Sabtu, 25 Februari 2012

Warga Bangladesh cabul rakan dipenjara sebulan

PETALING JAYA: Gara-gara mencabul rakan sekerjanya di Taman Sri Manja, dekat sini, hujung tahun lalu seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md Ismail, 34, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pekerja pasar raya itu didakwa melakukan perbuatan mencabul rakan sekerjanya yang berusia 19 tahun di sebuah pasar raya di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 13 Disember tahun lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa baru selesai makan dan sedang membasuh bekas makanan, apabila tertuduh datang dan memeluknya daripada arah belakang.

Sewaktu berusaha melepaskan pelukan itu, rakan mangsa datang dan cuba membantu, tetapi dipukul oleh tertuduh yang berang sebelum pergi meninggalkan mangsa dan rakannya.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Wan Ahmad Fadzil Wan Omar memohon agar hukuman dikurangkan berikutan tertuduh tidak mempunyai kesalahan lampau.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan