KUALA TERENGGANU: Walaupun hubungan mereka baru berstatus kekasih, namun seorang pemandu lori sudah berani bertindak kejam dengan menampar dan menolak teman wanitanya itu sehingga cedera di muka dan lengan kanan dalam satu kejadian di sebuah inap desa, di sini, hujung bulan lalu.
Gara-gara sikap panas barannya itu, Mohd Asrul Aswadi Yusof, 29, menerima pembalasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara selama lima hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Tertuduh yang berasal dari Kampung Pengkalan Arang, di sini, turut berdepan hukuman penjara selama sebulan lagi jika dia gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa, Shafinaz Ismadi, 21.
Mohd Asrul Aswadi mengaku salah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah inap desa di Taman Semarak, Batu Enam, di sini, kira-kira jam 10 malam pada 30 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala Mohd Asrul Aswadi pula tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menginap di inap desa berkenaan bersama mangsa telah bertengkar kira-kira jam 10 malam pada 30 Mac lalu.
Dalam pertengkaran itu, tertuduh bertindak kasar memukul mangsa dengan menampar muka serta menolak mangsa menggunakan kaki sehingga dia terbaring.
Berikutan pertengkaran itu, mangsa bengkak di bahagian muka sebelah kiri dan lebam di lengan kanannya sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.
Susulan laporan itu, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di kediamannya kira-kira jam 4 pagi pada 2 April lalu./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan