KUANTAN: Zalim dan berhati kering. Itulah perkataan sesuai kepada individu yang sanggup memasukkan seorang bayi yang baru dilahirkan ke dalam beg plastik bersama seketul batu bata dan mencampaknya ke dalam sungai.
Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat itu kemudian ditemui kira-kira jam 2 petang oleh sekumpulan pemancing di bawah Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.
Mereka pada mulanya menyangka objek terapung yang tersangkut pada ranting kayu berdekatan tebing sungai terbabit adalah anak patung tetapi terus kemudian terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selepas mendapati mayat seorang bayi.
Seorang saksi, Mohd Alias, 40, berkata, dia bersama dua lagi rakannya sedang asyik memancing di bawah jambatan berkenaan sebelum salah seorang darinya memberitahu mengenai objek terapung itu.
“Bagaimanapun, dia kurang pasti dan saya kemudian pergi menjenguk dan terkejut apabila mendapati objek berkenaan adalah mayat bayi yang masih bertali pusat.
“Kami tidak berani untuk mengambilnya sebelum polis tiba kerana ia sudah menjadi kes jenayah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Katanya, sejurus anggota polis tiba, dia membantu anggota berkenaan menarik mayat bayi yang cukup sifat itu ke darat dengan menggunakan besi pancang joran dan turut menemui plastik hitam berisi batu bersama bayi malang itu.
Mohd Alias berpendapat, individu yang melakukan perkara keji itu mahu menenggelamkan bayi berkenaan kerana plastik hitam itu diisi batu sebelum mencampaknya ke dalam sungai tetapi mayat bayi berkenaan terkeluar dan hanya tali pusatnya masih tersangkut ada plastik itu.
“Saya percaya bayi berkenaan dibuang dalam tempoh beberapa jam sahaja berikutan keadaan kakinya masih merah namun bahagian tubuh yang lain sudah kebiruan,” katanya yang tinggal di Air Putih, dekat sini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.
“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk dibedah siasat dan setakat ini kita masih mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan jenyah itu,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan