Khamis, 29 Disember 2011

Serangan 30 lelaki

KUALA LUMPUR: Ditetak dua kali di kepala selain diserang dengan spanar. Begitulah nasib malang yang menimpa seorang joki kereta apabila dia diserang lebih 30 lelaki bersenjatakan parang dan besi sehingga menyebabkannya menerima 18 jahitan di kepala selain cedera di bahu dan tangan dalam kejadian di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Metro, Pudu, di sini kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, tiga rakan mangsa yang kebetulan menggunakan laluan sama ‘merempuh’ ahli kumpulan terbabit menggunakan kereta dinaiki sebelum menariknya masuk ke kenderaan dan meninggalkan kawasan berkenaan untuk menyelamatkannya.

Menceritakan semula kejadian yang nyaris meragut nyawanya, S Prabakaran, 31, berkata, dia baru tiba berdekatan tempat kerja yang terletak tidak jauh dari kawasan itu dan ketika itu, dia ternampak lebih 30 lelaki bergaduh sesama mereka.

Menurutnya, kerana bimbang kumpulan itu bertindak ganas, dia memperlahankan kenderaannya sebelum berhenti tidak jauh dari tempat kumpulan itu bergaduh.

Malangnya, katanya, dengan tiba-tiba beberapa lelaki daripada kumpulan itu meluru ke arahnya sebelum seorang daripada mereka melompat ke atas keretanya dan memecahkan cermin keretanya dengan cota.

“Saya keluar dari kereta menyoal tindakan mereka, tetapi seorang daripada mereka menyoal saya kembali dengan alasan menyaksikan pergaduhan mereka itu.

“Saya menjawab hanya melalui kawasan berkenaan berikutan tempat kerja saya tidak jauh dari kawasan itu dan berang dengan jawapan saya, mereka mula menyerang saya dengan cota,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Dia berkata, tidak cukup dengan itu, kumpulan itu membawa keluar parang yang disimpan di dalam kelab malam itu sebelum menetaknya dua kali di bahagian kepala selain cuba menetak di bahagian badan namun dia sempat mengelak.

“Mereka memecahkan kereta dan melarikan pemain radio, telefon bimbit, rantai emas saya dan wang RM1,300 yang disimpan di dalam kocek seluar,” katanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana rakannya secara kebetulan melalui kawasan berkenaan dan mengangkatnya masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu menghalang kereta sebelum memecahkan cermin depan namun rakan yang memandu kereta merempuh saja kumpulan itu dan meneruskan pemanduan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Prabakaran berkata, akibat kejadian itu dia menerima 18 jahitan di bahagian kepala, cedera di tangan, perut dan bahu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, polis kini menjejaki semua suspek itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pada 4 Ogos lalu, Harian Metro pernah melaporkan mengenai kejadian seorang lelaki retak tempurung kepala selain ditetak puluhan kali di seluruh badan ketika makan di kawasan berdekatan pusat hiburan.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa, S Sateesh, 22, diserang empat lelaki dipercayai pengawal keselamatan kelab malam berkenaan dengan lebih tiga kali tetakan di kepala yang menyebabkan tempurung kepalanya retak./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan