Sabtu, 31 Disember 2011

Seorang selebriti lelaki mengaku dirinya rasul

Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Shuhada Mansor
KUALA LUMPUR: Mengaku dirinya rasul, mampu mengampunkan dosa pengikut, tsunami berlaku atas kuasanya dan menafikan kewajiban menunaikan solat serta puasa antara fahaman sesat yang kini didakwa disebarkan seorang selebriti terkenal tanah air.

Selebriti terbabit bukan saja menyebarkan fahaman yang ternyata melanggar hukum syarak, tetapi lebih mengejutkan apabila dia mengakui dirinya mampu memberikan syafaat kepada pengikutnya pada hari akhirat kelak.

Sumber yang juga bekas pengikutnya, hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 30, berkata, penyebaran dakyah menyimpang itu mula dilakukan selebriti terbabit lebih dua tahun lalu selepas mendakwa dirinya mendapat wahyu dan petunjuk daripada Allah.

“Dia juga memberitahu di akhirat kelak, dia bakal ditempatkan di barisan hadapan apabila semua manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar,” katanya kepada Harian Metro.

Selebriti lelaki yang terkenal dengan perwatakan warak itu sebelum ini jarang menimbulkan kontroversi sepanjang membabitkan diri dalam industri seni, justeru pendedahan dilakukan beberapa pengikutnya amat mengejutkan./hmetro

Lahir bayi hasil sekedudukan

Lahir bayi hasil sekedudukan
LEDANG: Tindakan berani sepasang kekasih bersekedudukan selama setahun sehingga melahirkan seorang bayi perempuan mengundang padah apabila mereka dicekup berkhalwat oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam.

Kegiatan mereka itu terbongkar dalam serbuan oleh PPADL, kira-kira jam 12.30 pagi di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini, selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang ramai.

Bayi perempuan berkenaan kini berada dalam jagaan wanita itu yang dilahirkan pada 16 Oktober lalu dan telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Daerah Ledang.

Namun, lebih mengejutkan apabila ibu bapa lelaki berkenaan turut bersubahat dan hanya membiarkan anak lelakinya bersekedudukan dengan teman wanita dalam satu rumah yang turut didiami mereka.

Lelaki berkenaan berumur 30 tahun dan pasangannya, 34, ditahan untuk siasatan lanjut.

Malahan, wanita berasal dari Sagil dan tidak pernah berkahwin itu turut mendakwa menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Manakala, lelaki berkenaan yang juga pengawal keselamatan, difahamkan telah berumah tangga dan memiliki empat anak yang kini dalam proses bercerai dengan isterinya.

“Saya sedar kesilapan saya dan kami ada merancang untuk bernikah sebaik menyedari teman wanita hamil.

“Tetapi kerana beberapa halangan termasuk masalah kewangan menyebabkan perancangan ini tergendala begitu sahaja,” katanya ketika disoal penguat kuasa.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan di rumah berkenaan dijalankan sepasukan anggota PPADL yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, bapa lelaki terbabit membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan meskipun terpaksa menunggu hampir 15 minit.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar sedang menidurkan bayi perempuan di ruang tamu.

“Manakala, lelaki berkenaan pula sedang tidur dalam bilik dengan hanya berseluar pendek,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Gambir untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya./sinarharian

Perogol hampir dibakar

JAKARTA: Seorang peniaga yang cuba merogol seorang wanita berumur 20 tahun di sebuah pangsapuri di utara Jakarta, Indonesia, hampir dihukum mati tanpa dibicarakan apabila orang ramai yang marah cuba membakarnya, kelmarin.

Orang ramai memukul Mindu Wijaya, 30, serta mengugut untuk menyimbah petrol dan membakarnya hidup-hidup, namun lelaki itu sempat diselamatkan polis.

Kes serupa berlaku pada 2009 di timur Jawa, apabila seorang bekas guru, Muhammad Zarkasyi terbunuh selepas dibakar sekumpulan pelajar sekolah yang berang dan menuduhnya melakukan hubu-ngan seks dengan pelajar perempuan di sekolah mereka./sinarharian

Jumaat, 30 Disember 2011

Dua beradik kebulur dirantai

Dua beradik kebulur dirantai
BUTTERWORTH: Tindakan pantas seorang jiran melaporkan kepada polis selepas mendengar tangisan kanak-kanak meminta makanan berjaya menyelamatkan dua beradik daripada terus menjadi mangsa dera bapa mereka di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini kelmarin.

Sebaik ditemui dua beradik itu, kakak berusia 6 tahun dan adik lelakinya berumur 2 tahun berada dalam keadaan lemah kerana seharian tidak menjamah makanan.

Lebih malang, kaki masing-masing mengalami kecederaan akibat dirantai dalam tempoh yang lama di dalam bilik air rumah kedai setingkat yang didiami bersama bapa berusia 40-an, seorang buruh di taman berkenaan.

Siasatan polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU) yang bergegas menyelamatkan dua beradik berkenaan mendapati mereka telah diperlakukan sedemikian rupa hampir sebulan lalu oleh bapa mereka setiap kali dia keluar bekerja.

Manakala ibu mereka seorang warga negara Thailand dikatakan telah menghilang diri sebaik berpisah dengan bapa mereka awal November lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu memaklumkan dia mendengar tangisan anak jirannya itu sejak jam 6 petang kelmarin.

“Pengadu memaklumkan dia terdengar suara meminta tolong dari dua beradik terbabit yang kadang kala diselang seli dengan tangisan mengadu kelaparan.

“Namun pengadu tidak dapat membantu mereka kerana rumah itu dikunci dari luar serta dua beradik terbabit tidak dapat bergerak kerana dirantai,” katanya.

Menurutnya, polis terpaksa memecah masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum menyelamatkan dua beradik berkenaan termasuk memotong mangga dan rantai yang mengikat kaki dua beradik malang itu.

“Dua beradik itu terpaksa duduk di atas kerusi plastik kerana bapa mereka menggunakan mangga bagi memastikan dua anaknya tidak dapat melepaskan diri.

“Selepas dibebaskan, dua beradik berkenaan dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Seberang Jaya dan kini berada di bawah jagaan JKM SPU,” katanya.

Menurutnya, bapa dua beradik itu kemudiannya ditahan pada jam 8.45 malam kelmarin sebaik dia sampai di rumahnya dan perintah tahanan reman telah dikenakan selama empat hari ke atasnya untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.

Sementara itu Pengarah JKM Pulau Pinang, Zulkifli Ismail yang dihubungi berkata, pihaknya perlu menunggu keputusan laporan perubatan dari hospital terlebih dahulu sama ada dua beradik berkenaan didera atau diabaikan.

“Sepanjang proses siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, kanak-kanak itu akan berada di bawah seliaan pihak kita sehingga ditemui waris terdekat untuk diserahkan.

“Keputusan menempatkan mereka di rumah perlindungan hanya akan dibuat selepas semua proses itu dilalui atau mereka tidak mempunyai waris untuk dipelihara,” katanya./sinarharian

Khamis, 29 Disember 2011

Sukar berhenti kerana wang, ketagihan seks

GEORGETOWN: “Memang sukar untuk gadis seperti Aida dan Mimi berhenti daripada kegiatan keji mereka. Selain sudah kelabu mata dengan wang ringgit, aktiviti seksual yang keterlaluan menyebabkan mereka kini menjadi ketagih.”

Demikian komen Koordinator Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) Pulau Pinang, Nur Fitri Amir Muhammad mengenai kegiatan ‘Geli Girl’ dilakukan Aida dan Mimi.

Nur Fitri berkata, pihaknya pernah beberapa kali didatangi ‘Geli Girl’ yang meminta bantuan untuk keluar daripada gejala itu.

“Antara nasihat kami ialah menggalakkan mereka berpuasa kerana dengan puasa menyebabkan tubuh menjadi lemah. Tubuh lemah akan membuatkan nafsu seseorang turut menjadi lemah.

“Ini sekali gus dapat membantu mereka mengekang nafsu daripada melakukan aktiviti maksiat,” katanya.

Nur Fitri turut menasihati golongan itu supaya lebih berfikir panjang diri mereka kerana kemewahan yang diperolehi sebenarnya tidak memberi sebarang maka jika mereka dilaknat Allah, bukan saja di akhirat kelak, malah ada yang mendapat balasan ketika masih hidup.

“Contoh paling muda, mereka yang mengamalkan aktiviti seks bebas amat terdedah kepada penyakit Aids dan virus HIV. Kalau sudah dijangkiti penyakit maut itu baru nak menyesal, mungkin ia sudah terlambat,” katanya./hmetro

Wanita kelar tangan rakan akibat cemburu

KUALA LUMPUR: Gara-gara cemburu, seorang peniaga wanita warga Thailand berusia 37 tahun cedera selepas lengannya dikelar jiran juga rakan senegaranya di luar sebuah hotel di Jalan Thamby Pillay, di sini, kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, berlaku pergaduhan antara mereka selepas suspek wanita berkenaan menuduh mangsa menjalinkan hubungan dengan suaminya.

Perselisihan faham yang mulanya hanya perang mulut pada kira-kira jam 7.30 malam berlanjutan sehingga tengah malam sambil disaksikan beberapa orang awam di kawasan berkenaan.

Menurut sumber, suspek yang gagal mengawal diri bertindak di luar jangkaan apabila mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan menyerang mangsa.

“Akibat serangan itu, lengan mangsa luka dan mengalami pendarahan selepas suspek mengelarnya menggunakan pisau itu,” katanya.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan kemudian menghubungi polis sebelum anggota polis peronda sampai,” katanya.

Bagaimanapun, suspek sempat melarikan diri sebelum polis berkenaan tiba di tempat kejadian.

Sumber berkata, mangsa yang risau akan keselamatan dirinya kemudian membuat laporan di Balai Polis Brickfields.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abd Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian itu./hmetro

Serangan 30 lelaki

KUALA LUMPUR: Ditetak dua kali di kepala selain diserang dengan spanar. Begitulah nasib malang yang menimpa seorang joki kereta apabila dia diserang lebih 30 lelaki bersenjatakan parang dan besi sehingga menyebabkannya menerima 18 jahitan di kepala selain cedera di bahu dan tangan dalam kejadian di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Metro, Pudu, di sini kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, tiga rakan mangsa yang kebetulan menggunakan laluan sama ‘merempuh’ ahli kumpulan terbabit menggunakan kereta dinaiki sebelum menariknya masuk ke kenderaan dan meninggalkan kawasan berkenaan untuk menyelamatkannya.

Menceritakan semula kejadian yang nyaris meragut nyawanya, S Prabakaran, 31, berkata, dia baru tiba berdekatan tempat kerja yang terletak tidak jauh dari kawasan itu dan ketika itu, dia ternampak lebih 30 lelaki bergaduh sesama mereka.

Menurutnya, kerana bimbang kumpulan itu bertindak ganas, dia memperlahankan kenderaannya sebelum berhenti tidak jauh dari tempat kumpulan itu bergaduh.

Malangnya, katanya, dengan tiba-tiba beberapa lelaki daripada kumpulan itu meluru ke arahnya sebelum seorang daripada mereka melompat ke atas keretanya dan memecahkan cermin keretanya dengan cota.

“Saya keluar dari kereta menyoal tindakan mereka, tetapi seorang daripada mereka menyoal saya kembali dengan alasan menyaksikan pergaduhan mereka itu.

“Saya menjawab hanya melalui kawasan berkenaan berikutan tempat kerja saya tidak jauh dari kawasan itu dan berang dengan jawapan saya, mereka mula menyerang saya dengan cota,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Dia berkata, tidak cukup dengan itu, kumpulan itu membawa keluar parang yang disimpan di dalam kelab malam itu sebelum menetaknya dua kali di bahagian kepala selain cuba menetak di bahagian badan namun dia sempat mengelak.

“Mereka memecahkan kereta dan melarikan pemain radio, telefon bimbit, rantai emas saya dan wang RM1,300 yang disimpan di dalam kocek seluar,” katanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana rakannya secara kebetulan melalui kawasan berkenaan dan mengangkatnya masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu menghalang kereta sebelum memecahkan cermin depan namun rakan yang memandu kereta merempuh saja kumpulan itu dan meneruskan pemanduan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Prabakaran berkata, akibat kejadian itu dia menerima 18 jahitan di bahagian kepala, cedera di tangan, perut dan bahu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, polis kini menjejaki semua suspek itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pada 4 Ogos lalu, Harian Metro pernah melaporkan mengenai kejadian seorang lelaki retak tempurung kepala selain ditetak puluhan kali di seluruh badan ketika makan di kawasan berdekatan pusat hiburan.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa, S Sateesh, 22, diserang empat lelaki dipercayai pengawal keselamatan kelab malam berkenaan dengan lebih tiga kali tetakan di kepala yang menyebabkan tempurung kepalanya retak./hmetro

Bapa diperintah bela diri perkosa anak sulung

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang kenderaan diperintah membela diri atas tiga tuduhan merogol anak sulungnya yang berusia 11 tahun, selepas mangsa pulang dari sekolah, di Bukit Beruntung, dekat sini, tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu terhadap bapa kepada tiga anak itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh membela diri mulai semalam. Lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang juga murid darjah lima itu di rumahnya, jam 2 petang pada 14, 15 dan 17 April 2010.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sepanjang kes pada peringkat pendakwaan, seramai 10 saksi tampil memberi keterangan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.

Manakala, tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh bertindak merogol anak kandungnya pada kali pertama selepas menonton video lucah.

Ketika kejadian, lelaki itu berada di rumah kerana bekerja petang.

Manakala isterinya bekerja pada siang hari. Tembelang tertuduh pecah apabila anaknya itu terpaksa memberitahu rakan baik di sekolah kerana takut akan mengandung akibat perbuatan bapanya./hmetro

Remaja curi duit pengunjung masjid kena cekup

RAUB: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencuri wang milik salah seorang jemaah Masjid Tengku Abu Bakar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun meletakkan begnya yang berisi dompet dan wang tunai RM200 di ruang solat wanita.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.50 pagi itu, mangsa ke tandas sebelum masuk semula ke dalam masjid dan mendapati beg pakaiannya terbuka dan dompet telah tiada.

“Mangsa sempat bertanyakan beberapa individu yang berada di sekitar masjid dan pihak pengurusan masjid juga mendapat makluman awal berkaitan kes kecurian itu.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditahan di Perhentian Bas dekat Pusat Perdagangan Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Serendah, Selangor itu menyimpan wang RM200 dalam dompetnya.

Katanya, suspek bertindak mengeluarkan wang dan membuang dompet mangsa ke dalam salah sebuah pasu di masjid berkenaan.

“Suspek juga menunjukkan sendiri lokasi dompet mangsa yang dibuangnya dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Suspek pernah bekerja sambilan di sebuah kedai makanan dekat Bandar Raub dan difahamkan baru sahaja berhenti kerja,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, suspek dipercayai baru sahaja sampai dari Serendah dan tidur di masjid itu.

Katanya, suspek mendakwa melakukan perbuatan mencuri itu kerana ingin dijadikan tambang bas untuk pulang semula ke kampungnya di Serendah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada dalam kawasan masjid atau surau supaya menjaga barangan berharga termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, tindakan suspek memulangkan semula dompet yang diambilnya dalam beg pakaian mangsa akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

Imam Dua Masjid Tengku Abu Bakar, Abd Rahman Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau sedang memeriksa alat pembesar suara dalam masjid itu.

Menurutnya, pada masa itu dia terlihat seorang remaja lelaki mencampak dompet ke dalam sebuah pasu di penjuru masjid berhampiran tempat wuduk dan tandas wanita.

“Pada waktu itu saya menggunakan mikrofon untuk menguji sistem bunyinya dan sempat saya menjerit sebagai respons apabila melihat perbuatan remaja itu.

“Orang ramai juga keluar dari premis berdekatan dan sempat melihat kelibat suspek melarikan diri keluar dari kawasan masjid menuju ke bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, dia sempat menceritakan kepada anggota polis berdekatan tentang kejadian berkenaan dan menerangkan ciri-ciri fizikal remaja itu.

“Dalam masa singkat sahaja, polis dapat mengesan kedudukan lokasi suspek ketika itu dan berjaya memberkasnya,” katanya./sinarharian

'Toyol' cilik curi RM20 ribu ditangkap

PUCHONG: Disangkanya toyol yang mencuri duit simpanan yang diletakkan dalam kotak berkunci di dalam bilik tidur rumahnya, namun misteri kehilangan wang tunai berjumlah hampir RM20,000 milik seorang kontraktor sebelum ini terjawab apabila tiga penyamun cilik mengaku melakukan perbuatan itu.

Difahamkan, penyamun cilik terbabit mengaku mencuri wang tunai itu selepas ditakut-takutkan anak mangsa yang mendakwa badan mereka yang mencuri akan terasa panas kerana terkena air jampi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal berkata, sebelum ini beberapa kali duit yang disimpan di dalam biliknya didapati hilang namun gagal menjejaki si pencuri./sinarharian

Berasmara di bilik mandi masjid

Tandas
KOTA BHARU: Hasrat sepasang kekasih untuk melampiaskan gelora nafsu serakah mereka di dalam bilik mandi sebuah masjid di sini kelmarin tidak kesampaian apabila dicekup oleh penduduk kampung.

Perbuatan terkutuk pasangan belasan tahun tersebut untuk memadu asmara berjaya dikesan oleh jemaah sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh, dekat sini setelah menyedari terdapat motosikal diletakkan di pekarangan kawasan tersebut.

Seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Pok Cik Ya berusia 60-an memberi­tahu, kira-kira jam 4.20 petang dia melihat terdapat seorang remaja perempuan yang ber­baju kurung memasuki bilik mandi bersebelahan dengan tandas wanita.

Menurutnya, sejurus itu terdapat seorang lelaki memasuki bilik sama dan dia terus memaklumkan kepada jemaah masjid yang bersiap sedia untuk mengerjakan solat Asar berhubung kelakuan mencurigakan itu.

“Selepas beberapa minit berada di dalam bilik mandi, sekumpulan jemaah bertindak mengetuk pintu tetapi pasangan terbabit enggan membukanya.

“Beberapa minit kemudian pasangan terbabit membuka pintu tersebut dan remaja lelaki tadi keluar lalu melarikan diri, dengan meninggalkan teman wanitanya yang kemudiannya menyusul keluar dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut semalam.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit yang cuba melarikan diri dari masjid itu berjaya ditahan semula oleh penduduk kampung kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.

”Dengan kerjasama penduduk kampung dan jemaah masjid berkenaan, kita menahan pasangan terbabit dan pada masa sama kita menghubungi keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dia berkata, sejurus kemudian, keluarga pasangan terbabit datang ke tempat kejadian untuk berbincang sebelum membawa pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, pasangan terbabit dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan tetapi perbuatan keji itu mengejut jemaah masjid dan penduduk kampung apabila terserempak mereka melakukan perbuatan maksiat di dalam bilik mandi yang terletak di dalam kawasan masjid.

Menurutnya, kelakuan pasangan terbabit telah mengaibkan orang Islam kerana menggunakan kawasan masjid melakukan maksiat dan remaja sekarang sudah tidak mempunyai perasaan malu serta takut untuk melakukan perbuatan terkutuk di masjid.

Katanya, sepanjang tinggal di kampung ini, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini dan penduduk terkejut apabila ia dilakukan penduduk bukan tempatan./sinarharian

Denda RM1,000 subahat kes khalwat

KAMPUNG RAJA: Seorang pengawal keselamatan terpaksa membayar denda RM1,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bagi mengelak dia meringkuk sebulan dalam penjara selepas dia mengaku bersalah bersubahat dalam satu kes khalwat.

Lelaki berusia 17 tahun yang beralamat di Kampung Beris Lampu itu membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Dalam pertuduhan itu, bertempat di dalam rumah di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut pada 12.50 malam, 20 Disember lalu, tertuduh telah membantu perbuatan khalwat membabitkan sepasang kekasih yang bukan pasangan suami isteri.

Dia dituduh tidak mengambil langkah-langkah munasabah dengan membiarkan pasangan itu melakukan perbuatan tersebut di dalam rumah terbabit.

Sehubungan itu dia dituduh di bawah Seksyen 55 (c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana penyubahatan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Norzilawati Said manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norzilawati yang membacakan fakta kes menyebut, ketika serbuan dilakukan dan pintu rumah diketuk di rumah berkenaan, tertuduh keluar membuka pintu dan kemudian masuk ke dalam bilik.

Penguat kuasa seterusnya membuat pemeriksaan di dalam bilik tersebut dan mendapati seorang lelaki lain yang hanya memakai tuala manakala dua orang perempuan sedang menyorok di sebalik katil.

Pemeriksaan mendapati lelaki yang bertuala merupakan bapa saudara tertuduh dan lelaki itu adalah pasangan salah seorang perempuan warga Indonesia yang sedang menyorok itu.

Manakala seorang lagi perempuan adalah adik kepada lelaki yang bertuala itu dan terdapat seorang wanita warga emas di dalam rumah itu yang merupakan nenek tertuduh.

Tertuduh yang memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana berpendapatan kecil sebagai pengawal keselamatan membayar denda berkenaan./sinarharian

Naib Yang Dipertua Dua Perkim didakwa pecah amanah

SHAH ALAM: Naib Yang Dipertua Dua Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (Perkim) dan dua ahlinya dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini, semalam atas dakwaan pecah amanah RM3,7 juta yang sepatutnya diperoleh pertubuhan itu, lebih tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, Profesor Emeritus Datuk Dr Ariffin Suhaimi, 74, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkim cawangan Damansara Utama, dekat sini, antara 1 April 2002 dan 22 April 2004.

Wang terbabit merupakan dana balasan projek menaik taraf laluan dari Lapangan Terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh (Fasa II) yang sepatutnya dimiliki Perkim Damansara Utama.

Ariffin juga bekas Timbalan Rektor Pertama Universiti Islam Antarabangsa dan dua rakannya itu berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti dan Nik Haslinie Hashim, manakala mereka diwakili peguam, Najah Ariffin dan Normala Lot.

Muhammad memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 seorang dengan alasan pertuduhan melibatkan jumlah besar.

Bagaimanapun kedua-dua peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin tersebut dengan alasan, semua tertuduh memberikan kerja sama baik sepanjang siasatan dijalankan SPRM sejak 2006.

Kes disebut semula 27 Januari depan./sinarharian

Lelaki didenda RM2,000 kerana cederakan isteri

Lelaki didenda RM2,000 kerana cederakan isteri
AYER KEROH: Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya sendiri, November lalu.

Zulkifli Jaamat, 38, dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Siti Soziyati Abas, 28, pada 6 Novem­ber lalu, kira-kira 10 malam di sebuah rumah di Kampung Krubong, dekat sini.

Dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhammad Juhari Harun di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif./sinarharian






Ahli politik ditangkap khalwat

KANGAR: Tindakan seorang ahli politik duduk bergelap dalam kereta bersama isteri orang, mengundang padah, apabila gelagat mereka disedari sekumpulan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang kemudian memanggil imam kampung, sebelum pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Kejadian berlaku pada jam 1.26 pagi berdekatan resort di Sungai Batu Pahat, di sini, 24 Disember lalu.

Menurut sumber daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (Jaips), ahli politik berusia 35 tahun dan sudah berkeluarga, ditahan bersama pasangannya berusia 30 tahun dalam kereta Proton Wira, berhampiran semak-samun.

Menurutnya, kelibat pasangan itu pada awalnya disedari sekumpulan ahli SRS Kampung Sungai Baru, Sungai Batu Pahat sebelum imam kampung dipanggil untuk menyoal siasat pasangan berkenaan.

“Mereka kemudian ditahan selepas gagal menunjuk-kan dokumen sebagai bukti hubungan mahram atau suami isteri sebelum diserahkan kepada Jaips untuk tindakan selanjutnya.

“Laporan ke atas kedua-dua pasangan itu turut dibuat di Balai Polis Kangar sebelum dijamin oleh keluarga masing-masing,” katanya di pejabat Jaips di sini, semalam.

Menurut sumber itu lagi, ahli politik berkenaan dan pasangannya hadir ke pejabat Jaips semalam, untuk memberikan keterangan selama sejam.

“Keterangan tertuduh mula diambil oleh pegawai Jaips pada 9.45 pagi dan berakhir 10.45 pagi, dimulakan dengan tertuduh lelaki diikuti dengan pasangannya.

“Buat masa ini, Jaips memutuskan 18 Januari 2012 sebagai tarikh permohonan agar kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kangar, memandangkan kami masih menunggu keterangan saksi yang menahan pasangan itu termasuk imam masjid,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pasangan berkenaan ditahan dan didakwa bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis, 1991 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan./sinarharian

Rabu, 28 Disember 2011

Warga Bangladesh Ditemui Mati Dengan Tempurung Kepalanya Pecah

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh ditemui mati dengan keadaan tempurung kepalanya pecah di tapak projek perumahan di Sunway Harmony 3, Jalan Damansara di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Aida Abdul Hamid berkata lelaki berumur 31 tahun itu ditemui rakan sekerjanya ketika mahu mengambil perkakasan untuk membuat rumah di kawasan tersebut pada 8.30 pagi.

"Rakannya yang terlihat mangsa terbaring dengan keadaan tempurung kepalanya pecah dan berlumuran darah, terus menghubungi polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Aida berkata tiada sebarang senjata ditemui berdekatan mangsa dan polis masih menyiasat punca kematian.

Mayat lelaki lengkap berpakaian itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat, katanya./Bernama

Selasa, 27 Disember 2011

Lentuk atas paha teman lelaki

Lentuk atas  paha teman lelaki
GEORGETOWN: Seorang remaja perempuan menggunakan alasan sakit kepala ketika dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Dia dicekup akibat berkelakuan tidak sopan di tempat awam dengan baring di atas paha teman lelakinya.

“Kami tidak buat apa-apa ustaz, saya hanya baring di pahanya kerana sakit kepala,” katanya memberi alasan ketika ditanya penguat kuasa.

Kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an itu dicekup ketika bermesra-mesraan di sebuah hentian rehat di negeri ini.

Ketika menjalankan pemeriksaan, mendapati kereta pasangan berkenaan diletakkan di bahagian bahu jalan dengan keadaan yang agak gelap walaupun terdapat lampu beberapa meter dari kawasan itu.

Agak lama juga kenderaan JAIPP berada bersebelahan dengan kereta itu bagi memerhatikan gelagat pasangan muda berkenaan.

Lebih teruk apabila sebuah lagi kereta yang dimiliki sepasang kekasih lain berada di hadapan kereta pasangan yang dicekup JAIPP itu masih tidak berganjak walaupun terlihat anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan.

Lelaki yang ditahan JAIPP itu turut memberikan alasan duduk di tempat yang cerah bukannya gelap gelita.

Namun, penguat kuasa memberitahu ia tetap satu kesalahan kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua remaja itu turut diarahkan keluar dari kenderaan mereka bagi membuat pemeriksaan.

Hairannya setelah ditanya kali kedua, si gadis menafikan pula dia sakit kepala sehingga ditegur penguat kuasa kerana memberikan kenyataan berbeza.

Si lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia sudah bertunang dengan teman wanitanya itu.

“Saya sudah bertunang dan sedang merancang untuk berkahwin,” katanya.

Namun, Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan menasihatkan supaya kedua-duanya segera melangsungkan pernikahan bagi mengelakkan sebarang perkara maksiat.

“Jika sekarang sudah bertunang, cepat-cepatlah melangsungkan perkara yang wajib bagi mengelak maksiat,” katanya./sinarharian

Enggan buka pintu bilik

Khalwat
LEDANG: Keengganan membuka pintu bilik hotel ketika diketuk Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) akhirnya terjawab apabila menemui sepasang kekasih yang hanya berselimut dalam bilik berkenaan, kelmarin.

Mereka ditahan ketika sedang berdua-duaan dalam bilik di salah sebuah hotel di Tangkak, di sini, pada serbuan jam 3.15 pagi untuk siasatan lanjut.

Malahan, pasangan itu juga mendakwa panas menyebabkan mereka hanya berselimut dalam bilik hotel itu apabila disoal siasat penguat kuasa.

Lelaki berumur 34 tahun itu seorang duda, manakala, pasangannya berusia 20 tahun baru dikenali selama lima bulan.

“Kami baru pulang dari Johor Bahru kerana membawa teman wanita bertemu dengan ahli keluarga di sana sebelum mengikat tali pertunangan.

“Kami merancang untuk bertunang tahun depan dan terlebih dahulu memperkenalkan dia dengan saudara mara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mereka tiba di Tangkak lewat malam kerana keletihan dan mengambil keputusan untuk bermalam di sini.

“Saya akan menghantar teman wanita pulang pada keesokan hari di rumahnya di Negeri Sembilan tetapi tidak bernasib baik apabila dicekup khalwat oleh penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa hotel berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berselimut membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tanpa pakaian dan hanya berselimut sedang bersembunyi dalam tandas,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-
masing,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan./sinarharian

2 banglo disamun, bakar

MUSNAH...satu daripada dua banglo yang dibakar pencuri.
MUSNAH...satu daripada dua banglo yang dibakar pencuri.
KAJANG: Samun dan bakar. Itulah tindakan kejam kumpulan penyamun yang memecah masuk dan mencuri barangan berharga sebelum membakar dua banglo di Bandar Rinching, Semenyih di sini, dipercayai bagi menghapuskan bukti dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berusaha memadam kebakaran di rumah pertama, sebaliknya mereka terus membakar rumah kedua yang kedudukannya hanya bersebelahan.

Difahamkan, akibat perbuatan itu jumlah kerugian membabitkan kedua-dua banglo berkenaan dianggarkan mencecah RM1 juta namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada penghuni ketika insiden berlaku.

Sumber polis berkata, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan pemotong besi untuk memotong mangga bagi memecah masuk ke rumah pertama.

“Selepas mencuri barangan berharga di rumah pertama, kumpulan terbabit kemudian membakar rumah itu dan meninggalkannya.

“Kumpulan terbabit kemudian memecah masuk rumah kedua yang terletak bersebelahan dengan rumah pertama dipercayai menggunakan kaedah sama,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat yang menerima laporan mengenai kejadian itu segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum usaha memadamkan kebakaran itu dilakukan.

“Ketika bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di rumah pertama, anggota bomba ternampak rumah kedua turut dijilat api,” katanya yang menyatakan anggota bomba mula mengesyaki punca kebakaran itu bukannya disebabkan masalah teknikal sebaliknya kegiatan jenayah. Pihak berkuasa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian manakala anggota bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran di rumah kedua itu.

Sumber berkata, selepas meninggalkan rumah kedua, kumpulan itu dilaporkan cuba memecah masuk ke rumah ketiga yang terletak selang tujuh rumah dari lokasi pertama dan kedua.

“Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila sistem penggera rumah berkenaan berbunyi menyebabkan kumpulan terbabit segera melarikan diri,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan kumpulan sama melakukan perbuatan itu kerana modus operandi dilakukan dalam insiden berkenaan hampir sama dengan kejadian sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kebakaran itu.

“Sehingga kini kami (polis) masih menunggu laporan daripada pihak forensik dan bomba mengenai nilai kerugian serta punca sebenar kebakaran itu,” katanya./hmetro

Ceroboh rumah orang untuk melakukan maksiat

CEKUP...pasangan kekasih ditahan selepas dipercayai berkhalwat dalam sebuah bilik di rumah orang.
CEKUP...pasangan kekasih ditahan selepas dipercayai berkhalwat dalam sebuah bilik di rumah orang.
ALOR GAJAH: Seorang wanita yang juga isteri orang ditemui dalam keadaan mengaibkan apabila berpelukan dalam telanjang bulat dengan teman lelakinya dalam bilik di sebuah rumah Kampung Baru Lendu, Alor Gajah, pagi kelmarin.

Lebih memalukan apabila kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu disedari pemilik rumah berkenaan, Sutini Hamzah, 61, bersama anak lelakinya, Ainol Adnan, 38, yang datang ke rumah itu selepas dimaklumkan jiran mengenai tindakan sepasang kekasih tidak dikenali menginap di rumah mereka tanpa kebenaran.

Ainol ketika ditemui berkata, sebaik dia dan ibunya tiba di rumah itu, mereka mendapati pintu pagar depan, tingkap dan pintu utama rumah terbuka luas seperti sudah lama ditinggalkan.

Katanya, dia memberi salam sebanyak tiga kali, namun tidak bersahut sebelum masuk ke dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu untuk melakukan pemeriksaan, namun mendapati tiada sebarang kesan rumah itu diceroboh.

“Bagaimanapun, apabila saya dan ibu masuk ke bilik terakhir, kami terkejut apabila terserempak sepasang kekasih bertelanjang bulat dalam keadaan berpelukan nyenyak tidur seperti orang kepenatan.

“Gelagat mereka sedang berpelukan intim di atas katil amat mengaibkan, malah mereka tidak sedar kehadiran kami,” katanya./hmetro

Tipu suami kerana mahu berasmara Mat Bangladesh

ALOR SETAR: Seorang isteri sanggup menipu suaminya dengan menyatakan dia pulang ke kampung sempena cuti Krismas kelmarin, namun sebaliknya mengikut seorang lelaki warga Bangladesh untuk berasmara di sebuah hotel di Shahab Perdana sebelum dicekup berkhalwat.

Wanita berusia 49 tahun berasal dari Pulau Pinang dipercayai sudah mengenali pasangannya berusia 44 tahun itu yang bekerja di sebuah kilang di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, perbuatan mereka dikesan ketika operasi khas sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang membuat pemeriksaan di hotel murah berkenaan jam 12.20 tengah malam.

Ketua Operasi Jaik, Mat Nasir Md Dali berkata, selepas pintu diketuk dan diberi salam, seorang wanita yang hanya berkemban kain batik membuka pintu terkejut sebelum merayu sambil meminta maaf berulang-kali ketika anggota mahu melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, disebabkan curiga dengan perbuatan wanita itu, anggotanya kemudian memeriksa bilik berkenaan dan menemui seorang lelaki warga Bangladesh sedang tidur di tepi katil dengan memakai seluar pendek paras paha dan bersinglet.

“Hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri kerana wanita terbabit mengaku lelaki itu hanya rakannya yang datang dari Pulau Pinang dan menyewa di bilik hotel untuk bertemu.

“Wanita yang mempunyai anak lelaki tunggal berusia 23 tahun itu mengaku masih bersuami dan menipu suaminya yang dia pulang ke kampung, tetapi tidak menyangka dicekup berkhalwat, “ katanya.

Pasangan itu mendakwa datang ke bandar raya ini dengan menaiki bas sebelum menyewa di bilik hotel murah./hmetro

Tendang ibu mengandung

KUALA TERENGGANU: “Ketika tiba di simpang masuk ke rumah orang tua saya, tiba-tiba kami dikejar tiga lelaki dikenali yang juga merupakan anak tempatan di sini.

“Mereka tanpa bersoal jawab terus menendang perut saya dari tepi dan turut terkena lengan suami yang menyebabkan kami hampir terjatuh. Suami saya gagal mengawal motosikal menyebabkan kami hampir terbabas.” kata seorang ibu muda berusia 19 tahun yang sarat mengandung ketika menceritakan detik cemas diserang sekumpulan samseng kampung yang dikenali satu kejadian di Kampung Titian Baru, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, ibu muda yang mengandung lapan bulan itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kumpulan samseng berkenaan terhadap dirinya kerana berkahwin dengan orang luar yang bukan penduduk setempat di kawasan itu.

Dia yang mengandung lapan bulan berkata, ketika kejadian, dia bersama suami, 23, yang berketurunan Siam itu dalam perjalanan pulang dari rumah ibu mentuanya di Kampung Bukit Payong dengan menunggang motosikal.

Melihatkan motosikal dinaiki dia dan suami hampir terbabas, kumpulan samseng kampung itu bertindak melarikan diri dan membiarkan mereka berdua yang masih dalam keadaan trauma serta terkejut.

“Bagaimanapun, ini bukan kejadian pertama yang menimpa kami kerana sebelum ini, selepas lima bulan mendirikan rumahtangga, mereka pernah membelasah suami saya tetapi kemudiannya diselesaikan dengan cara baik oleh bapa saudara.

“Jadi, kami ingatkan peristiwa sebegini tidak akan berlaku lagi dan tidak menyangka mereka masih lagi berdendam dengan sanggup menganiayai kami, suami isteri sedangkan sebelum ini, kami tidak pernah mencari masalah dengan mereka,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, kira-kira jam 2 pagi, hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian./sinarharian

Maut diserang ketika jamu selera

JOHOR BAHRU: Tidak sempat menjamu selera di awal pagi, seorang lelaki mati diserang tiga lelaki bersenjatakan parang di restoran di Taman Puteri Wangsa, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam sedang minum seorang diri di restoran terbabit sebelum didatangi tiga lelaki bertopeng.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Superintenden Abdul Samad Salleh berkata, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang terus menyerang mangsa sebelum beredar dengan menaiki sebuah kereta.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan menurut saksi, mangsa tidak sempat untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa mengalami kesan cedera di beberapa anggota badan dan kepala akibat ditetak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Abdul Samad, mangsa yang mati di tempat kejadian kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat dan polis masih menyiasat motif pembunuhan./sinarharian