Sabtu, 26 Mac 2011

Rogol remaja: Tukang kena 12 sebatan

ALOR SETAR: Seorang tukang rumah dihukum penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol mangsa berusia 14 tahun tiga tahun lalu. 

Mohd Salleh Abdullah, 41, dari Kuala Nerang didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun (ketika kejadian) di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Semiliang, Padang Terap kira-kira jam 2.30 petang, 2 September 2008. 

Dia juga dituduh merogol mangsa dalam kawasan kebun getah di Kampung Kuala Janing, Padang Terap kira-kira jam 2.30 petang, 27 September 2008. 

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi setiap tuduhan dan memerintahkannya berjalan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh ditangkap iaitu 2 Oktober 2008. 

Ini bermakna hukuman kedua hanya akan dilaksanakan selepas hukuman bagi kesalahan pertama selesai. 

Dalam penghakimannya, Mohd Sabri berkata, tertuduh gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah pada akhir pembelaan dan disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan. 

Dalam rayuannya, Mohd Salleh berkata, dia hanya pergi ke rumah keluarga mangsa untuk membina rumah dan menafikan mengenali mangsa kerana hanya bersahabat dengan ayahnya. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memohon hukuman seadilnya kerana masih mempunyai keluarga termasuk isteri dan anak. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana melakukan kesalahan serius supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan