Jumaat, 27 April 2012

Padah ganggu isteri orang

Suspek cedera teruk dibelasah penduduk.
PETALING JAYA: Gara-gara mengganggu isteri orang, seorang warga Afrika cedera teruk dibelasah penduduk yang berang dengan tindakannya itu.

Dalam kejadian 11 malam kelmarin, suspek bertindak mengetuk pintu rumah mangsa yang terletak di tingkat bawah blok P, Apartmen Harmoni, Damansara Damai dekat sini.

Menurut sumber, suspek mengetuk beberapa kali rumah mangsa tanpa diketahui sebab dia berbuat demikian.

“Bila mangsa buka pintu, tiada orang di luar namun niat jahat warga Afrika itu mahu menerjah masuk ke dalam rumah tidak menjadi.

“Wanita itu membuka pintu secara tiba-tiba dan dapat melihat dengan jelas suspek yang hanya berseluar pendek serta tidak berbaju.

“Terperanjat dengan kehadiran suspek, wanita itu kemudiannya menjerit sekuat hati dan jeritannya didengari oleh jiran berhampiran,” katanya.

Jelasnya, panik melihat kehadiran jiran mangsa, suspek melarikan diri dan akhirnya dicekup serta dibelasah penduduk di hadapan Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT ) Apartmen Harmoni, Zahabu Ramli berkata, sebaik mendapat laporan, anggota KRT turun ke lokasi dan melihat warga Afrika sudah tidak bermaya.

“Kami serahkan suspek kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan wanita itu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Damai,” katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut./sinarharian

Khamis, 26 April 2012

Anggota polis Istana Anak Bukit mati ditembak

ALOR SETAR: Seorang anggota polis yang bertugas di Istana Anak Bukit di sini maut dipercayai ditembak rakan setugas di pos pengawal di hadapan pintu utama istana hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa Mohd Sobri Mohd Sidek, 22, anggota berpangkat Konstabel, yang berasal dari Melaka mati di tempat kejadian.

Mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dipercayai ditembak di muka dan dada menggunakan senjata jenis M-16.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kejadian tersebut disedari oleh seorang anggota lain, yang berada berhampiran tempat kejadian yang terdengar bunyi seperti mercun.

"Bila anggota tersebut keluar dia nampak mangsa terbaring di hadapan pos pengawal dalam keadaan berlumuran darah dan suspek meninggalkan istana sejurus kejadian berlaku dengan menggunakan kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Beliau berkata, polis telah menahan suspek berpangkat Lans Koperal di Simpang Empat, Perlis dipercayai di rumah isterinya kira-kira pukul 8.30 malam ini dan dibawa ke sini untuk siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan tersebut.

Ahmad berkata, suspek yang berusia 25 tahun baru sahaja ditugaskan di istana tersebut dua minggu lalu dipercayai menembak mangsa dengan menggunakan senjata jenis M-16 hasil daripada kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dan suspek bekerja bagi shift 3 petang hingga 7 malam.

Mayat mangsa dibawa keluar dari istana kira-kira pukul 7.40 malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rejab telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong untuk dipersembahkan kepada Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kira-kira pukul 6.30 petang tadi.

"Tuanku Abdul Halim sedih dengan kejadian yang berlaku dan ini merupakan kali pertama kes tersebut berlaku sejak istana itu wujud pada 1936," katanya.

Seorang saksi yang tinggal berhampiran istana itu, Jafiza Mohd Jaafar, 38, berkata dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dan menyangka hanya bunyi tembakan biasa kerana pihak istana memburu musang.

Dia hanya mengetahui kejadian tersebut ketika hendak mengambil gambar di depan istana./Bernama

Rabu, 25 April 2012

Remaja perempuan dibunuh sebelum dibakar


 Remaja perempuan dibunuh sebelum dibakar
GUA MUSANG: Kejam. Itulah luahan marah berulang kali seorang ibu apabila mengetahui anak gadisnya yang hilang sejak 3 April lalu ditemui mati dengan rangka tulang bersepah dalam kawasan belukar berhampiran ladang sawit di tepi jalan ke Kampung Limau Kasturi, dekat sini, petang kelmarin.
Che Esah Yusoff, 60, tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, sebelum itu pengsan sebaik mengetahui mayat anaknya ditemui dan terpaksa dia dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.
Rangka tulang bersama tengkorak dipercayai Nor Ain Shafnie, 16, ditemui dalam kawasan belukar tersebut tidak jauh dari rumahnya itu oleh seorang pekerja kontrak mengangkut buah sawit kira-kira jam 6 petang.
Nor Ain dilaporkan keluar dari rumahnya di RKT Kesedar Jeram Tekoh itu jam 9 pagi sebelum didapati hilang kerana tidak pulang ke rumah bersama motosikal yang ditungganginya sehingga lewat malam pada hari sama.
Akhbar ini pernah menyiarkan berita mengenai kehilangan Nor Ain itu pada 12 April lalu ia itu seminggu selepas dibuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang dan melancarkan gerakan mencarinya.
Turut menemui berhampiran rangka tulang itu sebuah motosikal yang dibakar, seutas jam tangan dan dompet berisi kad pengenalan mangsa bersama seluar jeans yang sudah ditanggalkan.
Che Esah ketika ditemui sebaik pulang dari HGM berkata, dia amat terkejut dan kesal dengan  kejadian yang amat memilukan itu serta mahu pihak berkuasa mengesan penjenayah terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Orang macam itu tak patut hidup lebih lama dan hukum dia sepadan dengan perbuatan yang dilakukan itu hingga saya kehilangan seorang anak gadis tersayang,” katanya yang juga ibu tunggal.
Beliau berkata, sejak hari kehilangan lagi dia merasa tidak sedap hati kerana kebiasaan anaknya pulang walaupun lewat malam hingga terpaksa mengerah penduduk dan anggota Rela melancarkan gerakan mencarinya.
Katanya, sebagai seorang ibu tidak pernah berdiam diri untuk mengesan anak bongsu daripada 10 adik beradik itu dengan menemui beberapa bomoh sama ada bomoh tempatan atau luar daerah.
“Saya tidak pernah berputus asa untuk mencari anak saya itu dengan mengunjungi ke semua rumah rakan-rakan dia dan waris terdekat, namun gagal ditemui dan tidak sangka akhirnya menemui rangka tulang.
“Setahu saya dia tidak ada musuh hanya malas sekolah sahaja apabila mengambil keputusan untuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap hanya setakat tingkatan dua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika mengesahkan penemuan rangka tulang seorang manusia itu berkata, rangka tulang itu dipercayai gadis yang dilaporkan hilang dari rumahnya di RKT Jeram Tekoh.
Beliau mengesyaki rangka tulang yang ditemui itu dipercayai mangsa bunuh dan ditinggal di dalam kawasan belukar tersebut bersama sebuah motosikal sebelum ditemui seorang lelaki pekerja ladang sawit berkenaan.
Katanya, serentak itu, pihaknya menahan lapan orang termasuk enam lelaki dan dua wanita untuk membantu siasatan dan hasil ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah./sinarharian

Selasa, 24 April 2012

Bekas imam dipenjara 15 tahun, 12 sebat rogol juvana

"Sebagai seorang imam, tertuduh sepatutnya tahu mengenai hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian.

"Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik pada masyarakat dan juga menjaga nama baik institusi yang beliau wakili," kata Hakim Mahkamah Sesyen Nua'man Mahmud Zuhudi ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan ke atas bekas imam sebuah masjid kerana kesalahan merogol remaja bawah umur.

Beliau memerintahkan tertuduh Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Nur Akmal, 32, didapati bersalah merogol remaja perempuan itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun di rumahnya di Taman Perling, di Johor Bahru pada kira-kira jam 3 petang, 21 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika menyampaikan penghakimannya, Hakim Nua'man berkata keterangan tertuduh ketika perbicaraan hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Nur Akmal yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun pada mulanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan tetapi mula menitiskan air mata ketika dipeluk anggota keluarga.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Sukhaimi Mashud./Bernama

Ahad, 22 April 2012

Dicekup bogel dengan nelayan

Dicekup bogel dengan nelayan
KUALA DUNGUN: Perbuatan tidak bermoral seorang pelajar perempuan sebuah institut kemahiran tempatan yang memadu asmara bersama teman lelaki di hotel murah, menerima padah apabila dia didenda RM2,800, atau dua bulan penjara kerana berkhalwat.

Pelajar berkenaan, Nurul Akmal Aishah, 19, dari Besut Terengganu menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

Dia dicekup sepasukan pegawai penguat kuasa syariah, bersama teman lelakinya, di sebuah bilik di rumah tumpangan, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 10 Februari lalu.

Ketika serbuan dilakukan, Nurul Akmal ditemui dalam keadaan terbaring tanpa pakaian dalam selimut.

Lelaki terbabit, dikenali sebagai Mohd Firdaud Wadu, 30, pula, hanya memakai jeans tanpa baju ketika membuka pintu bilik.

Soal siasat mendapati mereka tiada hubungan muhrim.

Pasangan terbabit juga mengaku telah melakukan persetubuhan sebelum itu.

Turut dirampas, pakaian dalam milik Nurul sebagai bahan kes.

Kedua-duanya yang mengaku bersalah selepas fakta kes dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah kemudiannya menjelaskan denda masing-masing untuk mengelakkan dipenjara.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Rendah Syariah, seorang pemandu lori, Md Zaid Abdullah, 33 dari Kuala Abang Dungun berhadapan satu waran tangkap kerana kegagalannya hadir untuk menghadapi pendakwaan pertudu­han khalwat.

Dia ditangkap pegawai penguatkuasa syariah ketika berada di sebuah bilik hotel di Jalan Baru Pak Sabah bersama seorang wanita bukan muhrim jam kira-kira 1.05 pagi, 10 Februari lalu.

Pasangannya, Noor Aishah Osman, 29, bagaimanapun hadir untuk mendengar pertuduhan lalu didenda RM2,700 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Pendakwaan akan dijalankan semula terhadap Md Zaid pada 11 Jun depan./sinarharian

Kanak-kanak 3 tahun koma ditampar teman lelaki ibunya

Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera di kepala kini koma. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera di kepala selepas dipercayai dipukul teman lelaki ibunya dalam satu kejadian di sebuah kampung di Manir, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek yang berusia 26 tahun dipercayai memukul kanak-kanak itu hingga menyebabkannya cedera.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan difahamkan, mangsa bersama ibunya yang berusia 22 tahun ketika kejadian berlaku di kediaman lelaki berkenaan.

Difahamkan, suspek tidak tahan dengan kelakuan aktif kanak-kanak terbabit, menyebabkan dia hilang sabar dan dipercayai memukul kanak-kanak malang itu hingga menyebabkannya cedera.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan laporan mengenai kejadian itu telah dibuat di pondok polis di HSNZ.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Katanya, pihak polis telah mengenal pasti identiti suspek dan kini sedang berusaha untuk memburu suspek./sinarharian

Sabtu, 21 April 2012

Isteri muda mati tergantung di tali buaian

KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai jual ayam terkejut apabila menemui mayat isterinya tergantung di tali buaian yang diikat di alang rumah mereka di Taman Tengku Panglima, Wakaf Mek Zainab, di sini petang kelmarin.

Zulkifli Azmi, 25, menemui mayat isterinya, Apinyar Datubahae, 26, tergantung di bilik di tingkat atas, kira-kira jam 3 petang, ketika pulang untuk menghantar makanan.

Zulkifli memberitahu pemberita kejadian tersebut disedarinya apabila mendengar anak tunggalnya, Siti Nur Aishah Ateiyra, sembilan bulan, menangis.

“Pelik dengan tangisan itu, saya terus ke tingkat atas dan terkejut melihat mayat isteri saya tergantung di tali buaian anak kami,” katanya.

Zulkifli berkata, dia memberitahu bapanya, Azmi Omar, 50, dan adiknya, Muhammad Zaidi, 17, berhubung kejadian berkenaan, sebelum menghubungi polis serta jiran-jiran mereka.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu isterinya adalah kira-kira jam 8 pagi kelmarin semasa pulang menghantar nasi. Masa itu, isterinya sedang menyusu anak mereka.

Dia berkata, sejak dua bulan lepas setelah balik dari Wing, Thailand, isterinya tiba-tiba menjadi pemarah.
“Dia pernah mengelar pergelangan tangannya apabila tertekan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, memberitahu mayat Apinyar dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat./sinarharian

Jumaat, 20 April 2012

Pengawal keselamatan rogol pelajar dalam kelas kosong

REMBAU: Seorang pengawal keselamatan dikesan rakan sejawatnya melakukan kegiatan tidak bermoral bersama seorang pelajar asrama di sebuah kelas kosong, di sini, 16 April lalu.

Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, pada hari kejadian, suspek berusia 28 tahun dan dua lagi pengawal keselamatan seperti biasa meronda kawasan sekolah berkenaan dan salah seorang menyedari suspek tidak balik ke pos kawalan.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka mencari suspek di kawasan sekolah itu dan terperanjat apabila menemui suspek di dalam kelas kosong kira-kira jam 6.15 petang bersama seorang pelajar perempuan tingkatan lima.

“Susulan penemuan berkenaan, pelajar perempuan itu yang juga tinggal di asrama sekolah berkenaan mendakwa telah dirogol suspek di kelas kosong berkenaan. Rakan sejawatnya yang terkejut bergegas menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

“Manakala, pihak sekolah pula memaklumkan insiden memalukan itu kepada ibu pelajar perempuan itu dan membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan reman dari 16 hingga 23 April ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di hukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Sepasang kekasih ditemui mati dalam kereta

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih yang dipercayai menjalinkan hubungan sulit mati dalam sebuah kereta di Bukit Puchong pukul 1 petang tadi akibat terhidu gas beracun dari alat penghawa dingin.

Seorang jurucakap polis berkata, mayat lelaki berusia 32 tahun dan teman wanitanya berusia 26 tahun ditemui oleh ayah si lelaki tersebut dalam kereta yang diletakkan di dalam bengkel milik mangsa.

"Ayah lelaki tersebut terdengar bunyi enjin dan radio yang terpasang di dalam bengkel dan mengesyaki sesuautu yang mencurigakan membawa kepada penemuan kedua-dua mayat," kata jurucakap itu.

Kedua-dua mereka dikatakan sudah berkahwin dan sedang berhadapan masalah rumah tangga dengan pasangan masing-masing.

Ketua Polis Subang Jaya ACP Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat./Bernama

Lelaki OKU dipenjara 7 tahun, 6 sebatan liwat pakcik, dua adik

KLANG: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meliwat bapa saudaranya yang juga seorang OKU serta dua adik kandungnya berusia lapan dan 10 tahun, bulan lepas.

Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh yang berusia 22 tahun menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 5 April lepas.

Lelaki itu, yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam didakwa meliwat bapa saudaranya yang berumur 41 tahun serta dua adik kandungnya yang berusia lapan dan 10 tahun di bilik hadapan sebuah rumah di Sekinchan, antara 10.30 malam dan 11.30 malam pada 23 Mac lepas.

Tertuduh, yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan seorang yang lembam telah memanggil bapa saudaranya masuk ke dalam bilik itu di mana kedua-dua adik lelakinya turut berada di dalam bilik sama.

Tertuduh kemudian meliwat kedua-dua adiknya sehingga mereka menangis sambil disaksikan bapa saudaranya.

Tertuduh kemudian meminta bapa saudaranya untuk membuka seluar dan baju serta meniarap sebelum bertindak meliwatnya di hadapan kedua-dua adiknya pula.

Tertuduh turut berpesan kepada mereka supaya tidak memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.

Kedua-dua adiknya kemudian mengadu kepada ibu mereka mengenai perbuatan tertuduh dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani pemeriksaan.

Ekoran itu, tertuduh ditangkap pada 5 April lepas dan siasatan mendapati dia adalah seorang OKU yang telah disahkan oleh pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sabak Bernam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

"Tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan ketiga-tiga mangsa memandangkan dua mangsa adalah adiknya manakala bapa saudaranya adalah seorang lembam," katanya./Bernama

Rabu, 18 April 2012

Bapa baru didakwa rogol

Bapa baru didakwa rogol
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang baru bergelar bapa dalam tempoh hanya beberapa hari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan bersubahat dengan dua rakannya dalam kejadian rogol pelajar tingkatan dua, awal April lalu.

Tertuduh, Nor Shahrul Zuraimie Noruddin, 20, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut, didakwa dengan sengaja telah bersubahat dengan dua rakannya merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tembila, Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut, pada 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 116 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada­pan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Sementara itu, dua rakannya, yang juga bekerja sebagai buruh itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasi­ngan, semalam atas dakwaan merogol mangsa.

Bagi tertuduh, Abdullah Che Pa, 19, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut didakwa dengan sengaja telah merogol mangsa pada 2 April lalu antara jam lebih kurang 9 malam hingga 11 malam.

Abdullah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Manakala bagi tertuduh, Faizol Yaacob, 22, dari Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut didakwa merogol mangsa pada keeso­kan harinya iaitu 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi di rumah sama.

Dengan itu, Faizol didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua tertuduh direkodkan, hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin./sinarharian

Kakitangan JKR mati tergantung

ANGGOTA polis dan orang ramai memasukkan mayat Balasubramanium yang ditemui mati ke dalam trak polis di Taman Abadi Indah, Taman Malim Jaya kelmarin.
MELAKA: Seorang ibu yang mahu berjumpa dengan anaknya selepas seharian tidak bertemu, hampir pengsan apabila melihat jasad anaknya itu sudah tidak bernyawa tergantung di siling rumah di Taman Abadi Indah, Taman Malim Jaya di sini kelmarin.

Mayat K. Balasubramanium, 34, yang merupakan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), Alor Gajah ditemui ibunya, K. Sinamah, 60, pada pukul 3 petang selepas wanita itu masuk ke dalam rumah anaknya yang terletak bersebelahan dengan rumah warga emas itu.

Menurut bapa mangsa, M. Karupiah, 72, selepas melihat badan Balasubramanium tergantung, isterinya menjerit dan meraung kesedihan.

“Saya yang terkejut terus ke rumah anak saya dan turut terperanjat melihat Balasubramanium dalam keadaan tergantung di dalam bilik yang dijadikan tempat sembahyang.

“Saya yang panik terus meminta bantuan seorang menantu yang ada di rumah untuk menurunkan Balasubramanium,” kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya semalam./kosmo

Selasa, 17 April 2012

Pelajar perempuan berkhalwat di hotel

 Pelajar berkhalwat di hotel
SURA GATE: Demi cinta, seorang pelajar perempuan yang masih menuntut di tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng untuk menemui teman lelakinya bagi memadu asmara di sebuah hotel murah, dekat bandar ini.

Bagaimanapun, kunju-ngan gadis itu ke bilik disewa teman lelakinya dengan harga RM65 satu malam sejak dua hari lalu itu membawa padah apabila mereka dicekup pihak Pegawai Penguatkuasa Syariah (PSS) kerana berdua-duaan di bilik hotel.

Ketika serbuan dilakukan PPS Dungun kira-kira jam 8.30 pagi, gadis yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berpakaian biasa manakala teman lelakinya yang berasal dari Kuala Terengganu hanya berseluar pendek.

Pelajar perempuan itu dikatakan keluar rumah dengan memakai uniform sekolah, namun dia tidak pergi ke sekolah, sebaliknya menuju ke bandar Dungun untuk menemui teman lelakinya di hotel yang terletak di deretan bangunan perniagaan Sura Gate.

Difahamkan, kedua-dua pasangan tersebut berkenalan melalui telefon sejak beberapa minggu lalu dan ketika ditahan, gadis berasal dari Kampung Tanah Lot itu dikatakan datang ke hotel berkenaan untuk menghantar makanan kepada teman lelakinya yang difahamkan baru bangun tidur.

Soal siasat PPS mendapati kedua-dua mereka tiada hubungan muhrim sah dan pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Suami Dipenjara 12 Tahun Sebabkan Kematian Isteri

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini, isnin menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang tukang cetak selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian isterinya, tahun lepas.

Ketika menjatuhi hukuman itu terhadap Lee Kim Fook, 52, Hakim Datuk Mariana Yahya turut memerintahkan supaya hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 28 Jun 2011.

Lee mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a)Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian isterinya, Yap Kwee Yin, 51, antara pukul 7 pagi dan 10 pagi di rumah mereka di Lorong Seri Setali 78, Taman Klasik di sini pada 28 Jun tahun lepas.

Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, jiran mereka menemui mayat isteri tertuduh dalam keadaan terlentang di dalam stor rumah mereka yang dikunci dari luar pukul 1 tengah hari pada hari kejadian sebelum memaklumkannya kepada polis. Terdahulu di sebelah pagi, jiran berkenaan terdengar pasangan suami isteri itu bergaduh mengenai saman Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) namun tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya.

Sejurus selepas kejadian, anggota keluarga Yap dan polis cuba menghubungi Lee yang melarikan diri selepas kejadian itu tetapi gagal sehinggalah tertuduh menghubungi adiknya pada pukul 8.45 malam untuk memberitahu bahawa dia telah menyebabkan kematian isterinya.

Lee memberitahu bahawa dia telah menolak Yap ke dinding, naik ke atas badan dan menindih isterinya dengan lutut sambil mencekik lehernya setelah berang dengan tindakan Yap yang berleter mengenai saman MPK sebelum meninggalkan mangsa dengan menguncikan pintu rumah dari luar.

Selepas pengakuan itu, adik Lee menyerahkan abangnya itu kepada pihak polis untuk membantu sisatan.

Bedah siasatan yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini mendapati kematian mangsa disebabkan 'pressure to the neck' dengan mangsa disahkan patah empat tulang rusuk sebelah kanan yang menyebabkan tertusuk ke limpa selain lebam dan pendarahan di kepala serta leher.

Ketika membacakan hukuman, Mariana berkata prinsip hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh mesti ada keseimbangan dan perlu dilihat pada fakta.

"Saya setuju bahawa seorang isteri perlu dikasihi dan bukan didera sehingga boleh menyebabkan kematian," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib./Bernama

Dirogol depan adik, sepupu

PETALING JAYA: Enggan hanya berpuas hati dengan hasil samun, seorang lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah apartmen dihuni lima gadis bertindak merogol salah seorang daripada mangsa.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin di sebuah apartmen di Damansara Damai.

Menurut sumber, suspek yang pada mulanya hanya ingin mengambil barangan berharga milik mangsa, berubah fikiran dan ingin melampiaskan nafsunya ke atas salah seorang mangsa.

Bersenjatakan pisau, suspek mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mereka menjerit atau cuba melarikan diri.

“Penyamun bertopeng itu memilih mangsa berusia 20-an dan merogol mangsa sambil diperhatikan oleh adik dan sepupunya yang berumur 17 dan 20 tahun di dalam bilik,” katanya.

Mangsa dirogol sambil pisau diletakkan di lehernya oleh suspek yang melarikan diri sebaik selesai melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sumber itu berkata, mangsa sempat mengecam wajah suspek selepas lelaki itu menanggalkan topengnya yang dipakainya.

Suspek memasuki apartmen terbabit dengan memecahkan mangga rumah dan mengambil masa kira-kira sejam sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian terdapat dua lagi rakan serumah mangsa namun mereka tidak menyedari kejadian itu kerana tidur di bilik lain,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan dan suspek terlibat sudah dikenal pasti.

“Polis ketika ini sedang melancarkan gerakan memburu suspek yang ketika ini berada di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan seksyen 395 samun bersenjata./sinarharian

Isnin, 16 April 2012

Tunggu untuk raba, dua remaja ditahan

 Tunggu untuk raba, dua remaja ditahan
KUALA KANGSAR: Demi melampias nafsu, dua remaja belasan tahun sanggup menunggu sebelum mencabul dan meraba beberapa mangsa di sekitar kawasan berhampiran lintasan kereta api di Taman Indah, di sini.

Sejak seminggu lalu dua remaja ini termasuk pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah di Pekan Kuala Kangsar, di sini, menunggu mangsa yang kebanyakan rakan perempuan dari sekolah jenis kebangsaan Cina, semata-mata mencari peluang untuk meraba dan mencabul mereka.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral itu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis dan kedua-dua mereka berjaya diberkas dalam satu serbuan di sekitar Taman Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, sejak 12 April lalu beberapa laporan polis mengenai kes cabul melibatkan pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina telah dibuat.

“Dua remaja ini kebiasaannya menunggu mangsa selepas tamat waktu persekolahan dan menyasarkan pelajar perempuan yang berjalan bersendirian.

“Bagi laporan pertama dan kedua, kedua-dua mangsa mendakwa dua remaja ini telah menyentuh buah dada dan perut mereka ketika melintas di landasan kereta api,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Abdul Gaffar berkata, dalam kejadian pada 14 April (kelmarin), seorang pengadu yang juga pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina mendakwa telah ditolak sehingga terjatuh dan tercedera.

“Kedua-dua remaja ini bertindak mengambil kesempatan memegang buah dada, perut serta alat sulit mangsa. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, pada 12 April sahaja, tiga kes cabul melibatkan pelajar sekolah berkenaan telah dibuat.

“Antara mangsa yang membuat laporan polis ialah pelajar berusia 14, 15 dan 16 tahun,” katanya.

Katanya, susulan laporan yang dibuat dua remaja Melayu telah diberkas pada 14 April lalu dan kedua-dua mereka mengaku melakukan aksi cabul berkenaan.

“Kira-kira jam 1 petang, dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes ini termasuk seorang pelajar tingkatan dua dari sebuah sekolah lelaki di sini, telah ditahan, manakala seorang lagi remaja tidak bersekolah.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua remaja ini mengaku telah melakukan kegiatan itu sejak seminggu lalu dan kes ini masih lagi dalam siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, tangkapan kedua-dua suspek turut dibantu penduduk dan pengawal keselamatan di sekitar taman itu yang sudah membuat intipan terlebih dahulu./sinarharian

Bapa balik, remaja tidak sempat berasmara

BALING: Seorang remaja 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling setelah dituduh mencabul kehormatan kekasihnya pada 9 April lalu di rumahnya di Kampung Seberang Ketil, Kupang, di sini.

Ketiadaan ibu dan bapa di rumah mengakibatkan tertuduh nekad membawa kekasihnya yang berumur 13 tahun itu ke rumahnya untuk bermadu asmara.

Namun, tertuduh hanya sempat meraba buah dada dan kemaluan kekasihnya setelah ayahnya pulang ke rumah secara tiba-tiba.

Tertuduh menipu ayahnya dengan mengatakan kekasihnya itu hanya seorang rakannya sebelum bertindak menghantar kekasihnya pulang ke rumah.

Perbuatan tertuduh terbongkar setelah kekasihnya itu dikatakan telah melarikan diri dari rumah dan sedang dicari oleh ahli keluarga perempuan itu.

Tindakan menghantar pulang kekasihnya membawa padah setelah keluarga kekasihnya itu curiga dengan tindakan tertuduh menghantar anak gadis keluarga itu ke rumah.

Sehubungan itu keluarga terbabit membuat laporan polis.

Tertuduh yang kelihatan tenang itu mengaku bersalah ketika pertuduhan di bacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizudin Ramli.

Berikutan tertuduh masih dibawa umur, mahkamah menetapkan 20 Mei untuk laporan akhlak sebelum diberikan hukuman yang setimpal kepada tertuduh.

Tertuduh disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000.

Sementara itu, seorang lagi remaja berusia 15 tahun dari Kampung Guar Reban mengaku bersalah selepas dituduh mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 13 April lalu.

Remaja terbabit dituduh menceroboh sebuah rumah di Kampung Charuk Bemban sebelum bertindak mencabul seorang gadis di dalam rumah itu dengan meramas buah dadah gadis malang itu.

Mahkamah turut menetapkan 20 Mei untuk laporan akhlak dan mengenakan wang jaminan sebanyak RM 5,000 kepada remaja terbabit.

Remaja tersebut dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, manakala Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Muhamad Syaiful Akmal Mohd Razi./sinarharian

Kerana ghairah Bangla gigit bibir wanita hingga berdarah

MAK MANDIN: Gara-gara tidak dapat mengawal nafsu terhadap wanita yang diminati, seorang warga Bangladesh melepaskan geram dengan menggigit bibir mangsa hingga berdarah dalam satu kejadian mencabul awal pagi, kelmarin.

Namun, Muhiduzzan Moshed, 22, ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioener Zulkifli Alias yang dihubungi berkata, mangsa seorang kerani pengeluaran dan bertugas berseorangan di dalam pejabat ketika kejadian itu berlaku.

“Sekitar jam 12.08 pagi kelmarin, suspek memasuki pejabat kilang berkenaan dan menyerahkan borang pengeluaran untuk disemak oleh mangsa. Tiba-tiba suspek bertindak memegang tangan mangsa membuatkan dia terkejut,” katanya.

Zulkifli berkata, suspek kemudiannya menarik tangan mangsa dan memeluknya dari belakang dan dalam masa sama, bertindak agresif cuba mencium mulutnya.

“Mangsa dikatakan cuba menolak suspek dan memaklumkan bibirnya terdapat ulser, namun suspek tidak menghiraukan sebaliknya terus bertindak rakus. Disebabkan terlalu ghairah, suspek dikatakan menggigit bibir mangsa hingga berdarah. Selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan kepada penyelianya sebelum membuat laporan di Balai Polis Mak Mandin kemudiannya,” katanya.

Selepas kejadian, mangsa dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital, kerana mengalami pendarahan yang agak teruk di bahagian bibir.

Zulkifli berkata, suspek dikatakan meminati kerani pengeluaran wanita itu sejak mula masuk bekerja di kilang itu hampir dua tahun lalu, namun mangsa tidak pernah memberi sebarang reaksi.

Mangsa yang ditemui bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dan membenarkan kesan kecederaan di bibirnya dirakam, kerana malu dengan kejadian itu.

Suspek ditahan pagi semalam di tempat kerjanya sebelum direman selama 14 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul./sinarharian

Rogol bergilir-gilir, empat remaja direman

 Suspek direman 7 hari untuk siasatan.
BALING: Ketika golongan seusia mereka sibuk mengejar cita-cita untuk masa depan, lain pula berlaku terhadap empat remaja berusia antara 13 sehingga 18 tahun, di sini yang direman tujuh hari setelah dipercayai merogol seorang gadis 15 tahun di Pasar Awam Kuala Ketil kira-kira 2.30 pagi, pada 11 April lalu.

Difahamkan mangsa dirogol lebih daripada lima orang secara bergilir-gilir mengakibatkannya terpaksa dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut.

Terdapat dua suspek yang masih bebas dan salah seorangnya daripadanya dipercayai tinggal di Sungai Petani.

Menurut sumber, gadis berusia 15 tahun itu dibawa oleh salah seorang rakan mereka dari Sungai Petani sebelum dia dirogol beramai-ramai.

Seorang daripada suspek telah dibuang sekolah dan terlibat dalam pengawasan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah./sinarharian

Ahad, 15 April 2012

Polis temui mayat wanita sedang terbakar

PADANG SERAI: Polis yang bergegas ke lokasi kejadian pembunuhan sempat memadamkan mayat seorang wanita yang sedang terbakar di kawasan semak di tepi jalan berhampiran Taman Desa Aman, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata sepasukan polis tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi ketika mayat wanita yang belum dikenali identitinya sedang terbakar.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mayat wanita berkenaan diselimut dengan kain dan dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke situ untuk dibakar dipercayai bagi melenyapkan bukti kes.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehingga kini, polis masih mengesan sama ada kejadian bunuh tersebut dilakukan oleh seorang suspek atau lebih dan belum ada sebarang tangkapan dibuat./Bernama

Bayi ditinggal atas bonet kereta dekat masjid

imam
MUAR: “Saya sangka ada orang hantar barang, tetapi terkejut apabila buka kotak ini terdapat satu beg hitam mengandungi seorang bayi perempuan yang sedang menangis dalam keadaan berpeluh,” kata Abd Rashid Sirat.

Bayi malang yang masih bertali pusat dan hanya dibalut dengan tuala dijumpai oleh Abd Rashid ditinggalkan dalam kotak polistren putih di atas bonet kereta Honda Civic miliknya di sebuah masjid di Parit Pechah, Parit Jawa dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Abd Rashid menyedari kewujudan kotak itu ketika menghampiri keretanya untuk pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.

Menurutnya, walaupun berasa pelik tetapi dia tergerak hati untuk membuka kotak itu dan terkejut melihat seorang bayi perempuan sedang menangis.

“Tanpa berlengah saya segera memanggil jemaah lain yang masih berada dalam masjid untuk memaklumkan penemuan bayi ini. Mujur saya cepat buka kotak ini, jika tidak pasti bayi malang ini sudah lemas kerana kotak polistren putih ini kedap udara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Turut ditemui dalam beg itu ialah sekeping kertas mengandungi nama bayi berkenaan iaitu Salamiah Hasanah Khairulanam dan ibunya, Sri Susanti serta pesanan mengatakan tidak mampu memelihara bayi itu dan akan menunggunya di Jakarta, Indonesia.

Abd Rashid berkata, dia tidak pasti berapa lama bayi itu ditinggalkan kerana sewaktu tiba di masjid kira-kira jam 5.30 pagi tidak menemui sebarang kotak atau tiada kelibat individu mencurigakan berhampiran masjid itu.

Katanya lagi, dia dan rakan-rakan membawa bayi itu masuk ke dalam masjid supaya tidak kesejukan sebelum membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi malang itu.

“Berdasarkan tali pusat yang masih melekat pada bayi, kemungkinan bayi itu baru dilahirkan beberapa hari lalu.

“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, polis kini sedang giat mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu menghubungi IPD Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./sinarharian