Rabu, 29 Jun 2011

Pemandu Lori Bebas Tuduhan Bunuh Pondan

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, meminda pertuduhan terhadapnya yang didakwa membunuh seorang lelaki berpakaian wanita pada kejadian yang berlaku awal pagi, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menggunakan budi bicaranya untuk meminda pertuduhan terhadap K. Robert Jackson, 25, yang sebelum ini didakwa membunuh S. Kesavan, 30, yang mati akibat dibakar.

Mangsa yang merupakan seorang juruteknik mati selepas 89 peratus badannya terbakar pada tahap kedua.

Pada penghakimannya, Akhtar berkata, berdasarkan keterangan dua saksi yang melihat kejadian, beliau percaya pelarut cat (thinner) telah disimbah terhadap mangsa.

"Kedua-dua saksi juga konsisten apabila mengatakan bahawa kebakaran berlaku dengan tindakan tertuduh yang memetik-metik pemetik api.

"Tetapi apabila melihatkan kejadian yang berlaku, ada percubaan daripada tertuduh untuk meyelamatkan mangsa," katanya.

Justeru itu, Akhtar memutuskan bahawa Robert Jackson yang masih bujang tidak berniat untuk membunuh, sebaliknya berpendapat tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa tindakannya boleh menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Akhtar kemudiannya meminda pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 326 kanun yang sama, iaitu mengakibatkan kecederaan parah terhadap Kesavan dengan sengaja.

Robert Jackson didakwa melakukan kesalahan itu di antara pukul 3 dan 3.30 pagi, 12 Oktober 2008 di kawasan padang permainan, Perumahan Taman Aman, Banting, dekat sini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Tanpa membuang masa, Robert Jackson mengaku bersalah dan menerusi peguamnya, K.A. Ramu, dia memohon maaf kepada keluarga mangsa dan mengakui telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohd Adzhar memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman seberat-beratnya kerana perbuatan yang dilakukannya adalah tidak berperikemanusiaan.

"Akibat kecuaian tertuduh, keluarga mangsa telah hilang punca pendapatan. Mangsa di dalam kes ini mempunyai pekerjaan yang bagus.

"Semasa kejadian berlaku, isteri mangsa sedang sarat mengandung anak ketiga mereka dan dia hanya bergantung kepada pendapatan suaminya," tambah Norhani.

Akhtar yang mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda semasa melakukan jenayah itu kemudiannya memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara selama 10 tahun bermula daripada tarikh tangkap, 29 Oktober 2008.

"Pada masa yang sama, mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa perbuatan yang dilakukan tertuduh amat serius. Saya rasa kematian itu amat menyakitkan dan saya juga telah melihat gambar-gambar kecederaan pada badan mangsa," katanya.

Pada prosiding sama, Akhtar turut melepas dan membebaskan rakan Robert Jackson, D.Muniandy, 30, daripada tuduhan membunuh Kesavan selepas berpuas hati tiada keterangan yang dapat mengaitkan dia dengan jenayah tersebut.

"Terdapat kelompangan yang besar mengenai peranan Muniandy, melainkan dia didapati hadir ke tempat kejadian dan telah membawa mangsa ke hospital," katanya./mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan