Sabtu, 31 Mac 2012

Mayat bayi tanpa kepala ditemui dalam takungan najis

KUALA LUMPUR: Mayat bayi lelaki tanpa kepala ditemui di tempat takungan najis di Jalan Thong Shin di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata mayat bayi yang ditemui pada pukul 11 pagi oleh pekerja pembersihan itu dipercayai dibuang kira-kira dua hari lepas.

"Sungguhpun dijumpai tanpa kepala, anggota lain pada mayat bayi lelaki itu sempurna dan kita akan mencari siapa yang bertanggungjawab melakukan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./Bernama

Pekerja dobi ditangkap khalwat

Pekerja dobi ditangkap khalwat
AMPANG: Tiga individu termasuk seorang remaja perempuan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pegawai Masjid Al-Azim dalam sebuah bilik di rumah kedai di Pandan Jaya, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, dua lelaki berusia antara 20 dan 22 tahun serta seorang pekerja sebuah kedai dobi ditahan.

Pegawai Masjid Al-Azim berkata, Ahmad Nawi Othman berkata, ketika serbuan seorang lelaki membuka pintu dan mendapati ada seorang lelaki lain dan seorang perempuan berusia 20 tahun berada di dalam bilik itu.

“Kami mendapati pasangan berkenaan berpakaian lengkap, manakala seorang lelaki lain hanya berseluar pendek ketika serbuan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, teman lelaki kepada gadis berkenaan memberi alasan kekasihnya baru bekerja di kedai dobi berhampiran serta tidak ada rumah atau bilik untuk disewa.

Ahmad Nawi berkata, turut ditahan dua pasangan lain di bilik berasingan di rumah kedai berkenaan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Remaja lari ikut kekasih

Remaja lari ikut kekasih
JERANTUT: “Pulanglah Angah, nenek Saodah kini ­jatuh sakit sejak pemergian dan menanti kepulangan mu,”.

Itu antara luahan Noorlilie Baharuddin, 31, dari Taman Bukit Permai Jerantut dekat sini, yang merayu anak saudaranya, Nur Aliah Baharuddin, 19, pulang ke pangkuan keluarga.

Noorlilie berkata, Nur Aliah atau dipanggil Angah dalam keluarganya, dipercayai dilarikan teman lelakinya pada malam 25 Mac lepas, kira-kira jam 11 malam, dari kediaman neneknya (Saodah) di Felda Jengka 1 Maran.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu hanya membawa beberapa helai pakaian dan sehingga kini tidak diketahui nasibnya dan lokasinya.

“Sebelum kejadian, ­memang ada sedikit perselisihan faham antara Angah ­dengan keluarga berikutan dinasihatkan ibu bapanya, Baharuddin Taib, 45, dan Mariam Nayan, 42, supaya `berenggang’ ­dengan teman lelakinya yang juga seorang duda berusia 38 tahun.

“Pada malam kejadian, saya pulang ke Felda Jengka Satu, Maran untuk bertemu emak saya, Saodah Ishak, 65, yang tinggal bersama Angah, tetapi anak saudara saya tidak menunjukkan apa-apa ke­risauan dan berbual mesra ­malah begitu manja dengan neneknya,” katanya.

Noorlilie berkata, kehi­langan Angah disedari emak (Saodah) pada 26 Mac lepas iaitu ketika emak masuk ke ­bilik untuk mengejutkan Angah, tetapi tergamam apabila Angah tiada di tempat tidur.

Menurutnya, emak mendapati Angah tiada dan ­menyelak selimut, hanya menjumpai bantal peluk yang digunakan Angah untuk ­mengelirukan, seperti seolah-olah dia sedang tidur.

“Sehingga kini selepas kehilangan Angah, emak sering juga jatuh sakit dan tidak berselera makan kerana terkenangkan Angah yang sangat dikasihinya,” katanya.

Noorlilie berkata, Angah berkemungkinan keluar dari rumah setelah kecewa hasrat untuk mengahwini ­kekasihnya itu mendapat tentangan keluarga.

Menurutnya, mereka ­sekeluarga kini berasa risau kerana Angah tidak dapat dihubungi sejak dia keluar ­rumah pada minggu lepas.

“Kami tidak tahu apa ­nasibnya kini. Justeru kami mengharapkan Angah pulang semula dan boleh berbin­cang mengenai kehendaknya dan merestui perhubungan Angah.

“Keluarga tidak marah dan ingin berunding secara baik dan jika Angah ingin berkahwin kita boleh adakan ­majlis dengan cepat. Apa pun kami mahukan Angah balik ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kehilangan Nur Aliah, Noorllilee bersama ­keluarganya membuat ­laporan di Balai Polis Sungai Jerik, Maran pada 26 Mac jam 9 pagi.

Noorlilie berkata, sesiapa yang mengetahui lokasi dan menjumpai Nur Aliah (­gambar) diminta meng­hubungi bapanya, Baharuddin Taib, di talian 013 2787332 atau Saodah Ishak di talian 013 6060975./sinarharian

Dirogol setelah tolak pelawaan ke hotel

KUALA TERENGGANU: Keputusan berani seorang remaja bawah umur tidak menolak pelawaan teman lelakinya yang hanya baru dikenali sehari ke sebuah hotel di bandar raya ini membawa padah setelah dia dakwa dirogol lelaki terbabit.

Kecewa diperlakukan sedemikian rupa, remaja yang baru berusia 14 tahun itu mengambil keputusan menceritakan kejadian berkenaan kepada ahli keluarganya dan satu laporan polis dibuat.

Susulan laporan, lelaki terbabit, Mohd Khairuddin Mohd Yusof, 22, dari Kampung Losong Atap Zin, di sini, ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas dakwaan merogol.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di Terengganu Hotel, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara jam 9 malam hingga 6 pagi pada 14 Mac lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Rosila kemudian menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam./sinarharian

Jumaat, 30 Mac 2012

Penjara, sebatan rogol bekas kekasih

PETALING JAYA: Seorang pekerja restoran hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol bekas kekasihnya, tiga tahun lalu.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasah terhadap Shahrizad Abu Hasan, 24, di akhir kes pembelaan.

Balqis dalam penghakimannya berkata, walaupun tertuduh melakukan perbuatan seksual itu bersama mangsa secara sukarela namun perbuatan itu dianggap sebagai merogol kerana melibatkan mangsa bawah umur.

Shahrizad didakwa merogol remaja perempuan itu yang ketika kejadian berusia 15 tahun di rumah Shahrizad di Jalan PJU 1A/42, Taman Putra Lembah Subang, Petaling Jaya dekat sini pada 27 Jun 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan./Bernama

Mayat bayi dalam perangkap sampah

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan tidak menyangka sekujur tubuh kecil yang ditemuinya ketika membersihkan perangkap sampah di sebuah tasik di pusat rekreasi Taman Metropolitan di Kepong di sini hari ini adalah mayat seorang bayi lelaki.

Rafu'si Ahmad, 40, berkata, pada mulanya beliau menyangka bayi cukup sifat itu yang ditemui kira-kira pukul 11 pagi tadi dalam perangkap sampah sedalam tiga meter itu, adalah anak patung namun sangkaannya meleset apabila mengangkatnya keluar dari longgokan sampah dalam perangkap itu.

"Ketika mengangkatnya, saya terkejut apabila mendapati itu adalah mayat bayi lelaki setelah melihat tali pusat dan kakinya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bahagian kepala bayi itu remuk dipercayai akibat terhantuk pada dinding longkang konkrit semasa dihanyutkan air.

"Kami percaya bayi itu dibuang kurang dari 24 jam lepas," katanya.

Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, katanya./Bernama

Khamis, 29 Mac 2012

Buang mayat bayi: Bekas jururawat dipenjara

MELAKA: Seorang bekas jururawat dihukum penjara dua bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana membuang mayat bayi yang dilahirkannya secara rahsia di Pengkalan Rama, pada Ogos tahun lepas.

Tai Muk Lien, 25, dari Pondok Batang Asahan, Jasin, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, kelihatan sebak dan menangis teresak-esak ketika Majistret Ida Rahayu Sharif menjatuhkan hukuman tersebut.

Dia didakwa menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit di sebuah rumah di Pangsapuri Tun Sri Lanang di sini, pada kira-kira 2.30 petang, 2 Ogos lepas, mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan./Bernama

Warga Bangladesh bunuh 2 rakan senegara dihukum gantung

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh dua rakannya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Olier Shekh Awoyal Shekh, 28, melampaui keraguan yang musabah.

Olier Shekh, yang berdepan tiga pertuduhan, turut dihukum penjara 10 tahun kerana cuba membunuh seorang lagi rakannya.

Dalam penghakimannya, Ahmad Nasfy berkata, mahkamah tidak ragu-ragu memutuskan tertuduh bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas meneliti semua keterangan yang dianalisis dengan terperinci mengikut undang-undang negara ini.

Olier Shekh didakwa membunuh Abdul Kadir Fazer Ali, 22, dan Shahin Md. Amir Hossin, 24, di sebuah asrama pekerja di Taman Kemuning, Senawang antara pukul 2 pagi hingga 4.10 pagi pada 15 Sept 2009 mengikut Sekysen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa cuba membunuh Helal Hossain Mosharaf, berusia lingkungan 20-an, di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan./Bernama

Janin bayi tanpa kepala ditemui di Sentul

KUALA LUMPUR: Satu janin bayi tanpa kepala ditemui seorang pekerja Indah Water di loji Indah Water Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, janin itu ditemui pada pukul 11.30 pagi semasa pekerja berkenaan sedang melakukan kerja pembersihan di loji itu.

"Pada awalnya dia menyangka janin itu adalah bangkai kucing. Janin sepanjang sembilan sentimeter itu didapati tidak mempunyai kepala,” katanya dalam SMS.

Zakaria berkata, janin yang tidak diketahui jantina itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ia perbuatan penduduk di kawasan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan./Bernama

Lelaki nekad terjun jambatan

Mayat MUAR: Akibat terlalu runsing menanggung beban hutang yang banyak, seorang lelaki bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Muar.

Bagaimanapun, mayat lelaki berkenaan ditemui terapung oleh orang ramai berhampiran jeti di Jabatan Laut di sini, petang semalam.

Ng Yee Wee, 34, dilaporkan hilang oleh isterinya selepas keluar rumah kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Berikutan bimbang, isteri mangsa yang berusia 27 tahun itu segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas suaminya tidak pulang-pulang.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Superintendan Sa­hadan Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki berkenaan.

Menurutnya, mayat lelaki terbabit yang lengkap berpakaian ditemui orang ramai ketika hanyut berhampiran jeti berkenaan kira-kira satu kilometer dari jambatan kedua kira-kira jam 3 petang semalam.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Namun, kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya./sinarharian

Rabu, 28 Mac 2012

Penyelia letak kereta dituduh bunuh isteri

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia tempat letak kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dituduh membunuh isterinya minggu lepas.

Johari Ahmad, 42, dituduh membunuh eksekutif cukai Suzilah Sabtu, 28, di rumah beralamat No B-8-9, Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi, Cheras di sini antara 3.30 petang dan 6.41 petang pada 16 Mac.

Johari, dari Kampung Pandan di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dia tidak membuat sebarang pengakuan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Media melaporkan Suzilah mati ditikam ekoran satu pertengkaran. Bedah siasat menunjukkan mangsa, yang hamil lapan minggu, meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi./Bernama

Mayat bayi di tapak pembuangan sampah

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai di sebuah tapak pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Cukai, Kemaman semalam.

Bayi yang cukup sifat itu dijumpai oleh seorang pekerja lelaki di tempat pembuangan sampah itu ketika sedang melakukan pembersihan di kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, pekerja berkenaan menemui bayi itu dalam karung beg plastik yang diletakkan dalam sebuah beg pakaian kira-kira pukul 5.50 petang.

Terkejut dengan penemuan mayat bayi tersebut, pekerja berkenaan terus melaporkannya kepada pihak polis.

"Hasil siasatan lanjut, bayi berkenaan dipercayai dibawa oleh lori sampah Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang terakhir membuang sampah di kawasan tersebut sekitar pukul 3 petang.

"Kami percaya bayi berkenaan baru dilahirkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Manoharan berkata mayat bayi itu telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat./Bernama

Upah seks ‘tutup mulut’

Tertuduh
TEMERLOH: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang bimbang rakaman aksi hubungan seks bersama kekasihnya disebar dalam internet terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya yang merakam aksi itu sebagai upah ‘tutup mulut’.

Dalam kejadian 28 Februari 2012, mangsa keluar bersiar-siar bersama kekasihnya berusia 18 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai, Triang, Bera.

Mangsa kemudian diajak teman lelakinya melakukan hubungan seks dan dalam terpaksa mangsa menurutinya.

Tanpa mangsa sedari aksi hubungan seks itu dirakam seorang rakan mangsa berusia 19 tahun yang kemudiannya mengugut untuk menyebarkan rakaman tersebut.

Mangsa yang ketakutan akhirnya terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya sebagai upah tutup mulut.

Namun akibat ketakutan, mangsa akhirnya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Susulan kejadian, dua remaja lelaki yang masih menganggur berdepan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Tertuduh Mohd Kamarul Zaman Muhamed 19 dan rakannya yang berusia 18 tahun, kedua-duanya dari Felda Kumai, Triang bakal berdepan hukuman tersebut selepas didakwa di mahkamah pagi semalam.

Kedua-dua remaja terbabit dituduh merogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai kira-kira jam empat petang 28 Februari lalu.

Kedua-dua mereka yang didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (1) mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali kemudian memutuskan kes disebut semula pada 25 April 2012 untuk mendengar keputusan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin serta dihantar ke penjara Penor untuk ditahan./sinarharian

Selasa, 27 Mac 2012

Pengurus bank dirompak RM200,000

SHAH ALAM, 26 Mac: Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata keluarga seorang pengurus kanan bank telah dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan pisau di rumah banglo mereka di Jalan Lapangan Terbang Subang, dalam pukul 5 pagi hari ini.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata bahawa kumpulan perompak itu telah mengikat dua pengawal keselamatan warga negara Nepal sebelum mengumpil salah satu daripada tingkap dan masuk ke dalam rumah itu.

Perompak yang memakai topeng itu kemudian mengikat isteri dan tiga anaknya sebelum menggeledah rumah itu.

Semasa kejadian itu pengurus bank berkenaan tidak berada di rumah kerana mempunyai urusan rasmi di Sabah.

Zahedi menambah bahawa kumpulan perompak itu kemudian melarikan barang kemas, wang tunai, mata wang asing dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Sehingga ini tiada tangkapan dibuat namum polis telah menyoal siasat kedua-dua pengawal keselamatan itu untuk membantu dalam siasatan./malaysianinsider

Petugas Majlis Agama Islam Melaka didakwa minta rasuah seks

Seorang pekerja rendah am Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas dua pertuduhan rasuah iaitu meminta suapan wang dan perkhidmatan seks daripada seorang wanita bagi menyelesaikan satu kes khalwat, dua tahun lepas.

Zullias Rasid Manan, 36, dari Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta RM1,500 daripada Siti Aishah Mohd Yusoff sebagai upah untuk menyelesaikan kes di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir pada kira-kira jam 6.30 petang, 10 Januari 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Zullias didakwa meminta perkhidmatan seks daripada Siti Aishah di bilik nombor 225, Coastal Park, Hotel Ujung Pasir pada kira-kira jam 1.15 petang 13 Februari 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail dan Mohd Sa'ad Shukor dari SPRM manakala Zullias tidak diwakili peguam./Bernama

Remaja mengaku liwat dipenjara 21 tahun

Muhammad Mustakim ketika dibawa keluar dari mahkamah, hari ini.
GEORGETOWN: Bekas pelajar sebuah universiti tempatan dipenjara 21 tahun dan 11 kali sebatan selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar tabii dengan dua mangsa berusia 14 dan sembilan tahun, antara Oktober 2010 hingga Mac 2011.

Muhammad Mustakim Mohamad, 23, dari Taman Bukit Gambir, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Mustakim didakwa melakukan perbuatan di luar tabii dengan memaksa mangsa berusia 14 tahun memasukkan zakar ke dalam mulutnya, kira-kira jam 5.30 petang, 30 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memaksa mangsa yang sama memasukkan zakar ke dalam duburnya kira-kira jam 9.15 pagi, 19 Mac tahun lalu.

Pertuduhan ketiga, Muhammad Mustakim didakwa memaksa mangsa yang sama memasukkan zakar ke dalam mulutnya kira-kira jam 7.05 petang, 13 Mac tahun lalu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gambir, Gelugor di sini dan didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merangsang seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun untuk melakukan sesuatu perbuatan melampau di tandas tingkat bawah perumahan yang sama pada 15 Oktober 2010.

Berdasarkan pertuduhan kelima,dia didakwa melakukan kesalahan yang sama pada keesokan hari, kira-kira jam 3 petang terhadap mangsa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 337E yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Sitarun Nisa ketika membacakan keputusannya memutuskan tertuduh dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap kesalahan untuk pertuduhan pertama hingga ketiga manakala tiga tahun penjara dan satu sebatan untuk setiap kesalahan bagi pertuduhan keempat dan kelima.

Mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermulahari ini.

Tertuduh diwakili peguam bela Rosli Ismail dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail./sinarharian

Rumah Mawi kena rompak

rumah mawi
BANGI: “Jangan bising.. duit, emas”. Hanya itu yang diungkapkan empat perompak yang memecah masuk kediaman penyanyi terkenal negara Asmawi Ani, 30, atau lebih dikenali Mawi, di Bangi Golf Resort dekat sini kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Mawi ketika kejadian baru sahaja menghabiskan lawatan kerja bersama media di Johor Bahru kira-kira jam 2 pagi sebelum menghabiskan masa melayan anaknya, Cahaya Malaika sebelum masing-masing tidur sekitar jam 3 pagi.

Menurutnya, tiba-tiba pintu biliknya diketuk kuat dan isterinya, Nora’Asikin Rahmat membuka pintu kerana menyangkakan ada kecemasan ekoran neneknya Salmah Sahan, 77, tidur di bilik sebelah.

“Ekin buka pintu dan tidak menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku sebelum terkejut diacukan parang ke leher oleh salah seorang daripada tiga penjenayah yang berdiri di pintu bilik utama.

“Seorang daripada mereka sedang menggeledah bilik sebelah sementara tiga lagi membawa nenek ke bilik kami dan mengikat kaki dan tangan saya, isteri, nenek mertua dan ibu mertua, Fatimah Saad, 55 yang berada di dalam bilik utama ketika itu,” katanya.

Mawi berkata, perompak tersebut merampas rantai emas yang dipakai neneknya dan juga wang tunai serta empat telefon bimbit dianggarkan kerugian yang dialami sekitar RM10,000.

Beliau berkata perompak kemudian melarikan diri menerusi tingkap di bahagian dapur.

Mawi, yang masih trauma dengan kejadian itu, berkata beliau dapat menyelamatkan dirinya dan anggota keluarganya dengan membuka ikatan menggunakan giginya.

"Selepas itu saya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk membuat laporan," katanya.

Mawi berkata beliau beliau tidur lewat selepas pulang daripada promosi Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Johor Baharu kira-kira 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab ketika berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata./sinarharian

Isnin, 26 Mac 2012

Fatihah dakwa dirogol

Keratan akhbar
PEKAN: Kes penculikan palsu Siti Nor Fatihah Mahadi, 15, dari Taman Tas Kuantan yang meraih simpati ramai pada 19 Mac lalu kembali panas apabila dia mendakwa dirogol teman lelakinya ketika dilarikan ke Nenasi Pekan.

Ketua Polis Daerah, Superinten-dan Yahaya Othman berkata, pihaknya dimaklumkan Fatihah hadir membuat laporan polis beberapa hari lalu mengenai dakwaan dirogol teman lelakinya berusia 26 tahun.

Menurutnya, kes itu bersabit di IPD daerah ini apabila Fatihah ditemui di sebuah rumah di Nenasi, sebelum dibawa polis ke IPD Kuantan dan diletak bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan.

“Selepas menerima laporan, pakar perubatan yang memeriksa keadaan Fatihah menge­sahkan tiada kesan atau tanda dia dirogol.

“Pihak polis tidak membuat sebarang tindakan ke atas teman lelakinya dan menganggap laporan itu sebagai palsu yang sengaja direka dengan tujuan peribadi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan Hari Polis Ke-205 di Dataran Pekan.

Yahaya berkata, sesiapa sahaja didapati membuat laporan palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan laporan yang hendak dibuat terutama melibatkan penipuan kerana pihak berkuasa tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan itu,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Siti Nur Fatihah hilang dipercayai diculik ketika keluar bersama dua adiknya membeli kad tambah nilai prabayar di sebuah kedai telekomunikasi berhampiran rumahnya di Taman Tas, Kuantan.

Bagaimanapun pada 22 Mac lalu, remaja itu akhirnya mengaku dia tidak diculik, tetapi dengan rela hati melarikan diri ke rumah teman lelakinya di Kampung Merchong, Pekan./sinarharian

Motosikal mangsa dilanggar sebelum dirogol

SABAK BERNAM: Perjalanan pulang dua beradik ke rumah selepas membeli kad prabayar berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dirogol dalam kereta selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar dalam kejadian di Parit 13, Sungai Panjang, di sini, kelmarin.

Ketika kejadian mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal bersama adiknya berusia 15 tahun dilanggar sebuah Proton Saga, kira-kira jam 9 malam di kawasan sunyi.

Berikutan perlanggaran itu, kedua-dua beradik itu terjatuh sebelum suspek berhenti dan menarik mangsa ke dalam kereta.

Suspek yang berusia 19 tahun dikatakan sanggup mendukung mangsa yang meronta-ronta ke dalam kereta sebelum membawanya lari dengan meninggalkan adik remaja itu kesakitan seorang diri di tepi jalan.

Adik mangsa bergegas pulang ke rumahnya kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan menceritakan kepada keluarga yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati suspek membawa mangsa ke tempat sunyi sebelum merogolnya dalam kereta, kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, mangsa terpaksa menuruti kehendak suspek selepas diugut akan dirogol beramai-ramai jika enggan mematuhi permintaan itu.

Katanya, selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di tepi jalan sebelum ditemui orang ramai.

“Suspek melarikan diri selepas menyedari menjadi buruan penduduk.

“Akibat gagal mengawal kenderaannya, kereta dipandu suspek terbabas, tetapi lelaki itu dapat meloloskan diri ke kebun sawit berhampiran dan meredah sawah padi bagi menyelamatkan diri.

“Suspek dikatakan turut meminta bantuan di rumah majikannya yang terletak berhampiran tempat kejadian.

“Bagaimanapun, usaha suspek meraih simpati majikannya gagal kerana selepas menceritakan kejadian yang berlaku, lelaki itu dipaksa menyerah diri kepada polis, semalam,” katanya. Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek menggunakan kereta milik majikannya ketika melakukan jenayah itu.//hmetro

Ahad, 25 Mac 2012

Doktor Malaysia bersalah melakukan serangan seksual

MELBOURNE: Seorang doktor berasal dari Malaysia didapati bersalah bagi dua tuduhan melakukan serangan seksual terhadap wanita di Adelaide.

Mahkamah Majistret Elizabeth pada Selasa lalu mendapati Dr Mohd Zaki Ibrahim, 36, melakukan kesalahan itu pada 31 Mac 2010 dan 16 Julai tahun sama.

Jurucakap mahkamah memberitahu Bernama, kes itu ditangguhkan ke 27 April depan untuk pembentangan hujah bagi hukuman ringan.

Doktor itu, pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dipercayai bekerja di pekan di Australia Selatan, sebelum bepindah ke Elizabeth di Adelaide bersama keluarganya./Bernama

Sabtu, 24 Mac 2012

4 pelajar didakwa bunuh Zara, bapa

EMPAT tertuduh termasuk kekasih Zara (baju biru) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA: Kekasih kepada seorang pensyarah kolej swasta yang ditemui mati dibunuh bersama bapanya di Puchong dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama tiga lagi rakannya atas dua tuduhan membunuh.

Tertuduh Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, dan tiga lagi rakan, Mohamad Sharafee Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, kelihatan tenang dan hanya menjawab mereka faham, semasa ditanya berhubung tuduhan tersebut.

Namun tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh yang merupakan pelajar di kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Cheras, Kuala Lumpur tempat mangsa mengajar.

Mereka didakwa membunuh Zara Eleena Omar Peter, 23, juga orang kelainan upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara Puchong antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac lalu.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa membunuh bapa Zara, Omar Peter Abdullah, 57, di antara pukul 11.30 malam, 8 Mac lalu hingga pukul 1.30 pagi, 9 Mac lalu di rumah sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes itu bagi menunggu laporan bedah siasat serta untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Tiada jaminan ditawarkan dan kesemua tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu kes dibicarakan.

Ahli keluarga mangsa dan juga kesemua tertuduh tidak kelihatan di mahkamah semalam./kosmo

Jumaat, 23 Mac 2012

Ibu tikam bayi baru lahir, buang dalam semak

bayi ditikam
JAKARTA: Seorang ibu tidak berhati perut di Jawa Barat ditahan, kelmarin kerana cuba membunuh anaknya, yang lahir minggu lalu, dengan menikam dan meninggalkan bayi itu dalam semak.

Siti Sundari, 18, dipercayai melahirkan bayi lelaki di bilik sewa di Cikeas Udik, Bogor, Jumaat lalu.

"Gara-gara malu melahirkan anak tidak sah taraf, suspek telah bertindak di luar kawalan dan berniat untuk membunuhnya," kata ketua detektif balai polis Gunung Putri, Donggor Panjaitan.

Menurutnya lagi, tangisan kuat bayi berumur tiga hari itu menyebabkan penduduk sekitar kawasan tersebut menemuinya dalam keadaan menyedihkan dengan kesan luka sepanjang 11.5 sentimeter di belakang tubuhnya pada malam Isnin lalu.

Semasa soal siasat oleh polis, Siti mengaku dia melakukan tindakan kejam tersebut kerana tidak mampu untuk membesarkan anaknya.

Dalam perkembangan terbaru, jururawat di Hospital Besar Cibinong menyatakan bayi seberat 2.17 kilogram itu kini semakin sembuh walaupun luka tersebut nyaris meragut nyawanya.

Sementara itu, ibunya telah dihantar ke Hospital Kramat Jati di Jakarta Timur untuk menjalani ujian psikiatri./sinarharian

Kakitangan perubatan lakukan seks oral dengan pesakit

PAKA: Seorang kakitangan perubatan di salah sebuah klinik dekat sini, dipercayai melakukan seks oral terhadap pesakitnya.

Kejadian berkenaan dikatakan berlaku beberapa hari lalu di dalam bilik rawatan di klinik terbabit, ketika pesakitnya yang merupakan seorang pelajar lelaki di salah sebuah sekolah menengah berdekatan, datang untuk mendapatkan rawatan setelah mengadu sakit pada bahagian dada.

Sebaik tiba gilirannya, mangsa dipanggil ke dalam bilik rawatan dan kakitangan perubatan itu melakukan pemeriksaan pada bahagian dada, sebelum mengeluarkan resit agar mangsa mendapatkan ubat.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan empat itu diarahkan masuk semula ke dalam bilik rawatan, sebelum diarah menyelak baju untuk melakukan pemeriksaan semula.

Mangsa turut diarahkan menanggalkan seluar, sebelum kakitangan perubatan berusia 20-an itu memegang kemaluan pelajar lelaki itu, dan melakukan seks oral selama beberapa minit.

Selepas itu, pesakit berkenaan yang berasal dari sebuah taman dekat sini diarahkan memakai semula seluarnya dan meninggalkan bilik rawatan itu.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Paka mengenai kejadian itu. Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima laporan dan suspek telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan./sinarharian

Ibu rayu anak gadis pulang

Nurul Fatin yang dirayu pulang.
PASIR GUDANG: Seorang ibu tunggal di Kampung Pasir Putih di sini merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak lebih sebulan lalu kembali kepada keluarga.

Endon Ahmad, 58, berkata, anaknya, Nurul Fatin Jaslan, 20, dimarahinya kerana dipercayai ponteng kelas Bahasa Inggeris berbayar di Johor Bahru selepas lebih 10 keping tiket wayang ditemui di dalam bilik anaknya.

Menurutnya, Fatin sebelum ini bekerja bahagian pengiklanan di Johor Bahru dan baru lebih kurang tiga bulan bekerja sebagai kerani di kampung berkenaan.

“Mak cik marah sebab dia tipu kononnya ke kelas Bahasa Inggeris setiap hari Ahad, tetapi rupa-rupanya dia tidak masuk kelas, sebaliknya menonton wayang bersama teman lelakinya.

“Mak cik sanggup keluarkan duit lebih RM5,000 untuk kelas Bahasa Inggeris selama enam bulan supaya dia boleh berkomunikasi, tetapi nampak gayanya dia tidak berminat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Endon berkata, pada 9 Februari ketika anak sulungnya ingin mengambil Fatin di tempat kerja kira-kira jam 11 malam, keadaan kedai berkenaan telah gelap-gelita.

Menurutnya, Fatin gagal ditemui sehingga kini walaupun pelbagai usaha mencari ke merata tempat telah dilakukan termasuk melalui cara tradisional.

“Hari terakhir berjumpa, Fatin kelihatan seperti biasa bersalam dan mencium pipi mak cik sebelum keluar ke tempat kerja.

“Teman lelaki Fatin memberitahu ada menghantar Fatin ke stesen bas Larkin pada malam berkenaan, tetapi naluri hati mak cik tetap merasakan Fatin masih ada di kawasan ini,” katanya.

Endon berkata, anak bongsunya itu seorang yang pendiam dan begitu manja dengannya terutama selepas arwah suaminya meninggal dunia lebih lima tahun lepas.

Menurutnya, kerinduan kepada Fatin begitu ketara terutama pada waktu malam kerana sebelum ini anaknya itu akan menemaninya berbual sebelum tidur.

“Mak cik terlalu rindukan gurauan manja dia yang menjadi peneman setia mak cik di rumah ini kerana abang dan kakaknya bekerja dan menetap di Singapura.

“Baliklah Fatin... mak sendirian dan kesunyian di rumah ini. Mak marah sebab mak sayangkan Fatin... baliklah mak akan masakkan sambal sardin kegemaran Fatin,” katanya dengan linangan air mata.

Endon berharap orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat berkaitan anaknya supaya menghubunginya di nombor 017-7437882 atau balai polis berhampiran./sinarharian

Khamis, 22 Mac 2012

Ditendang, dipukul besi katil

Sahfi qul bersama penyelia restoran, Mohd Shafie Jamhari menunjukkan senjata digunakan penjenayah un
KOTA DAMANSARA: Hasrat seorang abang mengirimkan wang belanja perkahwinan adiknya lesap apabila asrama didiaminya disamun dalam kejadian di Kota Damansara, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, mangsa, Md Shafiqul bersama enam rakannya yang bekerja di sebuah restoran di kawasan itu disamun tiga lelaki yang menyamar sebagai polis.

Shafiqul berkata, ketika kejadian, mereka baru pulang kerja dan sedang berehat, sebelum tiga lelaki berusia 30-an masuk ke dalam rumah dan mengarahkan mereka menunjukkan permit perjalanan.

Menurutnya, akibat gagal menunjukkan permit perjalanan, mereka dipaksa membayar RM1,000 setiap seorang bagi mengelakkan ditahan.

“Ketiga-tiga lelaki menunjukkan kad yang tercatat perkataan polis dan gari bagi menakutkan kami.

“Mereka mengarahkan kami memberi semua simpanan dan wang gaji yang baru diterima beberapa hari lalu,” katanya.

Shafiqul berkata, mereka ditendang dan dipukul dengan besi katil kerana enggan mengikut arahan.

Menurutnya, wang simpanan RM4,000 yang mahu dikirimkan kepada adiknya di Bangladesh lesap selepas ketiga-tiga lelaki itu memeriksa dompetnya.

“Hampir tiga bulan saya menyimpan­ wang itu untuk perkahwinan adik April nanti.

“Selain wang tunai, dua telefon bimbit juga dirampas dan duit syarikat sebanyak RM2,000,” katanya.

Katanya, seorang daripada suspek dikenalinya dan merupakan warga Indonesia serta pernah mengu­n­jungi premis tempatnya bekerja.

Dia yang dua tahun bekerja di restoran Sekinchan Ikan Bakar tidak pernah mengalami kejadian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Lila Ruzaini Mohd Husin berkata, lebih daripada lapan telefon bimbit milik kakitangannya­ disamun dan dianggarkan kerugian RM20,000.

“Kita buat laporan di Balai Polis Kota Damansara dan serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sebelum ini, tabung di hadapan kaunter dicuri dan kini pekerja disamun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan./sinarharian

Rabu, 21 Mac 2012

Bayi berusia dua minggu dijumpai pintu masuk masjid

PEKAN: Seorang bayi lelaki berusia dua minggu ditinggalkan di pintu masuk ruang solat sebuah masjid di Kampung Lamir di sini, hari ini.

Bayi yang dalam keadaan sihat dan lengkap berpakaian itu ditemui oleh seorang penduduk kampung itu, Khasli Mohd Razali, 48, ketika mahu membuka pintu masjid untuk solat Subuh pada pukul 5.20 pagi.

Sebuah beg berisi lampin pakai buang, beberapa helai baju, tisu basah dan botol susu yang masih berisi susu turut ditinggalkan berhampiran bayi itu.

"Masa saya ingin membuka pintu, saya terdengar bayi menangis lalu mencarinya di sekitar perkarangan masjid. Saya kemudian terlihat seorang bayi diletakkan di perkarangan pintu ruang solat dan meminta pertolangan jiran yang tinggal di sebelah masjid untuk mengambilnya," kata Khasli.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Khasli berkata beliau memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan dan polis kini menjejaki ibu bayi itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./Bernama

Pekerja buruh ditemui mati dengan kesan tetakan di tengkuk

BELURAN: Seorang pekerja buruh ditemui mati dengan kesan tetakan di tengkuknya di sebuah ladang kelapa sawit di Telupid semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata mayat mangsa, Muhammad Salleh, 46, dijumpai di atas motosikalnya oleh seorang pemandu traktor di kawasan Blok 94k Ladang Myvin kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, polis yang pergi ke lokasi kejadian mendapati mangsa mati akibat ditetak dengan benda tajam.

Menurutnya mengikut laporan, mangsa telah bekerja di ladang itu sejak 10 tahun lepas.

"Polis mengklafikasikan kes itu sebagai bunuh dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sivanathan berkata polis sudah mengambil kenyataan daripada isteri dan beberapa rakan setugas mangsa bagi membantu siasatan./Bernama

Janda muda kena samun, rogol

KUALA LUMPUR: Seorang janda anak satu yang berhasrat untuk memulakan hidup baharu selepas bercerai dengan suaminya ditimpa malang apabila dia bukan sahaja disamun, malah dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki di kawasan Bukit Raja, Klang, Selangor kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 malam itu berlaku apabila janda muda berusia 20 tahun itu didatangi oleh dua lelaki bersenjatakan pisau sebelum mengarahkannya menyerahkan telefon bimbit dan wang RM150.

Suspek kemudian membawa mangsa menaiki motosikal ke sebuah ladang kelapa sawit kira-kira 200 meter dari kawasan dia disamun sebelum dirogol.

Sumber memberitahu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja.

"Wanita tersebut yang telah bercerai dengan suaminya baru-baru ini tinggal di Bandar Sunway, Petaling Jaya dan datang ke rumah saudaranya di kawasan tersebut untuk memulakan hidup baharu sejak dua minggu lalu," katanya./kosmo

Penganggur hadapi tiga pertuduhan termasuk rogol pelajar

GEORGE TOWN: Seorang penganggur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini atas tiga pertuduhan termasuk merogol seorang pelajar berusia 15 tahun, awal bulan ini.

M. Retnam, 32, dari Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan merogol remaja tingkatan tiga itu dalam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan hutan berhampuran Maktab Sains Rendah Mara (MRSM), Pondok Upeh, Balik Pulau, antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang, pada 1 Mac lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan keputusan DNA. Semua pertuduhan di Mahkamah Seysen dan Majistret dibacakan dalam bahasa Tamil.

Hakim juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail untuk mengenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan kesalahan yang serius dan merosakkan masa depan mangsa yang masih muda.

Di Mahkamah Majistret, Retnam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis dan memiliki senjata berbahaya iaitu pisau.

Dalam pertuduhan pertama, Retnam dituduh menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan sekeping kad dan meminta pasport milik seorang warga Indonesia di dalam lif Pangsapuri Mutiara, Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi, antara jam 10.30 dan 10.40 malam, pada 1 Mac lalu.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Retnam dituduh memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berukuran 27 sentimeter termasuk pemegang tanpa kebenaran yang sah di tempat dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Azizah Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nor Aini Yusof menetapkan 17 April ini sebagai tarikh sebutan dan penyerahan dokumen kepada pendakwa manakala tertuduh boleh dijamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan./Bernama

Selasa, 20 Mac 2012

Jurutol diikat sebelum dicabul

SHAH ALAM: Kaki, tangan diikat pada katil dan kemudian seorang penjenayah mencabul dengan rakus.

Itu detik hitam dilalui seorang jurutol, berumur 20 tahun, ketika berada seorang diri di rumahnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berbaju kuning dan berseluar jean memecah masuk rumahnya, jam 12.50 tengah malam.

Menurut sumber polis, lelaki itu terus menyerang mangsa dari arah belakang dan mengacukan pisau di lehernya.

Difahamkan, pada awalnya lelaki tersebut cuba meragut rantai emas milik mangsa, tetapi tidak berjaya.

Katanya, lelaki itu seterusnya mengarahkan mangsa supaya diam, sebelum mulut wanita terbabit diikat dengan menggunakan kain.

“Lelaki itu mengarah mangsa baring di atas lantai. Kaki dan tangannya diikat pada katil dengan menggunakan kain.

“Seluar mangsa kemudiannya ditanggalkan dan lelaki itu terus mencabulnya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa dapat melepaskan ikatan selepas lelaki tersebut melarikan diri.

“Mangsa kemudiannya mem­buat laporan polis setelah dua rakan sekerjanya pulang,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis memberkas dua lelaki warga Indonesia, berumur 54 dan 32 tahun, bagi membantu siasatan.

“Mangsa tidak mengenali suspek terbabit dan sewaktu kejadian, suspek menutup muka dengan baju,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul./sinarharian

Isnin, 19 Mac 2012

Ibu gundah, anak gadis dilarikan orang

Siti Nur Fatihah Mahadi
KUANTAN: Seorang suri rumah kini berada dalam keadaan tertekan apabila anak gadisnya Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, hilang sejak tengah hari semalam dipercayai diculik tiga individu dalam kejadian di Taman Tas dekat sini.

Nor Mala Mohd Lazin, 34, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu ke kedai telefon berhampiran rumah mereka bersama dua adiknya Siti Nurul Aishah dan Mohd Shahmi Aiman yang masing-masing berusia 11 tahun.

"Saya terkejut apabila kedua-dua anak saya pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis tanpa kakaknya dan apabila ditanya mengapa menangis, mereka memberitahu kakak Fatihah dilarikan orang,” katanya kepada pemberita, di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, beliau diberitahu Nurul Aishah bahawa kakaknya dilarikan dengan sebuah kereta bercermin gelap dipandu seorang wanita yang turut dinaiki dua lelaki.

"Kereta tersebut tiba-tiba berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan menarik Fatihah. Kedua-dua adiknya itu sempat menarik kakak mereka namun terlepas,” katanya.

Beliau berkata, Fatihah yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini, adalah anak yang baik dan tidak akan ke mana-mana tanpa keluarga./Bernama