IPOH: Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan kecederaan di leher dipercayai ditikam isterinya di rumah mereka di Eastern Garden, Teluk Intan, 100 km dari sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, Koo Ching Kiong, 74, ditemui mati di atas katil dengan berlumuran darah pukul 8.45 pagi oleh menantu lelakinya ketika membuka pintu bilik mangsa.
Isteri mangsa, Chiang Mooi Chai, 71, turut ditemui dalam bilik sama dengan kesan cedera di leher dan perut dipercayai cuba membunuh diri katanya, ketika dihubungi hari ini.
Kok Liang berkata, polis yang menerima panggilan daripada orang awam berkejar ke tempat kejadian dan menemui Ching Kiong meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya terbaring disisi dengan berlumuran darah di leher dan perut.
Polis menemui sebilah gunting dan pisau di tempat kejadian, katanya.
Katanya, polis kemudian menghantar mayat ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat, manakala isteri mangsa dimasukkan ke hospital sama dan keadaannya stabil.
Kok Liang berkata, siasatan awal mendapati si mati mengidap penyakit lumpuh seluruh badan sejak Oktober tahun lalu dan kerana tidak mahu melihat suaminya itu menderita Mooi Chai dipercayai bertindak mengelar leher mangsa menggunakan pisau.
Wanita itu kemudian mengelar leher dan menikam perutnya sendiri./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan