Khamis, 20 September 2012

Graduan dirogol majikan palsu

 Graduan dirogol majikan palsu
Lakaran gambar lelaki dicari bagi membantu siasatan.
KUALA LUMPUR: Seorang penuntut lepasan institut pengajian tinggi menempuh detik hitam apabila bukan saja wang tunai, jam tangan dan telefon bimbit disamun, malah diperkosa setelah terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa mendakwa ditawarkan pekerjaan sebagai jurujual dengan gaji RM400 sehari.

"Mangsa berusia 22 tahun itu mengetahui tawaran kerja berkenaan di laman web sebelum menghadiri temuduga pada jam 7 malam di sebuah bilik hotel di Taman Segar, Cheras, Sabtu lalu," katanya.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pendaftaran hotel berkenaan bagi mengenal pasti suspek.

"Ini kes kedua dilaporkan berdasarkan modus operandi sama. Kes pertama berlaku akhir Julai lalu melibatkan mangsa berusia 23 tahun," katanya.

Khairi berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Izhamaz Niza Abdul Hamid di talian 03-21460522 sambungan 167./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan