PUTRAJAYA: Seorang bekas konstabel polis terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara sepanjang hayat dan 12 kali sebatan kerana mempamerkan pistol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa merompak dua kedai telefon.
Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai hakim tiga panel menolak rayuan Aeleh Wahab terhadap sabitan dan hukuman setelah mendapati rayuannya tidak bermerit.
Dua hakim lain yang bersidang bersama Hakim Low ialah hakim Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.
Aeleh, 38, bertugas di Ibu Pejabat Polis Putrajaya semasa kejadian itu.
Dia merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara sepanjang hayat dan enam sebatan rotan setiap tuduhan yang dijatuhi ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 18 Januari 2010.
Mahkamah itu mendapati dia bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan tidak kurang enam kali jika disabitkan kesalahan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan