Sabtu, 5 Mac 2011

Lelaki dibuang bawah pelepah sawit lepas ditetak

KULIM: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang cedera parah di kepala, badan dan tangan akibat ditetak sebelum dia dibuang di bawah longgokan pelepah sawit, dalam satu kejadian samun di Lunas, dekat sini, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, mangsa menahan kesakitan kira-kira dua jam berikutan kesukaran menemuinya di bawah timbunan pelepah sawit dalam kejadian jam 2.30 petang.

Difahamkan, mangsa kerugian RM700 selepas disamun sekumpulan lima lelaki sebelum dia ditetak dan disorokkan di bawah timbunan pelepah sawit.

Bagaimanapun, motosikal milik mangsa Honda EX5 tidak dilarikan sekali gus menjadi petunjuk kepada orang ramai untuk mencari mangsa.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) iaitu badan bukan kerajaan di sini, Khor Eng Khim berkata, seorang saksi menemui motosikal di ladang sawit itu sebelum menghubungi pihaknya.

Katanya, sejurus menerima panggilan itu, PPKM ke tempat kejadian dan menghubungi polis sambil mencari mangsa.

Menurutnya, seorang ahli PPKM ternampak tompokan darah sebelum mereka bersama polis meneruskan operasi mencari dan menemui pakaian mangsa di lokasi kejadian.

“Ketika mencari mangsa di tempat tompokan darah dan baju itu, kami terdengar suara orang meminta tolong,” katanya.

“Suara itu dikenal pasti dari bawah longgokan pelepah sawit berkenaan dan ketika ditemui mangsa berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, polis menjejaki lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan