Jumaat, 30 November 2012

Tukang kebun 63 tahun didakwa rogol

JOHOR BAHRU: Seorang tukang kebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita di Benut, Pontian, Sabtu lepas.

Mohd Radzuan Abd Karim, 63, dituduh melakukan perbuatan terhadap mangsa berumur 27 tahun itu di ruang tamu di sebuah rumah di Benut, Pontian pada 10 pagi.

Dia yang berasal dari Taman Murni, Benut didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nu'aman Mahmud Zuhdi membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam./Bernama

Dihukum penjara 30 tahun rogol anak sendiri

PUTRAJAYA - Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan hari ini terhadap tiga pertuduhan merogol anak perempuannya berusia 14 tahun.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus mempengerusikan panel hakim tiga anggota membenarkan rayuan pendakwaan supaya hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai 14 Julai tahun lepas.

Lelaki berusia 55 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sejumlah 48 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 selepas dapati dia bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anaknya di sebuah rumah di Ampang pada 18 Ogos 2002, 15 September 2002 dan 17 Januari 2003.

Dia dihukum penjara 16 tahun bagi setiap pertuduhan tetapi tidak dikenakan rotan kerana usianya melebihi 50 tahun.

Lelaki itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada 14 Julai 2011, mahkamah membenarkan rayuannya supaya hukuman penjara berjalan serentak, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman selama 16 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hishamudin, ketika membenarkan rayuan pendakwaan agar lelaki itu menjalani hukuman penjara secara berasingan, berkata mahkamah berpendapat setiap kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan berbeza.

Bagaimanapun, beliau berkata demi keadilan, mahkamah mengurangkan tempoh hukuman dari 48 tahun kepada 30 tahun selepas mengambil kira dia telah menjalani hukuman penjara empat tahun dan enam bulan ketika ditahan sewaktu menunggu keputusan Mahkamah Sesyen.

Hishamudin yang mengetuai panel itu bersama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zawawi Salleh, berkata tidak ada apa-apa yang menunjukkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah mengambil kira tempoh tahanan empat tahun dan enam bulan yang dijalani lelaki itu.

Beliau berkata, mahkamah juga turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk usia lelaki itu.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu merogol anak perempuannya apabila isterinya tiada di rumah.

Mangsa menceritakan insiden itu kepada rakan sekelasnya yang kemudian memaklumkan kepada guru disiplin. Guru itu telah memanggil ibu mangsa ke sekolah dan memberitahu kejadian itu. Mangsa telah membuat laporan polis.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili lelaki itu berhujah sekiranya lelaki itu diarah menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, ia akan memberi 'kesan yang teruk' kepadanya kerana faktor usia.

Katanya anak guamnya akan berusia 102 tahun apabila dibebaskan daripada penjara, dan menambah jangka hayat lelaki Malaysia adalah 70 tahun.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abas./Bernama

Penganggur dipenjara 28 tahun, 22 sebatan rogol dan rompak

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menambah tempoh hukuman penjara dan sebatan terhadap seorang penganggur yang merogol serta merompak seorang wanita Thai pada Hari Kemerdekaan, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim yang bersidang dengan dipengerusikan Datuk Abdul Malik Ishak, menjatuhi hukuman berjumlah penjara 28 tahun dan 22 sebatan rotan terhadap R.Shanmuganathan selepas menolak rayuannya untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara.

Hakim Abdul Malik berkata hukuman berat perlu dikenakan sebagai amaran kepada perayu (Shanmuganathan) dan bakal pesalah yang lain.

Beliau berkata ini kerana kepentingan awam menjadi perkara yang paling utama.

Shanmuganathan, kini berusia 30 tahun, didakwa merogol wanita itu di sebuah rumah kosong di Bandar Hilir, Melaka pada 3.30 pagi, 31 Ogos, 2008, dan menghadapi pertuduhan kedua merompak wanita itu menggunakan senjata api di tempat dan masa yang sama.

Pada 26 Julai, 2010, Mahkamah Sesyen mendapati Shanmuganathan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana merogol dan penjara empat tahun serta lima sebatan kerana merompak.

Pada 14 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi menambah hukuman itu kepada penjara 18 tahun dan 12 sebatan rotan tetapi mengekalkan hukuman kerana merompak selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Hakim Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi kemudian menjatuhi hukuman penjara 20 tahun tetapi mengekalkan 12 sebatan rotan bagi kesalahan merogol.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara sebanyak lapan tahun dan menambah sehingga 10 sebatan rotan kerana merompak serta memerintahkan supaya kedua-dua hukuman itu berjalan secara berturutan bermula dari tarikh penangkapan Shanmuganathan pada 31 Ogos, 2008.

Mengikut fakta kes, perayu memukul kepala wanita itu dari belakang semasa dia sedang dalam perjalanan ke rumah teman lelakinya, Perayu kemudian mengheret wanita itu ke sebuah rumah kosong.

Shanmuganathan tidak diwakili manakala Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin menjalankan pendakwaan./Bernama

Bapa didakwa bunuh anak sendiri

Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak kandungnya sendiri pada 16 November lepas.

Mohd Aswadey Ismail, 29, didakwa membunuh Nor Amirah Mohd Aswadey, 11 bulan, di antara pukul 9.30 malam hingga 10.30 malam di rumah mereka yang bernombor 146, Felda Sungai Panching Selatan, di Kuantan.

Bagi kesalahan itu, Mohd Aswadey didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari kemudiannya memohon mahkamah untuk merujuk tertuduh ke Hospital Psikiatrik bagi pemeriksaan mental bagi pengesahan tertuduh mengalami masalah mental atau tidak.

Nurunaim menetapkan 28 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah yang sama tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 2 pagi, 17 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan dua tahun pengawasan.

Nurunaim menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mohd Aswadey mengelar anak kandungnya sendiri yang berusia 11 bulan selepas khayal mengambil dadah di rumahnya di Felda Panching Selatan ,16 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, suspek yang mengusahakan kebun kelapa sawit di tanah rancangan itu didapati mengambil dadah menyebabkan dia berkhayal dan mendakwa ada individu yang mahu mengambil anaknya.

Polis menahan suspek pada hari yang sama di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu lima kilometer dari rumahnya serta menemui sebilah pisau berukuran 15 sentimeter di dalam bilik tempat kejadian yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa./Bernama

Khamis, 29 November 2012

Bomoh dibenar merayu terhadap hukuman rogol remaja

PUTRAJAYA: Seorang bomoh diberi peluang sekali lagi merayu kepada Mahkamah Tinggi berhubung hukuman penjara 31 tahun dan lima sebatan yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan merogol seorang remaja yang memintanya menghalau makhluk halus yang menguasai dirinya.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad mengekalkan rayuan Mohd Isa Haron, yang ditolak Mahkamah Tinggi pada 19 September tahun lepas kerana gagal memfailkan petisyen rayuannya.

Panel itu, yang turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, memerintahkan rayuannya didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Syed Ahmad Helmy berkata, untuk memastikan Mohd Isa mendapat keadilan, rayuannya perlu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Beliau juga memerintahkan pihak berkuasa penjara memfailkan petisyen rayuan bagi pihak Mohd Isa, yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah Sesyen Temerloh menjatuhi hukuman penjara 31 tahun terhadap Mohd Isa setelah mendapatinya bersalah bagi dua tuduhan merogol mangsa berumur 18 tahun di dalam bilik rumah tumpangan di Taman Bahagia, Temerloh, Pahang pada 2 pagi dan 7 pagi 27 November, 2006.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Isa, 45, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan dua sebatan, manakala bagi tuduhan kedua, dia dikenakan hukuman penjara 16 tahun dan tiga sebatan. Dia diperintah menjalani hukuman itu secara berturut-turut.

Mohd Isa kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Tiggi untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu, tetapi oleh kerana dia tidak memfailkan petisyen rayuan, maka Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berjumpa bomoh itu untuk mendapatkan rawatan dan sembuh. Lima hari kemudian, Mohd Isa memberitahu ibu mangsa bahawa anaknya perlu dibawa ke rumah bomoh itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Mohd Isa membawa mangsa ke sebuah rumah tumpangan dan memberinya minuman mengandungi "serbuk kuning"./Bernama

Dua rakan mengaku salah merogol gadis bawah umur

 Rogol
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merogol gadis bawah umur.
KUALA TERENGGANU: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan merogol gadis bawah umur, 17 November lalu.

Tertuduh pertama, Mohd Latif Mat Ali, 20, dari Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di ladang sawit, Kampung Paya Akob, Kuala Berang, Hulu Terengganu, kira-kira jam 8.30 malam.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima atau atau tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan disebut semula di Mahkamah Sesyen, di sini.

Rozianti turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakannya yang masih di bawah umur turut mengaku bersalah melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 31 Disember depan ditetapkan untuk laporan akhlak tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah juvana sebelum hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 15 tahun sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya meminta tolong selepas dirogol dua lelaki yang baru dikenali di dalam ladang kelapa sawit.

Melalui SMS itulah, dia berjaya diselamatkan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu daripada terus menjadi mangsa nafsu serakah dua sekawan itu apabila mereka cuba mengulangi perbuatan terkutuk itu sekali lagi dengan membawa mangsa ke rumah sewa milik seorang daripada mereka./sinarharian

Kepala dibungkus

BAYAN BARU, Pulau Pinang: Seorang lelaki warga Myanmar terkejut apabila niatnya untuk memeriksa rakannya yang tidak hadir ke tempat kerja membawa penemuan mayat rakannya itu tengah hari semalam.

Mangsa, Hussein Abu Hussein, 23, yang juga warga Myanmar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat di dalam sebuah rumah teres di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, selain kaki dan tangannya diikat, muka mangsa juga diserkup dengan tuala.

“Mangsa dijumpai rakannya yang datang mencarinya kerana tidak datang ke kilang tempatnya bekerja seperti biasa. Mangsa dijumpai mati di dalam sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

“Mangsa ketika itu tidak berpakaian dan hanya berseluar dalam. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari itu turut menemui kesan luka serta darah yang masih baru pada tapak kaki mangsa dipercayai dipukul dengan getah paip,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mati akibat lemas dan enam rakan serumahnya gagal dikesan.

“Polis turut menahan rakan mangsa yang membuat aduan berhubung kes itu bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih belum diketahui dan kita sedang giat menjalankan siasatan.

“Kita juga sedang memburu enam rakan serumah mangsa untuk siasatan.

Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya./sinarharian

Dua suspek bunuh ditahan

GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pemilik syarikat pengangkutan di Bukit Mertajam Rabu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan di Taman Sejati, Alma pada pukul 5 petang semalam.

“Kedua-dua lelaki terbabit ditahan reman mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah kekerasan.

Dalam kejadian pada jam 3 petang itu, dua kereta dinaiki beberapa lelaki meluru masuk ke kawasan syarikat pengangkutan itu sebelum menetak mangsa N Mugesh, 36, hingga menyebabkan kecederaan parah di leher, bahu serta kaki sementara tangan kirinya putus./sinarharian

Dua peragut tegar tumpas

 Dua peragut tegar tumpas
Mohd Nor (duduk) dan pegawainya menunjukkan barang milik mangsa yang ditemui semasa serbuan dijalankan
MERSING: Tindakan pantas pihak polis berjaya memberkas dua lelaki yang dilaporkan melakukan kes ragut terhadap seorang guru Kafa yang dalam perjalanan dari bandar Endau menuju Jalan Haji Arifin di sini, 22 November lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 17 dan 21 tahun itu, ditangkap polis selepas sehari laporan dibuat mangsa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Mohd Nor Rasid berkata, kedua-dua suspek yang ditahan turut dikenal pasti positif dadah jenis syabu.

“Mangsa perasan diekori sebuah motosikal yang ditunggangi kedua-dua suspek. Tidak lama kemudian, beg tangan yang diletakkan di dalam raga dirampas dan suspek terus melarikan diri menghala ke Kampung Belukar Juling.

“Ketika tangkapan, pihak kami menemui beg tangan milik mangsa bersama dompet dan turut merampas dua telefon bimbit berserta sebuah motosikal curi jenis Honda EX5 yang dilaporkan sudah seminggu hilang dari tarikh tangkapan,” katanya kepada Sinar
Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, semalam.

Mohd Nor berkata, salah seorang suspek mengaku telah melakukan lebih kurang empat kes ragut di sekitar kawasan berkenaan.

Tambahnya, kedua-duanya mengaku turut melakukan jenayah ini bersama seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Iwan.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan untuk memberkas suspek ini yang dikatakan turut terlibat dengan jenayah ragut,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama orang ramai yang berani tampil memberi maklumat sehingga berjaya membuat tangkapan ke atas suspek berkenaan./sinarharian

Lapan lelaki ditahan bantu siasatan kes tetak

BATU PAHAT: Polis menahan lapan lelaki untuk membantu siasatan kes seorang pekerja pub maut ditetak sekumpulan lelaki di Yong Peng, dekat sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai 'Babu' disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang menutup pub berkenaan sambil berbual-bual dengan beberapa kenalannya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan menyerang mangsa sehingga menyebabkan mengalami kecederaan serius, selain putus pergelangan tangan kanan.

“Polis tidak menolak kemungkinan serangan berkenaan adalah bermotifkan dendam. Sehingga hari ini (semalam), polis menahan lapan lelaki untuk membantu siasatan.

“Polis juga difahamkan, mangsa baru 10 bulan bekerja di pub berkenaan dan mempunyai seorang isteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Menurut Mat Razali, hasil bedah siasat, mangsa diserang dengan benda tajam sehingga menyebabkan beberapa kecederaan serius di beberapa bahagian badan dan kepala mangsa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang menyebabkan kematian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar dapat menghubungi pasukan polis dengan segera," katanya.

Sementara itu katanya, polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan./sinarharian

Pengantin baru maut ditetak

 Pengantin baru maut ditetak
Lokasi mangsa diserang sekumpulan lelaki.
JOHOR BAHRU: Kegembiraan sepasang pengantin baru tidak berpanjangan apabila pengantin lelaki maut ditetak sekumpulan individu dalam kejadian serangan di sebuah kelab di sini, awal pagi semalam.

Sebelum itu, pasangan berkenaan meraikan majlis perkahwinan mereka di Taman Daya, beberapa jam sebelum mangsa, diserang di kelab berkenaan.

Seorang pekerja kelab berkenaan yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan sekumpulan individu dengan memakai penutup muka menyerang mangsa di hadapan isteri dan rakan-rakannya.

“Isteri dan rakan mangsa kemudiannya bergegas membawa lelaki berkenaan ke hospital,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan kes tersebut sedang giat dijalankan oleh pihak polis./sinarharian

Peniaga ditemui mati dengan kesan tetakan

JOHOR BAHRU:Seorang peniaga barangan upacara keagamaan ditemui mati selepas ditetak berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Trus di sini, kira-kira jam 3.50 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, lelaki berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan parah akibat tetakan di kepala, tangan dan kaki.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk memulakan perniagaannya di Jalan Ungku Puan di sini, diserang sekumpulan enam lelaki bersenjatakan parang menaiki tiga motosikal.

“Hasil siasatan polis telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 41 tahun kirakira jam 10.30 malam hari sama di Briekfields, Kuala Lumpur, dan direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

“Polis memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan B Nagendra Rao di talian 07-2232222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./sinarharian

2 buruh dipenjara 20 tahun kerana menyebabkan kematian

 2 buruh dipenjara 20 tahun  
Dua warga India yang dihukum penjara 20 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam.
JOHOR : Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas dua buruh warganegara India kerana menyebabkan kematian seorang buruh warga Indonesia, tahun lalu.

Rashpall Singh, 26, dan Varinder Singh, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian Nurdain bernombor pasport S 559327 di Wong & Wong Construction, Lot 3526, Jalan Bukit Kempas 3, Taman
Bukit Kempas di sini, kira-kira pukul 12.30 pagi, pada 4 April 2011.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Punjab, India membuat pengakuan itu mengikut pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mereka sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tersebut mulai tarikh ditahan pada 4 April 2011.

Dalam keputusan penghakimannya, Abdul Halim menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya memikirkan kesan atas setiap tindakan yang dilakukan.

“Anda datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Justeru, jadikan ini sebagai satu pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad manakala Rashpall diwakili peguam Norman Fernandez sementara Varinder oleh Remesh Vasen./sinarharian

Rompak pelajar UTM

 Rompak pelajar UTM
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan samun ke atas seorang penuntut di sini, Oktober lalu.

Tertuduh, Tee Teong Seng, 28, minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas ke atas mangsa Tew Wei Zhen, 20, pelajar Universiti Teknologi Malaysia, UTM di restoran makanan segera jam 9.30 malam, 27 Oktober lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, rompakan tersebut membabitkan barangan seperti telefon bimbit, kad ATM, kad matrik, wang tunai RM200 dan SGD 50 dollar.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 kanun keseksaan yang mensabitkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Hakim, Zamri Bakar menetapkan 14 Disember depan bagi sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jaminan ditetapkan Zamri sebanyak RM15,000./sinarharian

Pasangan khalwat terpaksa bawa anak ke penjara

Khalwat
Pasangan terbabit (kiri dan tengah) bersama anak mereka menunggu untuk dihantar ke penjara kerana gagal membayar denda kerana kesalahan berkhalwat.
KAMPUNG RAJA - Seorang ibu muda berusia 17 tahun terpaksa membawa anaknya meringkuk di dalam penjara selama sebulan kerana gagal membayar denda selepas mengaku salah berkhalwat.

Turut dipenjara adalah pasangannya berusia 18 tahun kerana gagal membayar denda RM2,500 setiap seorang selepas ditangkap sepasukan penguat kuasa agama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Oh, dekat Jabi, jam 1.35 pagi, 11 Januari tahun lalu.

Mereka kemudiannya berkahwin di selatan Thailand selepas beberapa hari ditangkap dan ibu muda terbabit kini mengandungkan anak kedua.

Wanita berkenaan terpaksa membawa anaknya bersama kerana masih menyusu badan dan tidak boleh berpisah dengannya.

Terdahulu sebelum itu, Mahkamah Rendah Syariah Besut menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau sebulan penjara selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di rumah lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Norzilawati Said, ketika serbuan dilakukan, pintu utama rumah dibuka seorang wanita tua.

Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik utama rumah berkenaan mendapati tertuduh wanita sedang tidur di atas katil, manakala tertuduh lelaki tidur di atas tilam di bawah katil bersama adiknya berusia 11 tahun, sementara di dalam sebuah bilik lain ada seorang perempuan sedang tidur.

Wanita dari Hulu Besut itu berkata, dia berada di rumah lelaki terbabit pada hari ditangkap kerana lari dari rumah dan merancang untuk berkahwin dengan pasangannya sehari sebelum ditangkap./sinarharian

Rabu, 28 November 2012

Pukul amah guna batang mop

 
SURYANI kini di bawah pengawasan polis selepas mendakwa menjadi mangsa dera majikannya di Sungai Petani sejak dua minggu lalu.
SUNGAI PETANI: Sehari selepas akhbar melaporkan mengenai seorang pembantu rumah Indonesia mendakwa didera majikan berketurunan Cina, polis berjaya menyelesaikan kes itu berikutan tertangkapnya dua beranak di Taman Patani Indah di sini kelmarin.

Susulan tangkapan itu, dua beranak berusia 61 dan 29 tahun yang merupakan majikan mangsa direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau sebat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat pada pukul 11.30 pagi kelmarin.

Katanya, dua beranak itu diberkas di rumahnya pada pukul 7.30 malam.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul dengan batang mop di badan dan muka. Mangsa telah bekerja dengan suspek sejak April lalu dan kerap dipukul sejak dua minggu kebelakangan ini.

"Ekoran itu, dia mengalami kecederaan dan lebam pada muka dan mata kiri selain sakit dada serta punggung," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan, amah yang dikenali sebagai Suryani, 24, dari Jakarta, Indonesia cedera teruk di muka dan badan selepas mendakwa didera oleh majikannya sejak beberapa minggu lalu.

Selain itu, dia juga mendakwa dikerah untuk bekerja seawal pukul 5 pagi hingga lewat malam setiap hari dan sering dimaki hamun.

Suryani kemudian melarikan diri pada pukul 12 tengah hari Ahad lalu sebelum diselamatkan seorang wanita di Taman Sejahtera yang terletak berhampiran rumah majikan mangsa./kosmo

Selasa, 27 November 2012

Ditawan penyamun kalah judi

 
ORANG ramai berkumpul untuk mengetahui perkembangan kes pekerja salun dijadikan tebusan di Kuala Krai
KUALA KRAI: Suasana tenang di Dataran Guchil di sini bertukar kecoh apabila seramai 2,000 orang awam berkumpul untuk menyaksikan adegan cemas melibatkan lima pekerja salun dan seorang pekerja restoran yang dijadikan tebusan selama tiga jam setengah oleh penyamun bersenjatakan pistol palsu.

Kejadian mendebarkan pukul 2 petang itu berakhir tiga jam setengah kemudian dengan polis dapat memberkas suspek berusia 27 tahun dari Tanah Merah selepas berjaya menjalankan rundingan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan seorang graduan pereka grafik dari salah sebuah universiti tempatan.

Kejadian itu turut mengakibatkan dua mangsa pengsan dengan salah seorang diserang asma.

Difahamkan, suspek datang ke premis itu dengan memakai topi keledar dan menutup mulut sebelum mengacukan pistol palsu ke arah pekerja. Suspek turut membawa sebilah pisau.

Ketika kejadian, dua pekerja yang berada di dalam tandas dan bilik rawatan muka yang tidak disedari suspek telah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sepanjang tempoh tiga jam setengah itu, suspek telah melepaskan seorang demi seorang tebusan sehingga tinggal seorang pekerja wanita sebelum dia diberkas.

Sementara itu, salah seorang pekerja salun, Muhamad Zafri Mat Hussein, 24, berkata, dia berada di dalam tandas ketika suspek memasuki kedai sebelum bertindak mendiamkan diri dan menghubungi polis.

"Saya ada keluar sebentar apabila terdengar bunyi kecoh dan masuk semula ke dalam tandas sebaik melihat penyamun mengacukan pistol dan mencekik salah seorang rakan saya.

"Saya duduk selama tiga jam di dalam tandas dan hanya keluar selepas segalanya selesai. Ketika itu, suspek tidak menyedari kehadiran saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.

Seorang lagi mangsa, Siti Roskasma Rozali, 25, memberitahu, suspek terus memegang rakannya, Nazirah Isa, 18, sebaik pintu dibuka selepas loceng ditekan.

"Dia kemudian meminta Nazirah membuka peti simpanan wang. Suspek kemudian meminta saya menghubungi majikan selepas dimaklumkan yang kunci peti berada dalam simpanannya./kosmo

Khamis, 22 November 2012

Bomoh ditangkap kerana didakwa rogol 'pesakit'

Seorang penjaga tokong Cina berusia 50 tahun yang mendakwa kononnya boleh 'menurun' untuk membuang sial dan menilik nasib ditahan selepas beberapa wanita mendakwa dirogol oleh lelaki berkenaan dalam beberapa kejadian berasingan sejak April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki itu ditahan di sebuah tokong di Taman Sri Damansara Isnin lepas, selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berumur 20-an yang mendakwa dirogol September lepas.

"Dua lagi mangsa tampil membuat laporan yang sama pada April dan minggu lepas selepas didakwa dirogol oleh bomoh itu, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata modus operandi lelaki itu ialah dengan membawa mangsanya ke rumah atau hotel untuk diberi rawatan sebelum mangsa diberi minuman yang dipercayai mengandungi dadah.

"Lelaki itu merogol mangsanya ketika sedang khayal," katanya sambil meminta wanita yang pernah menjadi mangsa lelaki tersebut supaya membuat laporan polis di mana-mana balai polis berdekatan.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis mathamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit dadah, ditahan reman seminggu untuk membantu siasatan./Bernama

Selasa, 20 November 2012

Remaja lari dari rumah akibat didera bapa

GEORGETOWN: Seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan didera bapanya sejak dua tahun lepas.

Wen, 13, yang tinggal berdua dengan bapanya di Farlim, Air Itam dekat sini berkata, perkara itu berlaku selepas ibu bapanya berpisah sejak dua tahun lalu.

"Setiap hari bapa pukul dan tampar saya tanpa sebab. Selepas habis waktu sekolah dia akan kurung saya,” katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Mangsa yang kini tinggal bersama ibu dan kakaknya sejak beberapa minggu lepas berkata, dia tidak berani keluar dari rumah ibunya kerana takut terserempak dengan bapanya.

Ibunya, Yam Mei Heai, 41, berkata, semasa berpisah dengan suaminya, dia hanya membawa seorang anak bersamanya kerana tidak mampu menyara Wen dan kakaknya sekaligus.

"Saya pernah cuba mencari anak bongsu saya ini di sekolah tapi tidak berjaya kerana bekas suami saya sentiasa mengawasi kami," katanya.

Dia mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kaki pukul./ Bernama

Seorang mati, dua cedera diserang 10 lelaki bersenjata parang

Seorang lelaki mati dipercayai ditetak manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian kira-kira 6.30 petang di Lorong Ikan Jelawat Enam dekat ibunegara malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata ketika kejadian, tujuh lelaki sedang melepak di taman permainan sebelum tiga daripada mereka dikejar sekumpulan lelaki lain.

"Sekumpulan penyerang lelaki terbabit, yang dianggarkan seramai 10 orang menaiki sebuah kereta dan dua buah motosikal, menyerang mangsa menggunakan senjata dipercayai parang.

Beliau berkata seorang daripada mangsa yang berusia 25 tahun mati di tempat kejadian manakala dua lagi berusia 21 tahun cedera di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Ampang," katanya.

Amiruddin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat./Bernama

Isnin, 19 November 2012

Mayat wanita ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan tangan dan kakinya terikat di dalam tong sampah di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Bukit Rahman Putra 8/1, Sungai Buluh di sini pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata wanita dipercayai warga asing berumur lingkungan lewat 20-an itu ditemui seorang pekerja kontrak 11.40 pagi ini sebelum memaklumkannya kepada polis.

"Pekerja berkenaan terlihat mayat wanita berpakaian lengkap itu dilitupi plastik kanvas ketika mahu membuang sampah. Pemeriksaan polis pula mendapati terdapat kesan jerutan di leher dan cedera di muka mangsa," katanya kepada pemberita.

Rosly berkata wanita tanpa dokumen pengenalan diri itu dipercayai mati kurang dari 24 jam lalu dengan mayatnya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke tong sampah itu.

Bagaimanapun katanya polis menolak kejadian bermotifkan samun kerana barang kemas milik mangsa seperti rantai leher dan cincin emas masih ada di badannya.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk bedah siasat./Bernama

Ahad, 18 November 2012

Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bomoh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, minggu lepas.

Parjono, 33, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu di sebuah bilik bernombor 48, Jalan 16/10, Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Sentul di sini di antara 9 malam, 7 Nov hingga 5.30 pagi, 8 Nov.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan Parjono merupakan warga asing.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes./Bernama

Sabtu, 17 November 2012

Sembelih leher sendiri kerana tak dapat cuti Deepavali

ANGGOTA polis mengusung mayat Muthuraj yang ditemui mati di dalam tandas sebuah restoran di George Town semalam.
GEORGE TOWN: Seorang tukang masak yang tertekan selepas permohonan cutinya untuk pulang menyambut Deepavali di India ditolak oleh majikannya ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus akibat dikelar di dalam tandas sebuah restoran di Bayan Baru dekat sini kelmarin.

Mayat M. Muthuraj, 33, ditemui berlumuran darah dalam tandas restoran nasi kandar itu oleh polis yang bertindak memecahkan pintu tandas berkenaan selepas mendapati ia berkunci dari dalam.

Salah seorang rakan sekerja mangsa yang dikenali sebagai Mahmod memberitahu, Muthuraj dilihat masuk serta mengunci tandas pada pukul 8 malam dan enggan keluar walaupun telah dipanggil berkali-kali.

Katanya, mangsa yang telah empat tahun bekerja di restoran itu kelihatan murung serta menjadi pendiam beberapa hari lalu sejak permintaannya untuk pulang ke kampung halamannya di India sempena Deepavali lalu tidak diluluskan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, sebaik memecahkan pintu, polis menemui mayat Muthuraj dalam keadaan berlumuran darah dengan lehernya hampir putus.

"Siasatan mendapati mangsa telah mengelar lehernya sendiri. Polis turut menemui sebilah pisau di dalam tandas tersebut," ujarnya.

Tambahnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Pihak Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur telah dimaklumkan mengenai kejadian itu./kosmo

Wanita habis idah dicekup khalwat

 Wanita habis idah dicekup khalwat
Pasangan yang dicekup penguat kuasa malam kelmarin.
LEDANG: Seorang wanita menggunakan helah tiada tempat tinggal kerana dihalau keluarga bagi melepaskan diri daripada ditahan Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang di sebuah rumah di dekat sini, lewat malam kelmarin.

Ketika serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, wanita berusia 38 tahun ditahan bersama pasangannya yang merupakan rakyat Bangladesh kerana didapati berdua-duaan (berkhalwat) di dalam bilik di rumah berkenaan.

Wanita itu berkata, dia hanya mahu menumpang semalaman kerana tidak mempunyai tempat tinggal selepas dihalau keluarga dan enggan meminta pertolongan orang lain berikutan buntu dengan masalah dialami.

Lebih mengejutkan, wanita terbabit juga baru sahaja menamatkan tempoh idah selepas diceraikan buat kali ketiga oleh suaminya.

“Saya hanya menumpang bermalam di sini kerana tidak ada tempat tinggal selepas dihalau keluarga. Saya buntu dan tidak tahu mahu minta pertolongan dengan siapa sementara menunggu hari esok untuk mencari pekerjaan lain,” katanya.

Manakala, lelaki terbabit berusia 26 tahun dan merupakan operator kilang, mengakui sudah tinggal di negara ini lebih setahun dan berkenalan dengan wanita itu kira-kira tiga bulan lalu ketika bekerja di kilang sama.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, bertindak atas aduan awam, sepasukan anggota diketuai Pegawai Penguatkuasa, Mohd Zainal Kadiran dan dibantu beberapa anggota polis memeriksa rumah berkenaan.

Menurutnya, anggota penguat kuasa menunggu selama lima minit sebelum pintu rumah dibuka seorang lelaki yang juga rakan kepada lelaki terbabit.

“Pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik menemui pasangan terbabit yang sedang baring di atas katil dalam keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, lelaki terbabit menangis kerana ketakutan sebaik sahaja penguat kuasa menyoal siasatnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membuktikan mereka mempunyai hubungan mahram atau berstatus suami isteri.

“Mereka dibawa ke balai polis di sini, untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama bagi siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan./sinarharian

Jumaat, 16 November 2012

3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia

3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia
Tiga anggota polis dibawa ke Mahkamah Butterworth hari ini. 
 Wanita Indonesia dakwa dirogol tiga anggota di balai polis
Mangsa bersama Chiek Tuan menunjukkan laporan polis di pejabat MCA, Bukit Mertajam.
BUTTERWORTH: Tiga anggota polis dikenakan dua tuduhan secara berasingan merogol dan dan melakukan persetubuhan luar tabii seorang wanita warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 9 November lalu.

Konstabel Remy Anak Dana, 25; Kpl Nik Sin Mat Lazin, 33, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa melakukan perbuatan itu di Berek Balai Polis Perai.

Mereka didakwa merogol wanita berumur 25 tahun di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini, antara jam 6.40 pagi hingga 7.30 pagi, 9 November lalu mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiganya juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala Nik Sin dan Syahiran diwakili peguam Parmjit Singh manakala Remy oleh Anthony Samy.

Suhaimi meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang mereka akan mengganggu saksi yang juga rakan setugas.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam bersepakat meminta mahkamah menimbangkan jaminan dengan alasan anak guam mereka akan sentiasa patuh serta tidak mengganggu saksi.

Nabisha kemudian menetapkan wang jaminan RM25,000 setiap seorang dan menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh bicara.

Beliau turut mengarahkan tiga anggota polis itu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes mereka disebut semula.

Ketiga-tiganya membayar wang jaminan itu dan bergegas meninggalkan mahkamah menggunakan pintu belakang bagi mengelak wajah mereka dirakam media./sinarharian

Khamis, 15 November 2012

Ketua Pengarah Kesihatan didenda RM3,000 kerana khalwat

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman hari ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.

Jika Dr Hasan, 56, gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama tiga bulan.

Beliau didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini kira-kira 2.18 pagi hari ini.

Wan Syarifah Nooraazmanita turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.

Mereka membayar denda itu.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain mengenakan hukuman denda itu setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama bagi kedua-dua mereka dan mereka telah mengaku insaf terhadap kesalahan tersebut serta mempunyai niat melangsungkan perkahwinan selepas ini.

Dr Hasan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Wan Syarifah Nooraazmanita didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwa syarie Che Saupi Che Husin dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sepasukan anggota penguatkuasa dari JAWI bertindak memeriksa bilik tersebut selepas menerima maklumat awam.

Pasukan itu kemudiannya mengetuk pintu bilik itu dan lebih kurang lima minit ia dibuka oleh Dr Hasan yang berbaju kemeja berwarna biru dan berseluar coklat.

Selepas dibenarkan masuk oleh Dr Hasan, pemeriksaan mereka mendapati Wan Syarifah Nooraazmanita yang memakai baju dan berseluar hitam sedang duduk di kerusi berhampiran katil.

Hasil siasatan lanjut mendapati Dr Hasan merupakan seorang duda dan Wan Syarifah Nooraazmanita masih lagi isteri yang sah kepada pasangannya.

Wan Syarifah Nooraazmanita, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau dalam proses perceraian dengan suaminya.

Ketika merayu hukuman ringan, Dr Hasan berkata beliau mengaku bersalah dan bertanggungjawab atas kesalahan itu dan beliau belajar daripada kesilapannya dan insaf./Bernama