Rabu, 29 Februari 2012

Lelaki tua kemaruk seks dijel


YUSOFF dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU: Angkara nafsu tidak bertempat, seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas dakwaan memperdagangkan seorang wanita Indonesia sebagai hamba memuaskan nafsu seksnya.

Tertuduh, Yusoff Mat Rani, 61, yang bekerja sebagai pengutip kotak dituduh memperdagangkan mangsa yang berusia 24 tahun dengan cara melindunginya bagi maksud eksploitasi seks dalam tempoh enam bulan pada Jun hingga Disember 2011.

Mengikut fakta kes, wanita terbabit datang ke negara ini pada Jun 2011 dan bekerja sebagai pembantu rumah di Wakaf Bharu dekat sini tetapi melarikan diri daripada majikannya atas alasan tidak tahan bekerja.

Wanita itu kemudian dihantar oleh orang awam ke Jabatan Imigresen kerana dia tiada pas perjalanan. Bagaimanapun, ketika sampai ke Jabatan Imigresen, pejabat itu sudah ditutup kerana tamat waktu bekerja.

Mangsa kemudian bertemu tertuduh sebelum tertuduh mengajak wanita terbabit ke rumahnya di Kampung Limau Manis di sini./kosmo

Ugut bapa saudara dengan pedang

ugut bapa saudara
MARANG: Seorang pemuda mengugut yang bapa saudaranya menggunakan pedang kerana tidak berpuas hati apabila gagal menjual getah, dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret Marang, kelmarin.

Mengikut pertuduhan pertama, Azman Ismail, 30, didakwa membuat ugutan dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap Mahasan Yaakub, 45, di sebuah rumah di Kampung Durian Pahit, Merchang, Marang, jam 7.50 malam, pada 22 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didenda RM3,000 atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki senjata berjadual di tempat awam iaitu sebilah pedang pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh didenda RM1,500 atau dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dipenjarakan selama empat bulan selepas gagal membayar denda sebanyak RM4500 dalam pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Noradila Latif.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu Mahasan didatangi tertuduh di rumahnya untuk menjual getah, tetapi diminta datang keesokannya kerana pengadu tidak membeli getah pada waktu malam.

Namun, tertuduh yang tidak berpuas hati dengan permintaan pengadu yang juga bapa saudaranya lalu memarahi pengadu dan membaling alat penimbang getah pada masa sama memukul pengadu dengan kayu berbentuk tiga segi sepanjang satu meter.

Selepas kejadian itu, dua anak pengadu, Muklis dan Ahmad Lufti yang berada berdekatan tempat kejadian datang dan memukul tertuduh bagi menghentikan tindakan tertuduh kerana bimbang keadaan menjadi bertambah buruk.

Tertuduh kemudiannya pulang ke rumahnya tetapi datang semula dengan membawa sebilah pedang dan sebungkus plastik berisi cecair putih didakwanya asid untuk menyimbah cecair itu kepada dua anak pengadu terbabit./sinarharian

Campak bayi dalam sungai

campak bayi dalam sungaiKUANTAN: Zalim dan berhati kering. Itulah perkataan sesuai kepada individu yang sanggup memasukkan seorang bayi yang baru dilahirkan ke dalam beg plastik bersama seketul batu bata dan mencampaknya ke dalam sungai.

Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat itu kemudian ditemui kira-kira jam 2 petang oleh sekumpulan pemancing di bawah Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Mereka pada mulanya menyangka objek terapung yang tersangkut pada ranting kayu berdekatan tebing sungai terbabit adalah anak patung tetapi terus kemudian terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selepas mendapati mayat seorang bayi.

Seorang saksi, Mohd Alias, 40, berkata, dia bersama dua lagi rakannya sedang asyik memancing di bawah jambatan berkenaan sebelum salah seorang darinya memberitahu mengenai objek terapung itu.

“Bagaimanapun, dia kurang pasti dan saya kemudian pergi menjenguk dan terkejut apabila mendapati objek berkenaan adalah mayat bayi yang masih bertali pusat.

“Kami tidak berani untuk mengambilnya sebelum polis tiba kerana ia sudah menjadi kes jenayah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, sejurus anggota polis tiba, dia membantu anggota berkenaan menarik mayat bayi yang cukup sifat itu ke darat dengan menggunakan besi pancang joran dan turut menemui plastik hitam berisi batu bersama bayi malang itu.

Mohd Alias berpendapat, individu yang melakukan perkara keji itu mahu menenggelamkan bayi berkenaan kerana plastik hitam itu diisi batu sebelum mencampaknya ke dalam sungai tetapi mayat bayi berkenaan terkeluar dan hanya tali pusatnya masih tersangkut ada plastik itu.

“Saya percaya bayi berkenaan dibuang dalam tempoh beberapa jam sahaja berikutan keadaan kakinya masih merah namun bahagian tubuh yang lain sudah kebiruan,” katanya yang tinggal di Air Putih, dekat sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk dibedah siasat dan setakat ini kita masih mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan jenyah itu,” katanya./sinarharian

Selasa, 28 Februari 2012

Dua penjawat awam dicekup separuh bogel

separuh bogel
DUNGUN: Dua penjawat awam yang juga rakan sekerja di sebuah agensi kerajaan di Dungun, didenda RM2,800 atau dua bulan penjara selepas masing-masing didapati bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral di sebuah rumah, dekat sini, awal pagi, Disember lalu.

Khairul Mubin Abdullah, 26, dan pasangannya, Laily Norashikin Che Sukeri, 22, menerima pengajaran paling berharga apabila kedua-duanya dijatuhkan hukuman setimpal oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Dungun, apabila masing-masing membuat pengakuan bersalah atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan.

Mengikut fakta kes yang dibaca pendakwaraya, Khairul, seorang Pembantu Kebajikan Masyarakat bersama pasangannya, Laily, kakitangan kerajaan berstatus janda yang beralamat di Ketengah Jaya, Dungun ditahan sepasukan Pegawai penguat kuasa syariah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sekolah Intan Zaharah Balai Besar, Dungun kira-kira jam 2.10 pagi, 7 Disember 2011.

Selepas pintu rumah dibuka, tertuduh lelaki didapati hanya memakai tuala mandi, dan pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik menemui seorang perempuan tidur dalam keadaan berselimut dengan toto.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati perempuan tersebut hanya memakai seluar dalam.

Turut dirampas dalam serbuan itu sebagai barang kes, coli milik tertuduh perempuan.

Soal siasat mendapati keduanya tidak mempunyai hubungan muhrim dan mereka dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut sebelum didakwa melakukan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Ketika mengemukakan rayuan kepada mahkamah, kedua-dua tertuduh merayu agar diringankan hukuman dengan alasan kedua-duanya kini sudah mengikat tali pertunangan dan bakal melangsungkan perkahwinan Mac ini.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah tetap berpendirian bahawa kesalahan dilakukan mereka amat serius, dan kedua-duanya berhak menerima hukuman setimpal atas perbuatan dilakukan.

Khairul yang berasal dari Sarawak bersama pasangannya menjelaskan denda yang dikenakan./sinarharian

Hukuman penjara sepanjang hayat kekal

PUTRAJAYA: Seorang bekas konstabel polis terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara sepanjang hayat dan 12 kali sebatan kerana mempamerkan pistol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa merompak dua kedai telefon.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai hakim tiga panel menolak rayuan Aeleh Wahab terhadap sabitan dan hukuman setelah mendapati rayuannya tidak bermerit.

Dua hakim lain yang bersidang bersama Hakim Low ialah hakim Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Aeleh, 38, bertugas di Ibu Pejabat Polis Putrajaya semasa kejadian itu.

Dia merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara sepanjang hayat dan enam sebatan rotan setiap tuduhan yang dijatuhi ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 18 Januari 2010.

Mahkamah itu mendapati dia bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan tidak kurang enam kali jika disabitkan kesalahan./Bernama

Bunuh bekas isteri: Warga emas dihukum gantung

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya pada Mac tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan Mesnayo Longdi, 69, membunuh Demeh Tinak, 44, kerana cemburu.

"Sepatutnya tertuduh tiada hak untuk mempunyai perasaan cemburu ke atas mangsa kerana sudah berpisah dengan mangsa.

"Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas pertuduhan kes itu, dan dengan ini, mahkamah mendapati kamu bersalah,” katanya.

Mesnayo, yang merupakan warga Indonesia, tetapi sudah memperoleh taraf penduduk tetap, kelihatan tergamam apabila Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadapnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah sewa mangsa di Jalan Seniman 2, Kampung Seri Serdang, Batu 6, Tampoi pada 2.40 petang, 16 Mac tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan./Bernama

Isnin, 27 Februari 2012

Siswi khalwat suami orang

ALOR SETAR: Akibat mengikut teman lelakinya menyewa bilik di sebuah motel di Jalan Sultan Badlishah, di sini, seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini berusia 22 tahun dicekup berkhalwat, semalam.

Pelajar dari Sungai Petani itu dan pasangannya yang sudah beristeri dan mempunyai seorang anak, ditahan jam 9 pagi ketika mereka tidur. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh berkata, sepasukan lima anggota diketuai Jailani Abdul Talib ke motel berkenaan sejurus menerima maklumat.

Beliau berkata, sebaik membuat pemeriksaan di bilik pertama di tingkat atas motel berkenaan, seorang lelaki yang hanya bertuala membuka pintu selepas terkejut apabila pintu bilik diketuk berulang kali.

“Lelaki berusia 26 tahun itu membenarkan anggota penguat kuasa masuk ke dalam bilik untuk membuat pemeriksaan dan ada seorang wanita menutup badannya dengan selimut di atas katil./hmetro

Ahad, 26 Februari 2012

Saji pelanggan video lucah

Saji pelanggan video lucah
KAJANG: Seramai lapan tukang urut warga Thailand dicekup dalam dua operasi berasingan, selepas dikesan menawarkan bukan sahaja perkhidmatan seks kepada pelanggan, malah turut menyediakan tayangan video lucah sebagai tarikan untuk memastikan premis kekal laris.

Dalam serbuan pertama, polis menyerbu sebuah pusat rawatan kesihatan terletak di tingkat dua Plaza Perdana, Taman Sepakat Indah, kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin dan menahan empat wanita warga Thailand bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit.

Siasatan menunjukkan empat wanita berusia 32 hingga 45 tahun itu menawarkan urutan serta khidmat seks dengan menyajikan tayangan­ video lucah dipercayai untuk merangsang pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pemeriksaan ke atas premis menemui kondom dan pelbagai jenis cakera padat digital (DVD) lucah dipercayai sebagai bahan tontonan untuk pelanggan.

“Dalam serbuan sama, kita tahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis serta dua pelanggan berusia 30-an. Pemeriksaan lanjut mendapati wanita asing itu menjalankan kegiatan haram terbabit sejak sebulan lalu dan mengenakan bayaran RM150 sehingga RM200 kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks,” katanya.

Beliau berkata, premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu, tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi, manakala siasatan terhadap empat wanita terbabit mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Ab Rashid berkata, sepasukan anggota polis juga dari Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menyerbu sebuah rumah urut di Batu 11 di sini, yang dikesan turut menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Menurutnya, empat tukang urut warga Thailand berusia 30-an itu ditahan bersama seorang penjaga premis tempatan.

“Hasil soal siasat awal mendapati rumah urut terbabit juga tidak memiliki lesen sah dan baru beroperasi hampir dua bulan,” katanya.

Beliau berkata, operasi berterusan akan dilakukan bagi menyekat kegiatan tidak bermoral ini./sinarharian

Pelajar dibunuh kejam di bilik air rumah

TAIPING: Mayat seorang pelajar berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah, dipercayai dibunuh di dalam bilik air rumahnya di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, petang kelmarin.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, mayat Nurul Aien Mohd Saimon ditemui dalam dalam kolah air dalam rumahnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian, mendapati bahagian belakang kepala mangsa cedera dengan kesan luka dipercayai dipukul dengan benda keras.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada kemungkinan mangsa dirogol atau tidak sebelum dibunuh.

"Polis juga belum menemui sebarang senjata atau benda keras yang digunakan dalam pembunuhan ini,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihak polis menolak kemungkinan kes ini ada kaitan dengan rompakan berdasarkan tiada dokumen penting atau barangan dalam rumah berkenaan yang hilang.

"Dipercayai seorang suspek terlibat dalam kes tersebut dan motif pembunuhan juga masih disiasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Yusuf berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat.

Jenazah dikebumikan kira-kira jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9 Jalan Trong, Changkat Jering, semalam./sinarharian

Sabtu, 25 Februari 2012

Bayi berusia lima hari dibuang

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas yang menutup hampir keseluruhan mukanya dengan sehelai kain, meninggalkan seorang bayi lelaki di sebuah rumah di Kampung Beladau di sini, semalam.

Bayi berusia lima hari yang cukup sifat itu diletakkan di atas alas kaki di hadapan pintu utama rumah berkenaan pada kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan berkata, wanita warga emas yang berusia dalam lingkungan 70-an itu dikatakan mengetuk pintu rumah berkenaan.

"Penghuni rumah itu, seorang wanita berusia 22 tahun yang ketika itu menjaga adiknya membuka pintu dan melihat warga emas terbabit sedang meletakkan seorang bayi di atas sehelai alas kaki.

"Warga emas terbabit juga dikatakan sempat berpesan kepada wanita iu agar menjaga bayi berkenaan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini./Bernama

Baju diselak penjual karpet

 Baju diselak penjual karpet
BALING: “Saya hanya mampu menangis dan merayu agar dia melepaskan saya. Saya cuba melawan, tapi kudratnya terlalu kuat,” kata Yana (bukan nama sebenar), 19, dari daerah ini yang dicabul oleh penjual karpet di rumahnya kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.

Kejadian berlaku ketika Yana berada bersendirian di rumahnya sebelum dikunjungi oleh seorang lelaki yang menjual karpet datang untuk mengutip hutang kain.

Menurut gadis malang itu, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah dan hanya seorang diri di rumahnya, manakala ibunya keluar berniaga sementara adiknya ke kedai berdekatan.

“Bila penjual itu datang saya cakap mak tiada di rumah, tapi dia tetap masuk dengan alasan nak minum air. Namun, saya rasa risau bila penjual itu asyik pandang saya.

“Saya suruh dia keluar tapi dia tidak mahu. Bila saya hendak masuk bilik, saya rasa seseorang tiup telinga saya dan bila pusing ke belakang, lelaki itu terus memeluk saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, kelmarin.

Menurutnya, dia cuba melawan tetapi kudrat lelaki itu terlalu kuat dan dia tidak mampu melakukan apa-apa selain menangis.

Yana berkata, apabila dia menjerit, penjual itu menutup mulutnya sebelum mengangkatnya dan meletakkannya di atas sofa.

“Lelaki itu kata, dia hendak cium sedikit saja, tapi saya terus mengelak. Dia tidak berpuas hati dan menyelak baju saya, namun saya terus mengelak sehinggalah terdengar bunyi enjin motosikal adik di luar rumah.

“Bila saya dilepaskan, saya terus berlari ke luar rumah dan mendapatkan adik. Namun, penjual itu sempat melarikan diri,” katanya.

Anak keempat dari tujuh adik beradik itu berkata, dia dan keluarganya sememangnya mengenali lelaki itu kerana pernah berurusan dengannya sebelum ini.

Menurutnya, setiap bulan lelaki itu datang ke rumahnya untuk mengutip hutang.

“Saya dan mak memang kenal sangat penjual itu,” katanya.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Baling dan tindakan pantas polis berjaya mengumpulkan beberapa lelaki yang bekerja sebagai penjual karpet di daerah ini untuk sesi kawad cam.

“Namun begitu, dia itu tidak berada dalam sesi kawad cam tersebut,” kata Yana.

Difahamkan, kejadian hitam hampir 20 minit itu mengakibatkan Yana mengalami ketakutan dan trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan tradisional untuk memulihkan semangatnya./sinarharian

Warga Bangladesh cabul rakan dipenjara sebulan

PETALING JAYA: Gara-gara mencabul rakan sekerjanya di Taman Sri Manja, dekat sini, hujung tahun lalu seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md Ismail, 34, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pekerja pasar raya itu didakwa melakukan perbuatan mencabul rakan sekerjanya yang berusia 19 tahun di sebuah pasar raya di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 13 Disember tahun lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa baru selesai makan dan sedang membasuh bekas makanan, apabila tertuduh datang dan memeluknya daripada arah belakang.

Sewaktu berusaha melepaskan pelukan itu, rakan mangsa datang dan cuba membantu, tetapi dipukul oleh tertuduh yang berang sebelum pergi meninggalkan mangsa dan rakannya.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Wan Ahmad Fadzil Wan Omar memohon agar hukuman dikurangkan berikutan tertuduh tidak mempunyai kesalahan lampau.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat./hmetro

Jumaat, 24 Februari 2012

Dicekup khalwat kali kedua

Saiful_Ariffin_(dua,kanan)_mengambil_keterangan_pasangan_berkenaan_buat_kali_yang_kedua
BATU PAHAT: Sepasang kekasih yang pernah dicekup berkhalwat di daerah ini Januari lalu, dicekup buat kali kedua di sebuah hotel murah di sini, petang semalam.

Pasangan masing-masing berusia 40-an itu dicekup sepasukan penguat kuasa Agama Daerah Batu Pahat yang melakukan serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang tidur dan terdapat seorang bayi tidur bersebelahan mereka.

“Ketika disoal penguat kuasa, mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan suami isteri atau hubungan mahram.

“Hasil siasatan mendapati bayi tersebut yang berusia dua minggu itu dipercayai adalah bayi hasil hubungan terlarang pasangan terbabit yang dibawa untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang akan menyangka mereka ini adalah suami isteri,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit yang sebelum ini sarat mengandung langsung tidak dapat dihidu keluarganya yang hanya mengetahui perkara tersebut selepas mereka diberkas.

“Berdasarkan rekod, ini adalah tangkapan kedua mem­­babitkan pasangan itu di mana serbuan menyasarkan hotel bajet di sini.

“Ketika ditahan pertama kali, wanita terbabit sedang sarat mengandung dipercayai hasil hubungan terlarang mereka,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, difahamkan lelaki terbabit sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, namun kini dalam proses penceraian berikutan ingin mengahwini kekasih hatinya itu.

“Pasangan terbabit yang merupakan warga tempatan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya./sinarharian

Anak hamil dikelar menantu

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang bapa untuk menimang cucu sulung musnah apabila anaknya yang hamil sebulan ditemui mati dengan kesan dikelar pada lehernya di sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyayat hati, pembunuhan kejam Rohana Hamzah, 26, yang didakwa keluarga mangsa sebagai angkara suaminya berlaku pada tahun kelima perkahwinan pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga.
Bapa mangsa, Hamzah Mohamad, 51, berkata, dia rebah kerana hatinya hancur sejurus melihat jenazah Rohana tertiarap berlumuran darah di bilik tidur di rumah sewa pasangan berkenaan.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah itu selepas menerima panggilan daripada bapa saudara menantunya yang memaklumkan timbul masalah membabitkan pasangan berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, dia mula cemas selepas melihat polis dan orang ramai mengerumuni rumah anak perempuannya itu sebelum rebah sejurus melihat jenazah anak ketiganya itu dengan tangan terkilas ke belakang.

“Saya mula rasa ada yang tak kena apabila melihat menantu berusia 24 tahun dalam keadaan bergari dan dibawa polis,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.

Hamzah berkata, kali terakhir dia berjumpa Rohana ketika anaknya itu pulang bercuti seminggu iaitu sebelum Aidiladha lalu di rumahnya di Taman Sri Pulai di Skudai pada 14 November lalu.

“Kali terakhir Rohana menghubungi adiknya pula kira-kira jam 11.15 pagi pada hari kejadian. Dia bertanyakan salinan MyKad miliknya yang tertinggal di rumah kami.

“Bagaimanapun, perbualan singkat itu terhenti dan pada masa sama, adiknya mendengar bunyi bising sebelum talian terputus,” katanya.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka sekali lagi cuba menghubungi Rohana, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Kami tahu sangat sikap cemburu dan panas baran suaminya kerana pernah melihat dia memukul Rohana di depan kami.

“Malah, kami juga berat melepaskan Rohana pulang pada malam sebelum kejadian memandangkan dia baru saja dicederakan suami sebelum pulang ke rumah kami,” katanya.

Hamzah berkata, kecederaan itu menyebabkan Rohana dirawat di wad selama tiga hari selain menerima lapan jahitan dan ketika ditanya, arwah anaknya itu mengatakan ia akibat terkena kaca.

Bagaimanapun, keluarga Rohana sangsi dan percaya ia akibat kelaran menggunakan pisau, malah doktor yang merawatnya juga meragui kecederaan itu berpunca daripada kaca.

“Tapi, semuanya sudah ditakdirkan dan sekelip mata bukan saja kehilangan anak tersayang, malah cucu dalam kandungan,” katanya.

Jenazah mangsa dihantar ke HSI untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Skudai./hmetro

Khamis, 23 Februari 2012

Duda dibunuh kejam

Mayat-mangsa-dihantar-ke-HGM-untuk-bedah-siasat
GUA MUSANG: “Kejam hingga abang saya diperlakukan demikian dan apakah salahnya hingga sanggup dia dibunuh sebegitu rupa,” kata Abdullah Isa, 49, adik, Saari, 51, yang dijumpai mati dipercayai dibunuh dalam sebuah ladang getah di Kampung Panggong Lalat, dekat sini, pagi semalam.

Mayat Saari ditemui seorang penoreh getah yang sedang melalui jalan kebunnya kira-kira jam 7.30 pagi dan terkejut melihat mayat lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah tidak jauh dari motosikal ditungganginya.

Abdullah yang terkilan dengan kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu mahu pihak berkuasa menahan penjenayah terbabit dan dibawa ke muka pengadilan supaya hukumannya setimpal dengan kesalahan yang dilakukan itu.

Ketika ditemui di tempat kejadian, beliau mengakui telah lama tidak bertemu dengan abangnya itu terutama selepas arwah bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun lalu ketika Saari tinggal di Kampung Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Saya memang tidak tahu abang saya itu tinggal di mana selepas berpisah dengan isterinya dan terkejut apabila dimaklumkan rakan Saari dijumpai mati dipercayai dibunuh di kampung tersebut. Ketika saya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi, rasa gemuruh di hati kerana terlalu marah dengan sikap kejam penjenayah itu hingga sanggup membunuh abang kandung saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini juga dia pernah bertanya khabar rakan-rakan mengenai kehidupan Saari dan tidak sangka tempat tinggal sementaranya di kampung itu menjadi tragedi yang tidak boleh dilupakan.

“Arwah juga ada lima anak, tetapi anaknya itu tinggal bersama ibunya di kampung dan dia membawa diri berikutan tertekan selepas bercerai dengan isterinya,” katanya.

Saksi yang menemui mayat mangsa, Jasni Zaid, 51, berkata, dia ketika melalui jalan masuk ke kebunnya itu terkejut ternampak seorang lelaki yang terbaring di tepi jalan dalam kebun getah kira-kira jam 7.30 pagi.

Katanya, dia menyangka mangsa masih hidup walaupun dalam keadaan berlumuran darah, namun apabila menghampirinya untuk memberi pertolongan lelaki itu sudah meninggal dunia.

Berikutan itu, beliau terus keluar semula dari kebun getah tersebut untuk memberitahu kepada seorang ketua kampung sebelum melaporkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

“Saya amat terkejut dengan keadaan berlaku itu dan rasa amat kejam dengan sikap penjenayah tanpa belas kasihan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mungkin telah lama tinggal di sebuah pondok kecil berhampiran di situ bagi membuka tanah untuk pertanian bersama beberapa rakannya.

“Memang sebelum ini saya nampak beberapa lelaki yang kerap memasuki jalan menuju ke kebun getah itu untuk membangun tanah bagi tujuan pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Superintendan Lai Yong Heng berkata, mayat Saari ditemui seorang penoreh getah jam 7.30 pagi di kawasan tersebut dan terus melaporkan kepada polis.

Menurutnya, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Kala Baru bekerja sebagai penjaga kolam ikan itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Mangsa yang ditemui memakai seluar berceloreng dan kemeja T putih ini turut cedera parah di kepala serta terdapat kesan luka di kaki. Hasil siasatan awal juga menunjukkan terdapat kesan pergelutan di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

“Kita menunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian sama ada melibatkan objek tertentu atau sebaliknya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan,” katanya./sinarharian

Rabu, 22 Februari 2012

Bekas banduan geletar mengaku rogol adik kandung

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas banduan menggeletar ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan merogol dan mengugut adik kandungnya dengan pedang, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Fadilah Nor Wan Idris di sini hari ini.

Tertuduh yang melakukan kesalahan sumbang mahram itu selepas dua hari dibebaskan daripada penjara akibat kesalahan dadah, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan bagi kedua-dua kesalahan itu.

Dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol dan penjara setahun bagi kesalahan mengugut tetapi perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas Hakim Wan Fadilah Nor memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan.

Terdahulu, tertuduh yang berumur 37 tahun hanya tunduk dan mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor.

Dalam keadaan menggeletar, dia kemudiannya mengaku salah. Dia didakwa telah secara paksa merogol adik perempuannya yang berumur 24 tahun di belakang sebuah rumah di Kuala Besut pada 10.30 malam, 10 Februari lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah mengugut mangsa dengan sebilah pedang dengan tujuan menakutkan mangsa supaya tidak membuat laporan polis bersabit kejadian itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohd Nazri./Bernama

Selasa, 21 Februari 2012

Sorok kekasih dalam tandas

Lelaki-yang-berasal-dari-sebauh-negeri-Pantai-Timur-yang-didapati-berdua-duaan-bersama-kekasihnya-da
Pasangan-lelaki-berkenaan-yang-dijumpai-oleh-pegawai-penguat-kuasa-di-dalam-bilik-mandi-hotel
BATU PAHAT: Taktik seorang lelaki menyembunyikan kekasihnya dalam tandas sebuah hotel tiga bintang di sini tidak menjadi selepas penguat kuasa jabatan agama daerah menjumpai sepasang kasut wanita di bilik berkenaan.

Timbalan Penguat Kuasa Jabatan Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohad Sopah, berkata, penemuan kasut wanita itu menyebabkan pihaknya memeriksa keseluruhan bilik dan menemui seorang gadis di dalam tandas bilik itu.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan kira-kira jam 4 pagi semalam, lelaki berusia 23 tahun itu pada mulanya mengaku menginap sendirian di hotel tersebut sebelum tembelangnya pecah.

Lelaki itu,katanya, hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju sejurus membuka pintu bilik berkenaan selepas diketuk beberapa kali penguat kuasa.

“Selepas disoal, lelaki itu kemudiannya mengaku teman wanitanya ada bersama dalam satu bilik dan sedang bersembunyi dalam bilik mandi akibat terlalu panik.

“Setelah dijumpai di bilik mandi, wanita berkenaan diperiksa pegawai wanita dan jelas wanita itu tidak mengenakan sebarang pakaian dalam,” katanya.

Pihaknya difahamkan, lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan menghantar teman wanitanya yang juga seorang pelajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi di sini.

Akibat terlalu kepenatan memandu, pasangan kekasih itu, katanya, mengambil keputusan untuk menginap di hotel berkenaan sebelum diserbu pihak berkuasa.

“Kedua mereka berasal dari salah sebuah negeri di pantai timur negara dan masing-masing berusia 23 tahun dan mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.

“Pasangan berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya./sinarharian


















Ibu 60 tahun maut ditetak anak lelaki

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas maut dipercayai akibat ditetak anak lelakinya dengan sebilah parang dalam kejadian di rumahnya di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri dekat sini tengah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa A'inshon Abdul Rahman ,60, dipercayai ditetak suspek berumur 26 tahun pada bahagian belakang kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian, tiada orang lain di rumah berkenaan melainkan mangsa dan suspek sahaja.

Katanya, pihaknya berjaya menahan suspek kira-kira dua kilometer dari rumah berkenaan.

"Polis telah menemui senjata tajam yang dipercayai digunakan iaitu golok (parang) perak di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Zakaria berkata siasatan awal polis mendapati suspek merupakan penagih dadah dan turut mengalami sedikit masalah mental yang memerlukannya mengambil ubat-ubatan termasuk ubat penenang secara berkala.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
"Setakat ini kami belum masih menemu bual suspek sebab apa tetak mak dia, sama ada berlaku pertengkaran nak duit atau sebaliknya kita tidak tahu, semuanya masih dalam proses siasatan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, jiran mangsa Maznan Omar, 48, berkata dia pergi ke tempat kejadian setelah dimaklumkan adik lelakinya yang kebetulan melalui rumah mangsa bahawa dia melihat mangsa berada dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di bahagian dapur.

"Semasa saya sampai di rumah mangsa, saya tengok mangsa telah meninggal dunia dan anak lelaki dia pun tak ada. Saya lihat ada ikan dan sayur-sayuran, mungkin mangsa pada waktu itu nak masak makan tengah hari. Selepas itu, saya
pergi ke balai polis berhampiran untuk buat laporan polis," katanya.

Seorang lagi jiran, Fazilah Hussein, 27, berkata dia tidak mendengar sebarang bunyi bising yang menunjukkan berlaku pertengkaran dari rumah mangsa.

Katanya, mangsa merupakan nenek saudaranya dan sebelum kejadian itu, mangsa telah pergi menoreh getah.

"Hanya tinggal mereka berdua sahaja di rumah memandangkan adik-beradik lain tinggal berasingan dan anak lelakinya ini merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik. Kami susah nak nampak anak dia ini sebab suka duduk dalam bilik sahaja," katanya./Bernama

Isnin, 20 Februari 2012

Tukang rumah didenda RM2,000 gigit anggota polis

KUALA TERENGGANU: Gara-gara menggigit telinga anggota polis ketika cuba melarikan diri dari tahanan, seorang tukang rumah hari ini dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mohd Shukri Muda, 34, dari Gong Pak Jin, Batu Rakit, di sini didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Konstable Amran Yahya, 23, bagi menakutkan penjawat awam itu daripada menjalankan kewajipannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 8.25 malam, 12 Februari lalu bertempat di Balai Polis Gong Badak, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Shukri yang memakai baju lokap polis dan berjalan terhencut-hencut akibat terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota berkenaan untuk mempertahankan diri, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor V. Ravi./Bernama

Lelaki Myanmar rogol budak 12 tahun dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar hari ini dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan di rumah sewanya di Taman Wilayah Selayang dekat sini, minggu lepas.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid turut memerintahkan tertuduh, Mohd Shukur Zawkareya dihantar ke negara asalnya selepas tamat menjalani hukuman itu.

Mohd Shukur, 28, didakwa terhadap empat pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam sebuah bilik di alamat 7-2-1, Jalan 20/20A, Taman Wilayah Selayang, Sentul antara pukul 11.30 malam hingga 3.30 petang, pada 3 Februari hingga 6 Februari lepas, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang, turut dituduh tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah, mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Mohd Shukur, yang masih bujang, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat pertanyaan Balai Polis Jinjang, Sentul pada pukul 9 malam, 6 Februari lepas. Bagi keempat-empat kesalahan rogol itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara enam tahun hingga sembilan tahun, manakala bagi pertuduhan kelima (tiada pasport) tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Februari lepas.

Terdahulu, Mohd Shukur, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga yang tinggal di kampung halaman di Myanmar.

"Saya juga kenal mangsa dan kami suka sama suka," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ain - Nur Amiyerra Awod Abdullah memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kepentingan awam perlu didahulukan berbanding kepentingan peribadi.

"Fakta bahawa mangsa dan tertuduh suka sama suka bukan fakta yang patut dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia melibatkan mangsa bawah umur. Jadi, hukuman berat perlu diberikan supaya ia bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat," katanya./Bernama

Dua lelaki disimbah asid ketika tidur di Kampung Padang Merchang

MARANG: Seorang remaja yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang rakannya melecur setelah disimbah cecair, dipercayai asid, dalam satu insiden awal pagi ini di Kampung Padang Merchang di sini.

Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika Mohd Fadzil Hanafi Idrus, 18, dan Shahurzaman Salim, 38, sedang nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Mohd Fadzil melecur di bahagian muka, badan serta kaki manakala Shahurzaman, yang bekerja sebagai nelayan, cedera di muka serta mata, dan mereka kini dirawat di unit kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan stabil.

Seorang penyewa di rumah itu, Mohd Harmizi Hussin, 29, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan dihubungi seorang rakannya mengenai kejadian tersebut.

"Setibanya di rumah, saya terkejut melihat keadaan (Mohd) Fadzil yang melecur di muka sambil menggelupur menjerit kesakitan.

"Saya terus menghantar kedua-dua mangsa ke Klinik Kesihatan Mercang sebelum mereka kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Harmizi, seorang pemandu bas kilang, berkata Mohd Fadzil biasa datang ke rumah sewanya untuk menonton perlawanan bola sepak.

"Saya percaya suspek melontar cecair berkenaan melalui tingkap yang tidak ditutup, dan kebetulan pula (Mohd) Fadzil dan Shahurzaman tidur di atas katil berhampiran tingkap tersebut," katanya.

Pada mulanya, Mohd Harmizi menyangkakan cecair itu adalah sejenis minyak namun sangkaannya meleset setelah melihat kesan terbakar pada tilam dan kain pelekat yang dipakai Mohd Fadzil.

Bapa Mohd Fadzil, Idrus Mohd Nor yang ditemui di HSNZ berkata dia terkilan dengan kejadian itu, yang belum diketahui motif sebenarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata polis masih mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan./Bernama

Ahad, 19 Februari 2012

Lapan suspek ditahan termasuk isteri mangsa

PETALING JAYA: Polis menahan lapan suspek, termasuk isteri mangsa, dalam kes pembunuhan seorang pemandu lori di rumahnya di Flat Taman Petaling Utama, Jalan PJS 1/52 Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata motif pembunuhan dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan isterinya, yang berusia 34 tahun, dan seorang lelaki berumur 22 tahun, yang dihalang mangsa.

Arjunaidi berkata empat remaja termasuk dua pelajar sekolah menengah yang ditahan polis sehari selepas kejadian, mendakwa isteri mangsa merancang pembunuhan itu dan berpakat dengan teman lelakinya untuk mengupah mereka melakukan perbuatan tersebut serta menjanjikan bayaran RM5,000 untuk setiap orang.

"Pada hari mangsa dibunuh, empat remaja terbabit bersama teman lelaki isteri mangsa telah masuk ke dalam rumah dengan bantuan isteri mangsa yang membuka pintu, sebelum menyerang mangsa yang sedang tidur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata mangsa mati akibat kecederaan parah di belakang badan dan tangan setelah diserang dengan sebilah parang.

"Polis turut menahan ibu bapa suspek utama (teman lelaki isteri mangsa) bagi membantu siasatan berikutan mereka merupakan jiran mangsa, dan dipercayai membantu kedua-dua suspek utama merancang komplot pembunuhan itu," katanya.

Arjunaidi berkata semua suspek direman selama seminggu mulai semalam dan polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam insiden yang berlaku pada 3 pagi itu, M. Ganesan, 35, mati akibat diserang beberapa lelaki menggunakan parang dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat./Bernama

Sabtu, 18 Februari 2012

Gadis sorok belakang almari

Gadis sorok belakang almari
AMPANG: Taktik seorang gadis menyorok di belakang almari kanvas bagi mengelak ditahan, gagal apabila dia berjaya dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi kelmarin.

Pasangan itu antara tujuh orang termasuk seorang perempuan yang ditahan di sebuah rumah di Taman Mawar dalam serbuan Operasi Cegah Maksiat kira-kira jam 2 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan maksiat yang berlaku di rumah itu.

“Kami mendapati tiga lelaki hanya berseluar pendek ketika serbuan dijalankan, manakala dua perempuan itu pula berpakaian lengkap, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, gadis yang menyorok di belakang almari itu memberi alasan baru datang dan menumpang tidur di rumah kekasihnya itu kerana bapa saudaranya tiada di rumah.

“Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi yang berasingan, seorang ibu kecewa apabila mengetahui anaknya yang berusia 18 tahun itu minum minuman keras.

Ahmad Nawi berkata, remaja itu ditahan bersama empat rakannya termasuk dua perempuan dalam sebuah kereta jenis Toyota Avanza di Bukit Langat.

“Kami mendapati tiga lelaki itu dalam keadaan mabuk, mereka di antara 13 orang yang ditahan di Bukit Langat kerana disyaki berkelakuan kurang sopan yang boleh menimbulkan syak di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa remaja berkenaan yang dipanggil ke Masjid Al-Azim terkejut apabila mengetahui anak masing-masing dalam keadaan mabuk.

“Ibu remaja terbabit tidak mengetahui anaknya itu keluar bersama rakannya setelah dimaklumkan pergi bekerja di pasar malam,” katanya.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit bersalah, boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara.

“Kesemua yang ditahan itu perlu menghadiri sesi kaunseling di Masjid Al-Azim Mac ini,” katanya./sinarharian

Janda tukang tilik mati dibunuh

SALAH seorang anak Siew Lin (tengah) ditenteramkan saudara selepas ibunya mati dibunuh.
ALOR SETAR: Seorang penganggur yang berang dengan sikap bekas isteri dan empat orang anaknya yang didakwa tidak lagi menghormatinya bertindak kejam apabila sanggup menceroboh rumah jandanya itu sebelum menikam mangsa sampai mati.

Dalam tragedi yang menggemparkan penduduk sekitar pada pukul 12.15 tengah malam kelmarin di Taman Saga, Jalan Alor Mengkudu di sini, mangsa Ung Siew Lin, 46, seorang tukang tilik nasib mati dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah di perut, kepala dan tangan.

Turut cedera dua anak mangsa iaitu Wong Chiew Ying, 26, dan Chn’g Sheve Mei, 26. Chiew Ying patah tangan kiri manakala Sheve Mei yang merupakan anak angkat mangsa patah tangan kanan dan cedera di kepala.

Dua lagi anak mangsa, Wong Chiew Shen, 22, dan Wong Shene Mei, 21, tidak cedera./kosmo

Jumaat, 17 Februari 2012

Mayat bayi dalam tandas

BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang cuci yang hendak memulakan tugas hariannya di wad kanak-kanak Hospital Bukit Mertajam (HBM), semalam terkejut menemui satu mayat bayi dalam keadaan masih bertali pusat.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia pada mulanya terlihat kesan darah pada lantai bilik mandi, namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia terlihat sekujur tubuh bayi dalam kolah air.

Menurutnya, dia terkejut dengan penemuan itu lalu memaklumkannya kepada jururawat hospital.

“Kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ketika saya hendak mencuci tandas berkenaan.

“Ketika masuk, saya terlihat kesan darah di atas lantai. Saya sangka ia darah biasa tetapi, ketika meninjau di sekitar tandas itu terkejut terlihat bayi dalam kolah. Dalam kolah itu hanya ada sedikit air sahaja,” katanya.

Difahamkan, pihak hospital cuba menyelamatkan bayi berkenaan, namunmalangnya bayi itu sudah pun meninggal dunia ketika ditemui.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi perempuan itu pada jam 12.30 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan awal, ada saksi terlihat seorang wanita keluar dari tandas wad berkenaan dalam keadaan pucat dan letih kira-kira jam 7.30 pagi.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih sedang dijalankan bagi mengesan ibu kepada bayi malang itu,” katanya.

Baharudin berkata, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran./sinarharian