SABAK BERNAM: Perjalanan pulang dua beradik ke rumah selepas membeli kad prabayar berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dirogol dalam kereta selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar dalam kejadian di Parit 13, Sungai Panjang, di sini, kelmarin.
Ketika kejadian mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal bersama adiknya berusia 15 tahun dilanggar sebuah Proton Saga, kira-kira jam 9 malam di kawasan sunyi.
Berikutan perlanggaran itu, kedua-dua beradik itu terjatuh sebelum suspek berhenti dan menarik mangsa ke dalam kereta.
Suspek yang berusia 19 tahun dikatakan sanggup mendukung mangsa yang meronta-ronta ke dalam kereta sebelum membawanya lari dengan meninggalkan adik remaja itu kesakitan seorang diri di tepi jalan.
Adik mangsa bergegas pulang ke rumahnya kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan menceritakan kepada keluarga yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati suspek membawa mangsa ke tempat sunyi sebelum merogolnya dalam kereta, kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, mangsa terpaksa menuruti kehendak suspek selepas diugut akan dirogol beramai-ramai jika enggan mematuhi permintaan itu.
Katanya, selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di tepi jalan sebelum ditemui orang ramai.
“Suspek melarikan diri selepas menyedari menjadi buruan penduduk.
“Akibat gagal mengawal kenderaannya, kereta dipandu suspek terbabas, tetapi lelaki itu dapat meloloskan diri ke kebun sawit berhampiran dan meredah sawah padi bagi menyelamatkan diri.
“Suspek dikatakan turut meminta bantuan di rumah majikannya yang terletak berhampiran tempat kejadian.
“Bagaimanapun, usaha suspek meraih simpati majikannya gagal kerana selepas menceritakan kejadian yang berlaku, lelaki itu dipaksa menyerah diri kepada polis, semalam,” katanya. Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek menggunakan kereta milik majikannya ketika melakukan jenayah itu.//hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan