Khamis, 29 Disember 2011

Naib Yang Dipertua Dua Perkim didakwa pecah amanah

SHAH ALAM: Naib Yang Dipertua Dua Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (Perkim) dan dua ahlinya dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini, semalam atas dakwaan pecah amanah RM3,7 juta yang sepatutnya diperoleh pertubuhan itu, lebih tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, Profesor Emeritus Datuk Dr Ariffin Suhaimi, 74, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkim cawangan Damansara Utama, dekat sini, antara 1 April 2002 dan 22 April 2004.

Wang terbabit merupakan dana balasan projek menaik taraf laluan dari Lapangan Terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh (Fasa II) yang sepatutnya dimiliki Perkim Damansara Utama.

Ariffin juga bekas Timbalan Rektor Pertama Universiti Islam Antarabangsa dan dua rakannya itu berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti dan Nik Haslinie Hashim, manakala mereka diwakili peguam, Najah Ariffin dan Normala Lot.

Muhammad memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 seorang dengan alasan pertuduhan melibatkan jumlah besar.

Bagaimanapun kedua-dua peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin tersebut dengan alasan, semua tertuduh memberikan kerja sama baik sepanjang siasatan dijalankan SPRM sejak 2006.

Kes disebut semula 27 Januari depan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan