KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita, yang dipercayai dibunuh sebelum disumbat ke dalam sebuah beg pakaian, ditemui di hadapan sebuah bilik di tingkat tiga hotel bajet di Jalan Raja Laut di sini, malam tadi.
Polis telah mengenal pasti suspek dan usaha untuk memburunya telah digerakkan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mayat wanita itu ditemui oleh pengurus hotel kira-kira jam 11 malam.
Maklumat diperoleh lewat pagi ini menunjukkan wanita itu dikenali sebagai Rumiyati dari Indonesia.
"Pengurus itu temui sebuah bagasi besar. Disebabkan curiga dengan berat beg itu, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa, lalu menghubungi polis," katanya kepada pemberita.
Berdasarkan semakan pendaftaran kemasukan hotel, mangsa telah mendaftar masuk kira-kira jam 2 petang semalam.
Beliau berkata, polis tidak dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan ada kesan jerutan di bahagian leher./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan