Khamis, 29 November 2012

Lapan lelaki ditahan bantu siasatan kes tetak

BATU PAHAT: Polis menahan lapan lelaki untuk membantu siasatan kes seorang pekerja pub maut ditetak sekumpulan lelaki di Yong Peng, dekat sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai 'Babu' disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang menutup pub berkenaan sambil berbual-bual dengan beberapa kenalannya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan menyerang mangsa sehingga menyebabkan mengalami kecederaan serius, selain putus pergelangan tangan kanan.

“Polis tidak menolak kemungkinan serangan berkenaan adalah bermotifkan dendam. Sehingga hari ini (semalam), polis menahan lapan lelaki untuk membantu siasatan.

“Polis juga difahamkan, mangsa baru 10 bulan bekerja di pub berkenaan dan mempunyai seorang isteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Menurut Mat Razali, hasil bedah siasat, mangsa diserang dengan benda tajam sehingga menyebabkan beberapa kecederaan serius di beberapa bahagian badan dan kepala mangsa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang menyebabkan kematian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar dapat menghubungi pasukan polis dengan segera," katanya.

Sementara itu katanya, polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan