Rabu, 8 Jun 2011

Warga emas cabul budak

BUTTERWORTH: Walaupun sudah berusia, seorang warga emas yang dipercayai gagal mengawal nafsunya nekad memeluk dan mencium seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di pekarangan kedai makan di Jalan Raja Uda, dekat sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa berusia enam tahun dikatakan sedang menunggu ibunya yang menjual buah-buahan berhampiran kedai makan terbabit, kira-kira jam 5 petang.

Mangsa yang bermain sendirian itu dikatakan didatangi warga emas berusia 60-an terbabit yang menunggang basikal sebelum memeluk dan menciumnya sebelum disedari rakan kepada ibu mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, ibu mangsa yang berang sebaik dimaklumkan kejadian itu bersemuka dengan warga emas berkenaan.

Katanya, ibu mangsa memarahi warga emas berkenaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh kepada anaknya, namun lelaki terbabit menafikannya sebelum beredar dengan selamba.

“Ibu mangsa yang bimbang keselamatan anaknya dan risau kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Komuniti Mak Mandin.
“Hanya selepas 30 minit laporan dibuat, sepasukan polis berjaya menahan suspek yang berada tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabulnya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan