Khamis, 23 Jun 2011

Suami pengasuh cabul kanak-kanak perempuan tiga tahun

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila dicabul suami pengasuhnya lebih lima kali ketika berada di rumah pengasuhnya itu di Bandar Seri Petaling, di sini, sejak sebulan lalu.

Difahamkan, suspek berusia lewat 30-an itu dilaporkan meraba bahagian sulit kanak-kanak malang itu ketika ketiadaan isterinya apabila keluar membeli barangan dapur.

Malah, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 11 pagi, kelmarin, suspek dikatakan bertindak lebih agresif dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Mangsa yang kesakitan memaklumkan kepada bapanya berusia 32 tahun mengenai perbuatan suspek kira-kira jam 10 malam selepas dibawa pulang ke rumahnya yang terletak 200 meter dari rumah pengasuhnya.

Rentetan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, kanak-kanak malang itu dikatakan dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak setahun lalu.

“Ibu atau bapa mangsa menghantar anak mereka itu ke rumah berkenaan jam 7 pagi setiap hari bekerja,” katanya.

Namun disebabkan terlalu sibuk, pasangan itu dikatakan terlewat mengambil anak mereka, kelmarin.

“Sebaik dibawa pulang ke rumah, kanak-kanak itu memberitahu perbuatan keji suami pengasuhnya. Tersentak dengan dakwaan itu, pasangan suami isteri itu melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terdapat kesan kecederaan pada kemaluan mangsa.

“Kanak-kanak malang itu dibawa ke balai polis dan selepas laporan dibuat, mangsa dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan terdapat luka pada kemaluan mangsa.

Sumber berkata, sepasukan polis yang menerima laporan berkenaan bergegas ke rumah pengasuh berkenaan sebelum menahan suspek kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek selain memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan