Ahad, 31 Julai 2011

Pelajar 14 tahun dirogol rakan sekolah

KAMPUNG RAJA: Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini membuat laporan polis Ahad lalu selepas mendakwa dirogol rakan sekolahnya di sebalik batu di kawasan Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa yang berumur 14 tahun itu mendakwa dia ditarik seorang suspek dikenali dengan gelaran bermula dengan huruf ‘D’ ke satu sudut di sebalik batu sebelum merogolnya.

Menurutnya, seorang lagi suspek iaitu rakan kepada ‘D’ pula bertindak memegang tangan dan menanggalkan seluar mangsa sebelum merogol mangsa di situ.

“Sebelum itu mangsa berjalan bersama rakannya di kawasan Teluk Bayu dan datang dua lelaki termasuk D. Suspek menegur dan mengajak mangsa bersiar-siar.

“Mangsa menolak ajakan suspek dan tiba-tiba ‘D’ menarik tangan mangsa dibantu rakannya ke sebalik batu tersebut,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut dan susulan itu tiga suspek berumur belasan tahun berjaya ditangkap dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Mangsa dihantar ke hospital dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan lama namun tiada sebarang kecederaan pada kemaluan dan badan mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kamaruddin berkata, polis meminta ibu bapa dan masyarakat memberi tumpuan mengenai asas agama, nilai budaya dan moral tinggi kepada anak muda hari ini supaya kes seperti ini dapat dielakkan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan