Selasa, 5 Julai 2011

Mayat wanita hanya berbaju dalam ditemui

KULAIJAYA: Mayat seorang wanita tanpa pakaian dijumpai terapung di permukaan sungai yang terletak di bawah laluan lebuh raya berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Bemban, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mayat berkenaan ditemui seorang saksi ketika sedang menjala ikan kira-kira jam 6.30 petang kelmarin dan segera menghubungi pihak polis.

“Kami menerima panggilan berhubung penemuan mayat yang hanya memakai coli berkenaan pada kira-kira jam 7 petang semalam (kelmarin) dan segera ke lokasi kejadian yang berhampiran lebuh raya Utara-Selatan kilometer 37.7 arah ke Johor Bahru.

“Bangsa dan identiti mayat wanita berkenaan masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan pakaian pada tempat kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkefly berkata, hasil siasatan mendapati mayat berkenaan telah meninggal dunia dua hari sebelum ditemui dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan tangan si mati.

“Sekitar kawasan berkenaan juga didapati bersemak dan terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit.

“Bedah siasat akan dijalankan untuk menyiasat punca kematian si mati,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan