Isnin, 13 Februari 2012

Penjaga bot ditetak, disimbah asid

KOTA BHARU: Seorang penjaga bot yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes perselisihan faham berkaitan tong ikan, ditetak di badan dan disimbah asid di Kampung Hulu Beta, Nilam Puri, di sini hari ini.

Mohd Khaidzir Hanafi, 31, kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana kecederaan teruk di badan akibat kesan tetakan dan simbahan asid.

Mohd Khaidzir, dari Kuala Besut, Terengganu, dikatakan dibawa ke Kampung Hulu Beta oleh seorang rakannya bagi menyelesaikan masalah membabitkan tong ikan.

Kejadian yang menimpa Mohd Khaidzir itu dipercayai berlaku pada 12.30 tengah malam ketika beliau terlibat dalam perbincangan bersama rakannya dan dua lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Peno' dan 'Darwis'.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dalam satu SMS kepada Bernama hari ini berhubung kejadian itu memaklumkan bahawa seorang lelaki yang bekerja sebagai pembekal peralatan hospital telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya polis juga sedang memburu dua suspek berhubung kes itu, yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Ibu mangsa, Salmah Mohamad, 55, ketika ditemui di hospital, berkata beliau tidak mengetahui punca sebenar kejadian kerana kali terakhir bertemu anaknya ialah pada pagi semalam.

Katanya beliau hanya dimaklumkan bahawa Mohd Khaidzir dimasukkan ke hospital pada 2 pagi akibat disimbah asid./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan