Jumaat, 17 Jun 2011

Bayi dalam sungai

SEGAMBUT: Beberapa pekerja Alam Flora menemui mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan beruri terapung di persisiran sungai berhampiran Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut petang semalam. 

Dalam kejadian itu, seorang pekerja terbabit berusia awal 30-an sedang menjalankan kerja pembersihan sungai ternampak mayat itu yang disangka permainan kanak-kanak. 

Menurut sumber, dia terkejut setelah mendapati ia bukan permainan selepas ternampak tali pusat dan kemaluan bayi itu tersembul keluar dari air. 

Pekerja itu kemudiannya memaklumkan kepada rakannya yang lain sebelum bertindak menghubungi polis dan anggota penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati bayi terbabit dihanyutkan dari hulu sungai itu dalam tempoh 24 jam lalu berdasarkan keadaan mayatnya. 

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ibu bapa bayi malang terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 kanun keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. 

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan