Ahad, 31 Julai 2011

Pelajar 14 tahun dirogol rakan sekolah

KAMPUNG RAJA: Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini membuat laporan polis Ahad lalu selepas mendakwa dirogol rakan sekolahnya di sebalik batu di kawasan Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa yang berumur 14 tahun itu mendakwa dia ditarik seorang suspek dikenali dengan gelaran bermula dengan huruf ‘D’ ke satu sudut di sebalik batu sebelum merogolnya.

Menurutnya, seorang lagi suspek iaitu rakan kepada ‘D’ pula bertindak memegang tangan dan menanggalkan seluar mangsa sebelum merogol mangsa di situ.

“Sebelum itu mangsa berjalan bersama rakannya di kawasan Teluk Bayu dan datang dua lelaki termasuk D. Suspek menegur dan mengajak mangsa bersiar-siar.

“Mangsa menolak ajakan suspek dan tiba-tiba ‘D’ menarik tangan mangsa dibantu rakannya ke sebalik batu tersebut,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut dan susulan itu tiga suspek berumur belasan tahun berjaya ditangkap dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Mangsa dihantar ke hospital dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan lama namun tiada sebarang kecederaan pada kemaluan dan badan mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kamaruddin berkata, polis meminta ibu bapa dan masyarakat memberi tumpuan mengenai asas agama, nilai budaya dan moral tinggi kepada anak muda hari ini supaya kes seperti ini dapat dielakkan./sinarharian

Kakitangan bank, janda dicekup khalwat

TAMAN RAKYAT JAYA: Seorang janda yang difahamkan baru tiga hari menerima keputusan perceraian di mahkamah dengan bekas suami dicekup khalwat ketika berdua-duaan dengan kekasih barunya dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa syariah di perumahan kos rendah yang disewa teman lelakinya dekat sini, wanita terbabit yang hanya memakai baju tanpa lengan dan berseluar pendek dikatakan sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama teman lelakinya yang memakai seluar tanpa baju.

Bagaimanapun, sebaik pintu diketuk dan penguat kuasa memperkenalkan diri, janda berasal dari Felda Kerteh Lima dan bekerja sebagai pembantu kedai makan itu cuba bersembunyi di dalam bilik.

Hasil pemeriksaan lanjut, wanita terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim dengan teman lelakinya dari Kemaman yang bekerja sebagai kakitangan bank di Paka itu.

Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Tergantung dengan kain sari


TAMPIN: Seorang ibu terkejut sebaik melihat mayat anak perempuan sulungnya, R Megalah, 20, tergantung di atas alang pintu antara ruang tamu menuju ke dapur di Taman Mutiara, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi, semalam. 

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian ibu mangsa, P Saraswati, 41, yang bekerja sebagai penoreh getah seperti biasa bangun pada awal pagi. 

Menurut Saraswati, dia tidak menyangka anaknya itu mempunyai masalah kerana sebelum ini R Megalah tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah masih bersikap peramah dan ceria. 

“Anak saya itu juga baru sahaja berbincang dengan saya untuk mengikat tali pertunangan pada bulan hadapan bersama lelaki yang kini bekerja di Singapura. 

“Oleh itu, saya sangat terperanjat dan menjerit ketika melihat mayat anak saya tergantung dengan kain sari, lalu memberitahu jiran mengenai kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam. 

Sementara itu, Saraswati berkata, kali terakhir dia bertemu R Megalah kira-kira pada jam 12.00 tengah malam selepas anaknya itu bersama seorang lagi adiknya masuk ke bilik untuk tidur. 

“Kami sekeluarga sempat makan malam dan menonton televisyen bersama sebelum anak saya serta adiknya masuk ke bilik untuk tidur,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. 

Menurutnya, sebaik sahaja menerima aduan, sepasukan anggota polis yang diketuai Sarjan Mejar Musa Ismail bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HT untuk dibedah siasat dan pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh diri./sinarharian

Gadis 19 tahun hampir diperkosa

BATU FERINGGHI: Helah seorang lelaki yang meminta bagi menunjukkan arah tandas hampir menyebabkan seorang gadis berusia 19 tahun diperkosa lelaki berhidung belang.

Mangsa yang hanya mahu dikenali dengan nama Nani dari Teluk Bahang itu bekerja di sebuah hotel bajet di Batu Feringghi.

Menceritakan kejadian itu, dia mengenali lelaki berusia 20-an itu sebagai pelanggan tetap hotel di tempatnya bekerja.

Menurutnya, lelaki berkenaan adalah seorang anggota berpakaian seragam. Malam kejadian, lelaki terbabit datang ke hotel itu dan meminta untuk menggunakan tandas hotel.

“Saya kata kami tiada tandas, saya terpaksa layannya berbual memandangkan dia adalah pelanggan tetap kami, kemudian dia minta untuk gunakan tandas di dalam bilik hotel, saya terangkan itu hanya untuk pelanggan yang mendaftar masuk ke bilik sahaja.

“Dia berkeras dengan mengatakan dirinya adalah pelanggan tetap, saya memberinya kunci bilik supaya dia boleh pergi sendiri, namun dia memberi alasan tidak tahu bilik mana satu dan mahu saya membukanya sendiri.

“Dalam hati memang saya tidak mahu tetapi saya fikir positif, setibanya di bilik saya ditolak dari arah belakang,” katanya sambil terhenti-henti kerana sedih mengenangkan saat itu semula.

Nani bertambah takut, tambahan lagi keadaan dalam bilik begitu gelap, ketika dia mahu keluar, lelaki terbabit yang agak tinggi awal-awal lagi sudah menghalangnya.

“Saya menjerit dan cuba kuatkan kudrat, akhirnya saya lepas dan terus bergegas ke bilik bos saya, sementara lelaki itu boleh buat macam tiada apa-apa bila dia keluar.

“Bos saya meminta penjelasan daripadanya namun dia berlalu begitu sahaja, keesokannya saya dan keluarga telah ke pejabat lelaki berkenaan dan memang di hadapan kami ketuanya mengaku yang anak buahnya ada cubaan untuk mengganggu saya.

“Apa yang menjadi kemusykilan pada kami ialah setelah membuat laporan polis dan juga memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukti yang kami ingin kemukakan melalui Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dikatakan hilang secara tiba-tiba.

“Alasannya mereka kata video rakaman hanya bertahan dalam satu hari lebih sahaja sedangkan kami sudah menontonnya dan ada rakaman yang tersimpan dari 22 Julai hingga 25 Julai 2011,” katanya.

Sementara itu kakak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia dengan ahli keluarga tidak mengharapkan sebarang ganti rugi atau sebagainya, namun maruah keluarganya sudah tercalar.

Seharusnya lelaki itu datang memohon maaf kepada mangsa dan ahli keluarga memandangkan berita khabar angin yang tidak baik sudah melanda mereka sekeluarga.

“Ada ke patut mereka memberi adik saya RM500 sebagai ganti rugi, begitu mudah bagi pihak hotel dan juga pihak ketua lelaki hidung belang itu buat kami sebegini, bila kami tanya siapa yang berikan RM500 itu masing-masing tidak mengaku dan paling memalukan majikan adik saya menyuruhnya sedekahkan duit berkenaan ke masjid jika tidak mahu terima.

“Itu duit halal atau haram? Tetapi dia mahu kami beri kepada masjid pula, sekarang kedua-dua sama ada hotel atau pihak majikan lelaki berkenaan semuanya hendak menjaga nama, nama baik adik saya siapa yang hendak jaga pula?,” katanya.

Ketika berkunjung ke rumah mangsa, hampir 10 ahli keluarga turut berkumpul berkongsi rasa kecewa mereka terhadap tindakan majikan dan juga pihak majikan lelaki berkenaan.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Balik Pulau, Saniah Abdul Kamal berkata, beliau bersama-sama dengan keluarga berkenaan datang menemui ketua lelaki terbabit.

“Saya datang kerana bimbang jika mereka kata saksi keluarga tidak boleh digunakan memandangkan takut sebelah pihak saja, jadi saya orang luar dan mereka pula ialah orang di kampung saya, saya bertanggungjawab.

“Saya sendiri mendengar pengakuan daripada ketua lelaki berkenaan mengaku sendiri yang anak buahnya ada niat melakukan perbuatan tidak senonoh itu,” katanya.

Sementara itu Nani dalam keadaan kecewa berkata, dia telah berhenti daripada bekerja di hotel itu.

“Sekarang saya duduk di rumah sahaja kerana saya takut, saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau masa dia tolak saya itu saya jatuh atau pengsan, mungkin saya sudah jadi mangsa dia.

“Sekarang saya hanya mahu pembelaan ke atas diri saya, saya mahu dia minta maaf,” katanya./sinarharian

Sabtu, 30 Julai 2011

Mayat bayi di tepi lebuh raya

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur terkejut apabila menjumpai mayat seorang bayi lelaki semasa sedang berhenti rehat di bawah sebuah jejambat di Kilometer 282.4 Lebuh Raya Utara - Selatan, berhampiran susur masuk Nilai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Azmi Talib, 44, bersama rakannya berhenti di tepi lebuh raya itu sebelum terlihat sebuah beg tangan wanita berwarna hitam di bawah jejambat berkenaan.

Disebabkan rasa curiga, Azmi berkata, dia kemudian mendapatkan beg berkenaan sebelum membukanya.

“Sebaik membuka beg tersebut, saya terlihat satu objek yang dibalut dengan tuala putih.

“Saya cuba memegang objek berkenaan tetapi terasa sesuatu yang lembik. Namun, saya terperanjat apabila melihat kaki bayi terkeluar di hujung tuala berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi penemuan mayat bayi berkenaan, semalam.

Panik dengan penemuan itu, Azmi berkata, dia pergi ke tepi lebuh raya dan menahan sebuah kereta peronda Plus yang kebetulan berdekatan dengan lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Yusoff Awang berkata, buat masa ini, polis belum mempunyai sebarang maklumat lengkap berhubung penemuan itu termasuk punca kematian bayi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bayi berkenaan dipercayai berbangas Melayu dan baru saja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.

“Kita juga menjumpai satu bungkusan plastik yang mengandungi uri tidak jauh dari lokasi mayat bayi berkenaan dijumpai,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ke jadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran./sinarharian

Jumaat, 29 Julai 2011

Lelaki mati ditetak selepas terlibat pergaduhan

KULAIJAYA: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditemui mati dalam keadaan cedera parah dipercayai selepas terlibat dalam pergaduhan di Jalan Siantan 2, Indahpura, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan awam sekitar jam 2 pagi memberitahu berlaku pergaduhan melibatkan lelaki cedera parah.

Menurutnya, siasatan polis mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mendapat kecederaan dipercayai ditetak di bahagian kepala, belakang badan dan tengkuk.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Zulkefly berkata, pihaknya meminta kerjasama awam untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat di talian 07-6632222 atau balai polis berhampiran./sinarharian

Mayat bayi dalam sungai

SHAH ALAM: Pilu apabila mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui orang awam dalam keadaan sudah membusuk di tebing Sungai Klang berhampiran Taman Bukit Jati, Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, selain tanpa seurat benang, mayat bayi cukup sifat itu masih bertali pusat.

Mayat tersebut dipercayai dihanyutkan oleh arus sungai ke tebing itu.

“Pemeriksaan mendapati, bahagian belakang badan bayi itu berulat, badan kebiru-biruan dan kemaluannya bengkak.

“Mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian

Mayat ditemui di tebing sungai

RANTAU PANJANG: Penduduk setempat gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai berusia sekitar 40 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan leher di tebing sungai Golok berhampiran Pos Kawalan Sempadan Salleh Berek, Jeram Perdah, dekat sini, pagi ini.

Ketika ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi itu, mayat lelaki tersebut lengkap berpakaian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, identiti lelaki ini masih belum diketahui dan pihaknya tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat tersebut.

“Siasatan awal kita mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher mangsa dan kita percaya dia telah dibunuh sebelum dicampak ke dalam sungai.

”Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan lelaki ini warga Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini.

Yong Heng berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran di talian 09-7908222./sinarharian

Khamis, 28 Julai 2011

Padah rogol remaja bawah umur

JOHOR BAHRU: Seorang pengedar katalog dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Seksyen, di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan di bawah umur, April lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Hassan Abd Ghani selepas mendapati tertuduh, B Nathan, 26, bersalah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Laman Sarawak, Taman Rekreasi Taman Mutiara Rini, di sini, pada 13 April yang lalu sekitar jam lebih kurang 4.30 petang.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama tiga adiknya pergi Taman Rekreasi Taman Mutiara Rini, di sini, dengan kereta kancil milik tertuduh sebelum ketiga-tiga adiknya dikuncikan di dalam kereta itu.

Kemudian, tertuduh telah membawa mangsa ke sebuah pondok di Laman Sarawak dan memukul mangsa di bahagian mukanya hingga lebam lalu, membuka pakaian mangsa sebelum bertindak membuka pakaiannya sendiri dan merogol mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Chuah Shyue Chien./sinarharian

Jumpa mayat penuh kesan tikaman di dada

SUBANG JAYA: Pengunjung sebuah pusat beli-belah terkenal di USJ di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dipenuhi kesan tikaman di dada petang, kelmarin.

Mayat terbabit yang berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan terlentang oleh pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit yang kebetulan melakukan rondaan keselamatan dalam pasar raya berkenaan kira-kira jam 7.45 petang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari rak menjual pisau sebuah pasar raya dalam pusat beli-belah berkenaan.

“Mangsa, dikenali sebagai Low Seong Juan, 21, disahkan mati ketika ditemui dalam keadaan berlumuran darah. Hasil pemeriksaan mendapati sebilah pisau memotong sayur ditemui dekat dengan kepala mangsa,” katanya.

Zainal Rashid berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh atau membunuh diri.

“Hingga kini kita masih klasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya./sinarharian

Lelaki ditemui gantung diri

KEPONG: Seorang lelaki bujang berusia 57 tahun dari Jalan Ratna Pillay, Sentul di sini ditemui mati dipercayai akibat menggantung diri di ruang tamu rumahnya, petang kelmarin.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa berbangsa Cina dan tinggal seorang diri di rumah setinggan di situ.

“Daripada nota ditinggalkan dan dibaca sendiri oleh abang mangsa, mendiang memberitahu membunuh diri kerana mahu lari daripada peminjam wang haram ah long, yang memberinya pinjaman sebanyak RM200,000.

“Semasa ditemui oleh ahli keluarganya, didapati pergelangan tangan mangsa juga dikelar dipercayai dilakukan olehnya sendiri,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kepong, semalam.

Menurut Zakaria, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat./sinarharian

Rompak ibu saudara

KOTA BHARU: Seorang pemuda dari Kampung Kota, di sini berdepan seksaan penjara sehingga 20 tahun selepas dituduh merompak ibu saudaranya sendiri dalam kejadian di Pasir Puteh lebih tiga minggu lalu.
Berikutan tuduhan itu, Nur Aizat Ibrahim Affandi, 26 bersama rakanya, Wan Mohd Khairul Wan Mohd Sidek, 24 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin, mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan terhadap warga emas berusia 66 tahun tersebut bertempat di Banggol Sentul, Selising, Pasir Puteh, 4 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, Nur Aizat dan Wan Mohd Khairul dikatakan secara berkumpulan merompak Rokiah Abdullah dengan mengambil seutas rantai tangan, rantai leher dan seunit telefon bimbit menyebabkan mangsa kerugian RM12,000.

Selain penjara sehingga 20 tahun, mereka boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding di mahkamah semalam, kedua-duanya mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang pengakuan salah rekodkan sebaliknya masing-masing memohon mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan tersebut.

Hakim Zainal L. Salleh kemudiannya menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

“Tidak ada sebarang jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh,” katanya./sinarharian

Lelaki dijel lapan tahun, sebat

MUHAMAD HAFIZ diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan semalam.

TEMERLOH: Kesengsaraan dua beradik yang melecur teruk selepas disimbah cuka getah oleh seorang buruh ladang sedikit terubat apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.

Hakim Dazuki Ali memerintahkan Mohammad Hafiz Ismail, 31, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh terhadap dua dakwaan kerana mencederakan Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10.

Kesalahan itu dilakukan berhampiran rumah No. 149, Felda Jengka 9 pada pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam, 19 Julai lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai hukuman tersebut, ibu mereka, Ruhasimah Julaili Mansor, 33, menyifatkan ia tidak setimpal jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang akan ditanggung seumur hidup anaknya.

Katanya, hukuman itu agak ringan dan tidak memadai berbanding perbuatan kejam itu.

“Saya sukar terima keputusan itu kerana dua anak saya yang masih kecil. Selain menderita mereka juga mengalami trauma hingga ke akhir hayat ekoran perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu,” luahnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Lebih membuatkannya terkilan ialah dia mendakwa ibu tertuduh yang juga jiran mereka langsung tidak pernah menjenguk dua anaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apatah lagi memohon maaf di atas kesalahan tertuduh.

Suami Ruhasimah, Mat Safar Zaidi Che Sam, 33, pula merasakan hukuman tersebut tidak berbaloi dan boleh menyebabkan tertuduh mengulanginya.

“Saya akan berbincang dengan ahli keluarga untuk membuka semula fail kes bagi memastikan nasib anak saya benar-benar terbela,” katanya.

Dalam prosiding semalam, tertuduh yang berbadan kurus didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tuduhan pertama ialah menyebabkan kecederaan parah kepada Syafiq Haikal dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di muka dan badan. Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencederakan Syaffiy Aiman dengan cecair yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 20 tahun, denda atau sebat.

Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya dikurangkan tetapi dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim.

Dazuki kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa telah disimbah cuka getah di muka dan badan ketika melalui depan rumah tertuduh ketika mereka menunggang motosikal untuk ke rumah rakan bagi mengulangkaji pelajaran.

Dua beradik itu masih lagi dirawat di HKL dan selepas menjalani pembedahan, kulit mati pada tubuh mereka telah dibuang sebelum dibalut./kosmo

Penyelia feri maut ditembak

ANGGOTA polis mengangkat motosikal ditunggang Zamzarmi yang mati ditembak dalam kejadian samun di Alor Setar kelmarin.
ALOR SETAR: Seorang penyelia sebuah syarikat feri maut selepas ditembak dalam kejadian samun melibatkan wang hasil jualan tiket sebanyak RM12,500 di Taman Seri Putra Fasa 3, Kuala Kedah di sini kelmarin.

Kejadian pukul 7.30 malam itu mengakibatkan Zamzarmi Ghazali, 36, (gambar) maut selepas ditembak sebanyak tiga kali dari jarak dekat masing-masing di dada dan perut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah.

Ketika itu, dia sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Nuovo selepas mengambil wang hasil jualan tiket tersebut di Terminal Feri Kuala Kedah.

Sebaik tiba di satu deretan bangunan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya, mangsa telah didatangi dua individu menunggang motosikal dengan memakai topi keledar berpenutup penuh. Mereka dipercayai telah mengekori mangsa dari terminal feri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan memberitahu, salah seorang suspek kemudian telah menembak mangsa sebanyak tiga kali dari jarak dekat sebelum melarikan wang RM12,500 yang dibawa lelaki itu.

Katanya, suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Pengurus Ferryline Ventures, Hussin Hassan, 51, memberitahu, ketika kejadian, mangsa membawa hasil jualan tiket feri yang diperoleh sejak kelmarin.

“Saya dan Allahyarham bergilir-gilir membawa pulang hasil jualan tiket. Wang itu akan dimasukkan ke bank keesokan harinya,” ceritanya.

Tambahnya, dia sepatutnya membawa pulang wang itu tetapi Zamzarmi mahu mengambilnya sendiri sebelum keluar pada pukul 7.10 petang.

Isteri mangsa, Faradina Ghazali, 32, berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati suaminya sudah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di situ.

“Dia telah bekerja di situ sejak 15 tahun lalu dan pernah membawa pulang wang hasil jualan tiket sebanyak RM200,000 tetapi tidak pernah disamun,” ceritanya yang mempunyai empat anak berusia di antara tiga dan 10 tahun./kosmo

Selasa, 26 Julai 2011

Broker peguam mati dibelasah

IPOH: Seorang bekas polis mati apabila dia dipukul sekumpulan enam lelaki bersenjatakan besi dan batu-bata dalam kejadian di sebuah restoran berhampiran Pasar Pengkalan di sini kelmarin. S. Sunther, 50, yang kini merupakan broker peguam di tiga buah mahkamah iaitu Mahkamah Sesyen, Majistret dan Tinggi Ipoh disahkan mati pada pukul 8.10 malam selepas 20 jam dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Difahamkan, lelaki itu dibelasah ketika sedang membeli rokok pada pukul 12 tengah malam Ahad lalu. Anak sulung mangsa, S. Yoges, 21, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakannya dan sebaik tiba, dia mendapati bapanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah. “Saya dimaklumkan oleh beberapa saksi, orang yang memukul bapa tinggal dekat dengan rumah di Taman Desa Pinji di sini namun saya tidak tahu motif kejadian.

“Kejadian itu ibarat luka lama berdarah kembali kerana ibu saya, K. Sumapahy sebelum ini mati dibunuh seorang lelaki tidak siuman ketika suspek memecah masuk rumah kami lebih 10 tahun lalu,” ceritanya kepada Kosmo! semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 18 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dengan kejadian itu di sekitar Taman Lapangan di sini awal pagi semalam. Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan polis sedang memburu baki tiga atau empat lagi lelaki yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./sinarharian

Jumaat, 22 Julai 2011

Hotel murah tempat lampias nafsu

KUALA DUNGUN: Seorang pekerja kontrak di syarikat cari gali sanggup menjadikan bilik hotel murah yang disewa hanya RM15 sehari asalkan dapat melepaskan nafsu bersama teman wanitanya. 

Bagaimanapun, perbuatan sumbang yang cuba disembunyikan itu berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum satu serbuan dilakukan di hotel terbabit kira-kira jam 3.30 petang semalam. 

Pemeriksaan lanjut dalam bilik hotel yang popular pada zaman kegemilangan Bukit Besi itu menemui seorang lelaki berseluar tanpa baju bersama seorang gadis 18 tahun bukan muhrimnya yang difahamkan baru meninggalkan bangku persekolahan. 

Suspek lelaki yang berasal dari Kemaman bersama teman wanitanya dari Kampung Nibong Dungun itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Unit Penguatkuasaan Jabatan Agama Dungun untuk diambil keterangan. 

Kedua-duanya bakal menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. 

Jika sabit kesalahan, pasangan yang masih bujang itu boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Pengantin baru bermalam di lokap

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang baru bergelar pengantin seminggu lalu terpaksa tidur di dalam lokap selepas ditahan polis awal pagi semalam setelah tindakannya mencuri gelang emas sepupunya terbongkar. 

Suspek, 27, dari Kampung Pasir Panjang ditahan kira-kira jam 3 pagi di kediaman ibu bapanya rentetan laporan polis dibuat sepupunya yang mengesyaki gelang emasnya dicuri dan dijual suspek Jun lalu. 

Sinar Harian difahamkan, suspek yang tidak bekerja melakukan tindakan bodoh itu kerana terdesak untuk mencari wang bagi menampung kos membeli barang hantaran sempena majlis perkahwinannya yang berlangsung Jumaat lalu. 

Difahamkan, suspek mencuri gelang emas terbabit di rumah sepupunya itu dan telah menjual gelang berkenaan dengan harga RM2,700. 

Bagaimanapun, tindakan suspek hanya disedari sepupunya kelmarin sejurus menyedari gelang emasnya hilang dan terus membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu. 

Suspek yang inai perkahwinannya masih merah dijari kini ditahan reman selama dua hari bermula semalam. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Abdul Halim Mohd Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek./sinarharian

Kanak-kanak dicabul rakan baik bapa

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, trauma apabila dicabul sahabat bapa sendiri, selepas keluar makan di sebuah restoran di sini Isnin lalu.

Sebelum kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, suspek berusia 52 tahun mengajak mangsa keluar makan bersamanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, selepas makan, suspek dan mangsa naik kereta untuk pulang.

Beliau berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang, lelaki itu meraba paha dan kemaluan mangsa yang duduk di tempat duduk sebelah pemandu.

“Mangsa cuba mengelak namun tidak dapat berbuat apa-apa. Suspek, bagaimanapun, tidak mencederakan mangsa dan menghantarnya pulang selepas kejadian.

“Mangsa yang terkejut diperlakukan sebegitu, terus memaklumkan kejadian itu kepada bapanya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khairi berkata, bapa mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Kita tahan suspek pagi kelmarin di rumahnya di Flat Fadason, Jinjang,” katanya.

Menurutnya, suspek di reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul./sinarharian

Kematian rakan: Lelaki diberkas polis

JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki rakyat Singapura yang dilaporkan hilang setelah diculik enam bulan lepas ditemui di kawasan ladang getah di Kajang, Selangor, semalam, hasil penahanan terhadap rakan baiknya, 12 Julai lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, usaha mengesan peniaga berumur 40-an itu dilakukan oleh pasukan khas yang ditubuhkan selepas isterinya membuat satu laporan polis pada 26 Januari lepas mengenai kehilangannya.

“Polis dalam menjalankan siasatan mendapati lelaki itu telah diculik berikutan isterinya ada membuat bayaran tebusan sebanyak RM12,000 tiga minggu selepas laporan polis dibuat.

“Hasil siasatan seterusnya, polis akhirnya berjaya menjejak seorang lelaki yang merupakan rakan baik mangsa lalu menahannya di Klang, Selangor, 12 Julai lepas,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, lelaki berusia 40-an itu yang merupakan rakyat tempatan membawa polis ke ladang getah terbabit semalam sebelum polis menemui satu mayat tertanam di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat berkenaan bagi mengetahui punca kematian sebenar./Bernama

Rabu, 20 Julai 2011

Ibu ditangkap kerana cuba jual anak

HEIDI L. KNOWLESVANCOUVER, Amerika Syarikat - Seorang wanita tidak berumah dituduh cuba menjual anak lelakinya yang berusia tiga hari di restoran Hazel Dell Taco Bell di sini pada harga di antara AS$500 (RM1,507) hingga AS$5,000 (RM15,074), lapor beberapa buah akhbar semalam.

Ibu itu, Heidi L. Knowles berumur 36 tahun bertindak menjual anaknya itu pada Khamis lalu.

Menurut dokumen mahkamah, seorang wanita menghubungi talian kecemasan 911 bagi membuat laporan bahawa Heidi membuat tawaran untuk menjual anaknya itu kepadanya.

Ibu itu kemudian ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah kelmarin.

Hakim mahkamah menetapkan wang ikat jamin sebanyak AS$50,000 (RM150,749) selepas mendapati dia mempunyai rekod jenayah termasuk keganasan rumah tangga dan dadah.

Ibu itu yang merupakan seorang janda dan kini ditahan di sebuah penjara akan dibicarakan pada 29 Julai depan.

Menurut dokumen mahkamah, Heidi yang menganggur memberitahu polis dia menginap di Motel Kay's di Vancouver, Washington dengan anaknya itu buat sementara waktu sehingga menemui tempat tinggal yang sesuai.

Dia menyara kehidupan dengan wang bantuan kebajikan sebanyak AS$540 (RM1,628) sebulan dan penerima program bantuan makanan kebajikan.

Ibu itu memberitahu polis, dia berpindah dari Florida ke Vancouver, Washington tiga bulan lalu.

Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjarakan sehingga lima tahun./Agensi

Selasa, 19 Julai 2011

Mayat bayi dijumpai dalam bungkusan

KAJANG: Aktiviti rutin hujung minggu seorang penduduk yang membersihkan kawasan sekitar rumah di Kampung Sungai Ramal Baru, Kajang tergendala seketika apabila menjumpai sebungkus plastik putih yang mengandungi mayat bayi.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.25 pagi semalam apabila seorang penduduk menjumpai plastik putih berhampiran landasan kereta api berhampiran rumahnya.

“Lelaki berkenaan sedang membersihkan kawasan rumah sebelum ternampak bungkusan plastik berhampi-ran landasan kereta api dan kemudiannya bertindak membuka plastik berkenaan dan terkejut setelah melihat mayat bayi yang telah berulat”, katanya.

Berdasarkan siasatan awal katanya, mayat bayi berkenaan telah meninggal dunia lima hari berdasarkan keadaannya yang sudah berulat dan keadaan jantina yang sukar di tentukan.

“Mayat bayi dihantar ke Hospital Serdang,” katanya./sinarharian

Murtad: Permohonan Kamariah ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan seorang pengikut ajaran sesat, Ayah Pin, untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia mempunyai hak dan kebebasan mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menganut mana-mana agama.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma”ah dan Datuk Clement sebulat suara menolak dengan kos rayuan bekas ustazah, Kamariah Ali, 60.

Panel hakim tersebut bersetuju bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Md Raus Shariff (kini hakim Mahkamah Persekutuan) bahawa perkara itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah untuk membuat keputusan mengenai perkara berkaitan Islam.

Mahkamah itu menolak rayuan Kamariah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Disember 2005 mengetepikan saman pemula dan permohonannya untuk merujuk persoalan berkaitan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim Azhar berkata, oleh kerana perkara yang dibawa kepada Mahkamah Tinggi ialah murtad maka ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil./Bernama

Isnin, 18 Julai 2011

Pasangan khalwat beri alasan siapkan tugasan kolej

PASANGAN pelajar kolej yang ditangkap kerana berkhalwat di sebuah hotel di Alor Setar kelmarin.
ALOR SETAR: Helah sepasang kekasih yang mendakwa terpaksa menyewa hotel untuk menyiapkan tugasan kolej bagi mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) gagal apabila mereka ditahan awal pagi kelmarin untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah hotel bajet di Jalan Lencong Barat di sini, pasangan terbabit turut mendakwa mereka baharu sahaja mendaftar masuk hotel berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati mereka berdua telah dua malam menginap di hotel tersebut.

Ketua Operasi JHEAIK, Md. Nasir Md. Dali berkata, pasangan dari Alor Setar berusia awal 20-an itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan pejabat agama untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM1,000.

"Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali," katanya di sini semalam./kosmo

Ahad, 17 Julai 2011

Hukum bogel

MANGSA... mendakwa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.
MANGSA... mendakwa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.
BUKTI... barang milik kasanova yang ditemui keluarga mangsa yang menahannya.
BUKTI... barang milik kasanova yang ditemui keluarga mangsa yang menahannya.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ‘buaya darat’ mungkin tidak akan melupakan pembalasan diterimanya selepas kemaluannya nyaris dipotong oleh waris enam daripada 10 gadis, kebanyakannya siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dari sekitar Lembah Klang yang pernah diperdaya, termasuk diragut ‘kesucian’, sejak dua tahun lalu.

Malah, sebagai balasan atas perbuatan durjananya terhadap gadis berkenaan sebelum ini, gambar lelaki terbabit dalam keadaan berbogel turut dirakam untuk menyedarkannya dan memastikan dia tidak mengulangi tindakan sama.

Dia yang berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mengamalkan pelbagai ajaran dan ilmu kebatinan berkaitan wanita, akhirnya kecundang selepas waris keenam-enam keluarga terbabit berpakat ‘menuntut pembelaan’.

Akibatnya, 15 telefon bimbit mengandungi pelbagai gambar bogel gadis ditidurinya dibuang, manakala dia dibogelkan di satu kawasan sebelum kemaluannya cuba dipotong, selain beberapa barangan pelik miliknya dirampas.

Bagaimanapun, kejantanan lelaki terbabit tidak diusik apabila ada ahli keluarga mangsa enggan melampaui undang-undang, selain memikirkan nasib isteri dan dua anaknya yang masih bergantung hidup kepadanya.

Wakil kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Haji Ali, 45, (bukan nama sebenar) berkata, mereka mengambil tindakan sendiri selepas berbincang dan mendapati kesukaran menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa kerana dakwaan mangsa diperkosa sukar dibuktikan disebabkan kebanyakannya mengikut lelaki itu ke hotel secara sukarela.

Oleh kerana khuatir ramai gadis lain akan menjadi mangsa, katanya, gadis yang pernah menjadi mangsa lelaki itu bertekad ‘memberi pengajaran’ kepadanya, terutama selepas dara mereka diragut dan wang dibekalkan keluarga dihabiskan lelaki itu.

Mereka mengupah sekumpulan samseng sambil dibantu ahli keluarga masing-masing menjejaki lelaki itu sebelum terserempak dengannya berhampiran sebuah hotel di Cheras ketika suspek dalam perjalanan ke hotel bersama seorang gadis lain.

Dalam kejadian jam 8 malam Khamis lalu itu, kereta lelaki terbabit dihalang sebelum dia dipaksa turun dan dibawa ke satu tempat untuk ‘disoal siasat’ akibat perbuatan dilakukannya sebelum ini.

“Ketika disoal, lelaki yang bekerja sebagai peniaga aksesori telefon itu mengaku memperdaya sekurang-kurangnya 10 gadis, semuanya melalui laman sosial Facebook.

“Kebanyakan mangsa adalah siswi dan mereka yang bekerja, dan kegiatannya dilakukan sejak dua tahun lalu selepas dia dipercayai mengamalkan pelbagai ilmu kebatinan berdasarkan barangan yang ditemui dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan bernasib baik kerana ada ahli keluarga gadis yang menjadi mangsa berfikiran rasional dan memikirkan masa depannya, malah ketika disoal, dia mengaku akan bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan sama.

“Memang dia boleh menipu kami jika dia mahu, tetapi dia harus ingat kami juga boleh mencarinya jika kami mahu seperti yang berlaku pada malam kejadian,” katanya.

Seorang mangsa, Nurhaslinda Omar, 25, (bukan nama sebenar) berkata, dia bertindak nekad mencari kenalan lelaki berkenaan melalui laman sosialnya sebelum mereka berhubung antara satu sama lain selepas geram dengan apa yang berlaku terhadapnya.

“Selepas mengambil barangan berharga seperti barangan kemas, kad bank dan juga wang tunai, saya ditinggalkan begitu saja, malah beberapa kenalan ditemui dalam laman sosialnya turut mengalami nasib sama.

“Selain ‘dikikis’, kami dijadikan mangsa memuaskan nafsu, malah ada antara kami dirakam gambar mereka sebagai bahan pornografi, menyebabkan kami akhirnya sepakat untuk ‘bertindak’ dan memaklumkan keluarga.

“Saya percaya dia menggunakan barangan bagi tujuan memukau gadis supaya menurut segala kemahuannya meskipun pertama kali bertemu,” katanya.

Yang pasti, katanya, lelaki berkenaan menjadikan Facebook sebagai ‘lombong’ mencari gadis cantik atau golongan berada berdasarkan profil yang biasanya tertera pada laman sesawang itu.

“Pada awal perkenalan, si gadis akan ditabur dengan timbunan wang ringgit disimpan pada but kereta supaya pandangan gadis dikaburi wang ringgit dan akur menemani dia bergembira, namun selepas dia puas bersama mereka, dia pasti meninggalkan si gadis,” katanya./hmetro

Jumaat, 15 Julai 2011

Padah rakam aksi wanita dalam tandas

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja am hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan merakam aksi seorang wanita di dalam tandas.

Khairulsfairuse Ahmad Madli, 30, melakukan kesalahan itu menggunakan telefon bimbitnya di tandas wanita, Unit Forensik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ketika wanita berusia 31 tahun itu sedang membuang air pada 10.45 pagi, 7 Julai lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin manakala tertuduh tidak diwakili peguam./Bernama

Khamis, 14 Julai 2011

Didakwa rogol gadis sama

AYER KEROH: Dua lelaki yang saling tidak mengenali satu sama lain dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, dekat sini semalam kerana merogol seorang gadis bawah umur yang sama, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Nur Isfarhan Zarif, 22, dan Mohamed Shahril Idris, 23, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas faham pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar. 

Nur Isfarhan dari Peringgit, di sini dituduh merogol seorang remaja berumur 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Peringgit pada Ogos 2008 antara 12 tengah malam dan 1 pagi. 

Manakala Mohamed Shahril dari Krubong dituduh merogol remaja sama di sebuah rumah di Kilometer 16 Kampung Krubong, kira-kira 5 petang pada 29 Mei 2008. 

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail, meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap setiap tertuduh. 

Nur Isfarhan bagaimanapun, merayu kepada mahkamah supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai kerja tetap serta kini menyara seorang isteri yang sarat mengandung lapan bulan. 

Sementara Mohamed Shahril yang diwakili peguamnya, Loh Chon Mee, ketika rayuan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan bapanya hanya bekerja kampung. 

Selepas mendengar rayuaan tersebut, Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap setiap tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Ogos depan dan memerintahkan kedua-dua kes tersebut dibicarakan bersama./sinarharian

Kerana wanita, seorang lelaki maut ditikam

MERU: Gara-gara dendam dan berebutkan seorang wanita, seorang lelaki berusia 27 tahun terkorban akibat ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki di dalam sebuah bengkel membaiki kenderaan, di Jalan Meru, di sini, semalam. 

Mangsa yang ketika itu sedang berjalan seorang diri dikejutkan dengan kehadiran dua suspek. Dia segera berlari menyelamatkan diri sebaik menyedari kelibat suspek utama yang memegang pisau dengan masuk ke sebuah bengkel baiki kereta. 

Bagaimanapun tindakan itu gagal apabila mangsa dikejar sebelum ditikam suspek. Namun, mangsa tidak berputus asa sebelum bangun dan berlari sambil memegang bahagian yang ditikam dan keluar dari bengkel tersebut. 

Namun sudah ajal mangsa apabila hanya 50 meter berlari dari lokasi terjatuh, dia kemudiannya rebah dan meninggal dunia di hadapan sebuah premis dalam keadaan berlumuran darah. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohamad Shukor Sulong berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari yang mana mangsa sedang berjalan di lorong belakang premis dua tingkat itu sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal dipercayai warga Indonesia. 

“Berdasarkan penelitian pada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di belakang premis itu, salah seorang suspek menunggu di motosikal manakala suspek utama mengejar mangsa. 

“Menyedari dikejar suspek, mangsa segera berlari ke dalam sebuah bengkel sebelum dia terjatuh dan ditikam. 

“Berikutan itu, mangsa cedera parah. Dia kemudiannya meninggal dunia sebaik rebah di hadapan sebuah premis,” katanya. 

Akibat kejadian, menurutnya, polis sedang menjejaki suspek dikenali Andriyanto, 21, yang mana pada masa kejadian dia memakai t-shirt putih dan berseluar jeans bagi membantu siasatan. 

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi melengkapkan siasatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian petang semalam./sinarharian

Selasa, 5 Julai 2011

Mayat Nurrahayu ditemui dalam keadaan menyayat hati

SEORANG penduduk menunjukkan tempat cebisan mayat Nurrahayu ditemui di tanah perkuburan Hindu, Masai, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU: Seorang remaja berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mangsa dibunuh dan dibakar sebanyak dua kali sebelum cebisan mayatnya ditemui di Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini kelmarin.

Mayat mangsa, Nurrahayu Qomarodin (gambar kecil) yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu oleh ibu bapanya dipercayai dibakar di dua lokasi berasingan iaitu Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini yang jarak di antara kedua-duanya kira-kira 20 kilometer bagi menghilangkan bukti.

Keadaan mayat mangsa yang merupakan anak seorang pengusaha kantin di sebuah kuari di Masai ditemui hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan di antara pukul 4 hingga 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan saksi, mangsa dikatakan dilarikan oleh seorang lelaki pada hari kejadian dan sejak itu tidak pulang ke rumah keluarganya.

"Pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapat maklumat daripada orang awam yang memberitahu menjumpai cebisan rambut, baju dan selipar di sebuah tanah perkuburan Hindu, Masai.

"Berdasarkan siasatan, kesemua barang bukti konsisten dengan kes kehilangan mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Roslan, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin./kosmo