Khamis, 31 Mac 2011

Perut lelaki warga Nepal terburai dalam serangan

KULAIJAYA: Seorang lelaki warga negara Nepal terburai isi perut akibat diserang sekumpulan lelaki selepas membawa seorang wanita tempatan ke rumah kosong di Taman Senai Jaya, Senai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, Chandradrika Ray, 27, maut di tempat kejadian akibat parah manakala penyerangnya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Komisioner Zulkefley Yahya, berkata Chandradrika ke rumah kosong berkenaan bersama teman senegara dikenali sebagai Arvin Prasad, berumur 20-an.

“Kedua-duanya dipercayai diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam. Chandradrika dikelar di perut manakala Arvin parah ditikam di belakang badannya,” katanya.

Menurut Zulkefley, orang awam yang menyedari kejadian itu menghubungi polis dan Arvin dikejarkan ke Hospital Kulai untuk rawatan dan keadaannya kini stabil.

Mayat Chandradrika pula ditemui di sebuah di rumah berkenaan dan siasatan mendapati kedua-dua mangsa rakan sekerja di sebuah kilang plastik di Senai.

“Motif kejadian masih disiasat dan kami menerima bantuan Unit Anjing Pengesan (K-9) untuk mengesan senjata pembunuhan serta bukti lain di tempat kejadian.

“Ketika ini belum ada tangkapan dibuat, tetapi keterangan beberapa individu sudah direkodkan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran./hmetro

Mayat lelaki dalam bonet kereta

RANTAU PANJANG: Seorang lelaki yang dipercayai ahli perniagaan dijumpai mati dengan mayatnya disumbat dalam bonet kenderaan miliknya di Simpang Empat Salam dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, mayat lelaki itu yang dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh lebih lapan jam sebelum ditemui.
"Pihak polis menerima laporan daripada seorang penjual air tebu memaklumkan mengenai penemuan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam yang berada dalam keadaan mencurigakan dan tidak berkunci di kawasan itu.
"Hasil pemeriksaan pihak polis yang tiba di kawasan itu kira-kira pukul 10 malam tadi membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai ahli perniagaan berusia 56 tahun," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.
Beliau berkata, lelaki itu dipercayai berasal dari Batu Dua, Jalan Kota Baharu-Kuala Krai berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui pada mayat tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di Kampung Tok Pelanduk, Rantau Panjang iaitu kira-kira lima kilometer dari tempat mayat ditemui./Bernama

Selasa, 29 Mac 2011

Tandas ‘port’ pemuas nafsu

MELAKA: Seorang remaja perempuan mengaku ketagih seks sejak setahun lalu apabila menjadikan tandas awam di pekan Bemban, Jasin sebagai ‘port asmara’ dengan kekasihnya.

Remaja berusia 16 tahun itu yang masih bersekolah juga mengaku dia membeli kondom terlebih dulu sebagai ‘persediaan’ bagi memuaskan nafsu bersama kekasihnya berusia 19 tahun yang dikenalinya ketika lelaki itu masih belajar di sekolah sama.

Malah, dia mengaku berulang kali menjadikan tandas itu sebagai port asmara bagi menghilangkan ketagihan seks bersama teman lelakinya.

Pendedahan itu dibuat remaja terbabit apabila dia diberkas pegawai syarak dan penduduk selepas disyaki berkhalwat di rumah keluarganya di Kesang, Jasin, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Remaja itu dikatakan menjadikan rumah keluarganya sebagai port baru melakukan perbuatan terkutuk bersama teman lelaki ketika ahli keluarganya tiada di rumah.

Bagaimanapun, hasrat pasangan terbabit menjadikan rumah keluarga perempuan berkenaan sebagai tempat maksiat tidak tercapai apabila diberkas dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati pasangan berkenaan mula berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta ketika lelaki terbabit masih bersekolah bersamanya.

Katanya, sepanjang perkenalan itu pasangan terbabit mula melakukan perkara terlarang sehingga melakukan seks dengan memilih tandas awam sebagai tempat melakukan perbuatan itu.

“Bermula dengan beberapa kali terlanjur dengan hubungan haram itu, remaja perempuan terbabit terus ketagih mengadakan hubungan seks bersama pasangannya dan melakukannya sekiranya ada kesempatan ketika bertemu.

“Malah, remaja terbabit mengakui dia membeli satu set kondom a RM3.50 di kedai runcit di pekan berkenaan berhampiran sekolahnya sebelum menemui teman lelakinya itu.

“Hasil hubungan pertama itu mereka terus terlanjur dengan menjadikan tandas sebagai lokasi pilihan sehinggalah mereka beralih ke rumah remaja perempuan itu,” katanya.

Rahimin berkata, serbuan dilakukan selepas pegawai syarak terbabit menerima aduan menyatakan ada seorang lelaki dipercayai bukan muhrim masuk ke rumah selepas penemuan sebuah motosikal yang diletakkan secara tersorok di belakang kediaman keluarga perempuan berkenaan.

Katanya, bertindak daripada maklumat itu, pegawai syarak bersama penduduk ke rumah berkenaan dan selepas beberapa kali memberi salam pintu dibuka oleh remaja perempuan terbabit.

“Pemeriksaan menemui seorang lelaki di dalam bilik rumah berkenaan dan soal siasat dijalankan mendapati dia tidak mempunyai hubungan mahram bersama remaja itu.

“Ketika itu hanya mereka berdua berada di dalam rumah berkenaan dan ibu bapa dan anggota keluarga lain perempuan itu pulang ke kampung,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki terbabit datang ke rumah itu sejam setengah sebelum serbuan dilakukan./hmetro

Mati ditikam ayah mabuk

SERDANG: Angkara menegur bapa yang dipercayai mabuk dan berbogel di depan rumah, seorang pekerja kilang berusia 20-an maut selepas ditikam orang tuanya itu dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Sungai Emas, Banting, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Razak Kumar meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah ditikam di dada.

Difahamkan, bapa mangsa berusia lewat 40-an baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebelum bertindak menanggalkan pakaiannya menyebabkan mangsa menegur perbuatan bapanya itu.

Namun, padah menimpa apabila bapanya itu menikam Razak menggunakan pisau.

Setakat ini, polis masih belum dapat mengesahkan dari mana suspek mendapat pisau berkenaan, malah senjata itu juga tidak ditemui di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bapa mangsa naik berang sebaik ditegur lalu bertindak menikam dada anaknya itu dengan pisau.

“Akibat tikaman itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Suspek yang menyedari kejadian itu bertindak melarikan diri. Kejadian itu hanya dimaklumkan orang awam kepada polis kira-kira jam 9 malam.

“Polis bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam.

Menurutnya, Mohd Adnan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri ditangkap kira-kira jam 11 pagi semalam di sebuah stesen minyak di Teluk Panglima Garang, kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari mulai semalam./hmetro

Ahad, 27 Mac 2011

Peguam disamun lelaki bertopeng rugi RM100,000

KOTA BHARU: Seorang peguam mengalami kerugian kira-kira RM100,000 setelah rumahnya dipecahkan masuk dalam kejadian samun di Kampung Peringat, Melor di sini, pagi semalam. 

Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, peguam berusia lingkungan 40-an, dipercayai tidur bersama isterinya dalam bilik rumah terbabit. 

Kejadian disedari mereka, apabila terdengar bunyi hentakan kuat pada pintu bilik mereka sebelum diserbu sekumpulan lelaki bertopeng. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar berkata, penjenayah itu bertindak mengikat mangsa dengan wayar sebelum mengarahkannya membuka peti besi dalam bilik itu.

”Mangsa yang ketakutan bergegas membuka peti besi dan suspek bertindak mengambil semua barang kemas milik isteri mangsa yang dianggarkan RM80,000. 

”Mereka juga turut melarikan tunai RM25,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Idris berkata, suspek dipercayai masuk melalui pintu depan dan keluar melalui laluan sama. 

Menurutnya, selepas hampir 20 minit dalam rumah mangsa, empat lelaki terbabit yang dipercayai berkomunikasi loghat Indonesia kemudian melarikan diri menaiki pacuan empat roda. 

Menurutnya, sebaik penjenayah terbabit keluar, mangsa dan isterinya kemudian menjerit meminta bantuan jiran sebelum menghubungi polis. 

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Melor berhubung kejadian itu. 

Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, akhirnya salah seorang daripada empat suspek berjaya ditahan kurang tiga jam selepas mereka disyaki merompak rumah terbabit. 

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah pacuan empat roda di kawasan Tok Bali oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, pada jam 7 pagi selepas menerima laporan pada jam 4.20 pagi. 

Dengan penahanan itu, polis turut menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa. 

“Lelaki terbabit yang juga penduduk tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya. 

Beliau berkata, polis sedang melancarkan gerakan memburu tiga lagi penjenayah yang dipercayai rakan suspek. 

Menurutnya, siasatan dijalanakan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan./sinarharian

Sabtu, 26 Mac 2011

Mangsa rogol hilangkan diri

GERIK: Polis Gerik, di sini, sedang giat mengesan seorang mangsa rogol bapa tiri bagi membantu perbicaraan kes tersebut. 

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa berusia 17 tahun yang juga anak kedua daripada tiga beradik dirogol di rumahnya sendiri sekitar Januari 2009. 

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada waktu tengah malam tersebut diketahui oleh ibunya sendiri. 

“Kerana tidak tahan dengan kejadian rogol ini, mangsa membuat laporan polis pada 10 Januari 2009 dan mendapati mangsa dirogol pada waktu tengah malam sewaktu semua ahli keluarga yang lain sedang tidur. 

“Mangsa yang berasal dari Kampung Tanjung Rambai, terpaksa merelakan kejadian ini kerana kesian melihat ibunya yang baru melahirkan anak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. 

Wan Jamil berkata, mangsa adalah seorang pelajar cemerlang di sekolah dan aktif dalam kegiatan kokurikulum telah menghilangkan diri sejak awal tahun ini. 

Beliau berkata, keluarga mangsa juga dikatakan telah berpindah ke Kampung Air Ganda, 15 kilometer dari sini, manakala bapa tirinya masih tinggal bersama ibu dan adik mangsa. 

“Pihak polis cuba mengesan mangsa melalui alamat pada kad pengenalan beliau dan bertanya dengan keluarga dan jiran-jiran namun, semuanya tidak tahu di mana mangsa berada sekarang. 

“Dalam masa sama, pihak polis turut menghubungi bapa kandung mangsa yang berada di Pulau Pinang namun, masih gagal dikesan,” katanya. 

Katanya, diharap mangsa atau pihak yang berkenaan dapat menghubungi Pegawai Penyiasat kes tersebut, Inspektor Mohd Ropiza Hassan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 019-392 1855. 

“Pihak polis turut meminta mangsa supaya hadir ke perbicaraan kesnya di Mahkamah Kuala Kangsar pada 4 April 2011 jam 8.30 pagi bagi meneruskan pendakwaan,” katanya./sinarharian

Enam saksi dicari

IPOH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengesan enam saksi bagi membantu satu kes bunuh yang berlaku di Menglembu baru-baru ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Gleen Sinnapah berkata, keenam saksi ini amat diperlukan bagi membantu siasatan pihak polis. 

“Justeru, kerjasama orang awam diperlukan bagi mengesan saksi-saksi ini bagi melicinkan kerja siasatan. 

“Sebarang perkembangan boleh hubungi saya di talian 05-2241588 atau Asisten Superintendan A Nirmala, 05-2451609,” katanya./sinarharian

Dicekup hanya berseluar dalam

KULIM: Seorang isteri beranak dua ditangkap dalam keadaan separuh bogel bersama teman lelakinya di sebuah rumah teres dekat sini kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin. 

Ketika serbuan dibuat, perempuan berkenaan hanya memakai seluar dalam dan berbaju singlet manakala pasangan lelaki berseluar pendek dan tidak berbaju. 

Menurut jurucakap Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) berkata, PADK menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira jam 11.30 malam dan sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 12 pagi bersama empat anggota. 

Katanya, sebelum membuat serbuan, PADK mengepung rumah itu untuk memastikan pasangan berkenaan tidak melarikan diri. 

“Pasangan kekasih terlibat berusia 20-an dan bekerja di Kulim Hi Tech. Ketika serbuan dibuat, pintu pagar dan pintu rumah tidak berkunci. Apabila membuka pintu, PADK mendapati pasangan itu sedang berbaring di ruang tamu dan badan mereka ditutup dengan selimut. 

“Dari siasatan dijalankan, perempuan itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Suaminya sedang menjalani hukuman penjara. Pasangan perempuan mengaku mengajak teman lelakinya datang ke rumahnya dan pernah melakukan hubungan seks sebelum ini,” katanya. 

Menurutnya, PADK kemudiannya mengarahkan perempuan dan lelaki itu untuk memakai pakaian sebelum dibawa ke Balai Polis Polis Sungai Kob untuk membuat laporan tangkapan terhadap diri mereka. 

Pasangan perempuan kemudiannya di tahan di lokap Balai Polis Lunas manakala teman lelakinya di tahan di lokap Balai Polis Kulim. 

Mereka akan di siasat dibawah seksyen 9(1)(2) Enekman Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Premis urut gay diserbu polis

GEORGETOWN: Taktik sebuah premis urut golongan gay menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu kaca berkod untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu terbongkar setelah diserbu polis. 

Sepasukan anggota Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menyerbu premis terletak di Kompleks Midland Pulau Tikus awal pagi kelmarin selepas menerima aduan orang awam. 

Difahamkan, premis itu beroperasi tanpa lesen itu didapati tersenarai sebagai destinasi gay antarabangsa berdasarkan namanya terdapat dalam majalah yang ditemui ketika serbuan itu. 

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Fauzi Mohd Yusof yang mengetuai serbuan itu, mendapati nama pusat urut di Kompleks Midland itu turut mencatat dalam majalah Gay ‘Pluto’ 

“Majalah itu merupakan terbitan Singapura mengandungi pelbagai gambar aksi lucah dan peta lokasi gay di rantau Asia turut dirampas. 

“Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 28 yang bekerja sebagai tukang urut dan dua lelaki berusia 30-an dipercayai pelanggan,” katanya. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati pekerja di situ menawarkan khidmat urutan dan khidmat seks luar tabii jika diminta pelanggan berdasarkan penemuan beberapa kondom yang sudah digunakan. 

Polis turut merampas beberapa barang termasuk dua keping kondom, losen minyak, krim putih, tuala dan dua majalah ‘Pluto’. 

Kesemuanya dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan di bawah Seksyen 377 B Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan serbuan itu ketika dihubungi semalam./sinarharian

Rogol remaja: Tukang kena 12 sebatan

ALOR SETAR: Seorang tukang rumah dihukum penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol mangsa berusia 14 tahun tiga tahun lalu. 

Mohd Salleh Abdullah, 41, dari Kuala Nerang didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun (ketika kejadian) di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Semiliang, Padang Terap kira-kira jam 2.30 petang, 2 September 2008. 

Dia juga dituduh merogol mangsa dalam kawasan kebun getah di Kampung Kuala Janing, Padang Terap kira-kira jam 2.30 petang, 27 September 2008. 

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi setiap tuduhan dan memerintahkannya berjalan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh ditangkap iaitu 2 Oktober 2008. 

Ini bermakna hukuman kedua hanya akan dilaksanakan selepas hukuman bagi kesalahan pertama selesai. 

Dalam penghakimannya, Mohd Sabri berkata, tertuduh gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah pada akhir pembelaan dan disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan. 

Dalam rayuannya, Mohd Salleh berkata, dia hanya pergi ke rumah keluarga mangsa untuk membina rumah dan menafikan mengenali mangsa kerana hanya bersahabat dengan ayahnya. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memohon hukuman seadilnya kerana masih mempunyai keluarga termasuk isteri dan anak. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana melakukan kesalahan serius supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat./sinarharian

Cinta berakhir: Remaja tikam, kelar bekas kekasih

SHAH ALAM: Gara-gara tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta berakhir, seorang remaja bertindak ganas menikam serta mengelar bekas kekasihnya dalam kejadian di Robson Height, Brickfield, Jumaat lalu. 

Sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dihubungi suspek yang dikenali sebagai Sivam, 27, yang mengugut membunuh dirinya jika mangsa tidak datang berjumpa untuk menyelesaikan masalah mereka. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu, bersetuju bertemu suspek. 

Katanya, mangsa tiba di tempat yang dijanjikan tetapi suspek secara tiba-tiba bertindak ganas dengan mengelar pergelangan tangan serta kaki kirinya. 

“Suspek panik dan terus membawa mangsa ke sebuah hospital dan menerima 10 jahitan di pergelangan tangan,” katanya semalam. 

Zakaria berkata, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, dan kertas siasatan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. 

Menurutnya, suspek ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan./sinarharian

Hasrat memadu asmara terbantut

PETALING JAYA: Kadar sewa bilik yang murah menjadikan dua hotel di Damansara Damai ini cukup popular sebagai ‘port’ maksiat. 

Ia terbukti apabila dua pasangan dicekup sedang memadu asmara di hotel tersebut malam kelmarin. 

Serbuan dilakukan anggota Cegah Maksiat Masjid Al-Muhtadeen dan Penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). 

Pasangan pertama masing-masing berusia 18 tahun ketika ditahan mengakui baru selesai melakukan hubungan seks. 

Menjawab pertanyaan Sinar Harian, pasangan tersebut mengakui pernah beberapa kali menyewa dan memilih untuk membuat hubungan seks di hotel bajet di situ kerana sewanya yang murah selain ’selamat’. 

”Kami selalu ke hotel bajet ini kerana ianya boleh disewa mengikut jam selain harganya yang murah. 

”Kalau orang Islam datang bawa pasangan dalam buku pendaftaran ditulis dengan maklumat butiran bahawa penyewanya sudah keluar,”katanya. 

Satu lagi pasangan berusia 31 dan 22 tahun yang merupakan kakitangan di sebuah kafe hospital turut dicekup. 

Pintu bilik pasangan itu diketuk hampir hampir 15 minit sebelum dibuka oleh seorang gadis. 

Ketika ditahan lelaki tersebut memberi alasan mahu menghantarnya kekasihnya pulang tetapi singgah sebenar di hotel tersebut untuk mandi. 

Hotel yang mempunyai lebih 30 buah bilik yang boleh disewa sekitar RM 30. hingga RM 50. untuk beberapa jam. 

Imam Masjid Al-Muhtadeen Mohd Fadhil Mohd Nor berkata pemilik hotel tersebut bijak mengabui mata pihak berkuasa agama dengan memberi pelbagai alasan termasuk tidak mempunyai kunci pendua ketika operasi dilakukan. 

”Melalui pemeriksaan MBPJ juga, hotel bajet tersebut dikompaun kerana beroperasi tanpa lesen manakala sebuah lagi hotel permohonan lesen masih lagi dalam proses./sinarharian

Pecah rumah awal pagi

BANTING: Pasangan suami isteri di Taman Setia Jaya di sini terkejut apabila rumah mereka dimasuki pencuri awal pagi semalam. 

Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chong berkata, dia terkejut apabila mendapati pintu rumahnya terbuka dan mengesyaki kejadian tidak diingini telah berlaku. 

Menurutnya, kebetulan pada hari kejadian dia hanya tinggal berdua dengan isterinya kerana anak-anaknya tiada di rumah. 

“Lebih kurang jam 3 pagi saya dan isteri terjaga dari tidur. Saya tiba-tiba rasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu telah berlaku. 

“Saya ambil keputusan untuk lihat keadaan rumah tetapi terkejutnya melihat pintu rumah terbuka luas,” katanya. 

Ah Chong berkata, selepas menutup pintu rumah dia segera melihat bilik tidur anak perempuannya. 

“Saya dan isteri sangat terkejut apabila lihat keadaan bilik berselerak dan ada beberapa barang seperti telefon bimbit, wang tunai, barang kemas dan kunci rumah hilang,” katanya kepada Sinar Harian. 

Katanya, walaupun dia mengalami kerugian akibat kehilangan beberapa barang yang dicuri, namun dia dan isteri berasa gembira serta bersyukur kerana mereka masih selamat. 

“Kejadian yang berlaku benar–benar buat kami risau sekiranya anak–anak tinggal bersama. 

Menurutnya, dia berharap kejadian tersebut tidak berulang lagi dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada khususnya pada awal pagi terutama ketika hujan lebat. 

“Kejadian ini juga memberi iktibar kepada keluarga kami supaya lebih berhati–hati walaupun pintu rumah sudah pun berkunci,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. 

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat ketika ditemui turut mengesahkan kejadian tersebut, sekali gus akan menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan./sinarharian

Tiga remaja wanita dicekup curi coklat

KUANTAN: Tiga remaja perempuan dicekup pekerja kedai di sebuah stesen minyak dekat sini kerana cuba mencuri pelbagai jenis coklat berharga kira-kira RM100, petang kelmarin. 

Semua remaja berusia 15 tahun dari Taman Mahkota Aman dekat sini kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud berkata, remaja perempuan terbabit difahamkan datang ke kedai stesen minyak di Jalan Gambang itu kira-kira jam 2 petang kononnya untuk membeli barang. 

Menurutnya, tindak tanduk mencurigakan ketiga-tiga remaja terbabit itu diperhatikan seorang pekerja berusia 25 tahun yang berada di kaunter. 

“Hasil pemerhatian pekerja terbabit yang juga pengadu dalam kes itu mendapati remaja tersebut cuba mengambil beberapa keping coklat di atas rak dan dimasukkan ke dalam sebuah beg sebelum datang ke kaunter. 

“Bagaimanapun remaja itu hanya membayar dua bungkusan gula-gula berharga RM1,”katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam. 

Mohd Haris berkata, pekerja terbabit mula curiga lalu menahan semua remaja itu ketika cuba keluar dan meminta mereka memulangkan balik coklat curi itu. 

“Selepas mendapati ada coklat dalam beg remaja terbabit, pengadu kemudiannya menghubungi polis sebelum menyerahkan mereka untuk tindakan lanjut,”katanya. 

Menurutnya, remaja terbabit ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan./sinarharian

Kasih anak, sanggup jamin ayah dituduh merogol

KUALA TERENGGANU: Kasih seorang anak! Walaupun masih bergelar penuntut, namun disebabkan tidak sanggup melihat bapa kandung meringkuk di penjara atas tuduhan merogol, seorang anak sanggup menjadi penjamin dengan membayar wang jaminan sejumlah RM10,000 setelah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Sebelum ini, pada 17 Mac lalu, tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, dari kampung Wakaf Tengah tidak dibenarkan diikat jamin selepas ahli keluarganya gagal menghadirkan diri semasa pertuduhan dijalankan. 

Namun, Hakim Tuan Mohd Azman Mustapha semalam membenarkan anak kepada ‘tok bomoh’ yang dituduh merogol seorang guru tadika berumur 29 tahun pada 7 Mac lalu selepas mengambil kira pengakuan tidak bersalah atas tuduhan itu. 

Selain itu, Tuan Mohd Azman turut mempertimbangkan permohonan peguam bela tertuduh, Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir yang memohon agar tertuduh dibenarkan diikat jamin selepas mengambil kira faktor usia dan juga kesihatan tertuduh semakin uzur. 

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Chooi Ooi Goik dan hakim menetapkan 18 April sebagai tarikh perbicaraan. 

Mengikut pertuduhan sebelum ini, pada 7 Mac lalu jam 12 tengah malam di kampung Seberang Tepoh, tertuduh dituduh merogol seorang guru tadika di dalam sebuah bilik di kediaman ‘tok bomoh’ berkenaan ketika sedang merawat mangsa selepas mendakwa terkena buatan orang. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan./sinarharian

Hubungan seks lebih 25 kali

CHUKAI: Disangkakan demam panas, rupa-rupanya sakit mahu bersalin. 

Itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan seorang bapa yang hanya mengetahui anak gadisnya sarat mengandung dan cuma menunggu saat untuk melahirkan bayi ketika menghantar anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana suhu badannya panas. 

Hati bapa mana yang tidak hancur apabila mengetahui berita berkenaan daripada doktor, apatah lagi si anak gadis masih di bawah umur. 

Bagaimanapun, demi maruah, bapa berkenaan nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di sini, Selasa lalu. 

Meskipun sudah sarat mengandung, namun ‘perut membusung’ gadis itu yang dikatakan tidak kelihatan menyebabkan bapa terbabit dan ahli keluarga lain tidak menyedari anaknya itu mengandung luar nikah.

Sinar Harian difahamkan, pada hari sama bapa berkenaan membuat laporan polis, anak gadisnya yang ditahan di wad juga telah selamat bersalin di Hospital Kemaman. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, suspek bagi kes berkenaan adalah teman lelaki mangsa sendiri. 

“Suspek berumur 19 tahun dan berasal dari Bukit Kelulut, Marang. Sekarang kita sedang mengesan suspek. 

“Berdasarkan soal siasat awal juga, mangsa yang sudah tidak bersekolah turut mengakui telah melakukan hubungan seks lebih daripada 25 kali bersama teman lelakinya itu,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawal pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlalu bebas seterusnya mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku./sinarharian

Bergelutan dengan bomba

KOTA BHARU: Cubaan seorang gadis yang dipercayai terbabit masalah cinta dan menghadapi masalah keluarga untuk terjun bangunan tiga tingkat KB Mall, Jalan Hamzah di sini gagal apabila dia berjaya diselamatkan bomba.

Gadis terbabit yang bekerja di sebuah pasar raya di Wakaf Che Yeh dan berasal dari Kampung Gaung memegang sebilah pisau dan mengacukannya kepada anggota bomba yang berusaha memujuknya ketika dia berdiri di birai bangunan berkenaan.

Keadaan itu menimbulkan panik kepada orang ramai untuk menyaksikan kejadian yang pertama kali berlaku sehingga berlaku kesesakan lalu lintas di hadapan pusat membeli belah dan kawasan berdekatan.

Ketua Cawangan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.54 petang dan apabila tiba di tempat kejadian mendapati seorang gadis cuba terjun dari bangunan.

“Pihak bomba cuba memujuk gadis itu yang berusia lingkungan 20-an itu yang memegang pisau dan juga telefon bimbit ketika kejadian. Namun jarak komunikasi yang jauh menimbulkan masalah selain dia enggan memberikan kerjasama.

“Bagaimanapun seorang pegawai bomba berjaya mendekatinya sebelum memegang tangan mangsa namun dia meronta-ronta untuk dilepaskan dan ketika itu berlaku pergelutan beberapa minit,” katanya kepada pemberita selepas operasi menyelamatkan mangsa, semalam.

Menurutnya, ketika pergelutan itu mangsa yang dipercayai memegang sebilah pisau terjatuh ke atas tilam yang disediakan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pemeriksaan lanjut.

Shahrin Yusmar berkata, dua jentera dari dua balai berkenaan bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan mangsa daripada terjun dari bangunan./sinarharian

Selasa, 22 Mac 2011

Pasangan setan samun nenek

GOMBAK: Dia layak digelar gadis setan apabila bersama-sama teman lelakinya bertindak kejam mengikat seorang nenek berusia 60-an dan membelasah mangsa dalam kejadian samun di rumahnya, di Kampung Koskan, Rawang, dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, gadis berusia 20-an terbabit bersekongkol dengan teman lelakinya memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM30,000 serta wang tunai RM1,700.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang tinggal berseorangan terkejut apabila dua individu tidak dikenali masuk ke dalam rumahnya dan bersenjatakan parang.

Menurut sumber, gadis terbabit bersama pasangannya mengumpil pintu belakang sebelum bertindak mengugut nenek terbabit supaya tidak menjerit.

“Mangsa yang berseorangan hanya mampu berdiam diri selepas diacukan parang dan merayu supaya tidak diapa-apakan.

“Suspek mengarahkan mangsa duduk sebelum mengikatnya sambil memukul mangsa menyebabkan dia cedera di muka,” katanya.

Sumber berkata, akibat kudratnya yang sudah tua, nenek terbabit hanya mampu berdiam diri dan tidak melawan kerana bimbang dirinya diapa-apakan.

“Selepas mengikat mangsa, pasangan terbabit menyelongkar kediaman itu dan menjumpai barangan kemas yang disimpan dalam bilik tidur.

“Selain itu, pasangan terbabit turut mengambil wang tunai RM1,700 sebelum melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.

Menurut sumber, lebih menyedihkan mereka turut membiarkan nenek terbabit dalam keadaan terikat dan berdarah.

“Mujur cucu mangsa pulang ke rumah dan menjumpai neneknya itu.

“Cucunya terkejut apabila masuk ke rumah selepas melihat neneknya yang sudah lemah dalam keadaan terikat sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK)./hmetro

Isteri lari, rimas suami bela burung

FELDA KERTEH 4: “Saya masih sayangkan dia. Saya mahu dia pulang ke pangkuan saya. Jika dia kembali, saya berjanji untuk melepaskan dua ekor burung tekukur peliharaan yang mungkin jadi punca kenapa dia lari dari rumah,” luah Mohd Affendi Mustaffa, 25. 

Mohd Affendi, seorang pemotong rumput kini buntu berikutan isteri yang baru dinikahinya beberapa bulan lalu melarikan diri dipercayai berpunca daripada salah faham antara mereka. 

Dia yang juga anak seorang peneroka Felda ketika mengadu masalahnya di Pusat Aduan Komuniti Sinar berkata, dia sama sekali tidak menyangka gadis yang menjadi pilihan hidupnya itu tergamak menolak cinta sucinya biarpun pernah menjadi teman sebantal. 

Menurutnya, sejak menikahi isterinya September tahun lalu, dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai suami, apatah lagi menafikan nafkah hidup kepada insan yang disayangi itu. 

Katanya, kemuncak kemarahan isterinya itu apabila dia tidak dapat menurut kehendak isterinya untuk melepaskan burung peliharaan kesayangannya. 

Affendi berkata, hobi memelihara burung sejak zaman bujang itu masih diteruskan sehingga dia berkahwin. Namun difahamkan, hobinya itu merimaskan isterinya yang berasal dari Kuala Terengganu itu. 

“Pada 3 Disember lalu, dia meminta izin saya kononnya untuk pulang ke orang tuanya, jadi saya menghantarnya ke stesen bas di Ketengah Jaya. 

“Bagaimanapun dia tidak pulang ke kampungnya, sebaliknya keesokan harinya dia menghubungi saya bahawa dia enggan pulang ke pangkuan saya dan ingin menetap di Johor Bharu,” katanya. 

Katanya, dia telah membuat laporan di Pejabat Agama Dungun dan berharap isterinya segera pulang dan sedia memaafkan kesalahan isteri kerana dia masih sayangkannya./sinarharian

Sabtu, 19 Mac 2011

Bomoh tidak mengaku salah

KUALA TERENGGANU: Seorang bomoh tidak mengaku bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. 

Tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, meminta kes tersebut dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin. 

Dalam pertuduhan tersebut, dia dituduh melakukan kesalahan terbabit pada 7 Mac lalu, kira-kira jam 12 tengah malam di rumah bernombor 628, kampung Seberang Tepoh. 

Pengamal perubatan tradisional tersebut didakwa melakukan perkara terbabit ke atas Rozita Jusoh, 29. 

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun berserta sebatan. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Hazeelia Muhammad dan tertuduh tidak diwakili peguam. 

Hakim menetapkan 18 April ini sebagai tarikh sebutan jaminan dan lanti-kan peguam. 

Sinar Harian 9 Mac lalu melaporkan gara-gara terlalu percaya dengan kebolehan seorang tok bomoh veteran yang konon mampu memulihkan kembali kasih sayang suami isteri, seorang janda muda dirogol di rumahnya sendiri dalam satu kejadian di kampung Tepoh. 

Kejadian bermula apabila tok bomoh dari kampung Wakaf Tengah itu datang ke rumah mangsa kira-kira jam 10 malam kononnya untuk mengubati mangsa yang berhadapan dengan masalah rumah tangga. 

Ketika kejadian, difahamkan kesemua ahli keluarga mangsa termasuk kedua-dua ibu bapanya berada di dalam rumah itu tetapi seolah-olah dipukau kerana tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya membiarkan sahaja mangsa bersama tok bomoh berkenaan di dalam bilik berdua-duaan./sinarharian

Khamis, 17 Mac 2011

Basuh lepas bunuh


JOHOR BAHRU: Seorang penjenayah sempat meminta izin untuk menggunakan air seorang penduduk bagi membersihkan darah yang memenuhi muka dan bajunya selepas menyamun dan membunuh seorang tukang urut wanita semalam.

Kejadian pukul 3 petang di sebuah rumah di Jalan Seniman, Kampung Sri Serdang di sini itu menyebabkan Demah Cinak, 43, mati di tempat kejadian. Anak angkatnya, Mahmudah, 35, yang turut berada di rumah ketika kejadian pula parah ditikam.

Demah yang ditikam di perut mempunyai status penduduk tetap manakala Mahmudah warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci.

Seorang jiran, Norfarhana Zamir, 16, memberitahu, ketika kejadian dia sedang membasuh pakaian sebelum terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh.

Katanya, sebaik keluar dia ternampak seorang lelaki bermandikan darah di muka dan bajunya sebelum penjenayah itu meminta izin seorang jiran lain menggunakan air untuk membasuhnya./kosmo
BEBERAPA jiran melihat mayat Demah (kiri) yang mati ditikam dua lelaki di Johor Bahru semalam.

Rabu, 16 Mac 2011

Baca Yasin mengundur

BIMBANG...Siti mendedahkan ajaran bomoh yang digelar Tok Belagak.
BIMBANG...Siti mendedahkan ajaran bomoh yang digelar Tok Belagak.
SHAH ALAM: Mampu mengimbas siapa yang bakal masuk syurga atau ke neraka, mampu menghantar roh orang sudah mati ke Makkah untuk beribadat hingga kiamat dan memulihkan mangsa santau dengan bacaan Yassin secara mengundur - itu antara kebolehan luar biasa Tok Belagak.

Namun, semua itu dakyah songsang satu kumpulan dipercayai ajaran sesat yang kini bergiat aktif di pinggir bandar raya ini untuk mencari pengikut. Ia diketuai seorang bomoh lelaki berusia 50-an yang digelar Tok Belagak.

Mendedahkan perbuatan bertentangan akidah itu, seorang ibu tunggal yang mendakwa dua anak lelakinya berusia 30-an terpengaruh ajaran terbabit berkata, dia amat bimbang akidah anaknya akan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Wanita berumur 56 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, pada mulanya kedua-dua anak lelakinya itu menemui lelaki terbabit untuk mendapatkan penawar penyakit dialaminya yang tidak sembuh sejak sekian lama.

“Pada mulanya anak-anak saya ingin mencarikan penawar untuk sakit saya dan tidak kebah sejak dulu. Namun, selepas diberikan air kononnya boleh menyembuhkan penyakit saya, anak tertarik untuk mengikuti ajaran kumpulan digelar Darul Saka itu.

“Mereka tertarik menyertai kumpulan itu selepas melihat penampilan ahli dan ketua ajaran terbabit. Dari luar mereka kelihatan alim dan warak serta selalu membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan anak untuk menyertai kumpulan mereka pada mulanya sejak dua tahun lalu.

“Tok Belagak pula tak kedekut menurunkan ilmu kepada anak saya untuk mengubati mereka yang terkena saka dan mereka seperti teruja kerana mempunyai ilmu itu,” katanya.

Namun, Siti pelik apabila anaknya membaca surah Yasin secara mengundur ketika mengubati orang yang mengalami sakit buatan orang atau dirasuk.

“Lebih menghairankan apabila Tok Belagak mendakwa boleh tahu berapa banyak amalan arwah suami saya ketika hidup. Arwah meninggal dunia lima tahun lalu dan Tok Belagak mendakwa mampu menghantar roh suami saya ke Makkah untuk beribadat sehingga kiamat untuk menampung dosa ketika masih hidup.

“Saya rasa itu dah cukup melampau kerana saya sentiasa mendoakan untuk arwah suami. Tok Belagak mendakwa dia tahu sejauh mana amalan arwah. Bagi saya itu semua kerja Allah dan dia tidak patut mengeluarkan kenyataan begitu,” katanya.

Siti berkata, dia mula mencurigai amalan kumpulan diketuai bomoh terbabit sejak Ramadan tahun lalu, apabila melihat anaknya yang rajin ke masjid atau surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat sunat tarawih tidak lagi berbuat demikian, malah tidak sekali pun melakukan ibadah itu.

“Bagai nak gugur jantung apabila mereka menyatakan tak perlu menunaikan solat tarawih di masjid atau surau kerana mereka bersolat dengan Rasullulah s.a.w di langit. Saya mempersoalkan kenyataan mereka, tetapi sedih betul anak-anak yang saya sayangi memarahi dan meminta saya tidak masuk campur urusan ibadah mereka,” katanya.

Menurutnya, dia kini buntu memikirkan cara untuk memulihkan akidah kedua-dua anak itu, namun pada pada sama tidak berani mendedahkan kegiatan songsang bomoh terbabit kerana bimbang keselamatan diri.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengikuti anaknya ke tempat bomoh itu beroperasi untuk ikhtiar mengubati penyakitnya, tetapi selepas menghidu ajaran songsang bomoh terbabit, dia tidak lagi mengikut anaknya ke sana.

“Tok Belagak yang mempunyai isteri dan lima anak turut mendakwa menjalankan aktiviti membuang saka dari jarak jauh. Malah, dia mendakwa mempunyai kawasan jajahan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Saya difahamkan di kawasan Lembah Klang saja, lebih 300 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sudah terpengaruh dengan mengikuti dan menyebarkan ajaran Tok Belagak menerusi blognya di Internet,” katanya./hmetro

Pengawal mati diserang

RAWANG: Seorang pengawal keselamatan mati manakala rakannya parah selepas diserang empat lelaki dipercayai menggunakan senjata tajam berhampiran rumahnya di Jalan 4B, Taman Muhibbah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu mangsa, S Selva Kumar, 24, putus tangan kiri selain cedera di perut dan kepala dipercayai akibat tetakan senjata tajam oleh penyerangnya manakala rakannya yang cedera belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata anggota dari Balai Polis Rawang menerima maklumat berlaku pergaduhan kira-kira jam 8.35 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat./hmetro

Tangan ditetak, RM70,000 lesap

REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan ketika dikejar penjenayah.
REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan ketika dikejar penjenayah.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bukan saja cedera pada tangan kanan selepas ditetak menggunakan parang, malah dia terpaksa berputih mata apabila wang RM70,000 miliknya dilarikan sekumpulan penyamun di Jalan Loke Yew, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa yang ditemani rakannya berusia 20-an itu mengeluarkan wang berkenaan untuk urusan perniagaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang memandu Honda Civic ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Jalan Loke Yew menghala pusat bandar itu mengesyaki kenderaannya diekori dua kereta.

Menurut sumber, mangsa memecut kenderaannya, namun gagal meloloskan diri daripada penjenayah apabila dia terlanggar sebuah kereta di hadapannya sebaik tiba di kawasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

“Kesempatan itu digunakan suspek untuk menghalang kenderaannya. Sebuah kereta menghadang di bahagian depan manakala satu lagi kenderaan di belakang.

“Mangsa dan rakannya yang terperangkap didatangi dua lelaki berusia 30-an mengarahkannya membuka cermin. Pada mulanya, mangsa enggan, namun suspek menunjukkan sebilah parang arahnya,” katanya.

Sumber berkata, bimbang dengan keadaan itu, mangsa patuh arahan suspek sebelum dua lelaki terbabit mengarahkan mereka menyerahkan beg mengandungi wang berkenaan.

“Tindakan mangsa yang tidak mahu menyerahkan beg berkenaan menyebabkan suspek berang sebelum menetak tangannya.

“Rakan suspek mengambil beg itu sebelum kumpulan penjenayah terbabit melarikan diri,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang cedera, bagaimanapun dirawat sebagai pesakit luar Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini./hmetro

Selasa, 15 Mac 2011

Rogol anak tiri: Penjara 15 tahun kekal

PUTRAJAYA: Seorang pemotong rumput kekal menjalani hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak tirinya berumur sembilan tahun, 11 tahun lalu.

Ia berikutan kegagalannya dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Termerloh pada 12 Mei 2009.

Panel tiga hakim, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 42 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman.

Dua hakim lain dalam panel tersebut alah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohamed Apandi Ali.

Lelaki itu didakwa atas dua tduhan iaitu merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan zakarnya ke dalam mulut kanak-kanak perempuan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Felda Jengka 8, Bandar Jengka, Maran, Pahang, kira-kira pukul 10 malam, antara 9 Feb dan 11 Feb 2000.

Dalam prosiding rayuan, lelaki itu, yang tidak diwakili peguam, berkata beliau telah insaf dan perlu menjaga ibunya yang uzur.

Menurut fakta kes, lelaki itu melakukan perbuatan itu semasa ibu mangsa sedang menjalani rawatan di hospital akibat keguguran.

Dalam keterangan, mangsa memberitahu kejadian itu berlaku tiga malam berturut-turut dan dia memaklumkan insiden itu kepada ibunya selepas ibunya keluar dari hospital.

Pada 12 Jun 2006, Mahkamah Sesyen Temerloh melepas dan membebaskan lelaki itu atas dua tuduhan itu di akkhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Temerloh membenarkan rayuan pendakwaan dan menjatuhi hukuman 15 tahun dan tiga sebatan rotan setiap pertuduhan terhadap lelaki itu.

Lelaki itu, yang bekerja di Awana Golf Club di Genting Highlands, diperintah menjalani hukuman itu serentak.

Ketika memohon mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Timbalan Pendakwa Raya, Andi Razalijaya A. Dadi, berkata perayu telah mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu.

Akibat perbuatan perayu, kanak-kanak itu menghadapi trauma dan masa depannya terjejas, katanya./Bernama

Isnin, 14 Mac 2011

Gadis ikut tomboi

JOHOR BAHRU: “Saya pakai dia punya telefon, saya di rumah kawan di Kuantan.” 

Itu antara petikan khidmat pesanan ringkas (SMS) ditulis dalam tulisan Cina yang dihantar seorang gadis berusia 15 tahun, Joscelin Heng Shi Han yang dikatakan tidak pulang ke rumah dengan mengikut seorang tomboi sejak Selasa lalu. 

SMS itu diterima ibu gadis, Cheah Saw Tin, 38, daripada seorang rakan anaknya yang menerima pesanan daripada Joscelin ketika menghadiri sidang media di Kelab Wartawan Cina Johor Selatan, di sini, semalam. 

Justeru, Saw Tin, 38, dan suaminya, Heng Bock Liang, 41, anak gadisnya pulang ke pangkuan keluarga selepas bertindak mengikut rakan yang dikenali menerusi laman sosial. 

Ibu bapa ini juga risau akan keselamatan anak perempuan tunggal mereka itu dan berjanji akan memaafkan perbuatan anaknya itu, asalkan dia pulang. 

“Kita mahu panggil balik dan jika ada masalah cakap. Kita tidak tahu apa masalah kamu (anaknya)? Papa dan mama tidak akan marah, janji kamu balik dan teruskan persekolahan. 

“Kami juga takut dia diapa-apakan seperti kegiatan yang tidak baik atau ditipu,” katanya.

Saw Tin menyedari kehilangan anaknya pada 8 Mac lalu, apabila Joscelin dikatakan gagal pulang dari sekolah sehingga jam 10 malam, panggilan telefon bimbit anak pertama daripada dua beradik itu juga gagal dihubungi.

Bimbangkan akan keselamatan anaknya itu, Saw Tin telah menghubungi rakan sekolah Joscelin dan diberitahu anaknya telah mengikut salah seorang rakan lain yang tidak bersekolah lagi.

Isteri kepada mekanik itu berkata, anaknya mula berubah sejak cuti persekolahan Disember lalu sekembalinya Joscelin dari rumah datuknya di Kuala Lumpur.

Hasil selidik ekoran perubahan itu, Saw Tin difahamkan anaknya telah berkawan dengan seorang kawan perempuan yang berpakaian tomboi dan difahamkan tomboi terbabit telah datang ke sekolah anaknya minggu lalu.

“Kami tidak pernah memukul dia, namun sebagai ibu bapa kami memang ada marah dan menasihatinya apabila mengetahui dia ponteng sekolah.

“Sebelum ini dia tidak ada masalah dan belajar juga sederhana, namun tidak menyangka dia sanggup meninggalkan keluarga,” katanya.

Bimbang atas keselamatan anaknya, Saw Tin telah membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Utara, Selasa lalu.

Jelasnya, cubaan menelefon anaknya juga gagal kerana Joscelin enggan menjawab panggilan dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepadanya.

“Khamis lepas dia ada hantar SMS kepada kami dan memberitahu supaya kami jangan risau. Dia dalam keadaan selamat dan beliau tahu jalan balik,” katanya.

Ketika sidang media diadakan, Saw Tin turut menerima SMS dari rakan anaknya yang memberitahu Joscelin kini di Kuantan hasil pesanan anaknya kepada rakannya di Johor Bahru.

Sementara itu, Pengerusi Wanita DAP Negeri, Ng Siam Luang akan membantu menwar-warkan berita kehilangan Joscelin itu kepada cawangan DAP di Kuantan, bagi mengesan gadis 15 tahun itu, dan dalam masa yang sama menasihatkan remaja khususnya wanita agar tidak mudah terperdaya dan mengikut orang yang tidak dikenali.

“Saya nasihatkan remaja, jangan bertindak mengikut perasaan apatah lagi mengikut rakan yang baru dikenali kerana kita takut ia membawa pengaruh negatif,” katanya di sini./sinarharian

Ahad, 13 Mac 2011

Pegawai wakil rakyat dicekup khalwat

MARANG: Sepasang kekasih ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dalam sebuah kereta di satu kawasan sunyi dan gelap di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin. 

Paling mengejutkan apabila lelaki itu yang merupakan pegawai kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Marang, Terengganu. 

Malah dia juga sudah berkahwin dan sepatutnya berada bersama keluarga lebih-lebih lagi pada malam Jumaat. 

Lelaki itu mengaku hanya bekerja sebagai buruh ketika keterangannya diambil pihak berkuasa manakala wanita warga Indonesia itu pula tidak mempunyai suami dan bekerja pembantu rumah di Kuala Terengganu. 

Berdasarkan maklumat, anggota polis peronda yang melalui kawasan itu membuat pemeriksaan di lokasi kejadian kira-kira jam 1.30 pagi sebelum menahan seorang lelaki berusia 52 tahun bersama pasangannya berumur 34 tahun dalam kereta terbabit. 

Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan dibebaskan dengan jaminan sebelum dihadapkan ke Makahmah Rendah Syariah Marang, petang kelmarin. 

Bagaimanapun, perbicaraan secara tertutup diadakan kerana ia berlaku pada hari cuti umum iaitu Jumaat. 

Difahamkan Hakim Syarie, Shamsudin Ngah terpaksa menangguhkan perbicaraan untuk rayuan dan keputusan dibuat pada hari bekerja. 

Kedua-dua tertuduh terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2011 yang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. 

Sementara itu, Persuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenainya. 

Namun ketika diajukan soalan mengapa perbicaraan itu diadakan secara tertutup, beliau berkata, ia hanya prosedur biasa bagi membolehkan pihaknya menahan individu terbabit dalam masa lebih panjang. 

Sehubungan itu, ADUN terbabit ketika dihubungi bagi mengesahkan status lelaki terbabit memberitahu, beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan./sinarharian