KUALA TERENGGANU: Gara-gara menggigit telinga anggota polis ketika cuba melarikan diri dari tahanan, seorang tukang rumah hari ini dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Mohd Shukri Muda, 34, dari Gong Pak Jin, Batu Rakit, di sini didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Konstable Amran Yahya, 23, bagi menakutkan penjawat awam itu daripada menjalankan kewajipannya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 8.25 malam, 12 Februari lalu bertempat di Balai Polis Gong Badak, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mohd Shukri yang memakai baju lokap polis dan berjalan terhencut-hencut akibat terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota berkenaan untuk mempertahankan diri, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor V. Ravi./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan