Ahad, 19 Februari 2012

Lapan suspek ditahan termasuk isteri mangsa

PETALING JAYA: Polis menahan lapan suspek, termasuk isteri mangsa, dalam kes pembunuhan seorang pemandu lori di rumahnya di Flat Taman Petaling Utama, Jalan PJS 1/52 Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata motif pembunuhan dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan isterinya, yang berusia 34 tahun, dan seorang lelaki berumur 22 tahun, yang dihalang mangsa.

Arjunaidi berkata empat remaja termasuk dua pelajar sekolah menengah yang ditahan polis sehari selepas kejadian, mendakwa isteri mangsa merancang pembunuhan itu dan berpakat dengan teman lelakinya untuk mengupah mereka melakukan perbuatan tersebut serta menjanjikan bayaran RM5,000 untuk setiap orang.

"Pada hari mangsa dibunuh, empat remaja terbabit bersama teman lelaki isteri mangsa telah masuk ke dalam rumah dengan bantuan isteri mangsa yang membuka pintu, sebelum menyerang mangsa yang sedang tidur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata mangsa mati akibat kecederaan parah di belakang badan dan tangan setelah diserang dengan sebilah parang.

"Polis turut menahan ibu bapa suspek utama (teman lelaki isteri mangsa) bagi membantu siasatan berikutan mereka merupakan jiran mangsa, dan dipercayai membantu kedua-dua suspek utama merancang komplot pembunuhan itu," katanya.

Arjunaidi berkata semua suspek direman selama seminggu mulai semalam dan polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam insiden yang berlaku pada 3 pagi itu, M. Ganesan, 35, mati akibat diserang beberapa lelaki menggunakan parang dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan