Rabu, 22 Jun 2011

Penganggur dituduh rogol adik ipar

KOTA BHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam kerana dituduh merogol adik iparnya sendiri dalam kejadian di Kampung Landak, di sini, bulan lalu. 

Tertuduh berusia 24 itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zainal L. Saleh sejurus pertuduhan merogol adik iparnya itu selesai dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya, semalam. 

Mohd Hazairiey Ikhwan Ab Halim ditahan polis dan didakwa melakukan perlakuan sumbang mahram itu di rumahnya yang terletak di belakang penjara, Kampung Landak, Pengakalan Chepa, di sini, 27 Mei lalu. 

Mohd Hazairiey yang masih bujang itu dituduh melakukan perbuatan terkutuk tersebut pada jam 3 pagi, tarikh berkenaan. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan dengan pasangan yang tidak dibenarkan berkahwin dengannya mengikut undang-undang dan adat. 

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan mengikut seksyen berkenaan. 

Pada prosiding di mahkamah semalam, tertuduh bagaimanapun tidak ditawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan serius yang dilakukan. 

Kes disambung semula 20 Julai depan untuk sebutan laporan kimia./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan