Khamis, 30 Januari 2014

Kanak-kanak perempuan dirogol, diliwat, ditoreh kemaluan dengan senjata tajam

MUAR: Seorang kanak-kanak menempuh detik hitam bukan hanya dirogol dan diliwat, tetapi menerima 18 jahitan di kemaluan akibat ditoreh dengan senjata tajam apabila enggan melakukan seks oral, oleh lelaki yang menculiknya di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika murid berusia 10 tahun berkenaan dalam perjalanan ke sekolah agama dengan menaiki basikal bersendirian melalui jalan pintas dari rumahnya.

Mangsa diculik di lorong dalam kebun getah pada jarak kira-kira 150 meter dari rumah penduduk.

Menurut sumber, mangsa didatangi lelaki berusia 37 tahun yang menariknya masuk ke dalam kereta sebelum dilarikan.

“Mangsa dibawa ke tempat pembuangan sampah lalu dirogol dan diliwat dalam kereta tersebut.

“Seorang pekebun ternampak mangsa diculik tetapi tidak sempat menghalang kerana kejadian berlaku dengan pantas,” katanya.

Sumber berkata, pekebun itu mencatat nombor pendaftaran kereta suspek sebelum menghubungi pihak polis.

Katanya, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 5 petang kelmarin semasa berhenti di sebuah stesen minyak dipercayai untuk mengisi minyak.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, jalan pintas itu sememangnya sunyi kerana dikelilingi kebun getah.

“Tetapi penduduk tidak ada pilihan lain kerana laluan itu mempercepatkan perjalanan hantar anak ke sekolah serta turut digunakan mangsa setiap hari,” katanya./sinarharian

Khamis, 23 Januari 2014

Jumpa mayat bayi di tandas masjid (Gambar)

KANGAR: Jemaah di Masjid Alwi di sini gempar selepas salah seorang daripada mereka menjumpai mayat bayi perempuan cukup sifat dibuang di tepi lubang tandas lelaki di masjid berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Harian Metro difahamkan jemaah lelaki berkenaan baru selesai mengerjakan solat subuh berjemaah di situ dan pergi ke tandas berkenaan sebelum ternampak mayat bayi tersebut diletakkan bersebelahan lubang tandas di situ.

Dia kemudian memaklumkannya kepada pihak pengurusan masjid yang selepas itu memeriksa keadaan bayi yang sudah tidak bernyawa ketika ditemui.

Mereka kemudian memaklumkannya kepada pihak polis sebelum polis daripada bahagian forensik memeriksa lokasi kejadian termasuk bayi berkenaan.
Foto
Mayat bayi yang dijumpai di dalam tandas lelaki di masjid Alwi. FOTO Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, bayi masih basah bertali pusat dipercayai baru sahaja diletakkan di situ dan dilahirkan beberapa jam sebelum itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit./hmetro