Isnin, 20 Februari 2012

Dua lelaki disimbah asid ketika tidur di Kampung Padang Merchang

MARANG: Seorang remaja yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang rakannya melecur setelah disimbah cecair, dipercayai asid, dalam satu insiden awal pagi ini di Kampung Padang Merchang di sini.

Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika Mohd Fadzil Hanafi Idrus, 18, dan Shahurzaman Salim, 38, sedang nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Mohd Fadzil melecur di bahagian muka, badan serta kaki manakala Shahurzaman, yang bekerja sebagai nelayan, cedera di muka serta mata, dan mereka kini dirawat di unit kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan stabil.

Seorang penyewa di rumah itu, Mohd Harmizi Hussin, 29, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan dihubungi seorang rakannya mengenai kejadian tersebut.

"Setibanya di rumah, saya terkejut melihat keadaan (Mohd) Fadzil yang melecur di muka sambil menggelupur menjerit kesakitan.

"Saya terus menghantar kedua-dua mangsa ke Klinik Kesihatan Mercang sebelum mereka kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Harmizi, seorang pemandu bas kilang, berkata Mohd Fadzil biasa datang ke rumah sewanya untuk menonton perlawanan bola sepak.

"Saya percaya suspek melontar cecair berkenaan melalui tingkap yang tidak ditutup, dan kebetulan pula (Mohd) Fadzil dan Shahurzaman tidur di atas katil berhampiran tingkap tersebut," katanya.

Pada mulanya, Mohd Harmizi menyangkakan cecair itu adalah sejenis minyak namun sangkaannya meleset setelah melihat kesan terbakar pada tilam dan kain pelekat yang dipakai Mohd Fadzil.

Bapa Mohd Fadzil, Idrus Mohd Nor yang ditemui di HSNZ berkata dia terkilan dengan kejadian itu, yang belum diketahui motif sebenarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata polis masih mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan