada suspek tersebut.

"Suspek yang ditangkap adalah seorang rakyat asing berumur 40-an. Kita turut menjumpai pemutar skru daripada suspek. Polis kini sedang mengesan dua lagi suspek berkenaan," katanya.

Saiful Azly berkata mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit membunuh./Bernama

Pemuda mati dibunuh selepas bertemu rakan

 Pemuda mati dibunuh selepas bertemu rakan
Mayat mangsa dituntut keluarga di Hospital Kajang, semalam.
SEREMBAN: Seorang lelaki mungkin tidak menyangka panggilan telefon diterima daripada seorang rakan untuk bertemu di sebuah lokasi, adalah panggilan maut untuknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai dibunuh di sebuah kawasan
berhampiran sebuah tokong Cina di Broga, Nilai, kelmarin.

Mangsa yang tidak bekerja dikenali sebagai Saravanan atau lebih popular dengan gelaran Musang, ditemui mati oleh empat rakannya dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, mangsa berusia 22 tahun dan berasal dari Seremban Selatan.

Menurutnya, hasil siasatan mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

"Siasatan awal juga mendapati kemungkinan mangsa dibunuh menggunakan senjata tumpul.

“Sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan menerima satu panggilan telefon daripada rakannya untuk bertemu di kawasan tersebut," katanya.

Mohd Yusoff berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemui empat lelaki, dipercayai rakan mangsa.

"Mereka juga turut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan mangsa telah mati di lokasi berkenaan.

“Sebaik sahaja semua rakannya tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri, dipercayai telah mati," katanya.

Menurutnya, dua rakannya segera menghantar mangsa ke hospital untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./sinarharian

Guru KAFA didakwa liwat murid tahun enam

 Guru KAFA didakwa liwat murid tahun enam
Wan Mohd Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid tahun enam di Kem Telaga Batin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang peserta lelaki perkhemahan pengakap di kem Telaga Batin, di sini, April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Mohd Shahrul Nizam Wan Abdullah, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 377e Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa pada 22 April lalu lebih kurang jam 11 pagi di Kem Telaga Batin, di sini, telah merangsang seks terhadap mangsa, murid tahun enam untuk melakukan satu perbuatan kelucahan melampau.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh, bapa kepada dua anak itu direkodkan, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Muhamad./sinarharian

Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam

 Sepasang suami isteri dibelasah angkara dendam
Kedua-dua sahabat ini mengaku membelasah sepasang suami isteri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Angkara dendam lama, seorang penganggur nekad menjejaki semula ‘musuh’nya itu yang juga pasangan suami isteri bagi melangsaikan dendam yang terpendam sebelum ini.

Dendam yang dipercayai berpunca daripada masalah peribadi telah menyebabkan lelaki itu nekad memanggil ‘ahli kumpulannya’ membelasah pasangan terbabit sehingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian di Jalan Cempaka 2, Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan penganggur itu, Mohd Azhar Yaacob, 26, dari Lot Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhkan hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Azhar mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Hazwan Hashim, 27, dan isterinya Nurul Hamimi Ibrahim, 24.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan itu pada jam 6.30 petang.

Manakala seorang rakannya yang bekerja sebagai penjual ikan, Muhammad Amirudin Abd Wahab, 20, dari Kampung Telok Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, turut menerima nasib sama dengan dikenakan denda RM1,200 selepas mengaku salah membelasah mangsa, bapa kepada seorang anak itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala keduadua mereka tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka berada di dalam kereta Proton Satria sebelum secara tiba-tiba didatangi Mohd Azhar yang menaiki sebuah kereta Proton Viva.

Mohd Azhar telah merampas kunci kereta mangsa sebelum mengarahkan pasangan itu keluar dari kereta namun kedegilan pasangan itu menyebabkan Mohd Azhar naik angin lalu menerajang badan sebelah kiri mangsa menggunakan kaki kanannya.

Isteri mangsa yang melihat kejadian itu cuba memarahi perbuatan Mohd Azhar dengan bertanyakan kenapa memukul suaminya, namun dia turut ditumbuk.

Mangsa yang tidak puas hati cuba menghalang Mohd Azhar yang seperti ‘dirasuk’ itu, bagaimanapun tanpa disedari secara tiba-tiba rakannya, Muhammad Amirudin datang dengan membawa bersama gergaji pokok dan mahu memukul mangsa tetapi tidak sempat kerana dihalang oleh abang kepada rakan mangsa.

Disebabkan situasi yang agak tegang, mangsa terpaksa mengambil penyodok pasir yang secara kebetulan ada di lokasi kejadian bagi menakutnakutkan sebelum kesemua mereka beredar dari lokasi terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa dan isteri mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, belakang badan dan luka di siku sebelah kanan./sinarharian

Tertuduh kes sumbang mahram rayu jaga isteri


Tertuduh kes sumbang mahram rayu jaga isteri
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol anak tirinya berusia 18 tahun.
KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu am dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya pada Jun 2009 dan Mei lalu.

Tertuduh, 55, dari Kuala Berang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol mangsa yang baru berusia 18 tahun.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh, didakwa pada 15 Jun 2009, kira-kira jam 10 malam, telah melakukan persetubuhan dengan mangsa, 18.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada 25 Mei lalu lebih kurang jam 5.55 petang terhadap anak sulung kepada empat beradik itu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang enam tahun penjara dan tidak lebih 20 tahun penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang berbaju lokap mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan dia perlu menjaga isteri pertama yang tidak sihat serta terpaksa menanggung anak-anak yang masih kecil.

Pada masa sama, tertuduh turut berjanji tidak akan sesekali menjejakkan kaki ke rumah isteri keduanya iaitu ibu kepada mangsa selagi kes tersebut masih tidak selesai.

Selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh, Wan Fadhilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes./sinarharian

Didenda RM2,500 kerana berkhalwat dengan isteri orang

BESUT: Lelaki yang pernah menggemparkan daerah ini kerana ditangkap penduduk gara-gara disangka pencuri ketika melepaskan diri daripada dicekup suami kekasihnya, didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut, di sini.

Hukuman dijatuhkan setelah Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof berpuas hati terhadap pengakuan salah tertuduh yang berusia 22 tahun itu.

Turut menerima hukuman sama, pasangannya, 22, yang ketika ditangkap berstatus isteri orang dan mereka diperintah menjalani hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh lelaki seorang penjawat awam dan pasangannya yang bekerja sebagai pembantu dapur didakwa di bawah Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di rumah wanita berkenaan di Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja kira-kira jam 2 pagi, 15 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Norzilawati Said manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam.

Norzilawati yang membacakan fakta kes memberitahu mahkamah, pada 3.15 petang 15 Jun lalu, pegawai Penguat kuasa Syariah Daerah Besut menerima panggilan telefon daripada pihak polis tentang satu tangkapan oleh orang awam terhadap pasangan tersebut di kampung itu.

Pegawai penguat kuasa yang tiba di balai polis kemudiannya bertemu dengan suami wanita berkenaan dan suaminya memberitahu, pada pagi kejadian dia pulang ke rumah lalu memanggil isterinya tetapi tidak dijawab.

“Melalui ruang bawah pintu, dia melihat ada dua orang keluar dari bilik tidurnya lalu dia bertindak masuk melalui pintu belakang dan mendapati ada seorang lelaki sedang cuba memanjat tingkap untuk melarikan diri," katanya.

Dalam kejadian tersebut, suami wanita berkenaan berjaya menangkap lelaki terbabit lalu berlaku sedikit pergelutan namun tertuduh berjaya melarikan diri sebelum ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis.

Lelaki beralamat di Kampung Gong Nangka, Apal dan pasangannya dari Kampung Mak Sara Jertih membayar denda yang dikenakan./sinarharian

Suspek kes culik operator kilang ditahan


Suspek kes culik operator kilang ditahan
Abd Razak (kanan) menunjukkan barang dan wang tunai yang dirampas selepas penahanan dua lelaki terbabit.
SERDANG: Dua lelaki masing-masing seorang pengusaha kedai makan yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Selangor dan seorang warga Bangladesh antara suspek ditahan berhubung kes penculikan seorang operator kilang, di Klang Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa yang mendakwa rakannya, warga Bangladesh berusia 20-an dilarikan dan menerima panggilan supaya sejumlah wang tebusan dimasukkan ke dalam satu akaun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, rakan mangsa yang juga warga Bangladesh memberitahu menerima panggilan telefon, memintanya memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam satu akaun milik salah seorang suspek.

Katanya, setelah tawar menawar, suspek bersetuju mangsa dibebaskan sekiranya wang tebusan RM2,000 dimasukkan ke dalam akaunnya. Abd Razak berkata, mangsa kemudian dibebaskan di Seri Kembangan selepas dua hari dikurung dalam sebuah kontena di Pulau Indah Klang.

Katanya, mangsa membuat laporan dia turut dipukul menggunakan kayu di bahagian tangan dan belakang badan sehingga cedera dan lebam.

Bertindak atas laporan mangsa, beliau berkata, sepasukan anggota polis berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di sebuah kedai makan di tapak pembinaan di Klang dengan wang bernilai RM1,925, Ahad lalu.

Katanya, lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes pecah rumah pada 2011.

Menurutnya, sebuah kereta jenis Proton Saga, sebuah motosikal , kamera dan telefon bimbit dipercayai digunakan dalam aktiviti penculikan terbabit dirampas. “Hasil siasatan polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun yang merupakan rakan mangsa dipercayai terbabit dengan kes sama, keesokan harinya.

“Motif kes dipercayai bagi mendapatkan wang tunai dan kedua- dua lelaki itu direman sehingga Sabtu ini," katanya./sinarharian

Bayi perempuan ditemui dalam masjid di Setiu


Bayi perempuan ditemui dalam masjid di Setiu
Yaacob (tengah) menunjukkan tempat dia menemui bayi perempuan yang masih bertali pusat ketika mahu solat Subuh.
KUALA TERENGGANU: Seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui dalam sebuah Masjid di Kampung Saujana, Setiu, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manoharan berkata bayi berkenaan dijumpai oleh imam dan ustaz masjid itu pada pukul 6 pagi ketika mereka ingin menunaikan solat Subuh.

"Ketika masuk ke ruangan solat lelaki, mereka melihat satu objek yang dibalut dengan tuala berwarna oren dan apabila didekati mereka mendapati objek itu ialah bayi perempuan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan kesan darah yang terdapat pada bayi itu, polis percaya bayi seberat 3.4 kilogram itu baru dilahirkan.

Bayi itu dihantar ke Hospital Setiu dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu dan klinik atau hospital yang menerima pesakit baru lepas bersalin supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./Bernama

Graduan dirogol majikan palsu

 Graduan dirogol majikan palsu
Lakaran gambar lelaki dicari bagi membantu siasatan.
KUALA LUMPUR: Seorang penuntut lepasan institut pengajian tinggi menempuh detik hitam apabila bukan saja wang tunai, jam tangan dan telefon bimbit disamun, malah diperkosa setelah terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa mendakwa ditawarkan pekerjaan sebagai jurujual dengan gaji RM400 sehari.

"Mangsa berusia 22 tahun itu mengetahui tawaran kerja berkenaan di laman web sebelum menghadiri temuduga pada jam 7 malam di sebuah bilik hotel di Taman Segar, Cheras, Sabtu lalu," katanya.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pendaftaran hotel berkenaan bagi mengenal pasti suspek.

"Ini kes kedua dilaporkan berdasarkan modus operandi sama. Kes pertama berlaku akhir Julai lalu melibatkan mangsa berusia 23 tahun," katanya.

Khairi berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Izhamaz Niza Abdul Hamid di talian 03-21460522 sambungan 167./sinarharian

Rabu, 19 September 2012

Pesakit lelaki dakwa dicabul pembantu perubatan

Seorang petugas lelaki di sebuah syarikat swasta mendakwa dicabul oleh seorang pembantu perubatan ketika mendapatkan
rawatan di sebuah klinik swasta di Dungun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, mangsa yang berusia 24 tahun itu pergi ke klinik berkenaan bagi mendapatkan rawatan setelah mengalami sakit di bahagian dada sebelum seorang pembantu perubatan lelaki tampil memeriksa dan memberi rawatan.

Difahamkan pembantu perubatan yang menyamar sebagai doktor klinik itu memeriksa dada pesakit hingga ke bawah sebelum menyuruh si mangsa membuka seluar dan kemudian mencabulnya.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu terus menampar muka pembantu perubatan yang berusia 20-an itu sebelum menyarungkan kembali seluarnya dan melarikan diri untuk membuat laporan polis.

Namun begitu, bimbang rahsianya terbongkar, suspek sempat memberi sebuah telefon jenama Blackberry kepada mangsa supaya tidak membongkar rahsia itu.

Mangsa kemudiannya mengambil telefon tersebut dan membuat laporan polis kira-kira pukul 9.15 malam di Balai Polis Dungun.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun./Bernama

Gadis dirogol lelaki kemaruk seks dalam bilik air

Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Mangsa diheret dari bilik tidurnya sebelum dirogol dalam bilik air.
 Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Suspek turut menggeledah bilik tidur mangsa untuk mencari barang berharga.
 Gadis dirogol dalam bilik air, mangsa lelaki kemaruk seks
Suspek dipercayai memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
KUALA LIPIS: Berikutan tidak mampu mengawal nafsu serakah, seorang lelaki sanggup menceroboh rumah seorang gadis sunti di Kampung Gemunchor, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, suspek bersama dua rakan sanggup mengikat ibu gadis terbabit sebelum mengheret mangsa yang berusia 17 tahun ke dalam bilik air lalu merogolnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, suspek bersama dua rakannya dipercayai pergi ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta.

“Suspek dan dua rakannya menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

“Suspek kemudiannya mengikat ibu mangsa di bahagian dapur sebelum mengheret mangsa yang ketika itu berada di rumah tamu ke bilik air untuk merogolnya,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, selepas merogol mangsa, suspek bertindak merampas gelang tangan emas milik ibu mangsa sebelum melarikan diri.

“Namun dalam keadaan tergesa-gesa, gelang tangan itu terjatuh di pekarangan rumah mangsa. Mangsa kemudiannya bertindak berlari ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira 500 meter untuk meminta pertolongan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membuat laporan polis sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Berdasarkan siasatan awal daripada mangsa dan ibunya, polis percaya suspek mengenali keluarga terbabit. Ibu mangsa juga dipercayai dapat mengecam suspek berdasarkan bentuk tubuhnya.

“Polis giat mengesan suspek yang dipercayai tinggal berhampiran dengan rumah mangsa,” katanya.

Manakala, mangsa pula menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, akibat cedera selepas bergelut dengan suspek.

Acu parang

Sementara itu, nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan ketika ditemui Sinar Harian memberitahu, dia turut berada dalam sebuah bilik di rumah sama ketika kajadian itu berlaku.

Wan berkata, anaknya berada di dapur, sementara cucunya pula sedang mengemas pakaian dalam bilik tidur kerana mahu kembali ke asrama sekolahnya, semalam.

Kemudian dia dikejutkan dengan kekecohan di ruang dapur sebelum mendengar anak dan cucunya meminta tolong.

"Saya keluar dari bilik selepas mendengar suasana kecoh di dapur sebelum melihat dua lelaki sedang mengacukan golok ke leher anak saya. Kemudian, saya nampak seorang lagi lelaki mengheret cucu keluar dari bilik dan dibawa ke bilik air," katanya.

Menurutnya, akibat ketakutan, dia masuk ke dalam bilik sebelum menolak katil ke pintu untuk menghalang penjenayah masuk.

"Penjenayah itu menendang pintu bilik, tapi tak dapat membukanya. Ketika itu, saya masih dengar jeritan anak dan cucu meminta tolong. Saya hanya mampu menangis sambil berdoa supaya keluarga tidak diapa-apakan penjenayah itu," katanya.

Mangsa pengsan

Wan berkata, lebih kurang 15 minit kemudian, keadaan kembali tenang apabila semua penjenayah melarikan diri. Menurutnya, dia memberanikan diri keluar dari bilik untuk melihat anak dan cucunya.

"Ketika keluar, saya dapati anak saya sedang menangis, manakala cucu sudah tiada dalam rumah kerana keluar meminta bantuan kakaknya yang tinggal berhampiran," katanya.

Manakala, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya berlari dalam keadaan separuh bogel ke rumahnya untuk meminta pertolongan.

"Saya mendengar jeritan adik meminta tolong dan memberitahu dia bersama ibu jadi mangsa rompakan. Namun saya terkejut apabila melihat dia dalam keadaan separuh bogel dan memberikan sehelai kain batik untuk dipakai sebelum dia pengsan di rumah saya," katanya.

Sinar Harian difahamkan seorang daripada suspek adalah bekas banduan berusia dalam lingkungan 50-an yang pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan rogol. Lelaki itu dikatakan sudah mengamati pergerakan mangsa ketika bertemu di sebuah kenduri beberapa hari sebelum kejadian./sinarharian

Kerana RM350, ugut tikam dan bunuh ayah

Kerana RM350, ugut tikam dan bunuh ayah
Tertuduh mengaku ugut tikam dan bunuh ayah kandungnya kerana RM350 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Hanya kerana RM350, seorang anak seperti dirasuk hantu selepas mengamuk hendak menikam dan membunuh ayah kandungnya menggunakan sebilah pisau dalam satu kejadian di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, si anak yang tidak memiliki sebarang pekerjaan itu akhirnya ditahan polis dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya yang juga seorang warga emas.

Dia yang baru berusia 18 tahun itu bagaimanapun mengaku dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah kepada bapanya dalam satu kejadian di kediaman bapa saudaranya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, di sini, kira-kira jam 9 malam, 13 September lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Selepas pengakuan bersalah direkodkan, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM1,500 oleh seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa yang hanya bekerja sebagai penoreh getah dan berasal dari Kampung Seberang Tepoh, di sini, berada di kediaman adiknya yang juga bapa saudara kepada tertuduh.

Sedang mangsa rancak bersembang dengan adiknya itu, tiba-tiba tertuduh datang mengamuk menggunakan sebilah pisau serta dalam masa sama mengugut hendak menikam dan membunuh mangsa kerana bengang permintaannya untuk mendapatkan RM350 sebelum ini tidak diendahkan.

Mangsa yang bimbang perkara tidak dingini berlaku terus lari membuat laporan polis dan sejam kemudian, susulan laporan diterima, tertuduh ditahan di kediaman mereka dan ditahan di Balai Polis Tepoh, di sini, untuk tindakan selanjutnya./sinarharian

Selasa, 18 September 2012

Gadis kilang campak bayi direman


PEKERJA kilang yang direman dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam bagi membantu siasatan kes mencampak bayi
PETALING JAYA: Seorang ibu muda yang dipercayai tergamak mencampak bayinya hidup-hidup dari tingkat 3 Blok 1, Flat Desa Mentari di sini sebaik sahaja anaknya selamat dilahirkan direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes perbuatan kejam itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Suraya Syawal pada pukul 11.30 pagi semalam.

"Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut beliau, laporan bedah siasat ke atas mayat bayi yang cukup sifat itu mengesahkan mangsa mati akibat mengalami kecederaan serius di kepala.

"Bayi itu mengalami kecederaan teruk di kepala selepas dicampak dari tempat tinggi sebelum terhempas ke bawah," kata beliau.

Arjunaidi memberitahu, suspek yang berusia 20 tahun dan belum berkahwin itu melahirkan bayinya secara sendirian ketika dia berada seorang diri di rumah keluarganya.

Difahamkan bayi yang cukup bulan itu merupakan anak hasil hubungan suspek yang bekerja di sebuah kilang dengan teman lelakinya. Bagaimanapun, keluarga suspek tidak menyedari gadis itu mengandung.

Polis setakat ini tidak menyiasat atau menahan kekasih suspek kerana belum ada keperluan dengan kes bunuh yang dihadapi suspek wanita itu.

Suspek yang memakai baju T warna hitam, bertudung, berjaket merah jambu, berkain sarung batik, berstoking dan berselipar kelihatan bersahaja ketika diperintahkan ditahan reman oleh majistret.

Wanita itu yang tidak ditemani ahli keluarga ketika dibawa ke mahkamah masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Semalam akhbar melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui mati dipercayai dicampak dari tingkat tiga flat Desa Mentari di sini.

Polis yang memeriksa mayat bayi itu kemudian menahan seorang gadis yang kelihatan lemah selepas dipercayai baru lepas bersalin di tingkat tiga blok 1 di rumah flat itu.

Ketika ditemui, bayi yang masih bertali pusat itu sudah tidak bernyawa lagi./kosmo

Isnin, 17 September 2012

Lelaki cuba lakukan seks ke atas 'pesakit' ditahan


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan seorang lelaki yang mendakwa diri sebagai pengamal perubatan Islam ketika cuba melakukan seks ke atas pesakit wanitanya di sebuah rumah di Kampung LBJ di Seremban.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan JHEAINS pada pukul 12.30 tengah hari tadi, ketika cuba melakukan perbuatan keji tersebut yang didakwa sebahagian daripada cara rawatan, dengan seorang wanita berusia 24 tahun di rumah mangsa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jheains Ahmad Husaini Mustafa berkata pada mulanya, suspek dari Kuala Lumpur dihubungi mangsa untuk mengubati dirinya yang menghadapi masalah mendapatkan anak.

"Apabila tiba di rumah mangsa, suspek kemudian menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk merawat mangsa dan melakukan 'nikah batin' iaitu menikahkan dirinya dengan wanita itu tanpa mengikut ajaran Islam yang sebenar.

"Suspek kemudiannya cuba mengambil kesempatan dengan melakukan seks ke atas mangsa yang ketika itu sudah terpedaya dengan rawatan lelaki itu, sebelum rumah itu diserbu Jheains," katanya pada sidang akhbar di Seremban hari ini.

Ahmad Husaini berkata dalam serbuan yang dilakukan hasil maklumat dan aduan orang ramai, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu, ditahan sebelum sempat melakukan hubungan seks dengan mangsanya.

"Kita percaya suspek bukan seorang yang pandai agama tetapi menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran hanya untuk memperdaya mangsa sebelum mengambil kesempatan ke atas mangsa," katanya.

Beliau berkata beberapa barangan turut dirampas termasuk senaskhah Al-Quran dan sebuah kitab yang dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa.

Katanya, lelaki itu dipercayai sudah lama menjalankan kegiatannya, dan siasatan awal mendapati suspek telah merawat tiga wanita.

Ahmad Husaini berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mempermainkan ayat Al-Quran; Seksyen 50 Enakmen sama kerana mencemar dan menghina Agama Islam; dan Seksyen 77 Enakmen sama kerana memikat wanita untuk melakukan niat jahat./Bernama

Jumaat, 14 September 2012

Ada terjumpa remaja ini

Nur Husna Nasri
Nur Husna Nasri
SHAH ALAM: “Husna, pulanglah nak. Ibu tengah sakit sekarang,” rintih Hamidah Maun, 47, kepada anak perempuan bongsunya, Nur Husna Nasri, 16, yang menghilangkan diri dari kediaman keluarga itu di Seksyen 20, sejak seminggu lalu.

Hamidah berkata, anak bongsu daripada tiga adik-beradik yang mesra dengan panggilan Adik itu hilang selepas meminta kebenaran bapanya, Nasri Sohod, 51 untuk keluar beraya bersama rakan, di sini, 7 September lalu.

Bapanya, Nasri berkata, pada kira-kira jam 5.30 petang hari kejadian, Husna memaklumkan mahu keluar beraya dan memberitahu rakannya sedang menunggu di bawah.

“Husna nak ke mana? saya tanya dia dan dia menjawab nak pergi beraya dengan kawan. Kawan sudah tunggu di bawah. Tidak lama kemudian dia turun ke bawah, saya tidak sedar kerana tertidur selepas pulang dari kerja.

“Sejam kemudian baru saya tersedar dan jiran memaklumkan dia nampak Husna keluar bawa beg besar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dia ada bertanyakan mengenai anak gadisnya itu kepada beberapa rakan sekolah dan mereka memaklumkan yang dia mempunyai empat orang teman lelaki dari Kuala Lumpur, justeru kemungkinan besar dia lari mengikut salah seorang daripada mereka.

“Saya merayu Husna pulang kerana ibunya sudah seminggu tidak selera makan dan tidak bekerja. Lagipun ibunya akan menjalani pembedahan kanser rahim pada hujung bulan ini.

“Baliklah, ayah tidak akan marah, kami semua risau keselamatan Husna,” katanya.

Dia berkata, pihak polis sedang menyiasat kehilangan anaknya itu dan risalah berserta gambar Nur Husna sudah diedarkannya di sekitar Shah Alam, Klang dan Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan kehilangan remaja berkenaan dan sedang melakukan siasatan bagi mengesannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubunginya Nasri di talian 017-6345719./sinarharian

Khamis, 13 September 2012

Remaja didakwa sumbang mahram dengan kakak sendiri

JERANTUT: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakak kandungnya pada November tahun lepas.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol di dalam kamarnya, namun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan itu terhadap kakaknya yang berusia 15 tahun di Lot 2324 Kampung Bukit Kor, Batu Balai di sini pada 12 tengah malam, pada November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Remaja itu dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula 18 Oktober depan.

Bapa tertuduh membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Insp Arifin Saidun manakala tertuduh diwakili peguam Ibrahim Kamaruddin.

Kes sumbang mahram itu terbongkar apabila mangsa melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Kajang, Selangor pada 12 Ogos lepas dan laporan kes itu dibuat seorang jururawat hospital itu pada 22 Ogos lalu./Bernama

Rabu, 12 September 2012

Lelaki dipenjara, sebat kerana rogol pelajar

PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 35 tahun hari ini terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas dua kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian terhadap Efandi Mashor selepas menolak rayuan akhirnya secara sebulat suara.

Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya, tidak berubah. Hukuman itu bermula hari ini kerana perayu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan akhirnya dilupuskan.

Bagi setiap tuduhan, lelaki itu dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan. Hukuman berjalan serentak.

Dalam kes tersebut, kedua-duanya sepakat mengadakan pertemuan sulung pada hari kejadian pertama berlaku.

Mangsa dalam keterangannya menyatakan, perayu mengajaknya bersiar-siar di pantai sebelum membawanya ke pondok di sebuah kebun mempelam dan merogolnya.

Efandi diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa./utusan