Rabu, 29 Jun 2011

2 beradik miang dicekup

LANGKAWI: Tindakan dua wanita bersaudara termasuk seorang yang dalam proses perceraian membawa pasangan masing-masing tinggal bersama di rumah sewa mereka di Kampung Yooi, Kuah di sini, sejak beberapa bulan lalu, terbongkar apabila dicekup berkhalwat, awal pagi kelmarin.

Adik-beradik berusia 20-an dan 30-an itu dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) dengan pasangan masing-masing berusia 30-an dalam dua bilik berasingan di rumah itu, kira-kira jam 1 pagi.

Si kakak masih berstatus isteri orang, tetapi dalam proses perceraian dan mempunyai tiga anak dijaga suaminya, manakala adiknya memberi alasan bapa mereka enggan menjadi wali pernikahan dengan teman lelakinya.

Ketua Operasi Padal, Saiful Aswad Kasa berkata, berdasarkan maklumat orang awam, sepasukan anggota penguat kuasa ke lokasi dan mendapati rumah berkembar satu tingkat itu gelap serta berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam berulang kali, seorang wanita berkemban dengan kain pelikat membuka pintu dan memberitahu hanya dia dan kakaknya berada di dalam rumah itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang hanya bertuala di dalam bilik pertama manakala seorang lelaki lagi juga bertuala, ditemui dalam bilik kedua bersama kakak gadis berkenaan yang hanya berkemban kain pelikat tanpa baju,” katanya./hmetro

Hati tetap hitam

NUSAJAYA: Seramai 25 pengikut ajaran sesat Kumpulan Layar Bahtera termasuk 22 lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 40 tahun yang tinggal di sekitar Taman Rinting di sini, ditahan Jabatan Agama Johor (JAJ), awal bulan ini kerana masih mengamalkan ajaran berkenaan.

Ajaran sesat itu dikatakan disebarkan di rumah ketua kumpulan itu di Masai dan sebahagian besar pengikutnya juruteknik dan pekerja kontrak. Pengerusi Jawatan kuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ajaran itu diharamkan pada 2010 dan diketuai seorang lelaki berusia 40 tahun berasal dari Selangor.

“Pada masa sama, ketua kumpulan itu yang menggelar dirinya sebagai Nakhoda mendakwa dia mengetahui segala ilmu dan benda ghaib.

“Selain tidak mengamalkan sembahyang fardu lima waktu, Kumpulan Layar Bahtera juga dikatakan sudah mengumpul 40 pengikut sejak tiga tahun lalu.

“Lebih membimbangkan, ajaran berkenaan menyatakan semua manusia adalah ‘Allah’, malaikat ialah manusia yang taat, jin manusia dikurniakan ilmu yang tiada pada manusia biasa serta iblis manusia pula mereka yang sering melakukan kemungkaran,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-12, di Kota Iskandar di sini, semalam.

Menurut Zainal, selain itu, Kumpulan Layar Bahtera juga mendakwa syaitan adalah manusia yang menjadi penghasut, Gunung Tursina di Timur Tengah pula sebenarnya adalah Gunung Ledang, malah pengikutnya turut mentafsir ayat suci al-Quran dan hadis mengikut cita rasa sendiri.

“Semua 25 pengikut ajaran sesat itu kini menantikan pendakwaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zainal berkata, satu lagi kumpulan ajaran sesat yang juga saki baki pengikut ajaran al-Arqam dikenali Global Ikhwan didapati cuba menyebarkan kembali ajaran Syiah di sebalik kegiatan perniagaan syarikat itu yang beroperasi di sekitar Tampoi.

“Sama seperti syarikat Rufaqa Corporation yang juga serpihan al-Arqam dan masing-masing diharamkan di negeri ini pada 2007 juga 1994, Global Ikhwan didapati cuba menghidupkan kembali al-Arqam.

“Bagi membendung fahaman itu, kita sudah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memantau dan mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan mereka,” katanya.

Menurut Zainal, JAJ kini giat memantau saki baki dua kumpulan ajaran sesat berkenaan yang dikesan masih bergiat aktif di sekitar negeri ini terutama di sekitar Masai dan Johor Bahru.

“Kami bimbang dengan kewujudan kumpulan ajaran sesat itu, pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi mengesan saki baki pengikutnya,” katanya./hmetro

Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mendera anak lelakinya berumur lapan tahun dengan merotan dan meletakkan tangan mangsa di atas api dapur, tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas Lai Suk Phing, 38, menukar pengakuannya kepada bersalah selepas tuduhan dibacakan.

Beliau juga memerintahkan Lai dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda.

Dia didenda RM15,000 bagi setiap tuduhan pertama dan kedua serta RM4,000 bagi tuduhan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.

Jurujual itu didakwa mendera anak lelakinya Tham Ming Tong dengan merotan paha mangsa kira-kira enam kali dan kira-kira enam kali di kedua-dua belah peha mangsa dan meletakkan bahagian belakang tangan mangsa di atas api dapur./hmetro

Anak gadis melibas pedang kepada bapa kandung


KOTA BHARU: Sedih apabila anak sendiri tergamak melibas pedang kepada bapa kandung hanya kerana tidak puas hati mengenai urusan perkahwinan yang ditetapkan keluarga. 

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Su, 60, melahirkan kekecewaan itu terhadap perbuatan melampau kedua-dua anak perempuannya yang berusia 21 dan 25 tahun tanpa diketahui punca sebenar kemarahan itu. 

Bapa kepada 14 anak itu berkata, bagaimanapun anaknya yang berusia 22 tahun itu berkemungkinan marah terhadap ibu tiri mereka, tetapi tidak pula menyatakan punca sebenar. 

“Hati bapa mana tidak sedih jika anak sendiri sanggup bertindak demikian. 

“Ibu tirinya pun bertanya mengapa mereka sanggup bertindak begitu tetapi mereka enggan menjelaskannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam. 

Menurutnya, ibu tiri kepada anak-anaknya itu banyak membantu sehingga mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing. 

Pak Su berkata, lebih menyayat hati setelah dalam kejadian itu, anak perempuannya juga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat hingga menguris hatinya sebagai bapa dan orang tua. 

“Hancur luluh hati saya hingga setiap malam menangis mengenangkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan dari mulut seorang anak kepada orang tua,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian dekat sini terhadap kejadian itu. 

Bukan sahaja cuba dicederakan, tetapi Pak Su juga mendakwa, menerima pesanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ditulis dengan kata-kata kesat. 

Menurutnya, dia tidak akan menerima permohonan maaf daripada kedua orang anaknya tetapi berdoa supaya Allah swt memberi petunjuk dan membalas perbuatan mereka. 

Sementara itu, salah seorang anaknya hanya dikenali sebagai Nor ketika dihubungi berkata, tidak ada niat menderhaka terhadap bapanya dan mendakwa terdapat salah faham di antara mereka bertiga. 

“Kami akui ada kesalahan daripada pihak kami, walau apa pun kami tidak berniat untuk menderhaka kepadanya kerana dia adalah bapa saya dan kami masih sayangkannya, namun jika ada salah atau silap kami mohon maaf. 

“Sebenarnya perkara ini sepatutnya dibincangkan bersama ahli keluarga terlebih dahulu, tetapi ia sudah berlaku begini dan diketahui umum saya reda,” katanya. 

Nor juga berharap masalah yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan segera demi menyelamatkan hubungan keluarga mereka./sinarharian

Ustaz cabul gadis dalam bilik air


DUNGUN: Seorang ustaz sanggup membelakangkan hukum agama apabila tergamak menodai kesucian seorang pelajar ketika memberi rawatan kepada gadis belasan tahun yang difahamkan pernah mengalami gangguan makhluk halus itu. 

Kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Bukit Besi, dekat sini antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari 25 Jun lalu, ketika pelajar Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah di Bukit Besi itu sedang menerima rawatan daripada suspek, yang juga difahamkan seorang bekas guru al-Quran di kampungnya. 

Sebelumnya, suspek diundang oleh bapa mangsa untuk melakukan proses pemulihan setelah anak gadisnya itu dikatakan terkena gangguan makhluk halus. 

Ustaz terbabit yang kononnya tahu bab-bab agama dan ilmu halus difahamkan telah memulakan rawatan di ruang tamu. 

Detik hitam itu bagaimanapun bermula apabila suspek mengarahkan mangsa ke bilik air untuk melakukan proses mandian, kononnya untuk membuang bala. 

Bapa mangsa yang turut berada di situ mulai rasa sangsi setelah suspek dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk merawat mangsa di dalam bilik air. 

Bagaimanapun ketika berada di bilik air, mangsa yang diarahkan mandi dalam keadaan berkemban itu dikatakan telah dinodai oleh suspek yang berlagak alim itu dengan mencabul kehormatannya. 

Ketika kejadian, mangsa dikatakan separuh sedar kerana difahamkan masih belum pulih daripada terkena gangguan makhluk halus. 

Sebaik selesai rawatan, mangsa terus keluar dari bilik air dan menyendiri di bilik tidur, manakala suspek pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa. 

Tembelang suspek yang difahamkan sering menjadi imam di salah sebuah surau di kampung berdekatan bandar Bukit Besi itu mulai terbongkar setelah mangsa menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada ibu bapanya. 

Mangsa diiringi bapanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Besi keesokan hari, sebelum suspek ditahan kira-kira jam 10 malam. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor (gambar) mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah./sinarharian

Berdepan tuduhan menculik

AYER KEROH: Lima lelaki termasuk dua anggota tentera dituduh di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, di sini, semalam atas dakwaan menculik seorang penolong pengurus kilang, Februari lalu. 

Mereka yang dituduh, Kamaruzaman Mohamed, 34, seorang jurukimpal; Sulaiman Abdul Kadir, 31, seorang juruteknik; Farezzuwan Mohd, 23, seorang kelindan lori; selain dua anggota tentera, Murukesan, 23 dan Robin Anak Ajing, 30. 

Kamaruzaman juga masih menjalani hukuman penjara selama 14 tahu:n sejak Mac lalu kerana terbabit dalam kes rompakan. 

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh dengan niat hendak membuat tebusan menculik dan mengurung Tan Tiang See, 40, di sebuah rumah beralamat No.48, Jalan Cengal 1, Taman Merdeka, Batu Berendam, sehingga wang tebusan RM500,000 dibayar abang mangsa, Tan Thean Lee, 49. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan gudang K & H Trading Sdn Bhd, Jalan TTC 25, Cheng Industrial Estate kira-kira 6 petang, 14 Februari lalu. 

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz, pada hari kes disebut pertama kali di Mahkamah Tinggi, semalam memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan. 

Hakim, Datuk Ahmadi Asnawi, kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam bagi tertuduh Kamaruzaman. 

Hanya Kamaruzaman tidak diwakili peguambela, sementara Sulaiman diwakili Zulfikri Zakaria, Farezzuwan diwakili P. Nair dan Murukesan serta Robin diwakili Paran Sundram./sinarharian

Pemandu Lori Bebas Tuduhan Bunuh Pondan

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, meminda pertuduhan terhadapnya yang didakwa membunuh seorang lelaki berpakaian wanita pada kejadian yang berlaku awal pagi, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menggunakan budi bicaranya untuk meminda pertuduhan terhadap K. Robert Jackson, 25, yang sebelum ini didakwa membunuh S. Kesavan, 30, yang mati akibat dibakar.

Mangsa yang merupakan seorang juruteknik mati selepas 89 peratus badannya terbakar pada tahap kedua.

Pada penghakimannya, Akhtar berkata, berdasarkan keterangan dua saksi yang melihat kejadian, beliau percaya pelarut cat (thinner) telah disimbah terhadap mangsa.

"Kedua-dua saksi juga konsisten apabila mengatakan bahawa kebakaran berlaku dengan tindakan tertuduh yang memetik-metik pemetik api.

"Tetapi apabila melihatkan kejadian yang berlaku, ada percubaan daripada tertuduh untuk meyelamatkan mangsa," katanya.

Justeru itu, Akhtar memutuskan bahawa Robert Jackson yang masih bujang tidak berniat untuk membunuh, sebaliknya berpendapat tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa tindakannya boleh menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Akhtar kemudiannya meminda pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 326 kanun yang sama, iaitu mengakibatkan kecederaan parah terhadap Kesavan dengan sengaja.

Robert Jackson didakwa melakukan kesalahan itu di antara pukul 3 dan 3.30 pagi, 12 Oktober 2008 di kawasan padang permainan, Perumahan Taman Aman, Banting, dekat sini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Tanpa membuang masa, Robert Jackson mengaku bersalah dan menerusi peguamnya, K.A. Ramu, dia memohon maaf kepada keluarga mangsa dan mengakui telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohd Adzhar memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman seberat-beratnya kerana perbuatan yang dilakukannya adalah tidak berperikemanusiaan.

"Akibat kecuaian tertuduh, keluarga mangsa telah hilang punca pendapatan. Mangsa di dalam kes ini mempunyai pekerjaan yang bagus.

"Semasa kejadian berlaku, isteri mangsa sedang sarat mengandung anak ketiga mereka dan dia hanya bergantung kepada pendapatan suaminya," tambah Norhani.

Akhtar yang mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda semasa melakukan jenayah itu kemudiannya memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara selama 10 tahun bermula daripada tarikh tangkap, 29 Oktober 2008.

"Pada masa yang sama, mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa perbuatan yang dilakukan tertuduh amat serius. Saya rasa kematian itu amat menyakitkan dan saya juga telah melihat gambar-gambar kecederaan pada badan mangsa," katanya.

Pada prosiding sama, Akhtar turut melepas dan membebaskan rakan Robert Jackson, D.Muniandy, 30, daripada tuduhan membunuh Kesavan selepas berpuas hati tiada keterangan yang dapat mengaitkan dia dengan jenayah tersebut.

"Terdapat kelompangan yang besar mengenai peranan Muniandy, melainkan dia didapati hadir ke tempat kejadian dan telah membawa mangsa ke hospital," katanya./mstar

Mata berdarah

AMPANG: Angkara dituduh menceroboh laman sosial bekas teman wanitanya, seorang lelaki cedera di mata selepas dipukul bapa dan teman lelaki wanita terbabit di kediamannya di Taman Mulia Jaya, di sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun berehat di rumah apabila didatangi dua lelaki yang mengaku teman lelaki dan bapa bekas teman wanitanya itu.

Menurut sumber, lelaki terbabit yang tersentak dengan kedatangan itu pada mulanya bertanya sebab mereka ke rumahnya dan terkejut apabila dituduh menceroboh laman sosial bekas teman wanitanya itu dengan memburukkan keluarga dan menyebarkan gambar lucah.

“Bagaimanapun, mangsa yang mendakwa tidak tahu menahu menafikannya dan menerangkan kemungkinan ada yang menyamar sebagai dirinya menggunakan akaun laman sosial itu.

“Namun, kedua-dua mereka tidak menerima alasan diberi mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya.

Sumber berkata, pertengkaran bertukar ganas apabila teman lelaki wanita itu mencabar mangsa supaya berlawan dengannya.

“Mangsa tetap memberitahu perbuatan itu tidak dilakukannya dan mahu diselesaikan cara baiknamun bapa bekas teman wanitanya masuk campur dengan memukulnya menyebabkan mata kanan mangsa berdarah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan./hmetro

Pelajar lelaki tingkatan enam maut terjun bangunan sekolah

KUALA LUMPUR: Akibat ditegur oleh guru kaunseling, seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kajang dekat sini bertindak nekad terjun dari tingkat empat bangunan sekolah itu pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, Nge Hao Zheng, 18, ditemui mati di tepi bangunan sekolah itu dengan kepala dan badannya berlumuran darah.

Seorang guru sekolah itu yang enggan dikenali berkata, pelajar terbabit sebelum itu dilihat berjumpa dengan seorang guru kaunselor untuk berbincang mengenai aduan seorang pelajar perempuan.

"Hao Zheng dipanggil oleh guru kaunselor itu selepas pelajar perempuan tersebut mengadu bahawa Hao Zheng telah melanggar bahunya semalam. Ketika kaunseling diberikan, Hao Zheng tidak menunjukkan tingkah laku yang pelik dan kelihatan tenang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, Hao Zheng kemudiannya dilihat keluar daripada bilik kaunseling itu sebelum memanjat tembok di kaki lima bangunan itu dan bertindak terjun.

"Tiada sesiapa yang sempat menghalang pelajar itu terjun...kejadian itu membuatkan semua pelajar takut dan sesi persekolahan tergendala seketika sebelum segalanya kembali seperti biasa," katanya.

Mayat Hao Zheng kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Serdang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rasyid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes tersebut.

"Setakat ini kes itu masih dalam siasatan dan kita klasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya./Bernama

Tangisan bayi di celah semak

MOHD. SATAR menunjukkan lokasi dia menemui bayi lelaki (gambar kecil) di dalam semak di Kampung Pertama Machang, Bachok semalam.
BACHOK: Seorang lelaki terkejut apabila menemui bayi yang masih bertali pusat dibuang di dalam semak dalam kejadian di Kampung Pertama Machang di sini semalam.

Bayi lelaki itu ditemui pada pukul 11.30 pagi ketika Mohd. Satar Mohd. Ali, 49, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membaiki motosikal di pekan Jelawat dekat sini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi bayi itu dijumpai.

Menurut Mohd. Satar, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi tangisan bayi ketika melalui kawasan semak tersebut dan apabila ditinjau, dia terkejut melihat seorang bayi lelaki berada di dalam sebuah beg kertas di semak berkenaan.

“Sebaik membuka beg itu, saya nampak seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalamnya. Saya terus berlari untuk memberitahu penduduk kampung sebelum bayi malang itu dipindahkan ke tempat redup.

“Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat dan sihat itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya ketika ditemui semalam./kosmo

Isnin, 27 Jun 2011

Bapa nafsu binatang

KAJANG: Seorang pelajar berusia 15 tahun membuat laporan polis Rabu lalu selepas tidak tahan diperlakukan sebagai objek seks oleh bapa kandungnya. 

Difahamkan, kejadian berkenaan sering berulang apabila suspek yang berusia 42 tahun itu mengarahkan mangsa untuk berbogel sebelum dia bertindak meraba kemaluan suspek berulang kali. 

Dalam kejadian terbaru, suspek dipercayai bertindak lebih berani apabila mengajak anak gadisnya itu untuk tidur sekatil dengan niat untuk mencabul mangsa. 

Tidak tahan diperlakukan sebegitu oleh suspek, mangsa kemudiannya nekad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Rabu lalu dengan harapan tindakan tegas dapat diambil terhadap bapanya itu. 

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada mangsa, sepasukan anggota dari IPD Kajang berjaya menahan suspek kira-kira jam 10 malam pada hari sama mangsa membuat laporan. 

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek kemudiannya bertindak bersembunyi di dalam bilik mandi rumahnya. 

“Suspek yang mengetahui dirinya tidak dapat melarikan diri, akhirnya bertindak menyerah diri,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, suspek kini ditahan di lokap IPD Kajang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul. 

“Jika sabit kesalahan akan dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan,” katanya./sinarharian

Ahad, 26 Jun 2011

Ibu suruh abang merogol saya

KUALA TERENGGANU: “Ibu suruh abang merogol saya sebelum saya diserahkan kepada lelaki yang meminjamkan wang kepadanya,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lili, 26.

Kenyataan itu amat mengejutkan, namun bagi Lili itu sejarah hitam hidupnya hingga menyebabkan dia kini terhumban ke dalam dunia pelacuran dan menjual tubuh untuk meneruskan kehidupan.

“Apa yang berlaku ke atas saya berpunca daripada ibu dan saya sampai bila-bila pun tidak akan memaafkannya,” katanya.

Lebih mengejutkan, Lili yang kini mengandung anak keempat hasil hubungan seks luar nikah, berhasrat menyerahkan bayi dalam kandungannya itu kepada orang lain supaya masa depan anaknya lebih terjamin dan mengharapkan sedikit imbuhan.

“Saya sudah lahirkan tiga anak, tapi dua daripadanya yang kini berusia dua dan tujuh tahun saya serahkan kepada orang lain sebaik mereka lahir.

“Anak ketiga berusia setahun dan saya menjaganya kerana tidak sampai hati untuk menyerahkannya kepada orang lain.

“Tetapi, saya sekarang mengandung tiga bulan dan bercadang menyerahkan bayi ini kepada orang lain. Ini saya lakukan demi kebaikan anak saya juga dan berharap mendapat sedikit imbuhan selepas menyerahkan anak itu,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut pengalaman pahit hidupnya, Lili berkata ketika usianya tiga tahun dia diserahkan ibunya kepada ibu saudara untuk dijaga kerana keluarganya miskin.

Menurutnya, kisah hitamnya bermula selepas dia pulang semula ke pangkuan keluarga ketika berusia 12 tahun.

Dakwanya, akibat perbuatan ibunya yang suka berhutang, dia menjadi mangsa apabila ibunya nekad menyuruh abang kandung merogolnya di depan ibunya yang menyaksikan perbuatan keji itu dari jauh.

“Selepas itu saya diserahkan kepada lelaki yang meminjamkan duit kepada ibu. Sejak itu saya menjadi tempat lelaki yang tidak dikenali terbabit melepaskan nafsu serakahnya.

“Tidak tahan dengan perbuatannya, saya nekad melarikan diri. Saya ceritakan perbuatan keji ibu dan abang kepada ibu saudara dan dia membuat laporan polis,” katanya.

Lili berkata, sebelum dia dijual dia pernah menceritakan kejadian itu kepada bapanya, namun bapanya tidak mempercayainya dan memihak ibunya.

“Keluarga kami porak-peranda kerana selain saya, empat lagi adik-beradik perempuan saya mengalami nasib sama apabila ibu menjual mereka kepada pemberi hutang,” katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.

Malah, sehingga kini dia tidak lagi berjumpa dan mengetahui nasib adik-beradiknya yang dijual ibunya kerana selepas laporan polis dibuat, dia mendapat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, akibat perbuatan keji itu, ibu dan abangnya kini meringkuk di penjara manakala bapanya sudah meninggal dunia.

“Selepas berusia 18 tahun dan tidak lagi berada di bawah jagaan JKM, saya datang ke negeri ini dan akibat tidak mempunyai saudara-mara, saya nekad menjual tubuh dan mengemis untuk menyara kehidupan,” katanya yang mengakui masa depan dia dan anaknya gelap dan hanya menyerahkan kepada takdir untuk menentukan segala-galanya./hmetro

Sabtu, 25 Jun 2011

Ibu rela dinoda demi anak

PETALING JAYA: Pilihan setan. Itu situasi getir terpaksa dipilih seorang wanita berusia 40 tahun sama ada mahu dirinya atau anak perempuannya berusia lapan tahun dirogol dalam kejadian pecah rumah di Kampung Subang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dan anaknya tidur dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki berusia 30-an yang pada mulanya mahu merompak.

Demi menjaga kesucian anaknya, si ibu dirogol suspek sambil detik hitam terbabit disaksikan kanak-kanak itu. Difahamkan, ketika kejadian suami mangsa keluar bekerja.

Sumber polis berkata, mangsa dan anaknya yang tidur nyenyak di rumah berkenaan dikejutkan seorang lelaki tidak dikenali.

“Tersentak dengan itu, mangsa merayu dikasihani selain memberitahu akan menyerahkan semua barangan berharga miliknya kepada suspek asalkan dia dan anaknya tidak disentuh,” katanya.

Bagaimanapun, suspek mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

“Terkejut dengan itu, mangsa merayu dan berusaha mempertahankan dirinya. Namun, wanita itu mengalah apabila suspek mengugut untuk menodai anak perempuannya jika melawan.

“Selepas dirogol, suspek mengambil beberapa barangan berharga seperti telefon bimbit dan wang tunai dianggarkan bernilai RM500 sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa menghubungi polis sebelum sepasukan anggota polis dihantar ke tempat kejadian.

Katanya, selepas mangsa memberi keterangan, dia dan anaknya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, untuk pemeriksaan dan rawatan.

Difahamkan, sehingga kini suspek belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan insiden itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 376 Kanun Keseksaan (KK)./hmetro

Cekup gadis liar

DUNGUN: Seorang gadis bukan saja bakal didakwa atas kesalahan dadah malah turut berdepan hukuman berkhalwat apabila ditahan pihak berkuasa yang menyerbu rumah teman lelakinya di Taman Bunga Raya, di sini.

Gadis berusia 19 tahun dan pasangannya berumur 23 tahun antara 146 individu ditahan dalam Ops Tapis di sekitar daerah ini yang selama tiga hari dan berakhir awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan, gadis terbabit didapati tidak berpakaian itu sedang tidur bersama teman lelakinya sebelum dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa pada jam 3.45 pagi.

Hasil ujian saringan mendapati gadis itu terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis methampethamine manakala teman lelakinya negatif mengambil dadah.

Dia akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan bakal menghadapi tuduhan berkhalwat bersama pasangannya mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001./hmetro

Rahsia kaki ponteng

AMPANG: Akibat ketagih seks, dua pelajar sebuah sekolah di Ampang di sini sanggup ponteng bagi melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam tandas sebuah restoran di Taman Melawati sejak Mac sebelum rahsia mereka terbongkar, Selasa lalu.

Difahamkan, pasangan terbabit masing-masing pelajar tingkatan tiga dan empat sering ponteng sekolah dan menjadikan restoran berkenaan sebagai tempat melepak bersama rakan lain sebelum bertukar kepada adegan panas dalam tandas.

Kejadian itu hanya diketahui guru mereka apabila pelajar perempuan berusia 15 tahun itu menceritakan perbuatan terkutuk mereka kepada guru berkenaan selepas didesak beberapa kali.

Malah, pelajar terbabit kini dalam ketakutan selepas diugut pasangannya untuk mendedahkan hubungan seks mereka kepada ibu bapanya dan rakan jika dia enggan menyerahkan wang sebanyak RM150 bagi menyimpan rahsia mereka.

Sumber berkata, guru itu yang prihatin dengan masalah dihadapi pelajarnya mendekati pelajar perempuan berkenaan ketika kelas bengkel jahitan kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu untuk bertanya kenapa dia kerap ponteng./hmetro

Banduan dituduh perkosa gadis

SHAH ALAM: Belum pun habis menjalani hukuman selama 30 tahun kerana pelbagai jenayah, seorang banduan dituduh pula dengan kesalahan merogol dan meliwat seorang pelajar di kubur Cina yang didakwa dilakukannya sebelum dia meringkuk dalam penjara. 

G Thiyagaran, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol dan meliwat mangsa di kawasan perkuburan Cina Kerling, Hulu Selangor, pada jam 7 pagi, 8 Oktober 2009. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu selepas menakutkan mangsa dengan pistol supaya mangsa yang ketika itu sedang menunggu bas untuk ke sekolah mengikutnya. 

Hakim, Mohammed Mokhzani Mokhtar menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Che Rohana Ismail, manakala Thiyagaran tidak diwakili peguam. 

Thiyagaran, dari Kuala Kubu Bharu, sedang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun dan 10 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Seksyen Ipoh, Perak, atas pelbagai kesalahan termasuk merogol, mencabul dan mengurung mangsa serta mencuri motosikal. 

Dia kini sedang menjalani hukuman di Penjara Taiping, sejak 24 September tahun lalu./sinarharian

Jumaat, 24 Jun 2011

Hamba seks tiga tahun

KAJANG: Seorang lelaki sanggup menjadikan anak tirinya sebagai hamba seks setiap kali isterinya tiada di rumah, sejak tiga tahun lalu.

Mangsa yang berusia 12 tahun berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila sering dijadikan tempat pemuas nafsu bapa tirinya itu di rumah mereka di Taman Cheras Utama, Batu 9. Akibat tidak tahan diperlakukan sebegitu, mangsa yang ditemani ibunya bertindak nekad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang (IPD), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, suspek berusia 36 tahun itu bekerja sebagai pemandu lori merogol mangsa dalam bilik tidurnya sejak mangsa berusia sembilan tahun.

“Akibat perceraian, hanya mangsa yang tinggal bersama ibu kandung dan suspek manakala adik-beradiknya yang lain tinggal bersama bapa kandungnya.

“Kesempatan itu digunakan suspek merogol mangsa berulang-kali tanpa ada rasa bimbang perbuatannya itu diketahui isterinya,” katanya.

Bimbang perbuatan kejinya itu diketahui isteri, suspek bertindak mengugut memukul mangsa jika perbuatannya itu dimaklumkan kepada isterinya.

Oleh kerana bimbang dipukul, mangsa berdiam diri terhadap perbuatan yang dilakukan terhadapnya.

Bagaimanapun, selepas sekian lama berdiam diri dan memendam perasaan, mangsa nekad menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum mereka membuat laporan polis.

Rashid berkata, bertindak atas maklumat yang diterima daripada mangsa, sepasukan polis dari IPD Kajang pergi ke rumah mangsa sebelum menahan suspek.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini membantu siasatan.

“Pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan mangsa dirogol,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan sebatan. Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang bapa ditahan kerana disyaki mencabul anak gadisnya yang berusia 15 tahun sejak dua tahun lalu di Taman Bukit Mutiara.

Bapa berusia 42 tahun itu dikatakan sering mengarahkan mangsa berbogel sebelum bertindak meraba kemaluannya berulang kali.

Dalam kejadian terbaru, suspek bertindak berani a mengajak anak gadisnya itu untuk tidur sekatil dengan niat mencabul mangsa.

Mangsa nekad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, berdasarkan maklumat diterima, polis menahan suspek kira-kira jam 10 malam./hmetro

Khamis, 23 Jun 2011

Ibu, anak nyaris dibakar hidup-hidup

KUALA LUMPUR: Rumah sudah disimbah dengan petrol manakala pemetik api berada di tangan, namun kehadiran polis menyelamatkan dua beranak daripada dibakar hidup-hidup oleh seorang suami berusia lewat 20-an yang berang kerana mengesyaki isterinya curang.

Dalam kejadian jam 9 pagi di sebuah rumah di Taman Wahyu, kelmarin, ibu muda berusia 22 tahun dan anak perempuannya berusia tiga tahun diselamatkan, manakala suspek ditahan polis.

Menurut sumber polis, kejadian bermula apabila suspek yang pulang ke rumah dalam keadaan marah memukul isteri dan anaknya menggunakan topi keledar kerana mendakwa isterinya curang ketika dia meninggalkan rumah untuk bekerja sebagai pemandu lori.

“Biarpun isterinya merayu dan cuba menjelaskan apa yang berlaku, suspek tetap bertindak memukulnya.

“Lebih keji anak perempuan mereka yang cuba menghalang perbuatan itu turut dipukul,” katanya./hmetro

Warga emas ditangkap khalwat

ALOR GAJAH: Memalukan apabila sepasang warga emas yang menanti hari untuk diijabkabul dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di pekan ini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, wanita dan lelaki berusia 57 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di rumah ibu tunggal berkenaan.

Ketika dicekup, wanita terbabit cuba memberi helah menyatakan seorang diri di rumah berkenaan, namun selepas diperiksa, didapati pasangannya menyorok di bawah meja di dapur.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, sepasukan enam pegawai dan anggotanya ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, penghuninya masih enggan keluar walaupun anggotanya terdengar perbualan suara lelaki dan wanita di dalam kediaman berkenaan.

“Hanya selepas lima minit barulah pintu dibuka dengan wanita terbabit bersungguh-sungguh menyatakan dia bersendirian di rumah berkenaan,” katanya./hmetro

Suami pengasuh cabul kanak-kanak perempuan tiga tahun

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila dicabul suami pengasuhnya lebih lima kali ketika berada di rumah pengasuhnya itu di Bandar Seri Petaling, di sini, sejak sebulan lalu.

Difahamkan, suspek berusia lewat 30-an itu dilaporkan meraba bahagian sulit kanak-kanak malang itu ketika ketiadaan isterinya apabila keluar membeli barangan dapur.

Malah, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 11 pagi, kelmarin, suspek dikatakan bertindak lebih agresif dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Mangsa yang kesakitan memaklumkan kepada bapanya berusia 32 tahun mengenai perbuatan suspek kira-kira jam 10 malam selepas dibawa pulang ke rumahnya yang terletak 200 meter dari rumah pengasuhnya.

Rentetan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, kanak-kanak malang itu dikatakan dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak setahun lalu.

“Ibu atau bapa mangsa menghantar anak mereka itu ke rumah berkenaan jam 7 pagi setiap hari bekerja,” katanya.

Namun disebabkan terlalu sibuk, pasangan itu dikatakan terlewat mengambil anak mereka, kelmarin.

“Sebaik dibawa pulang ke rumah, kanak-kanak itu memberitahu perbuatan keji suami pengasuhnya. Tersentak dengan dakwaan itu, pasangan suami isteri itu melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terdapat kesan kecederaan pada kemaluan mangsa.

“Kanak-kanak malang itu dibawa ke balai polis dan selepas laporan dibuat, mangsa dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan terdapat luka pada kemaluan mangsa.

Sumber berkata, sepasukan polis yang menerima laporan berkenaan bergegas ke rumah pengasuh berkenaan sebelum menahan suspek kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek selain memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan./hmetro

2 beranak belasah jiran

AMPANG: Dua beranak boleh dianggap samseng apabila sanggup membelasah seorang wanita gara-gara perselisihan faham antara mereka di sebuah kedai jahit di Apartmen Mesra Ria, menyebabkan mangsa cedera di mata, pipi, siku dan belakang badan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4.20 petang, mangsa yang berusia 36 tahun bersama anak lelakinya berusia belasan tahun pergi ke kedai itu untuk menempah baju, namun tiba-tiba datang seorang remaja berusia 13 tahun membawa kayu besbol dan terus menendang mangsa dari belakang.

Menurut sumber, mangsa bagaimanapun tidak melawan dan menasihati remaja itu agar tidak mengulangi perbuatan itu sebelum terus masuk ke dalam kedai.

“Mangsa dan anaknya kemudian keluar 15 minit selepas itu dan ketika sedang berjalan di kaki lima untuk pulang ke rumah, dia terserempak dengan ibu remaja terbabit.

“Mangsa terus menyapa ibu remaja itu dan memberitahu perbuatan dilakukan anaknya itu, namun tiba-tiba wanita terbabit naik angin dan terus menendang kaki mangsa dan menghalaunya,” katanya.

Sumber berkata, ibu remaja itu bukan saja menendang mangsa, malah turut menampar muka dan mengheretnya di atas jalan raya sebelum tiba-tiba remaja tadi turut campur tangan dengan menendang mangsa.

“Mangsa yang tidak tahan dipukul melawan dan berjaya melepaskan diri.

“Pertengkaran antara mereka hampir 10 minit itu disaksikan orang ramai situ tanpa ada yang datang meleraikannya,” katanya.

Pertengkaran terbabit akhirnya dileraikan apabila polis peronda tiba di kawasan itu./hmetro

Rabu, 22 Jun 2011

Wanita cedera muka dan patah kaki dibelasah dan dilanggar dengan kereta oleh teman lelakinya

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera di muka dan patah kaki kanan akibat dibelasah sebelum dilanggar dengan kereta oleh teman lelakinya sejurus selepas menyatakan hasrat memutuskan hubungan cinta di antara mereka berdua.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin di Jalan Tun Razak, di sini, selepas pasangan kekasih berkenaan bertengkar ketika sama-sama berada dalam kereta yang dipandu mangsa. 

Sumber polis berkata, sebaik mangsa yang berusia 35 tahun menyatakan hasratnya untuk memutuskan perhubungan, teman lelakinya yang beberapa tahun lebih tua daripadanya terus naik berang. 

“Suspek menumbuk muka mangsa beberapa kali. Biarpun nyaris terbabas, mangsa berjaya mengawal kenderaan dipandunya dan berhenti di bahu jalan. Ketika itu, mangsa hanya mampu menangis sambil merayu dikasihani dan mengajak teman lelakinya berbincang.
“Namun, rayuannya sia-sia apabila teman lelakinya terus bertindak lebih agresif. Mangsa bukan saja ditampar, disiku dan ditumbuk, malah rambutnya ditarik selain kepalanya dihantuk ke stereng kereta,” katanya./hmetro

Drebar teksi samun wanita

KUALA LUMPUR: Pakatan setan. Itulah ungkapan layak diberikan kepada seorang pemandu teksi berusia lewat 30-an dan rakan subahatnya yang cuba melarikan seorang wanita sebelum menyamun mangsa di pusat beli-belah di sini, kelmarin.

Lebih kejam apabila dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 22 tahun dicampak keluar dari kenderaan berkenaan selepas kedua-dua suspek merampas barangan miliknya dianggarkan bernilai lebih RM500.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata, kejadian bermula apabila mangsa menaiki teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja.

“Namun dalam perjalanan pulang, pemandu teksi berusia lewat 30-an itu menghentikan kenderaannya di bahu jalan berhampiran Taman Seputeh.

“Belumpun sempat mangsa mempersoalkan perbuatan pemandu teksi itu, seorang lelaki menaiki motosikal berhenti sebelum masuk ke dalam kenderaan itu.

“Suspek yang bersenjatakan sebilah pisau mengarah mangsa menyerahkan barangan berharga miliknya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa cuba mempertahankan dirinya menyebabkan berlaku pergelutan lebih 10 minit.

“Mangsa juga beberapa kali cuba keluar dari teksi itu, namun gagal sebelum dia dipukul suspek,” katanya.

Perbuatan itu disedari seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya berusia awal 20-an yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

“Dua beranak terbabit yang curiga dengan keadaan itu mengekori teksi itu. Tindakan saksi yang beberapa kali membunyikan hon keretanya menyebabkan kedua-dua suspek panik.

“Selepas berjaya merampas barangan milik mangsa, suspek mencampak wanita terbabit keluar dari teksi berkenaan,” katanya.

Katanya, dua beranak terbabit membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum wanita terbabit diberikan rawatan susulan.

Sehubungan itu, saksi kejadian tampil membuat laporan mengenai insiden itu di Balai Polis Brickfields.

Khairi berkata, polis sudah menemui teksi dan motosikal digunakan mereka untuk aktiviti jenayah itu./hmetro

Cedera ditetak enam lelaki

PUCHONG: Seorang lelaki yang sedang berehat di rumah bersama isterinya terkejut apabila sekumpulan enam lelaki menyerbu masuk rumah mereka sebelum menyerang menggunakan parang, kayu dan topi keledar hingga menyebabkan lengan kirinya luka akibat ditetak.

Dalam kejadian di Jalan Wawasan 5/3 Pusat Bandar Puchong jam 1 pagi semalam, mangsa S Shanmugan, 20-an sedang berborak dengan isterinya sebelum diserbu kumpulan terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati apabila dia bertindak campur tangan dalam pergaduhan beberapa jam sebelum itu.

Menurut sumber, kumpulan samseng berkenaan menyerbu rumah mangsa dan sebaik saja masuk ke dalam rumah, seorang daripada suspek menetak mangsa dengan parang.

“Mangsa yang cuba mempertahankan diri luka di lengan kirinya ketika cuba menepis tetakan parang daripada salah seorang suspek.

“Selain itu, beberapa suspek lain turut memecahkan cermin dalam rumah mangsa sebelum melarikan diri selepas melihat mangsa berlumuran darah,” katanya, semalam.

Sumber berkata, isterinya bergegas menghantar mangsa ke Hospital Serdang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, kumpulan terbabit dipercayai tidak berpuas hati atas tindakan mangsa campur tangan dalam satu pergaduhan di bawah pangsapuri kediamannya./hmetro

Keputusan tambah tempoh penjara kekal

PUTRAJAYA: Tiga lelaki gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menambah tempoh hukuman penjara dan jumlah sebatan masing-masing bagi kesalahan merogol remaja perempuan berumur 17 tahun kira-kira lapan tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka.

Kamarulariffin Abdullah, 31, perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan. Adiknya Mohd Nordin, 27, dihukum penjara 15 tahun dan enam sebatan.

Kedua-dua mereka akan mula menjalani hukuman itu dari 28 September tahun lepas iaitu pada tarikh Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka dan membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara.

Sementara itu, Abdul Samad Din, 30, dihukum penjara 16 tahun dan 10 sebatan.

Hukuman penjaranya bermula 31 Mei, 2006, iaitu pada hari dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen.

Ketiga-tiga mereka dihadapkan ke mahkamah secara berasingan tetapi dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen.

Mereka didapati bersalah merogol gadis berumur 17 tahun di tepi kawasan lombong di Puchong Utama, Puchong antara 2.30 pagi hingga 4 pagi pada 16 Ogos, 2002./Bernama

Lelaki mati ditetak 4 bersenjatakan parang

GEORGETOWN: Seorang lelaki berusia 35 tahun mati dipercayai akibat ditetak berkali-kali dengan menggunakan parang di hadapan rumahnya di Lorong Rumbia di Sungai Nibong di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, Choong Chor Nim dijumpai dengan kesan tetakan pada bahagian kepala sehingga terkeluar otak, selain di bahagian pangkal tangan kanan, bahu kanan, perut kanan, lutut kiri dan kanan, telinga serta pipi.

Beliau berkata, mangsa disahkan mati di tempat kejadian pada pukul 2.45 pagi ini.

"Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya dipercayai baru sampai di hadapan rumahnya menaiki sebuah kereta dan didatangi empat lelaki bersenjatakan parang yang terus menetaknya berulang kali sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kong Meng berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori./Bernama

Bapa tiri kena lima tahun penjara

AYER KEROH: Gara-gara penderaan seks terhadap anak tirinya, seorang peniaga gerai dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam. 

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh yang berusia 43 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang perempuan berusia 15 tahun, telah menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu dengan menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian di dalam bilik di gerai nombor 5, Mohd Khairul Segar Abdullah Citarasa Pulau Besar, antara 11 dan 11.30 malam pada November tahun lalu. 

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarganya ketika rayuan, memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal iaitu dipenjarakan bukan didenda. 

“Ketika kejadian, mangsa didera secara seksual berlarutan dari umur sembilan sehingga 15 tahun dan sebagai bapa tiri, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung bukannya bertindak sebaliknya,” katanya. 

Berdasarkan fakta kes, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jasin menerima aduan daripada orang awam melalui talian Nur dan menyatakan terdapat kanak-kanak disyaki didera dan dicabul bapa tirinya. 

Hasil siasatan mendapati, mangsa yang membantu tertuduh menjual makanan ringan di Pulau Besar dianiayai dan didera secara seksual dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa selama enam tahun sejak berusia sembilan tahun. 

Tertuduh kemudian ditangkap polis pada 16 Jun lalu./sinarharian

Isteri menangis kes suami liwat

KLANG: Seorang isteri bercucuran air mata sepanjang proses pendakwaan terhadap suaminya yang dituduh meliwat dan melakukan seks oral terhadap remaja lelaki, di Mahkamah Seksyen, di sini, semalam. 

Suaminya, seorang penganggur, 34, dituduh melakukan perbuatan keji itu terhadap mangsa berusia 15 tahun yang juga anak saudara wanita berkenaan.

Suasana dalam mahkamah bertambah pilu kerana ibu dan bapa termasuk beberapa ahli keluarga lain turut menangis di hadapan Hakim, Nor Sharida Awang. 

Bagi tuduhan pertama, suami wanita itu dituduh meliwat mangsa di sebuah rumah di Sungai Merab, Sepang, antara jam 3.30 dan 5.30 petang, 8 Jun lalu. 

Dia turut didakwa melakukan seks oral terhadap mangsa dalam kejadian itu dan akhir sekali, didakwa mengulangi meliwat mangsa di atas pelantar kayu beluti, Tangki Air Kampung Sungai Buah, Dengkil, Sepang. 

Pertuduhan liwat dikendalikan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan melakukan seks oral mengikut Seksyen 377B, Kanun sama. 

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan. 

Lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi yang membantah ikat jamin diberikan kepada lelaki itu kerana mangsa mengalami kecederaan dan trauma akibat kejadian itu. 

Kes itu disebut semula 22 Julai depan untuk laporan kimia./sinarharian

Kontraktor tinggal seluar dalam selepas disamun

SHAH ALAM: Seorang kontraktor bukan sahaja mengalami kerugian hampir RM100,000, malah ditinggal hanya berseluar dalam selepas disamun penjenayah di tepi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Kuala Lumpur, awal pagi semalam. 

Sebelum disamun, lelaki berumur 33 tahun yang menaiki kereta jenis Honda City itu berhenti rehat di tepi Lebuhraya NKVE selepas Tol Setia Alam, kira-kira jam 4 pagi. 

Difahamkan, mangsa ketika itu mengantuk dan mengambil keputusan untuk tidur seketika. 

Menurut sumber, mangsa didatangi dua lelaki menaiki kereta jenis Toyota Vios yang membawa parang. 

“Secara tiba-tiba salah seorang suspek terus memecahkan cermin tingkap pemandu dan mengacukan parang sambil mengarahkan mangsa duduk di bahagian penumpang hadapan. 

“Suspek kemudiannya memandu kereta mangsa, manakala rakannya mengekori dari arah belakang. Mangsa tidak mampu untuk mempertahankan diri kerana khuatir dengan keselamatan,” katanya. 

Sumber berkata, setibanya di kilometer 7.1 NKVE, mangsa diarahkan turun. 

“Ketika itu, mangsa hanya berseluar dalam selepas suspek mengambil semua barangan berharga termasuk pakaian dipakainya,” katanya. 

Selain kereta, wang tunai, dua telefon bimbit, jam tangan, kasut berjenama dan beberapa lagi barang berharga lain milik mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit. 

Katanya, mangsa meminta pertolongan orang awam yang lalu di tempat kejadian untuk membawanya ke Balai Polis Seksyen 6 di sini, untuk membuat laporan polis./sinarharian