TAIPING: Mayat seorang pelajar berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah, dipercayai dibunuh di dalam bilik air rumahnya di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, petang kelmarin.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, mayat Nurul Aien Mohd Saimon ditemui dalam dalam kolah air dalam rumahnya.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian, mendapati bahagian belakang kepala mangsa cedera dengan kesan luka dipercayai dipukul dengan benda keras.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada kemungkinan mangsa dirogol atau tidak sebelum dibunuh.
"Polis juga belum menemui sebarang senjata atau benda keras yang digunakan dalam pembunuhan ini,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, pihak polis menolak kemungkinan kes ini ada kaitan dengan rompakan berdasarkan tiada dokumen penting atau barangan dalam rumah berkenaan yang hilang.
"Dipercayai seorang suspek terlibat dalam kes tersebut dan motif pembunuhan juga masih disiasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Yusuf berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat.
Jenazah dikebumikan kira-kira jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9 Jalan Trong, Changkat Jering, semalam./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan