Khamis, 8 Disember 2011

Datuk dibelasah lima perompak

PUCHONG: Bukan sahaja dipukul, disepak dan dibelasah berkali-kali tanpa belas kasihan, malah seorang datuk berusia 81 tahun berdepan detik malang apabila turut disamun lima lelaki ketika menunggu bas di perhentian bas Jalan Batu 13 1/2 berdekatan perumahan Perbadanan Kema­juan Negeri Selangor (PKNS) di sini, awal pagi Ahad lalu.

Lebih malang lagi, dia yang turut ditumbuk di bahagian muka dan dipijak berkali-kali oleh kumpulan penyangak itu ditinggalkan berseorangan di perhentian bas terbabit selepas dompetnya dirampas.

Datuk berkenaan, Hussin Kamsah berkata, ketika kejadian kira-kira 5.45 pagi itu dia menunggu bas ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakannya.

“Mereka mendatangi saya dengan motosikal sebelum dua daripadanya menyentap dan menyilangkan tangan saya ke belakang dengan kasar,” katanya.

Hussin berkata, dia kemudian ditumbuk beberapa kali dan dipukul sehingga terjatuh ke atas lantai tanpa dapat mengelakkan diri.

“Saya langsung tidak mampu menjerit, mereka memijak-mijak muka dan belakang badan saya tanpa rasa kasihan dan simpati meskipun mengetahui saya ini tidak mampu melawan.

“Dalam keadaan kesakitan, mereka menyeluk poket seluar saya dan mengambil dompet berisi sejumlah wang serta beberapa dokumen penting sebelum bertindak melarikan diri,” katanya.

Jelasnya yang juga seorang pesara polis, dalam keadaan baju sudah terkoyak dan berlumuran darah, dia kemudian kembali ke rumah anaknya yang terletak kira-kira 200 meter dari hentian bas itu.

“Saya beritahu anak saya dipukul penyamun yang tidak memakai topi keledar lantas mereka menghubungi polis memaklumkan berkenaan kejadian itu.

“Memang sedih dan sakit hati dengan perangai penjenayah yang menjadikan mangsanya tanpa mengira usia,” katanya.

Dalam pada itu, Hussin menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memasang lampu di hentian bas di jalan besar Puchong itu bagi mengelakkan kejadian seumpamanya tidak berulang kepada mangsa lain pada masa depan.

“Hentian bas itu sangat gelap kerana lampu yang ada tidak berfungsi menyebabkan pengguna jalan raya yang lalu lalang di situ mungkin tidak menyedari saya dipukul dan disamun kumpulan lelaki itu.

“Saya sangat berharap sekiranya lampu itu dipasang dengan segera dan diperbetulkan supaya cahaya terang dapat mengelakkan kejadian jenayah di hentian bas,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan