KUALA BESUT: Seorang buruh cedera di beberapa bahagian anggota badan akibat ditetak ala mafia oleh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Air Tawar dekat Kampung Raja di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Hemszuan Kamarul Zaman, 24, cedera di kepala, tangan dan bahu akibat tetakan tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa yang berada di rumahnya didatangi seorang lelaki yang tinggal di Seberang Jertih dikenal dengan gelaran Mat Yi.
Menurutnya, suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah golok dan mangsa cuba mempertahankan dirinya.
“Akibat tetakan tersebut mangsa cedera di bahagian kepala, tangan serta bahu sebelah kiri dan kemudian dirawat di Hospital Besut,” katanya.
Kamaruddin berkata, polis masih menjalankan siasatan motif kejadian dan sedang memburu suspek yang sudah dikenal pasti itu.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata.
Sementara itu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana individu agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang kerana mereka akan diburu dan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Sejak belakangan ini didapati kes mencederakan dan hubungan seksual melibatkan remaja wanita bawah umur di daerah ini meningkat dan ibu bapa sepatutnya memainkan peranan penting dalam menangani isu ini,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan