MARANG: Seorang pemuda mengugut yang bapa saudaranya menggunakan pedang kerana tidak berpuas hati apabila gagal menjual getah, dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret Marang, kelmarin.
Mengikut pertuduhan pertama, Azman Ismail, 30, didakwa membuat ugutan dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap Mahasan Yaakub, 45, di sebuah rumah di Kampung Durian Pahit, Merchang, Marang, jam 7.50 malam, pada 22 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didenda RM3,000 atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki senjata berjadual di tempat awam iaitu sebilah pedang pada waktu, tarikh dan tempat sama.
Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh didenda RM1,500 atau dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dipenjarakan selama empat bulan selepas gagal membayar denda sebanyak RM4500 dalam pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Noradila Latif.
Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu Mahasan didatangi tertuduh di rumahnya untuk menjual getah, tetapi diminta datang keesokannya kerana pengadu tidak membeli getah pada waktu malam.
Namun, tertuduh yang tidak berpuas hati dengan permintaan pengadu yang juga bapa saudaranya lalu memarahi pengadu dan membaling alat penimbang getah pada masa sama memukul pengadu dengan kayu berbentuk tiga segi sepanjang satu meter.
Selepas kejadian itu, dua anak pengadu, Muklis dan Ahmad Lufti yang berada berdekatan tempat kejadian datang dan memukul tertuduh bagi menghentikan tindakan tertuduh kerana bimbang keadaan menjadi bertambah buruk.
Tertuduh kemudiannya pulang ke rumahnya tetapi datang semula dengan membawa sebilah pedang dan sebungkus plastik berisi cecair putih didakwanya asid untuk menyimbah cecair itu kepada dua anak pengadu terbabit./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan